24 April 2012

Negara bankrap modal baru BN

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bankrap adalah satu modal baru Umno BN untuk menakutkan rakyat supaya jangan memilih Pakatan Rakyat dalam Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

“Sebelumnya mereka menggunakan isu agama, bangsa dan raja,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam satu kenyataan.

Menurutnya, oleh kerana ketiga-tiga isu itu sudah menjadi basi dan tidak laku kerana Umno mempunyai rekod yang buruk terhadap tiga perkara yang diperkatakan.

Maka, katanya Umno mengalih pemikiran rakyat dengan menakutkan isu bankrap jika Pakatan Rakyat memerintah.

Beliau menamvbah, semua tawaran Pakatan Rakyat akan dilabelkan bankrap dengan harapan rakyat tidak beralih sokongan dan meninggalkan Umno.

“Apabila Pakatan Rakyat menjanjikan untuk hapus PTPTN, hapuskan tol, gaji minimum RM1100.00, menurun harga minyak, mengekalkan subsidi,” ujarnya lagi.

Maka, beliau menambah terdapat suara-suara sumbang mengatakan negara akan bankrap, termasuklah dari kalangan pensyarah yang menjadi pengampu kepada BN.

Apa yang pelik, kata Idris semua yang dilakukan oleh kerajaan BN tidak berani ditegur walaupun memudaratkan ekonomi negara dan membankrapkan negara walaupun mengenepikan prinsip ketelusan.

“Sebenarnya taktik pemimpin BN bermodalkan bankrap supaya rakyat lupa bahawa negara akan menjadi bankrap, kerana rekod pemerintahan Umno seperti barah di peringkat empat,” katanya.

Apa tidaknya, kata beliau hutang negara 53%, paras bahaya ialah 55%.

Tambahnya, hutang negara melonjak dari RM146 bilion pada tahun 2002, RM242 bilion (2006) dan RM456.1 bilion pada penghujung 2011 sementara wang Felda susut daripada RM4.08 bilion (2004) kepada RM1.35 bilion (2009).

Selain itu, katanya lagi saham Bumiputera RM52 bilion lesap, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu berharga RM292 juta runtuh, walaupun hanya setahun dibina, upah Apco Yahudi Israel RM77 juta setahun, RM589 juta hutang Tajudin dihapus kira, NFC sebanyak RM250 juta.

Beliau menambah, Laporan Ketua Audit Negara 2008 menyatakan berlaku ketirisan RM28 bilion, laporan Ketua Audit Negara 2006 pula melaporkan Kementerian Pertahanan membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) tanpa ada baucer.

Ini, tegasnya membuktikan bahawa negara akan bankrap jika BN terus berkuasa.

“Sedangkan tawaran PR untuk membantu rakyat dengan kita memerangi rasuah, perbelanjaan berhemah insya Allah negara selamat, rakyat mendapat rahmat,” ujarnya lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: