2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -
Insiden anak-anak muda yang berkhemah di Dataran Merdeka diganasi samseng upahan dan dimusnahkan simbol penentangan mereka awal 2.40 pagi 19 April lalu, terbukti langsung tidak melunturkan komitmen menuntut pendidikan percuma.
Malah, aksi bersejarah mereka berkampung sejak 14 April semakin mendapat publisiti dan perhatian ramai. Terutama di waktu malam, ia bagai destinasi yang perlu dikunjungi. Khabarnya ada kuliah dan makanan percuma di sana (isteri saya turut mengirimkan lebih 100 bungkusan nasi Arab, petang Jumaat lalu).
Malangnya, lokasi yang berhampiran Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu -- suasana malamnya pun ceria bercahaya, diperhatikan pula pasukan polis dari jarak dekat -- boleh bertukar menjadi medan pertempuran oleh "samseng yang dikaitkan dengan Umno".
Ya, mungkin ada yang berbeda pendapat dengan tekad gerakan mahasiswa yang tulus dan berani ini -- termasuk saya -- namun semangat membara mereka mengungguli idealisme perjuangan dan kesanggupan berpanas-berembun di tengah kota raya itu begitu mengujakan.
Tentulah tuntutan agar pinjaman PTPTN dimansuhkan itu boleh didebatkan, atau diperincikan lagi, namun seperti kata Anwar Ibrahim sewaktu mengunjungi Dataran Merdeka, malam Jumaat lalu, bagi melihat dari dekat kesan tindakan samseng upahan: "Bila ajak untuk berdebat tak nak. Tapi guna kekerasan dia untuk pukul orang."
Bagi saya, biarkan mahasiswa bereksperimen, menjual dan memasarkan idea mereka, membantah atau menyokong, asalkan diasaskan kepada tradisi ilmu yang luhur, dengan kecintaan mendalam kepada hikmah dan kebenaran.
Ya, biarkan mereka mencipta impian, mengejar cita-cita, memburu sasaran, dan apa salahnya diulit mimpi yang indah, sebelum tangkas dan bingkas berusaha mengubah sejarah.
Tepat sekali ungkapan Sasterawan Negara, A Samad Said: "Saya menghadiahkan dua beg tidur kepada mereka sebagai simbolik supaya mereka tidur di Dataran Merdeka dan bermimpi yang indah-indah. Mimpilah sesuatu yang indah di hadapan, jangan tidur sahaja. Tidur sahaja tidak membawa apa-apa. Tidur dan mimpilah yang indah-indah dan laksanakan mimpi kita itu."
Tertarik saya dengan puisi penyair rakyat, Usman Awang, yang cukup terkesan dengan perjuangan mahasiswa pada dekad 60-an lagi. Mengulas peristiwa Telok Gong, tahun 1967, Usman merakamkan:
Dari ruang sudut pidato
Pecahlah kaca menara gading
Kaubelah jalan raya kota
Dengan berani berteriak
Untuk petani yang tertindas
Dalam sajak Mahasiswa, yang dilakar pada 1961, Usman memulakan rangkap pertama:
Mahasiswa dari kota tanahair
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu
bersama ke tengah jalan raya kota
Kini, selepas 50 tahun, anak-anak muda yang "ada api dalam dada" itu benar-benar menggigit keyakinan bersama, sekali gus menikmatinya, dan bersedia mengharungi apa jua asakan, berdepan apa juga risiko.
Ketika Parlimen membahaskan beberapa pindaan dan pemansuhan akta, yang berkait rapat dengan kebebasan bersuara, misalnya Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, serta Akta Keselamatan Dalam Negeri, kelompok intelektual muda ini tidak perlu menunggu lagi ... terus saja mempraktikkannya.
Kesanggupan mereka untuk bertahan sehingga tarikh keramat, 28 April, bagi menyambut ibu segala demonstrasi, Bersih 3.0, menghimpunkan lebih 500,000 rakyat prihatin, membayangkan keazaman dan stamina yang sukar dipatahkan.
Saya kira tindakan 'occupy' tersebut bukannya satu perancangan rapi bagi menduduki kawasan hijau di tengah ibu kota itu. Malah mungkin banyak pihak menyanggah, mempersoalkan atau sekurang-kurangnya ragu-ragu, termasuk dari rakan-rakan mahasiswa sendiri, apabila dimaklumkan akan bermukim selama dua minggu di situ!
Begitulah selalunya ... adegan yang bakal terakam sebagai babak terpenting sejarah, tidak dimulai dengan penyusunan sistematik, apatah lagi perbahasan teoritikal. Ia selalunya berjalan tanpa mengikut skrip, meledak begitu sahaja, namun benih dan tunasnya bertapak di gelanggang yang subur.
Salut dan tahniah untuk orang muda yang "tiada berkepentingan" ini! Gegarkan Kuala Lumpur yang makin kontang manusiawinya ini. Bingitkan telinga sang penguasa zalim, kroni tamak dan suku-sakat lintah darat yang tidak pernah kenyang. Telanjangi dalang-dalang di sebalik samseng-samseng upahan yang mendakap imuniti itu.
Pedulikan sikap bebal Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin, yang menulis di Twitter: "Tiada siapa pun suruh berkhemah di Dataran, bila berlaku apa-apa perkara, jangan tagih simpati." Langsung tiada terselit sekelumit ehsan dan sikap kebapaan melihat anak-anaknya dicederakan.
Saya turut terkesan dengan puisi WS Rendra, "Sajak Pertemuan Mahasiswa", yang dicipta pada 1977. Antara bait-bait sajak itu yang begitu menarik dan juga relevan sehingga kini, juga dalam konteks politik semasa:
Kita bertanya:
Kenapa maksud baik tidak selalunya berguna.
kenapa maksud baik dan maksud baik bisa berlaga.
Orang berkata: "Kami ada maksud baik."
Dan kita bertanya: "Maksud baik untuk siapa?"
... Dan kita di sini bertanya:
"Maksud baik saudara untuk siapa?
Saudara berdiri di pihak yang mana?"
Kenapa maksud baik dilakukan
tetapi makin banyak petani kehilangan tanahnya.
Tanah-tanah di gunung telah dimiliki orang-orang kota.
Perkebunan yang luas.
hanya menguntungkan segolongan kecil saja.
... Di bawah matahari ini kita bertanya:
Ada yang menangis, ada yang mendera.
Ada yang habis, ada yang mengikis.
Dan maksud baik kita
berdiri di pihak yang mana.
II.
Sejak 12 tahun lalu, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), yang saya terajui, mendesak agar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) dimansuhkan, atau sekurang-kurangnya dinyahkan segala peruntukan tidak demokratik.
Pengalaman berdepan dengan pengharaman dua majalah, Detik dan Wasilah, yang saya sewa permit penerbitannya daripada rakan-rakan, cukup memeritkan, namun ia menguatkan lagi semangat saya untuk berkempen membebaskan cengkaman dan kongkongan pemerintah ke atas industri media negara ini.
Saya terpaksa mengusung keranda Detik di tingkat tiga, sebuah pejabat yang disewa, di Medan Idaman, Gombak sebagai bantahan terbuka terhadap tindakan zalim Kementerian Dalam Negeri itu.
Berulangkali saya bersama segelintir sahabat yang bersimpati, naik turun pejabat Suhakam, bermula di sebuah kabin, di perkarangan Wisma Putera, dengan membawa memorandum, antaranya menekankan agar ruang kebebasan bersuara diperluaskan.
Bekas Naib Pengerusi Suhakam, Almarhum Prof Tan Sri Harun Hashim sudi menerima rombongan KAMI dan membuka ruang dialog di sebuah hotel, berhampiran PWTC. Lebih kurang 20 rakan-rakan aktivis media hadir, bersemuka dengan Harun dan beberapa pesuruhjaya Suhakam lain, seperti Prof Hamdan Adnan, Prof Mehrun Sirah dan Zainah Anwar.
Stamina KAMI turut terjejas dan staminanya tidak dapat bertahan apabila saya keuzuran dalam tempoh yang agak panjang, bermula tahun 2002. Rupanya terlalu sukar untuk elit pemerintah melonggarkan sekatan dan kongkongan, sebaliknya mereka cukup rakus memperkakaskan warga media bagi mempertahankan kuasa.
Sayang sekali, tidak sedikit editor-editor kanan "media arus perdana" yang rela diperhambakan. Hilang jiwa merdeka dan minda seorang wartawan sebenar.
Sebaik selamat menjalani operasi pembedahan pintasan jantung dua tahun lalu, saya cuba menggiatkan semula KAMI. Beberapa pertemuan diatur di pejabat Harakah, khusus membawa misi pemansuhan AMCP.
Ramai memutuskan, termasuk Subky Abd Latif dan Dr Abd Aziz Bari, bahawa akta itu sudah tidak relevan lagi. Lambat atau cepat ia bisanya akan hilang begitu sahaja. Sama ada ditentang atau dibiarkan, AMCP tidak mampu lagi berdepan asakan media baru dan fenomena langit terbuka.
Apabila Najib Razak mengumumkan beberapa langkah transformasi politik pada malam Hari Malaysia tahun lalu, AMCP hanya disebut akan dimansuhkan peruntukan yang menghendaki permit dipohon setiap tahun.
Elemen lain yang menghakis kuasa mahkamah dan memberikan kuasa mutlak kepada menteri tidak disentuh.
Bagaimanapun, apabila dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, nampak seolah-olah ruang lebih selesa dihamparkan. Tentulah ia terhasil daripada asakan dan desakan bertali arus selama ini, di samping akta itu sendiri bagai dinasour, yang ketinggalan zaman.
Namun begitu, isu-isu asas seperti konsep permit masih terpahat kukuh. Setiap penerbitan berkala masih memerlukan kebenaran menteri. Kuasa menteri untuk mengharamkan atau menggantung permit pada bila-bila masa terus terjamin.
(Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang pernah dipenjarakan melalui AMCP ini tentu mempunyai idea praktikal bagaimana beberapa peruntukan perlu dimansuhkan. Ya, peruntukan yang menjadikan pertuduhan jenayah sebagai alat politik yang cukup berkesan!)
Editor "media arus perdana" akan tetap diganggu. Majlis Tertinggi Umno masih mengekori dari dekat, malah menentukan apa yang boleh disiarkan akhbar-akhbar utama, misalnya Utusan Malaysia.
Dan Harakah masih terkepung dengan syarat-syarat ketat sebuah "organ parti". Teringat saya, di mana agaknya borang permohonan menerbitkan akhbar harian, Purnama, yang dihantar ke Kementerian Dalam Negeri sepuluh tahun lalu?
Saya juga tidak pasti apakah Suara Keadilan akan diberikan permit selepas ini ... Tetapi saya kira rakan-rakan di sana sudah selesa menikmati cara berkarya secara "bawah tanah" itu, sementara menunggu takhta di Putrajaya digulingkan!
Harakah Daily