24 April 2012

Mangsa kemalangan minta bayaran insurans

2 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Mangsa kemalangan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB), di Kampung Pendek, Salor, yang mengalami patah tiga gigi dan cedera di bahagian muka, kecewa di atas tuntutan pampasannya terhadap sebuah syarikat insurans yang masih belum diterima setakat ini.

Norizan Jusoh, 49 berkata, akibat kemalangan itu, dia bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan, malah tidak dapat meneruskan pekerjaan menjahit baju.

“Kemalangan terbabit memberikan kesan trauma yang mendalam terhadap diri. Sudah lima bulan berlalu, namun usaha suami, berjumpa dengan pihak insurans terbabit yang beribu pejabat di Kuala Lumpur hanya sia-sia apabila pihak itu melengah-lengahkan bayaran pampasan,” katanya.

Norizan berkata, sebelum ini suaminya, Mohd Nazar Zaid, 42, membawa perkara terbabit ke peringkat atasan TNB dan pihak berkenaan cuba menyelesaikan perkara itu dengan merujuk kepada syarikat insurans itu yang di carumnya.

Menurutnya, insurans berkenaan dicarum untuk kakitangan dan orang awam yang terlibat dalam kemalangan berkaitan dengan syarikat berkenaan.

“Saya sudah serahkan laporan lengkap mengenai kemalangan itu termasuk laporan polis selain surat doktor. Namun sehingga kini syarikat terbabit tidak memberi sebarang jawapan dan kami harap mereka dapat memberikan penjelasan segera berhubung tuntutan ini,” katanya.

Pada 3 Disember lepas, Norizan cedera di bahagian muka, patah gigi dan beberapa bahagian badan akibat terlanggar kabel TNB yang merentangi jalan terbabit ketika membonceng motosikal bersama anaknya. Akibat kemalangan itu, Norizan menerima lebih lima jahitan di mulut dan masih mengalami kesan trauma.

Sinar Harian

Tiada ulasan: