29 Mei 2011

Sarjan ditangkap kerana guna tandas presiden

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



HARARE: Seorang anggota polis Zimbabwe berpangkat sarjan ditahan di sebuah balai polis selepas ditangkap kerana menggunakan sebuah tandas awam yang dikhususkan untuk Presiden Robert Mugabe.

Kejadian berlaku di Pameran Perdagangan Antarabangsa Zimbabwe di Bulawayo, barat negara itu baru-baru ini.

Menurut laporan radio tempatan, anggota polis terbabit, Mabhunu, bertugas pada hari Mugabe merasmikan pesta berkenaan.

“Kerana tidak tahan untuk membuang air, Mabhunu meluru ke tandas yang disediakan untuk Mugabe.

“Dia dihalang oleh pegawai yang menjaga tandas berkenaan. Bagaimanapun, dia tidak mempedulikan mereka dan memasukinya untuk melepaskan hajatnya,” lapor radio itu.

Peguam hak asasi manusia Zimbabwe, Beatrice Mtetwa membantah penahanan Mabhunu dengan berkata, tandas itu milik awam. 

AP

NATO terus bom Tripoli

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


SEORANG penyokong Muammar Gaddafi mengibar bendera Libya dan gambar Gaddafi di Tripoli.

TRIPOLI - Jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan udara pada waktu siang keatas ibu kota Libya di sini semalam selepas mengebom bandar raya berkenaan selama lima malam berturut-turut.

Serangan itu dilakukan untuk meningkatkan tekanan terhadap Muammar Gaddafi supaya berundur selepas 41 tahun beliau memerintah Libya.

Serangan waktu siang itu menyebabkan satu letupan kuat di sini tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia disebabkan oleh bom atau peluru berpandu.

Kelmarin, NATO mengebom beberapa kawasan di bandar raya ini terutamanya kompleks kediaman Gaddafi di Bab Al-Aziziah.

Dalam perkembangan berkaitan, NATO menyatakan, ia bersedia menghantar helikopter-helikopter tempur ke Libya bagi menghapuskan tentera Gaddafi yang masih setia.

"Terdapat tanda-tanda bahawa momentum terhadap Gaddafi kini semakin meningkat. Kami sedang memperhebatkan tekanan politik, ekonomi dan ketenteraan bagi memastikan beliau disingkirkan," kata Perdana Menteri Britain, David Cameron pada sidang kemuncak negara Kumpulan Lapan (G8) di Perancis.

Ketegasan Cameron dalam menangani krisis politik Libya turut disokong Presiden Rusia, Dmitry Medvedev yang menyatakan, Gaddafi tidak lagi berhak memerintah Libya.

NATO menguatkuasakan zon larangan terbang keatas Libya pada 24 Mac lalu bagi melindungi orang awam daripada menjadi mangsa serangan tentera Gaddafi.

Rakyat Libya bangkit menentang pemimpin berusia 68 tahun itu pada Februari lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi dan ekonomi. 

Reuters

10 tahun sorok mayat isteri

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


HILLSBOROUGH: Seorang pesara menyembunyikan mayat isterinya dalam peti sejuk selama 10 tahun, merahsiakan kematian wanita itu supaya dia boleh terus menuntut bayaran perlindungan sosialnya.

Hal itu terbongkar selepas Allan Dunn, 86, mati kerana membunuh diri dan mahkamah membenarkan seorang rakan memasuki apartmennya untuk menguruskan hal ehwal peninggalannya.

Carol Kingsbury yang mula berkenalan dengan lelaki tua itu beberapa tahun sebelum kematiannya, menemui mayat Margaret Dunn dalam peti sejuk dalam apartmen di Pusat Sun City, kawasan komuniti di Hillsborough County, Florida.

Gambar hiasan

Mayat itu sudah reput kerana bekalan alektrik diputuskan sejak sembilan bulan lalu selepas Dunn mati setelah menembak dirinya pada Ogos 2010.

“Dia tidak pernah memberi gambaran mengenai kewujudan mayat isterinya. Saya tidak menyangka dia akan berbuat demikian,” kata Carol.

Penyiasat percaya Margaret yang membeli apartmen itu pada 1994 mati akibat sakit biasa pada 2000.

Menurut jiran yang mengenali pasangan itu, Dunn memberitahu mereka bahawa Margaret berpindah ke sebuah pusat jagaan orang tua di timur laut Amerika Syarikat.

Tetapi, penyiasat percaya, dia menyembunyikan mayat Margaret dan berterusan mengambil bayaran keselamatan sosial isterinya daripada pihak berkuasa.

Pemeriksa perubatan Hillsborough County masih belum membuat pengecaman secara rasmi terhadap mayat berkenaan.

Bagaimanapun, bedah siasat awal yang dilakukan menunjukkan kematian wanita itu bukan berpunca daripada perbuatan jahat.

Dengan Dunn yang tidak mempunyai keluarga yang boleh dijejaki, apartmennya kekal kosong sehingga minggu lalu apabila Carol, dan adiknya, Ellen Miller, yang menjaga Dunn sejak dua tahun lalu diberikan kebenaran untuk memasuki rumah itu. 

Agensi

'Tak sabar cuba bidang baru'

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



PARIT: “Saya akhirnya ‘dilamar’ tetapi bukan daripada jejaka untuk dipinang, sebaliknya tawaran berlakon dalam sebuah telefilem,” kata ratu miming, Roshida Abd Aziz, 30, (gambar) atau dikenali sebagai Cikgu Shida yang kini popular di kalangan pelayar Internet tempatan apabila klip video miming diciptanya meraih populariti luar biasa selepas ditayangkan di laman web Youtube.

Cikgu Shida yang masih bujang dilamar sebuah syarikat perfileman baru-baru ini untuk berlakon dalam sebuah telefilem bertajuk ‘Cikgu Shida Cari Jodoh’ yang bakal ditayangkan pada Aidilfitri depan.

Telefilem 90 minit itu akan memulakan penggambaran Jumaat ini, dan paling menarik, Cikgu Shida akan tampil sebagai pelakon utama.

Cikgu Shida yang ditemui di kediamannya di sini semalam berkata, dia menerima tawaran itu dan menganggap ia rezeki buatnya, malah tidak sabar-sabar mahu mencuba bidang baru itu.

“Tajuknya menarik... Cikgu Shida Cari Jodoh, malah saya difahamkan telefilem itu berkisar mengenai seorang cikgu wanita yang gila-gila selain turut menyelitkan kisah suka duka dan kehidupan seorang cikgu.

“Ini mungkin rezeki baru saya dan ‘lamaran’ ini cukup untuk mengubat segala duka saya sepanjang terbabit dalam hobi berkenaan. Saya mengakui tidak sabar-sabar mahu mencuba lapangan (telefilem) baru yang lebih mencabar itu,” katanya.

Katanya, dia tidak menyangka perangai gila-gilanya yang dipaparkan dalam klip miming itu menarik minat sebuah syarikat perfile man, seterusnya mengabadikannya di layar perak.

Cikgu Shida berkata, cubaannya menampilkan pelbagai ekspresi muka dan gaya serta solekan dan serta berlatarbelakangkan barangan terpakai yang dibuat untuk suka-suka akhirnya diterima masyarakat.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam bidang seni itu, guru Bahasa Inggeris Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Padang, Bota Kiri itu berkata, dia pernah dicerca, dihina dan tidak kurang dianggap menghidap sakit mental.

“Saya mengambil semua tohmahan itu sebagai sesuatu yang positif dan ia tidak melemahkan hasrat saya untuk mencari hiburan tersendiri, di samping berkongsi pengalaman bersama rakan di Facebook,” katanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, setakat ini keluarganya tidak kisah dengan hobinya kerana mereka sudah ‘masak’ dan faham perangai ‘gila-gila’nya. 

“Begitu juga rakan sejawatan, malah mereka memahami jiwa dan watak saya yang suka mencari kelainan,” katanya.

Cikgu Shida satu-satunya anak perempuan pasangan pesara tentera, Abd Aziz Shafie, 73, dan Latifah Ramli, 63, dan faktor itu mungkin menjadi kekuatan utama untuk dia menyerap semua tekanan dihadapi.

Terkini, klip mimingnya bertajuk ‘Kalau Berpacaran’ nyanyian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali yang dimuat turun melalui laman Facebook menghampiri dua juta pelawat sejak lima bulan lalu.

Malah, miming itu juga menarik hampir 10,000 ahli daripada pelbagai bangsa dan keturunan, selain mendapat pujian rakannya di luar negara termasuk Britain, Amerika Syarikat dan Australia.

Rugi RM60,000

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Akibat terlalu ghairah mendapat keuntungan sekelip mata, seorang peniaga dan bekas nelayan sanggup menjual bot miliknya sebelum wang itu dilaburkan terhadap sebuah syarikat yang dikaitkan dengan kes penipuan skim cepat kaya dan penyelewengan wang mencecah RM200 juta sejak tiga tahun lalu.

Amir Sahat, 47, berkata dia kerugian RM60,000 dan wang itu kononnya dilaburkan bersama syarikat milik seorang ‘lebai’, turut dikenali sebagai ‘Ustaz Harun’ yang didakwa menjalankan perniagaan besar dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkapalan. 

“Konco ‘ustaz’ berkenaan bergerak di seluruh negeri pantai timur dan utara dengan bernaung di bawah nama sebuah persatuan. Saya pernah menghadiri satu program yang mereka adakan di Stadium (Sultan Mohammed Ke-IV) sekitar 2008. 

“Lagak mereka memang seperti ahli perniagaan hebat, mereka turut menjanjikan pulangan berlipat kali ganda jika melaburkan wang bersama syarikat ‘ustaz’ berkenaan,” katanya.

Amir yang berasal dari Kedah berkata, mulanya dia melabur RM20,000 dan setiap minggu menerima pulangan RM130 sebagaimana dijanjikan syarikat berkenaan sebagai jumlah keuntungan bulanan.

Mesir buka semula pintu sempadan Rafah

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


SEORANG anggota polis Hamas memeriksa pasport seorang penduduk Palestin di lintasan Rafah, selatan Genting Gaza semalam.

RAFAH, Wilayah Palestin - Lebih 1.5 juta penduduk Genting Gaza boleh menarik nafas lega selepas Mesir semalam membuka lintasan Rafah yang bersempadan dengan wilayah Palestin berkenaan. Ia sekali gus membolehkan orang ramai bebas melakukan perjalanan setelah wilayah itu dikepung sejak empat tahun lalu, kata seorang wartawan agensi berita AFP.

Antara yang pertama melintasi pos sempadan itu termasuk dua buah ambulans yang membawa pesakit dari Genting Gaza untuk mendapatkan rawatan di Mesir selain sebuah bas mini yang membawa 12 pelawat.

Menteri Luar Mesir Nabil Al-Arabi bersetuju untuk membuka semula lintasan Rafah susulan proses perdamaian pergerakan Fatah dan kumpulan Hamas yang bersengketa pada 2006.

Keputusan tersebut dibuat mengurangkan kesengsaraan penduduk Palestin akibat sekatan Israel ke atas Genting Gaza.

Lintasan Rafah yang merupakan satu-satunya pos sempadan yang tidak dikawal Israel akan dibuka kepada orang ramai untuk tempoh lapan jam sehari melainkan Jumaat dan cuti umum.

Namun, barangan tidak dibenarkan dibawa melintasi sempadan tersebut.

Lintasan tersebut ditutup pihak berkuasa Mesir pada Jun 2007 selepas Hamas menguasai Genting Gaza dan hanya dibuka beberapa kali bagi tujuan kemanusiaan.

Umno kembalikan ciri-ciri pemerintahan Firaun – Anwar

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



MUAR: Sistem amalan Umno Barisan Nasional (BN) kian menyimpang dari landasan Islam apabila menghidupkan kembali ciri-ciri masyarakat Jahiliah yang menyamai corak pemerintah Firaun, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Fitnah bukan sahaja dibiar, tetapi dipertahankan. Ini sebahagian kita tidak percaya, bila fitnah dipertahankan, sistem itu rosak. (Ini) ciri masyarakat jahiliah.

“Kita tidak kata sekarang ini (zaman) jahiliah tapi ada orang berilmu guna media pertahankan fitnah.  Ini sistem apa? Ini bukan sistem Islam. Ini sistem yang kita tolak yang disebut berulang kali oleh ulama besar yang menyifatkan Islam bukan pada slogan, bukan pada Umno,” kata Ketua Umum KEADILAN itu di Markaz PAS Parit Pechah, Muar.

Anwar berkata, ciri-ciri pemerintahan Firaun tidak ubah seperti corak regim Umno apabila sanggup mengenepikan undang-undang dan berlagak seperti Tuhan.

“Ada ciri Firaun. Firaun cakap kamu bicara apa yang aku mahu. Kamu mesti kata apa yang aku sebut. Hakim juga ikut Firaun, bukan undang-undang, polis juga ikut perintah Firaun. Ini ciri-ciri orang Umno.

“Siapa yang jahat, bunuh orang, zalim pada orang, buat cerita lucah, fitnah orang, aibkan orang, kes bunuh tutup, rasuah tutup, bodohkan rakyat, (maka) saya kata siapa yang politik begini, ‘pandikutty’,” katanya.

Justeru, Anwar berkata, beliau mahu mengetuai gerakan rakyat untuk menumpaskan riwayat Umno yang hanya terus-terusan memperbodoh Melayu dan umat Islam, sekian lama.

“Kita lawan orang zalim, kita lawan sistem zalim. Memperbodohkan rakyat – itu saya tolak dan tentang.

“Bagaimana parti yang memerintah sanggup berbuat begini? Umno memperbodohkan umat. Media dipergunakan untuk menutup kesalahan Umno, semua yang dilaporm, kebaikan Umno,” katanya.

Saintis Afrika Selatan temui lipas melompat

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


CAPE TOWN - Sekumpulan saintis Afrika Selatan menemui spesies baru lipas yang boleh melompat seperti belalang, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Serangga itu yang tidak diketahui kewujudannya sebelum ini ditemui melompat di dalam semak di Taman Negara Table Mountain dekat sini.

LIPAS melompat yang ditemui di Cape Town, Afrika Selatan.

Ia tersenarai dalam 10 spesies utama dan terbaru yang ditemui pada tahun ini.

"Lipas ini memiliki kaki belakang panjang dan sofistikated untuk membolehkannya melompat tinggi ke udara," kata seorang saintis yang membuat penemuan tersebut, Mike Picker.

Dia dan rakannya, Jonathan Colville menemui lipas ganjil sepanjang 1.27 sentimeter itu pada 2006 dan mengkaji serangga tersebut di makmal mereka di sini. 

Agensi

Kes cerai pasangan Islam meningkat

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR - Jumlah pasangan Islam yang bercerai menunjukkan peningkatan yang membimbangkan iaitu daripada 22,289 kes sepanjang tahun 2008 kepada 27,116 kes pada tahun lalu.

Pada masa yang sama, jumlah kes perceraian pasangan bukan Islam menurun kepada hanya 3,633 kes pada 2008 berbanding 2,938 kes tahun 2009.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie berkata, data yang terkumpul itu bagaimanapun tidak mencerminkan realiti memandangkan ada kes perceraian yang tidak didaftarkan.

"Ada pasangan yang berpisah atau bercerai tetapi oleh kerana sebab-sebab tertentu, mereka tidak mendaftarkan perceraian itu,'' katanya di sini semalam.

Sean Kie menjelaskan, kerajaan melalui kementeriannya telah mengambil inisiatif menggubal Dasar Keluarga Negara (DKN) pada Mac lepas bagi memantapkan lagi institusi kekeluargaan di negara ini.

Kata beliau, DKN merupakan panduan utama kepada semua pihak supaya mengarusperdanakan perspektif keluarga dalam perundangan, dasar, prosedur, peraturan dan program pembangunan secara keseluruhan.

Peserta PLKN Lahirkan Bayi?

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KOTA BHARU: Seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menggemparkan pengurusan Kem Cancun Park, Pasir Mas, selepas melahirkan bayi perempuan di kawasan kem itu pada petang Khamis lalu, ditahan reman seminggu sehingga 2 Jun depan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, tindakan menahan suspek berusia 18 tahun itu dilakukan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ)bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Susulan aduan diterima, polis menahan reman suspek bermula kelmarin hingga 2 Jun. Tindakan itu susulan kejadian penemuan mayat bayi perempuan di luar pagar kem itu, petang kelmarin.

“Ketika ini suspek di bawah pengawasan polis dan ditempatkan di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII). Pada masa sama, kenyataan akan diambil daripada teman lelaki suspek serta ahli keluarganya,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar bahawa tidak sampai dua minggu sejak mengikuti PLKN, seorang pelatih perempuan menggemparkan pengurusan Kem Cancun Park apabila melahirkan bayi perempuan di kawasan kem itu, petang Khamis lalu.

Difahamkan, rahsia pelajar terbabit terbongkar apabila dia dirujuk pihak pengurusan kem itu ke Hospital Pasir Mas kerana mengadu sakit perut sebelum pemeriksaan doktor mengesahkan remaja itu baru melahirkan bayi.

Berikutan maklumat itu, usaha menjejaki bayi dilakukan sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan bogel dan bertali pusat di belakang kawasan asrama pelatih perempuan kem itu.

Laporan polis dibuat kira-kira jam 4 petang, sebelum sepasukan anggota polis melakukan siasatan ke atas mayat bayi dan menghantarnya ke bilik mayat hospital sama untuk bedah siasat.

Mazlan berkata, bayi itu cukup bulan dan lengkap sifatnya ditemui jam 4.15 petang.

“Proses menuntut mayat diserahkan kepada pihak hospital mengikut prosedur ditetapkan,” katanya yang mendedahkan suspek adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berasal dari Tanah Merah.

Mayat Rentung

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


GOMBAK - Keprihatinan seorang pemandu lori yang melihat sebuah kereta jenis Proton Waja yang terbakar, membongkar satu kes pembunuhan kejam membabitkan seorang individu yang mayatnya ditemui rentung dalam kejadian di Kilometer 20, Jalan Kuala Lumpur-Rawang di sini semalam.

R. Sivaraman, 40, memberitahu, dia menemui kereta itu pada pukul 12.45 tengah hari ketika melalui jalan tersebut untuk ke tempat kerjanya di sebuah kilang perabot tidak jauh dari lokasi kejadian.

ANGGOTA polis memeriksa mayat dan kereta Proton Waja yang rentung di Gombak

Katanya, dia musykil kerana apabila ditinjau dari atas lori, dia mendapati ada satu objek seperti tulang manusia di tempat letak kaki penumpang belakang kereta yang telah hangus tersebut.

"Saya terus menghubungi rakan yang bekerja di Balai Polis Gombak dan menceritakan apa yang telah saya saksikan sebelum meneruskan perjalanan ke kilang.

"Bagaimanapun, sebaik saja melalui semula kawasan itu enam jam kemudian, saya dapati kereta tersebut masih berada di situ dan seolah-olah tiada tanda yang polis telah datang membuat pemeriksaan," katanya.

Tambahnya, dia kemudian menghubungi semula rakannya untuk memaklumkan penemuan mayat yang telah rentung itu.

Jatuhnya Putrajaya bukan kerana berhimpun

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 29 Mei: Jatuhnya Putrajaya yang dikuasai BN sekarang bukan disebabkan berhimpun tetapi kerana penjumlahan undi yang lebih popular kepada Pakatan Rakyat yang akan disaksikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Sehubungan itu, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim melahirkan rasa terkejut dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa golongan belia Malaysia supaya membantunya mempertahankan Putrajaya agar BN terus berkuasa ketika melancarkan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 yang hanya dihadiri sekitar 8,000 belia sahaja, semalam.

Katanya, ucapan Najib tersebut menjelaskan lagi apa yang beliau dakwa dalam kenyataannya kelmarin bahawa pemimpin BN sangat resah, gelisah dan semacam tidak boleh tidur nyenyak memikirkan kuasa yang dimiliki di Putrajaya bakal hilang.

Baginya, perhimpunan yang ternyata gagal dari segi jumlah kehadirannya itu ternyata digunakan sepenuhnya Najib dan timbalannya untuk melahirkan perasaan resah dan gelisah kepada kuasa yang bakal hilang.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, sungguh malang program yang sudah berbulan dirancang dan dicanang oleh pemimpin BN serta mendapat liputan media cetak dan elektronik itu hanya dihadiri seramai itu.

“Maka adakah benar-benar mencerminkan sokongan golongan belia terhadap kerajaan dan mermbenarkan mereka tidak sanggup melihat Putrajaya, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat seperti yang dilaungkan Najib dalam ucapannya?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kerana itu beliau meyakini bahawa para belia akan bersama Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan BN dalam PRU 13 nanti.

Oleh itu, beliau sangat menghargai sikap matang para belia pada masa kini untuk bersama seluruh rakyat malaysia bagi menyelamatkan negara yang disayangi ini.

“Lucunya Najib cuba merujuk kepada bantahan pro-demokrasi yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat seperti di Mesir dan Tripoli dengan katanya Malaysia aman dan stabil dalam keadaan dia menimbulkan suasana tidak aman dan tenteram dengan mengapi-apikan rasa benci kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Tambahnya, sangat malang bagi sebuah negara yang cuba merosakkan para belia dengan perhimpunan untuk mempertahankan sebuah kerajaan yang penuh dengan penyelewangan dan dasar yang menindas rakyat.

“Tetapi saya ingatkan di luar sana adalah para belia yang tidak akan berhimpun seperti di Asia Barat tetapi mereka akan berhimpun di pusat pengundian dalam PRU 13 akan datang bagi jatuhkan kerajaan BN.

“Saya tegaskan bahawa Najib dan para belia yang berhimpun bersamanya di Putrajaya kelmarin pasti tidak dapat menghalang Pakatan Rakyat ke Putrajaya kerana Putrajaya tidak akan dapat dipertahankan walaupun sejuta belia yang hadir dengan cara berhimpun,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Sebelum ini, katanya pada perhimpunan agung tahunan Umno tahun lalu, Najib juga bercakap nada yang sama meminta ahli Umno bersamanya mempertahankan Putrajaya dengan katanya "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa, saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan".

Beliau berkata, lucunya Najib mendakwa bahawa para belia tidak sanggup melihat Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dengan tuduhan jahat kononnya Pakatan Rakyat akan melelong Putrajaya.

Baginya, itu satu dakwaan yang dilihat sebagai kegelisahan tahap maksimum seorang pemimpin yang akan bertahan sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal sahaja, sesuai dengan slogan 1Malaysia yang dibawanya.

“Ternyata kalau kita amati gelagat Najib sejak akhir-akhir ini menunjukkan tanda-tanda kegusaran yang serius dan  tidak pernah dialami oleh pemimpin Umno sebelum ini.

“Beliaulah satu-satunya pemimpin BN yang dilihat terbukti sedang bergelut dengan suasana sangat getir bagi mempertahankan kuasa BN yang telah melewati 50 tahun itu,” katanya.

Justeru, Khalil tidak dapat membayangkan apakah ucapan dan tindakan lain yang akan dilakukan oleh seorang yang disifatkan ‘gila kuasa’ dan sedang melakukan untuk mempertahankan kuasa.

Barcelona juara terulung

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



WEMBLEY, England 29 Mei - Lionel Messi dan David Villa memastikan Barcelona merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara dengan mengalahkan Manchester United 3-1 pada perlawanan akhir pagi ini

Walaupun Manchester United berjaya mengikat Barcelona dengan 1-1 apabila Wayne Rooney menyamakan kedudukan pada minit ke-34 selepas Pedro Rodriguez menjaringkan gol pendahulu pada minit ke-27.

Sebaik separuh masa kedua berjalan Messi hanya mengambil masa sembilan minit meletakkan kembali Barcelona di hadapan dan gol jaringan Villa pada minit ke-70 mengesahkan kemenangan Barcelona. 

AP

Najib berhimpun pertahan Putrajaya, rakyat cuma undi PR untuk jatuhkan BN.

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA
Pejabat Ketua Penerangan PAS Perak.

Saya sangat terkejut dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa golongan belia Malaysia supaya membantunya mempertahankan Putrajaya agar BN terus berkuasa ketika melancarkan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 yang hanya dihadiri sekitar 8000 belia sahaja.Ucapan Najib tersebut menjelaskan lagi apa yang saya dakwakan dalam kenyataan saya kelmarin bahawa pemimpin BN sangat resah , gelisah dan semacam tidak boleh tidur nyenyak memikirkan kuasa yang dimiliki di Putrajaya bakal hilang.

Pehimpunan yang ternyata gagal dari segi jumlah kehadirannya itu ternyata digunakan sepenuhnya najib dan timbalannya untuk melahirkan perasaan resah dan gelisah kepada kuasa yang bakal hilang.

Sungguh malang program yang sudah berbulan dirancang dan dicanang oleh pemimpin BN serta mendapat liputan media cetak dan elektronik itu hanya dihadiri seramai itu . Maka adakah benar-benar mencerminkan sokongan golongan belia terhadap kerajaan dan mermbenarkan mereka tidak sanggup melihat Putrajaya, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat seperti yang dilaungkan

Najib dalam ucapanya? .Kerana itu saya menyakini bahawa para belia akan bersama Pakatan Rakyat bagi jatuhkan BN. Oleh itu saya sangat menghargai sikap matang para belia pada masa kini untuk bersama seluruh rakyat malaysia bagi menyelamatkan negara yang kita sayangi ini.

Lucunya Najib cuba merujuk kepada bantahan pro-demokrasi yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat seperti di Mesir dan Tripoli dengan katanya Malaysia aman dan stabil dalam keadaan dia menimbulkan suasana tidak aman dan tenteram dengan mengapi-apikan rasa benci kepada Pakatan Rakyat.Sangat malang bagi sebuah negara yang cuba merosakkan para belia dengan perhimpunan untuk mempertahankan sebuah kerajaan yang penuh dengan penyelewangan dan dasar yang menindas rakyat.

Tetapi saya ingatkan diluar sana adalah para belia yang tidak akan berhimpun seperti di Asia Barat tetapi mereka akan berhimpun dipusat pengundian dalam PRU 13 akan datang bagi jatuhkan kerajaan BN.

Saya tegaskan bahawa Najib dan para belia yang berhimpun bersamanya di Putrajaya kelmarin pasti tidak dapat menghalang Pakatan Rakyat ke Putrajaya kerana Putrajaya tidak akan dapat dipertahankan walaupun sejuta belia yang hadir dengan cara berhimpun.

Jatuhnya putrajaya bukan disebabkan mampu mereka berhimpun tetapi kerana penjumlahan undi yang lebih populer kepada Pakatan Rakyat yang akan kita saksikan dalam PRU akan datang.

Sebelum ini pada perhimpunan agung tahunan Umno tahun lalu, Najib juga bercakap nada yang sama meminta ahli Umno bersamanya mempertahankan Putrajaya dengan ketanya "Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!"

Lucunya Najib mendakwa bahawa para belia tidak sanggup melihat Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dengan tuduhan jahat kononnya kami akan melelong Putrajaya.Satu dakwaan yang saya lihat sebagai kegelisahan tahap maksimum seorang pemimpin yang akan bertahan sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal sahaja, sesuai dengan slogan 1Malaysia yang dibawanya.

Ternyata kalau kita amati gelagat najib sejak akhir-akhir ini menunjukkan tanda-tanda kegusaran yang serius dan tidak pernah dialami oleh pemimpin UMNO sebelum ini. Beliaulah
satu-satunya pemimpin BN yang dilihat terbukti sedang bergelut dengan sausana sangat getir bagi mempertahankan kusas BN yang telah melewati 50 tahun itu.

Saya tidak dapat bayangkan apakah ucapan dan tindakan lain yang akan dilakukan oleh seorang yang saya sifatkan "gila kuasa" dan sedang melakukan untuk pertahankan kuasanya.

Kenyataan Media,
DRS. KHALIL IDHAM LIM,
PARIT BUNTAR, 29 Mei 2011