17 April 2009

MASIHKAH KAU INGAT ?

MASIHKAH KAU INGAT? Siapakah yang membela nasib seorang gadis MELAYU di Melaka tetapi yang tukang membela kena penjara...Dah jadi Ketua Menteri tukang belatu..TAK MALUkah UMNO yang konon bela MELAYU? Saya puji inilah sifat pejuang yang tetap berjuang tanpa mengira bangsa.

UMNO? MASIHKAH KAU INGAT? Media kata negeri Kelantan mundur dan ramai rakyat kebuluran sewaktu PAS berjaya merampas kembali Kelantan. Cuba datang sendiri Kelantan sekarang terutama sewaktu cuti sekolah, nescaya semua hotel penuh. Saya pernah mengalaminya dan akhirnya tidur rumah tumpangan sahaja.Untuk bercuti bulan 6nipun kebanyakan hotel dah penuh terutama yang 4 dan 5 bintang TETAPI dalam tv asyik kata Kelantan tertinggal dengan arus pembangunan.

MASIHKAH KAU INGAT? Apa yang dikatakan oleh pengerusi jentera pilihanraya BN Kelantan ketika pilihanraya umum tahun lepas. "Kepada yang menyokong BN,kita jangan leka walaupun kita diambang kemenangan untuk menakluk kembali Kelantan,teruskan usaha kita kuatkan jentera kita..." Bila keputusan pilihanraya keluar muka pengerusi itu diam seribu bahasa kerana BN menang sorak sahaja.

Kepada rakyat Melaka, MASIHKAH KAU INGAT? Siapakah yang merampas kedamaian pantai Rombang Melaka hingga tesergam Petronas di sana?

Kepada pengundi-pengundi Parlimen Bukit Gantang yang lepas. MASIHKAH KAU INGAT? Siapakah yang menabur wang sewaktu berkempen? Siapakah yang memberi anak ayam pada orang kampung? Siapakah yang memberi anak ikan keli? Siapakah yang memberi helmet percuma? Siapakah yang memberi basikal percuma? NAMUN, ada juga orang Melayu yang lupa...Semoga gambar di atas membuatkan orang Melayu kita ingat kembali kepada sejarah MALAYSIA..

ANAK KOMANDO REJIMEN 1

Hukum orang bukan Islam membaca Al Quran.

Hj Mohd Surur Hj Mohd Ghazali

Berkaitan isu ini, Ustaz Azmi Ahmad berpendapat ulama-ulama silam dalam fatwa mereka lebih terbuka dan berpandangan jauh, berbanding sesetengah golongan yang mendakwa kononnya mereka bertamadun (hadari) tetapi sebenarnya jumud fikiran. Mereka sepatutnya menampilkan islam kepada orang bukan islam dengan gaya yang ramah, bukan dengan nada yang marah. Mendekatkan mereka kepada islam bukan menjauhkan mereka daripada islam.

Ustaz Azmi Ahmad memetik beberapa pendapat ulama-ulama silam yang bermazhab Syafii berkenaan hukum orang kafir membaca al-Quran. Fatwa-fatwa mereka ini boleh dimanfaatkan untuk bertujuan dakwah terhadap non-muslim pada masa kini.

Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbini menjelaskan:

"Adapun orang kafir, maka dia tidak ditegah daripada membaca al-Quran, kerana dia tidak beriktikad tentang haramnya perbuatan demikian, sebagaimana kata al-Mawardi" (Mughni al-Muhtaj, jilid 1 halam 72)

Pengarang kitab I'ana al-Talibin telah memetik keterangan dari kitab Busyra al-Karim seperti berikut:

"maka tidak ditegah orang kafir daripada membaca al-Quran, jika dia tidak bersikap menentang dan diharap dia akan memeluk islam" (I'anah al-Talibin, jilid 1 halaman 85)

Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkata:
"dan hanyasanya ditegah kafir daripada menyentuh mashaf kerana haram menyentuh dia itu terlebih muakkad dengan dalil haram menanggung dia serta hadas dan haram menyentuh ia dengan najis bersalahan dengan membaca Quran kerana harus membaca dia serta hadas dan harus membaca dengan mulut yang kena najis" (Sabil al-Muhtadin, jilid 1, halaman 112)

Syeikh Daud al-Fatani berkata:
"dan keluar dengan kata muslim orang kafir maka jangan ditegahkan dia daripada membaca Quran kerana tiada iktikad akan haramnya tetapi jika kita harap akan islamnya" (Bughyah al-Tullab, jilid 1, halaman 49)

Datuk Ngeh : Keputusan Mahkamah Tidak Mengakhiri Krisis Perak

Menurut Dato' Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Negeri Perak, krisis Perak belum berakhir lagi. Menurutnya, walaupun Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan bahawa tindakan Speaker Perak menggantung Zambry dan kuncu-kuncunya tidak sah, ia tidak membawa apa-apa makna yang mengikat.

Mahkamah juga tidak membuat apa-apa keputusan mengenai 'Persidangan Bawah Pokok' yang dibuat pada 3 Mac 2009. Dalam persidangan itu, keputusan Jawatankuasa Hak & Kebebasan untuk menggantung 7 orang ahli Dewan Negeri itu telah diterima dan diluluskan.

Keputusan Mahkamah Persekutuan menimbulkan lebih banyak keraguan kerana ianya telah campurtangan dalam prosiding Dewan Negeri.

Menurutnya lagi, apa sahaja keputusan yang dibuat pada hari ini boleh diabaikan oleh Dewan Negeri kerana ia hanya merupakan satu deklarasi dan bukannya mandamus atau certiorari. Beliau menegaskan bahawa deklarasi itu hanyalah pendapat yang tidak menguatkuasakan tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Dewan Negeri mempunyai undang-undang tersendiri. Undang-undang itu hanya boleh ditafsirkan oleh Speaker. Samada Speaker bertindak secara betul ataupun tidak, hanya dewan sahaja yang boleh membincangkan hal ini melalui usul yang dibawa. Keputusan Speaker hanya boleh dicabar dalam Dewan itu sendiri.

Dato' Ngeh juga mengatakan bahawa Mahkamah telah mentafsir kuasa -kuasa Speaker, adalah tidak baik jika Dewan Negeri juga memberi pendapatnya mengenai keputusan-keputusan Mahkamah. Beliau mengatakan bahawa deklarasi yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan adalah 'akademik dan tidak perlu'.

Suara perak.

Keputusan-Keputusan Tuan Speaker

Disini saya ingin membawa kepada perhatian semua mengenai kuasa Speaker yang terkandung dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Peritah-perintah Tetap (Standing Orders) merupakan undang-undang atau peraturan-peraturan yang digunapakai oleh Dewan Undangan Negeri. Ia diluluskan oleh Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan, dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak yang Ketujuh pada 23 Mac 1988, menurut Kertas Dewan Bil. 11/88 dan berkuatkuasa mulai 1 Mei 1988.

Perintah Tetap 89 : Keputusan Tuan Speaker berkenaan dengan sebarang tafsiran dalam mana-mana Perintah-perintah Tetap ini atau berkenaan dengan sebarang amalan tertakluk kepada usul yang dibawa dengan maksud itu, adalah muktamad, dan Tuan Speaker, dari semasa ke semasa, boleh mengeluarkan keputusan-keputusan berkenaan dengan perkara-perkara ini.

Bukankah perintah tetap ini memberi kuasa muktamad kepada Speaker untuk mentafsir kandungan keseluruhan Perintah-perintah Tetap. Hanya Speaker sahaja yang berhak mentafsir Perintah-perintah Tetap. Pihak lain tidak mempunyai kuasa langsung dalam memberi pentafsiran undang-undang Dewan Negeri.

http://speakforperak.blogspot.com/

Keputusan yang sememangnya dirancang ?

Pada 9 April yang lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengisytiharkan bahawa tiga wakil rakyat bebas negeri Perak iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) masih kekal sebagai penyandang kerusi tersebut.

Kelmarin (16/4), Mahkamah yang sama telah membuat keputusan bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang lain daripada menghadiri sidang DUN.

Kedua-dua keputusan tersebut dibuat menjelang tamatnya tarikh akhir sidung Dun Perak sepatutnya bersidang. Bagaikan memang dirancang dari awal.

Ianya dilihat bagaikan satu usaha daripada kerajaan BN Perak untuk membolehkan mereka bersidang bagi mengekalkan kuasa di negeri Perak.

Dengan kedua-dua keputusan yang diperolehi, kesemua adun bn dan bebas dapat bersatu di dalam dewan sidang dun bagi mengusulkan satu undi tidak percaya terhadap Menteri Besar DS Nizar.

Diketika penyokong-penyokong Pakatan Rakyat terutamanya Pas sedang berura-ura serta membilang hari menunggu tarikh akhir dun sepatutnya bersidang dan bersiap-sedia untuk menghadapi pilihanraya negeri, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sedikit membantutkan perancangan tersebut dan membawa episod pembubaran dun ke babak yang baru.

Ternyata umno dan bn tidak sanggup menghadapi pilihanraya apatah lagi pilihanraya negeri yang bakal menguburkan mereka di negeri Perak.

Bahang kekalahan teruk mereka di Bukit Gantang masih terasa malah persoalan kepada kekalahan tersebut juga belum berjawab.ajijoi.

Sidang DUN Perak pada 7 Mei ?

Cina Islam.

Menurut sumber yang boleh dipercayai bahawa Sidang DUN Penggal ke 2 Dewan Negeri Perak Ke 12 dijangka diadakan pada 7 Mei ini dengan dirasmikan oleh Sultan Perak. Notisnya dijangka akan dikeluarkan hari ini kepada semua ADUN Perak.

Persidangan itu diadakan dalam keadaan Speaker dan MB Perak yang masih sah sedang menghadapi krisis perlembagaan dan menyeret perkara itu dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.

Walaupun secara dasarnya sebelum dari ini setiap keputusan Speaker DUN dan Dewan Rakyat tidak ada siapapun mencabarnya. Ini didorong oleh peruntukan undang-undang yang jelas menyatakan keputusan Speaker tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Dalam Perlembagaan Persekutuan dibawah tajuk : Keistimewaan Dewan Negeri.
1.Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah.
2. Tiada seseorangpun boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua pembicaraan dalam mana-mana mahkamah mengenai apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberi olehnya apa bila mengambil bahagian dalam perjalanan mana-mana dewan negeri atau mana-mana jawatankuasanya.

Inilah satu-satunya jalan yang masih ada kepada UMNO dan BN untuk menghalalkan kerajaan haramnya. Meliputi menghalalkan MB dan Exco dan segala tindakannya "mencuri" kuasa di Perak. Institusi mahkamah dan kehakiman di "perkudakan" semaksima mungkin.

Perlu diingatkan Speaker masih lagi berkuasa di dalam menentukan segala hal yang berkaitan dengan sidang DUN tersebut, walaupun Zambry dan exconya sudah mendapat keputusan mahkamah, tidak ada siapapun termasuk mahkamah boleh menghalang speaker membuat keputusan baru ?

Kalau bermain bola mungkin Zambry sudah dapat merampas bola "sidang", namun kena ingat pengadilnya "speaker" adalah masih V.Sivakumar.

Nizar calon naib presiden PAS, Husam cabar Nasharuddin

Abdul Rahim Sabri

dikemaskini Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, yang baru menang di Bukit Gantang, kini antara calon popular untuk jawatan naib presiden PAS.

Manakala Datuk Husam Musa pula ingin diangkat sebagai pemimpin nombor dua parti itu, menggugat kedudukan timbalannya sekarang Nasharuddin Mat Isa.

Menteri besar Pakatan Rakyat itu melonjak popularitinya susulan krisis politik di Perak dan kemenangannya di kerusi parlimen tersebut, menyerlahkan lagi ketokohannya di mata akar umbi PAS.

Manakala Husam, naib presiden PAS dari Kelantan, pula ingin dinaikkan bagi menguatkan suara penyokong aliran pro-Pakatan Rakyat dan sekali gus menolak sebarang bentuk rundingan dengan Umno, termasuk kerajaan campuran yang disuarakan oleh presidennya.

Bagaimanapun kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang - pemimpin teratas yang mewakili suara pro-rundingan dengan Umno - setakat ini belum lagi dicabar.

Seorang lagi pemimpin terkanan PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang sering bertentangan pendapat dengan Abdul Hadi, enggan mengulas jika jawatan-jawatan teratas termasuk presiden dicabar.

Walaupun awalnya bimbang persaingan sengit boleh memudaratkan parti itu, mursyidul am PAS kemudian kelihatan mengubah pendiriannya - kini memberi kebebasan kepada ahli membuat pilihan, termasuk menolak pemimpin yang dirasakan tidak lagi diperlukan parti itu.

"Saya tak nak sebut apa-apa, nanti pengaruhi orang lain pula, biar saya senyap-senyap sudahlah. (Tetapi) kalau barang perlu diubah, ubahlah," Nik Aziz dipetik berkata awal minggu ini.

PAS akan mengadakan pemilihan dan muktamar ke-55 awal Jun ini di Stadium Malawati, Shah Alam. Mesyuarat peringkat kawasan dan tiga sayap utama - Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama - akan berakhir bulan depan.

Pertembungan dua aliran

Persidangan tahun ini juga bakal menyaksikan pertembungan lebih sengit dua aliran utama parti itu - pro-muzakarah dengan pro-Pakatan (atau "kumpulan Erdogan") - yang mengundang perdebatan hangat sejak muktamar di Ipoh, tahun lalu.

Tinjauan Malaysiakini di kalangan beberapa pemimpin di Pahang, Selangor, Kelantan dan Kedah mendapati bahawa mereka meramalkan aliran pro-muzakarah akan mengharungi jalan sukar sekiranya wujud pertandingan di peringkat jawatan tertinggi parti.

Mesyuarat kawasan-kawasan di negeri-negeri tersebut cenderung menaikkan pemimpin beraliran pro-Pakatan, selain mencalonkan tokoh-tokoh yang tidak pro-muzakarah, termasuk ingin mempertahankan naib presiden sekarang, Mohamad Sabu.

Tokoh-tokoh yang dilihat cenderung kepada pro-muzakarah "semakin tidak popular" dan "susah mendapat pencalonan" untuk bertanding jawatan-jawatan tertentu pada pemilihan Jun ini, kata seorang pemimpin PAS Pahang.

Majoriti 14 kawasan di negeri itu menolak sebarang usaha muqabalah PAS-Umno, katanya yang enggan dikenali.

Tambahnya, PAS negeri "tidak mempunyai masalah" dengan PKR dan DAP, apatah lagi pesuruhjayanya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Nik Aziz, yang juga menteri besar Kelantan.

Cenderung kepada pro-Pakatan

"Dalam banyak hal, beliau lebih cenderung kepada pendirian tok guru (Nik Aziz)," katanya.

Manakala di Selangor pula, yang dipertua PAS Kelana Jaya yang baru, Izham Hashim memberitahu Malaysiakini, PAS di Selangor secara umumnya lebih cenderung kepada pro-Pakatan.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hassan Ali, yang juga exco kerajaan Selangor, bagaimanapun dianggap lebih cenderung pada aliran pro-muzakarah.

Di Kelana Jaya, Izham mengalahkan pemimpin kawasan itu Roslan Shahir Mohd Shahir, yang juga setiausaha akhbar Abdul Hadi dan ketua penerangan PAS negeri.

Roslan adalah antara pemimpin PAS yang sering bersuara sealiran dengan presiden parti.

Dalam mesyuaratnya baru-baru ini, Kelana Jaya mencalonkan Husam sebagai timbalan presiden, Mohamad dan Nizar untuk naib presiden. Ahli parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib turut dicalonkan untuk jawatan naib presiden.

PAS di Selangor mempunyai 22 kawasan.

Tolak muqabalah PAS-Umno

Di Kelantan pula, exco Pemuda PAS negeri, Dr Rosli Allani Abdul Kadir, berkata hampir semua daripada 14 kawasan di sana tidak dapat menerima usaha muqabalah PAS-Umno dan berusaha untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Hampir semua (kawasan) menolak cadangan tersebut. Semua berada di belakang tok guru," katanya.

Penolakan cadangan tersebut antara lain ekoran pengalaman pahit kerjasama PAS dan Umno di Kelantan sehingga tercetusnya darurat di negeri tersebut, tambahnya.

"Ia satu perangkap kepada PAS," kata Dr Rosli.

Katanya, kawasan-kawasan di Kelantan, termasuk Bachok, cenderung mencalonkan Husam, yang juga exco kerajaan negeri, sebagai timbalan presiden.

Parlimen Bachok diwakili oleh Nasaruddin, tokoh kedua penting selepas Abdul Hadi yang menyokong muzakarah.

Perkukuh k'jaan Pakatan

Di Kelantan, Nizar juga popular untuk dinaikkan bagi mengisi satu daripada tiga kerusi naib presiden. Nama-nama lain termasuklah Mohamad, Tuan Ibrahim dan Salahuddin Ayub, yang tidak mempertahankan jawatan ketua Pemuda PAS, Jun ini.

Salahuddin, kini ahli parlimen Kubang Kerian, juga bukan daripada aliran pro-rundingan dengan Umno.

Sementara di Kedah, umumnya 15 kawasan di negeri tersebut cenderung untuk memperkukuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh menteri besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Isu muqabalah tidak diminati oleh pemimpin di sini, sebaliknya memikirkan bagaimana untuk memperkukuhkan Pakatan," kata ahli parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar kepada Malaysiakini.

Beliau, yang juga exco Pemuda PAS, berkata Azizan tidak bercakap tentang isu muzakarah PAS-Umno di negeri itu, sebaliknya menasihati pemimpin PAS Kedah agar berkhidmat kepada rakyat dengan lebih berkesan.

PAS negeri pula ingin menaikkan tokohnya sendiri, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar untuk mengisi kerusi naib presiden.

Bekas ketua Pemuda PAS ini dan juga ahli parlimen Pokok Sena bagi penggal kedua tidak mengambil sikap pro-muzakarah. Malaysiakini.

Majlis Kesyukuran kemenangan Bukit Gantang.

PAS Negeri Perak akan menganjurkan Majlis Kesyukuran bagi meraikan kemenangan calon PAS Dato' Seri Hj Nizar Jamaluddin dalam PRK Bk. Gantang baru-baru ini. Majlis tersebut akan diadakan pada 19hb April 2009 di Simpang, Jalan Kuala Kangsar, Taiping. Demikian kenyataan rasmi seperti yang disiarkan dalam blog Ketua Penerangan PAS Perak, Ust. misbahul Munir Hj. Masduki.

Menurutnya lagi majlis jamuan akan bermula dari jam 12.00 tengahari hingga 04.00 petang. Semua penyokong Pakatan Rakyat seluruh negara dijemput hadir beramai-ramai. Pada sebelah malamnya di tempat yang sama Ceramah Perdana akan turut diadakan yang akan dihadiri YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, YAB Dato' Seri Hj Nizar Jamaluddin, YB Lim Guan Eng, YB Azmin Ali dan beberapa pimpinan PR negeri. Ceramah akan bermula jam 9.00 malam.

KERAJAAN HARAM BN PERAK TAMATKAN PERKHIDMATAN KETUA KAMPUNG DAN JKKK KERAJAAN PAKATAN RAKYAT


Pihak Berkuasa Negeri dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan pada bulan Mac yang lalu telah memutuskan bahawa semua Ketua Kampung dan JKKK ditamatkan perkhidmatan berkuatkuasa pada 16 April 2009.

Di daerah Kuala Kangsar Surat pemakluman penamatan perkhidmatan telah dihantar dan ditandatangani oleh Tuan Pegawai Daerah Kuala Kangsar kepada semua Ketua Kampung daerah Kuala Kangsar.

Dengan keluarnya surat ini, sahlah bahawa semua Ketua Kampung di seluruh Perak dipecat dan JKKK dibubarkan oleh kerajaan BN. Perkara ini bercanggah dengan kenyataan Zambry di awal-awal perlantikannya sebagai MB bahawa Ketua Kampung dan JKKK tidak akan ditamatkan perkhidmatan.

Ketua Kampung dan JKKK yang dilantik oleh kerajaan PR adalah sah sehingga tamat tempoh perkhidmatan selama dua tahun. Kerajaan boleh bertukar tetapi tidak semestinya Ketua Kampung dan JKKK juga bertukar sedangkan tempoh perkhidmatan mereka belum tamat lagi.

Berbeza sama sekali dengan amalan Kerajaan PR di bawah kepimpinan Dato' Seri Hj Nizar Jamaluddin. Hj Nizar di awal pemerintahan PR telah membuat kenyataan terbuka bahawa semua Ketua Kampung dan JKKK boleh terus berkhidmat dengan kerajaan negeri sehingga tempoh perkhidmatan mereka tamat pada 31.12.2008, tetapi seluruh Ketua-ketua Kampung melalui Pengerusi persatuan Ketua-ketua Kampung sendiri yang membuat kenyataan bahawa Ketua-ketua Kampung seluruh Perak tidak akan memberi kerjasama dengan Kerajaan PR walaupun mereka berkhidmat dengan kerajaan PR. Ini adalah kenyataan bodoh seorang Pengerusi Persatuan.

Hj Nizar telah memanggil semua Ketua Kampung seluruh Perak untuk diberi taklimat oleh Kerajaan Negeri di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan. Sebahagian besar Ketua-ketua Kampung hadir, dalam sessi dialog ada di kalangan Ketua Kampung bersetuju terus berkhidmat dan ada juga yang akan meletakkan jawatan. Hj Nizar menjelaskan bahawa semua Ketua kampung berhak menentukan sikap masing-masing, mereka diberi pilihan samada terus berkhidmat atau sebaliknya.

Selang beberapa minggu kemudian, semua Ketua Kampung seluruh Perak meletakkan jawatan beramai-ramai, surat perletakkan jawatan beramai-ramai ditandatangani oleh setiap Ketua Kampung dan diserahkan ke Pejabat Menteri Besar, ada juga Ketua kampung yang tidak bersedia meletakkan jawatan, mereka dipujuk, dirayu dan dipaksa oleh AJK Persatuan Ketua-ketua Kampung supaya letak jawatan, ada yang datang ke pejabat MB berjumpa saya dan MB menyatakan mereka tidak bersetuju meletakkan jawatan tetapi dipaksa oleh Persatuan.

Kerajaan Negeri tidak ada pilihan, perletakan jawatan beramai-ramai itu diterima oleh MB. Mesyuarat EXCO memutuskan kaedah pemilihan Ketua kampung di seluruh Perak dibuat melalui pungutan suara iaitu Ketua Kampung dipilih melalui pilihanraya. Sesiapa sahaja yang layak boleh dicalonkan dan di undi. Kaedah ini dilaksanakan di seluruh Perak kecuali di kampung-kampung yang Ketua Kampungnya tidak meletakkan jawatan. Bulan Ogos selesai proses pemilihan dan yang terpilih diberi watikah perlantikan oleh YAB MB Perak ketika itu, dan tempoh perlantikannya adalah selama dua tahun.

Ini adalah amalan yang paling adil dibuat oleh Kerajaan PR. Tradisi yang diamalkan oleh UMNO BN dulu ialah memberi kuasa kepada Ketua UMNO bahagian atau wakil rakyat untuk melantik Ketua Kampung, biasanya Ketua kampung yang dilantik ialah Ketua-ketua UMNO Cawangan yang sudah tentu ada yang tidak disenangi oleh orang-orang kampung. Berbeza dengan PR yang memberi peluang kepada orang kampung memilih Ketua Kampung yang mereka suka.

Apa salahnya mereka diberi peluang berkhidmat sehingga tempoh perkhidmatan mereka tamat, kerajaan berhak menentukan polisi dan dasar, mereka pula berkhidmat berdasarkan polisi dan dasar. Sebagaimana kerajaan PR, sewaktu kerajaan PR menawarkan Ketua Kampung zaman BN untuk terus berkhidmat, mereka hendaklah terikat dengan polisi dan dasar-dasar kerajaan, begitu juga Ketua-ketua Kampung yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya, yang terpilih tidak semua penyokong dan ahli mana-mana parti PR, semua yang terpilih mesti mengikut polisi dan dasar-dasar kerajaan PR.

Jelas kerajaan PR lebih terbuka sikapnya berbanding kerajaan BN, malahan supaya semua pembangunan dapat dilaksankan secara saksama, kerajaan PR negeri Perak juga telah menubuhkan JKKK di perkampungan Cina, malahan Ketua Kampung dan JKKK perkampungan orang-orang Asli juga akan ditubuhkan.

Hj Nizar selaku MB juga menunjukkan sikap keterbukaan yang begitu tinggi kepada semua kakitangan kerajaan, tidak ada yang dipecat, sebarang pertukaran yang ada unsur-unsur penganiyaan dan fitnah dibatalkan pertukaran. Dua orang pemandunya adalah pemandu MB lama, Hj Nizar mengekalkannya sehingga mereka sendiri yang telah berkhidmat selama 11 bulan itu terasa sangat sayang kepada MB Nizar, ada kelainannya kata mereka, menjadi pemandu Hj Nizar mereka dapat solat berjamaah dengan Hj Nizar dan ada peluang mendapat ilmu melalui tazkirah dan kuliah yang disampaikan oleh Hj Nizar di surau atau masjid. semua kakitangan di rumah kediaman tidak ada seorang pun yang ditukar, mereka terus berkhidmat dengan Hj Nizar sehingga mereka juga seronok, Hj Nizar buat surau yang agak besar bagi membolehkan semua pekerja di rumah kediaman solat berjamaah di surau dan sekali sekala MB akan mengimami solat dan menyampaikan tazkirah. Yang bertukar cuma PA Datin Seri yang kurang memberi kerjasama dengan Datin Seri.

Saya sebagai SETPOL juga tetap mengekalkan kakitangan pejabat, saya tidak tukar dan ganti orang lain, walaupun saya ada kuasa. PA saya juga dulu PA Najmuddin ketia beliau SETPOL kepada Tajol Rosli. Dulu PA tersebut adalah staf di JAIP yang dipinjamkan bagi membantu Najmuddin yang ada kaitan dengan JAIP. Saya boleh kembalikan dia di pejabat yang lama dan tukar orang PAS berkhidmat di situ. Tetapi saya tidak sampai hati berbuat demikian sebab dia dah seronok kerja dengan saya. Kawan-kawan yang datang mengunjungi saya sering bertanya mengapa tak ditukar staf lama, dia ni UMNOlah, dulu berkhidmat dengan Najmuddin, nanti dia sampaikan pada bos lamanya apa yang tak betul, saya jawab, kalau begitu dia tidak akan sampaikan pada bos lamanya, sebab apa yang saya buat betul. Ternyata dakwaan kawan -kawan semuanya prasangka sahaja. Jurutaip pejabat saya pun saya kekalkan, walaupun ada rungutan dari orang ramai kononnya staf saya yang seorang ini (wanita) serius dan street, jarang senyum. Nak jumpa saya mesti melalui meja dia dulu, macam-macam ditanya, ada temu janji ke tidak, kena tunggu ikut giliran. Saya tetap kekalkan dia, walaupun dia street tapi bagus juga, kalau tidak, saya tidak boleh buat kerja, asyik melayan orang sahaja kerjanya. bukan ada urusan penting pun, bukan urusan yang berkaitan dengan rakyat, semuanya mohon balak, tanah dan projek. Bila ada staf yang street, saya senang buat kerja untuk merancang berbagai-bagai program kerajaan dengan rakyat dan mengambil tindakan terhadap minit-minit MB. Dialah yang menentukan nak jumpa ustaz kalau tidak ada temu janji mesti selepas pukul 10 atau selepas Zohor. Biasanya pagi-pagi hari saya mesti mengadap MB untuk berbincang program-program MB, dan menyemak dan menjawab surat.

Pemandu saya juga dulu pemandu Najmuddin walaupun jawatannya kontrak, saya boleh cari pemandu lain dari PAS yang lebih saya percaya, tetapi saya tidak berbuat demikian, sebab pemandu tersebut ingin berkhidmat dengan saya. Tetapi tidak sampai sebulan, beliau memohon berhenti, saya tanya tidak suka dengan cara saya ke, dia nafikan, katanya "ok, cara ustaz saya suka, ceramah ustaz pun hebat juga, dulu saya pemandu ustaz sekarang pun ustaz tak ada masalah" cuma dia kata nak tumpu pada perniagaan. Dia sendiri yang cadangkan pemandu lain, juga bekas pemandu EXCO BN dulu, orangnya warak katanya, saya pun terima, dan bersedia berkhidmat dengan saya, katanya seronok dapat berkhidmat dengan ustaz, boleh tumpang dengar ceramah dan kuliah. Dulu tak ada peluang langsung, nak solat pun payah, maklum pemandu EXCO dulu Cina.

Semua pekerja dan kakitangan kerajaan negeri sepanjang 11 bulan di bawah PR cukup selesa dan terasa kelainannya berbanding puluhan tahun bersama BN. Saya yakin kalau pilihanraya semula diadakan di Perak, Kerusi PAS dan PKR akan bertambah banyak manakala DAP tetap kekal dengan jumlah kerusi yang sedia ada, kerana rakyat 11 bulan di bawah PR jauh lebih baik daripada 50 tahun bersama BN. Rakyat semakin bijak dalam membuat penilaian, kecuali mereka yang benar-benar buta hati dan jumud.

http://misabah.blogspot.com/

Gambar dan peristiwa.

Ceramah Umum di Kg. Lakloh Kuala Krai Kelantan.

Bersalaman dengan yang hadir selepas ceramah.

Speaker DUN Kelantan, Ust. Nasarudin Daud berceramah.

Sebahagian dari sekitar 5,000 orang yang hadir.


Bergambar bersama OKT dalam kes perbicaraan Perhimpunan Kuala Kangsar di Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar.


Bergambar bersama En. Tan, pengusaha restoran makan laut di Pantai Bersih Butterwort.

Bergambar di hadapan pejabat Unit Hubungan Antara Kaum dan Ngo JPN Pulau Pinang.

Ceramah dalam Ijtimak bulanan PAS Tambun.

Mengetuai tahlil dan doa selamat Majlis Kesyukuran di Kg. Jelutong.



Fairus letak jawatan ADUN Penanti

Bekas timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan keputusannya meletak jawatan ADUN Penanti, berkuatkuasa hari ini.

Katanya, keputusan itu dibuat untuk membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat siswazah lanjutan.

Ia juga, katanya, untuk memberi masa kepadanya untuk bersama-sama dengan keluarga "yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasan saya".

Kenyataan Fairus itu dikeluarkan oleh Biro Penerangan PKR.

"Ruang ini juga akan saya manfaatkan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baik saya dari segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya selama ini," tambahnya.

Fairus yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung satu projek kuari di Pulau Pinang, meletakkan jawatan timbalan ketua menteri pada 8 April lalu.

Berikutan peletakan jawatannya itu, pilihanraya kecil perlu diadakan bagi kerus tersebut dalam tempoh 60 hari.

DUN Penanti terletak dalam kawasan parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika diwawancara dengan akhbar berbahasa Cina - Nanyang - Fairus
memberi masa dua minggu kepada pucuk pimpinan PKR supaya membersihkan namany.

Beliau juga dilaporkan mendakwa segala tohmahan itu difitnah oleh orang dalaman parti itu sendiri.

Mengenai masa depannya, Fairus memberitahu akhbar berkenaan bahawa beliau ada banyak pilihan - keluar parti, letak jawatan, lompat parti atau menjadi ADUN bebas.

Beliau juga menyatakan akan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang minggu depan.

Manakala timbalan pengerusi PKR negeri, Dr Mansor Othman pula berkata Anwar dijadual pulang ke Permatang Pauh esok.

Difahamkan, beliau mungkin berbincang dengan kepimpin PKR Pulau Pinang berhubung calon yang bakal dipilih bertanding di Penanti.

Dr Mansor disebut-sebut bakal dipilih mewakili Pakatan Rakyat, khususnya PKR bertanding dalam pilihanraya kecil itu.

Apabila ditanya kepadanya, Dr Mansor berulangkali mengatakan beliau akan patuh keputusan parti.

Beliau pernah bertanding di DUN Pulau Betong dalam pilihanraya umum tahun lalu, tetapi tewas.

Berikut adalah kenyataan penuh Fairus hari ini:

Setelah memberikan pertimbangan dengan sewajarnya, mengambilkira landasan perjuangan dan kepentingan rakyat yang saya wakili, saya dengan ini mengambil keputusan demi memelihara kepentingan Parti Keadilan Rakyat untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti berkuatkuasa hari ini 16hb April 2009.

Keputusan ini bertujuan untuk membolehkan saya memberikan tumpuan penuh terhadap usaha bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepada saya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasan saya.

Ruang ini juga akan saya manfaatkan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baik saya dari segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya selama ini.

Khususnya kepada pengundi dan rakyat Penanti yang saya wakili, saya ingin merakamkan jutaan penghargaan di atas kasih sayang dan sokongan yang diberikan selama saya memegang amanah selaku wakil rakyat Penanti.

Keputusan ini adalah untuk kebaikan semua, Parti Keadilan Rakyat dan perjuangan serta kepimpinan di bawah teraju Dato' Seri Anwar Ibrahim (selaku Penasihat Parti) demi menegakkan kebenaran dan keadilan. Malaysiakini.

Elizabeth kembali bertugas hari ini

ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong kembali semula bertugas sebagai exco kerajaan negeri setelah bercuti selama dua bulan selepas tersebar gambar separuh bogelnya kepada umum.

Setibanya di pejabatnya di tingkat dua bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, Elizabeth disambut oleh rakan exconya Ronnie Liu dengan sejambak bunga.

Beliau tiga kira-kira jam 9.30 pagi dan tergesa-gesa untuk menghadiri mesyuarat pelancongan.

ADUN Bukit Lanjan itu merupakan exco pelancongan, pengguna dan alam sekitar Selangor.

Semalam, kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk mengekalkan jawatan Elizabeth sebagai exco kerajaan negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Elizabeth memberitahu pemberita bahawa beliau bersemangat untuk memulakan tugas hari ini.

Katanya, beliau telah menemui Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim malam tadi dan telah diberi penerangan berhubung tugas-tugasnya yang tertangguh.

Kira-kira 30 wartawan dan jurugambar menunggu di depan pejabatnya.

Katanya beliau akan menemui pihak media selepas selesai mesyuarat tersebut.

Bagaimanapun, pegawainya kemudian memberitahu bahawa Elizabeth tidak dapat menemui media kerana terpaksa menghadiri banyak program hari ini.

'Eli aset S'gor

Seorang lagi exco negeri itu, Teresa Kok kelihatan turut mengunjungi Elizabeth kemudiannya dengan membawa buah tangan berupa coklat.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, beliau menyifatkan keadaan rakan exconya itu baik kerana “semua orang bersamanya”.

Diminta mengulas tindakan pembangkang negeri yang akan terus membangkitkan isu moral Elizabeth, Teresa berkata:

“BN telah memainkan banyak isu ini tetapi masih gagal. Elizabeth merupakan aset negeri Selangor.

“Sejak setahun lalu, beliau kuat bekerja dan menyumbangkan banyak jasa kepada rakyat. Rakyat tidak buta. Rakyat ada mata,” katanya.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo semalam dilaporkan berkata, keputusan kerajaan negeri mengekalkan jawatan Elizabeth menguntung Barisan Nasional (BN).

Katanya, ia akan menjadi isu politik yang berpanjangan dan akan terus dieksploitasikan mereka. Malaysiakini

Speaker DUN Perak tiada kuasa halang Zambry, 6 Exco ?

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan keputusan yang mengejutkan dan tidak pernah berlaku dalam negara kita bahawa Speaker Dewan Undangan Negeri Perak (DUN), V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Menteri Besar Perak rampasan kuasa, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang lain daripada menghadiri sidang DUN.

Perkara itu diputuskan oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sherif.

Pada 18 Februari lalu, Sivakumar bersama Jawatankuasa Hak dan kebebasan DUN Perak yang dipengerusikan mengambil tindakan mengejut menggantung dan melarang Menteri Besar kudeta bersama enam Exconya daripada menghadiri sidang DUN berkuat kuasa serta-merta selama 18 bulan.

Secara umumnya mulai dari keputusan ini boleh ditafsirkan semua pengantungan yang dilakukan selama ini oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di Deran Rakyat dan DUN adalah tidak sah ?

Berikutan itu, pada 2 Mac lalu, Zambry dan enam Exconya itu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membatalkan keputusan Speaker DUN menggantung dan melarang mereka menghadiri sidang Dewan kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang.

Zambry dan enam Exco terbabit juga memohon satu pengisytiharan bahawa mereka berhak mengambil bahagian dalam sidang Dewan dan menjalankan fungsi serta kewajipan masing-masing.

Keenam-enam Exco itu ialah Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd. Zahir Abdul Khalid dan Dr. Mah Hang Soon.

Idris derhaka kali ke dua ?

Drs. Khalil Idham Lim

Bekas Menteri Besar, Idris Jusoh tidak mendalangi tindakan 10 wakil rakyat Barisan Nasional memulaukan sidang DUN semalam, kata setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Terengganu.

Kenyataan ini sesuatu yang sangat ajaib dan saya kira mustahil Idris tidak tahu menahu dengan tindakan yang dibuat sedangkan dialah ketua dalam kumpulan yang tidak berpuas hati terhadap Ahmad Said. Alasannya kalau Ahmad Said jatuh dialah MB barunya.

Namun apapun sekarang saya melihat ketakutan kepada anggapan istana yang akan menganggap Isris telah derhaka untuk kali kedua kerana ingin menjatuhkan MB yang direstui oleh Istana.

Bukankah Ahmad Said adalah pilihan Istana, dan Idris pilihan Pak Lah pada masa itu namun dia terpaksa akur kerana melantik MB adalah perlu kepada perkenan Sultan.

Cuma sekali ini tidak adalah kain tentang "kami nak idris, nantang" yang dianggap dituju kepada Istana, tetapi terang lagi bersuluh Idris memulakan krisis baru dengan Istana dengan memulau MB yang dilantik oleh sultan.