27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KETIKA reaksi rakyat Libya masih bercampur-baur mengenai realiti kematian bekas pemimpinnya, Muammar Gaddafi, yang terbunuh akibat tembakan di kepala ketika bertempur dengan penentangnya di Sirte, awan pilu kini berarak menyelubungi rakyat Arab Saudi.
Bukan meratapi pemergian ikon Libya tersebut, tetapi mereka hiba lantaran mendapat khabar bahawa bakal pewaris takhta, Putera Mahkota Sultan Abdul Aziz Al-Saud, 85, telah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Sabtu lalu.
Baik Gaddafi mahupun Sultan, kedua-duanya merupakan pemimpin tersohor dengan cara tersendiri. Namun, tidak seperti riwayat perjuangan Gaddafi yang berakhir dengan tragis, kemangkatan putera mahkota itu adalah noktah pilu setelah berjuang dengan masalah kesihatan sejak bertahun-tahun lamanya.
Dalam pada meniti saat persemadian baginda, segala persoalan mengenai keadaan kesihatan dan masa depan tugas baginda itu terus diperkatakan.
Pada awalnya, pengumuman tersebut tidak mendedahkan secara terperinci lokasi tepat Putera Mahkota Sultan menghembuskan nafas terakhir mahupun mengulas lebih lanjut mengenai penyakitnya.
Namun, sumber rasmi Arab Saudi yang berlegar-legar di Riyadh memberitahu, putera mahkota kesayangan rakyat tersebut meninggal dunia di Hospital Presbyterian di New York.
Putera Sultan berhadapan dengan pelbagai komplikasi kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain ke Amerika Syarikat (AS), baginda juga merantau ke Maghribi untuk tujuan sama.
Beliau berada di AS sejak Jun dan menjalani pembedahan perubatan pada bulan Julai, namun tiada maklumat mengenai berita perkembangan kesihatannya sejak itu.
Baginda didiagnosis menderita kanser kolon sejak tahun 2004 dan pernah mengunjungi Switzerland bagi mendapatkan rawatan. Antara prosedur pembedahan yang dijalani adalah membuang polip di usus baginda.
Sejurus pihak istana mengumumkan mengenai putera mahkota itu yang dibenarkan keluar dari hospital, stesen televisyen Arab Saudi tidak menunggu masa yang lama untuk menyiarkan klip rakaman untuk meredakan resah rakyat Arab Saudi.
Putera Mahkota Sultan dalam klip itu dilihat sedang duduk memakai jubah tradisional sambil menerima ucapan selamat daripada orang kenamaan.
Timbul spekulasi
SULTAN dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Presbyterian di New York.
Keperluan rawatan kanser di AS sebenarnya menyaksikan putera itu meninggalkan Arab Saudi lebih daripada setahun iaitu antara tahun 2008 hingga 2009. Masa selebihnya digunakan untuk proses pemulihan di Agadir, Maghribi.
Seorang diplomat Barat juga ada memberitahu mengenai keadaan bahawa Putera Mahkota Sultan bergantung sepenuhnya pada sistem sokongan hayat dan diisytiharkan 'mati secara klinikal' lebih sebulan yang lalu.
Oleh kerana laporan itu tersebar, koresponden luar negeri di Riyadh itu dikenakan tindakan dengan dipaksa meninggalkan negara tersebut.
Putera Mahkota Sultan yang usianya dua tahun lebih muda daripada saudara tirinya yang kini memerintah, Raja Abdullah telah berkhidmat sebagai Ketua Pertahanan hampir lima dekad lamanya.
Namun, kemerosotan kesihatan baginda telah membuatkannya menghabiskan banyak masa di luar negara untuk menjalani rawatan perubatan.
Pada 2009, kabel diplomatik AS yang dikeluarkan oleh WikiLeaks melabelkannya sebagai 'tidak berupaya' untuk memerintah.
Ada juga sumber menyatakan bahawa pada April 2009, Putera Mahkota Sultan mula menderita penyakit Alzheimer.
Dalam keadaan lemah, baginda dilaporkan tegar menyambung tugas sekembalinya ke Riyadh pada Disember 2009, meskipun hanya mampu bekerja beberapa jam sahaja setiap hari.
Begitupun, baginda sebenarnya masih sakit dan perlukan rawatan lanjut. Akibat terlalu lama tahap kesihatan baginda tidak berada di tahap yang baik, banyak keputusan penting kerajaan tergendala.
Pada masa yang sama, persoalan mula timbul mengenai kesudahan monarki untuk generasi akan datang bagi keluarga Al-Saud.
Catur masa depan
KEMANGKATAN Sultan satu kehilangan besar bagi rakyat Arab Saudi.
Pemergian Putera Mahkota Sultan juga terjadi saat Raja Abdullah, 87, sedang dirawat di hospital di Riyadh seminggu selepas menjalani pembedahan tulang belakang.
Menyedari amanah negara yang dipikul Putera Mahkota Sultan perlu diteruskan, Raja Abdullah mengambil langkah awal untuk mencatur masa depan kerajaan baginda.
Dalam meletakkan sesiapa sahaja sebagai pengganti, baginda perlu adil membahagikan kuasa dalam keluarga diraja tersebut yang mempunyai ribuan ahli dan puluhan cabang keluarga yang mendominasi institusi pentadbiran, ketenteraan dan perniagaan.
"Keseimbangan sering diambil peduli oleh raja-raja. Ia bagi menimbulkan keharmonian dan pembahagian kuasa yang adil di semua peringkat," ujar seorang profesor sains politik di Riyadh, Khaled al-Dakhil.
Keluarga Al-Saud telah memerintah Arab Saudi sejak penubuhan negara tersebut pada 1932 dan aliran takhta lazimnya diperturunkan kepada anak-anak lelaki pengasasnya iaitu Abdul Aziz yang kini semuanya sudah tua.
Kini, individu yang layak menggantikan tempat Putera Mahkota ialah saudara lelaki baginda sendiri, Putera Nayef Abdul Aziz Al-Saud, 77, yang menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi sekali gus bertanggungjawab ke atas keselamatan dalam negeri.
Pelantikan Putera Nayef adalah menerusi sidang Majlis Baiah (Taat Setia) yang tidak pernah diguna pakai sebelum ini.
Sultan pemurah
BANDAR SULTAN pernah menjalin diplomasi dengan AS sebagai duta Riyadh.
Usia sebenar Putera Mahkota Sultan tidak pernah jelas. Tarikh kelahirannya seringkali dilapor oleh kerajaan antara tahun 1926 dan 1931.
Mula dikenali apabila dilantik sebagai Gabenor Riyadh pada 1947, Putera Mahkota Sultan itu cukup terkenal dengan sifat murah hati kerana sering membantu puak-puak di negaranya, penjawat awam, tentera dan kumpulan keagamaan.
Penulis buku The Kingdom, Robert Lacey yang menulis mengenai Dinasti Al-Saud menggambarkan Putera Mahkota bertubuh tinggi dan gempal itu sebagai seorang yang komited dalam tugas.
Pada masa yang sama, Putera Sultan membantu ayahanda baginda untuk merangka sistem pentadbiran kebangsaan berasaskan pelaksanaan Undang-Undang Syariah Islam.
Anak lelaki ke-15 bagi pasangan Raja Abdul Aziz dan Puteri Hassa Al-Sudairi itu bersama saudara-saudara lelakinya yang lain menerima pendidikan awal dalam hal ehwal agama, budaya moden dan diplomasi di Istana Diraja.
Putera Mahkota Sultan diajar oleh guru persendirian dan berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris. Baginda juga mengikuti pengajian di sekolah khas untuk putera-putera raja.
Walaupun media jarang melaporkan mengenai keluarga baginda, Putera Mahkota Sultan dikurniakan seramai 32 anak hasil daripada perkahwinan dengan ramai isteri.
Antara anak-anaknya ialah Bandar, bekas duta di Amerika Syarikat (AS) yang kini merupakan Ketua Majlis Sekuriti Kebangsaan; Khaled yang menjadi pembantunya di Kementerian Pertahanan; Fahd yang menyandang jawatan Timbalan Presiden Sukan dan Kebajikan serta anak-anaknya yang lain, Muhammad, Turki dan Faisal.
Putera Mahkota Sultan akan tetap dikenali sebagai putera berperibadi tegas. Baginda turut diingati atas kebenciannya terhadap Komunisme dan kecurigaan terhadap pihak yang 'mengintai' prospek minyak dan pelabuhan di Arab Saudi.
Upacara pengebumian Putera mahkota Sultan akan diadakan hari ini (Selasa) selepas jenazahnya tiba dari AS. Pihak istana turut menyampaikan rasa dukacita Raja Abdullah atas pemergian putera mahkota itu.
Sungguhpun Putera Mahkota Sultan telah sedaya-upaya menggagahkan diri demi menggalas tugas dan berbakti untuk kerajaan dan rakyat, hasrat serta giliran baginda untuk menaiki takhta masih tidak kesampaian.
kosmo/-