25 Oktober 2011

Empat perompak berputih mata

27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

ANGGOTA polis forensik memeriksa barang-barang bukti di lokasi kejadian Datuk cuba disamun di Jalan USJ 1, Subang Jaya semalam.

SUBANG JAYA - Seorang ahli peniagaan bergelar Datuk mengalami detik-detik cemas apabila beg berisi wang RM200,000 miliknya cuba dirompak empat lelaki di tempat letak kereta berhampiran pusat beli-belah The Summit USJ di sini semalam.

Semasa kejadian pada pukul 4.30 petang, Datuk yang juga peniaga barangan lusuh berusia 50-an itu ditemani seorang adik lelaki dan pengawal peribadinya.

Ketiga-tiga mangsa ketika itu sedang berbincang mengenai urusan pembelian timah dengan dua pekerjanya di tempat letak kereta itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Tan Ah Chua berkata, ketika perbincangan sedang berlangsung, empat lelaki menaiki sebuah kereta Proton Iswara berwarna biru meluru ke arah mangsa.

"Tiga daripada suspek yang bersenjatakan kapak dan parang cuba merampas beg dibawa Datuk manakala pengawal peribadi Datuk pula diserang menyebabkan dia cedera di tangan kiri dan paha kanan akibat ditetak dengan parang.

"Pengawal peribadi itu kemudian melepaskan empat das tembakan ke arah ketiga-tiga suspek itu," kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut beliau, akibat tembakan itu, dua suspek masing-masing berusia 32 tahun cedera di perut manakala dua lagi berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta Proton Iswara yang menunggu mereka.

"Penjenayah itu gagal menyamun beg berisi wang tunai milik Datuk itu," kata beliau.

Jelas beliau, kedua-dua suspek yang cedera dan pengawal peribadi berusia 44 tahun dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan lanjut.

Tambah beliau, polis tidak menolak kemungkinan salah seorang suspek yang melarikan diri turut cedera dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka supaya menghubungi balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, Ah Chua berkata, pihak forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemui beberapa kelongsong peluru yang dilepaskan oleh pengawal peribadi Datuk itu.

kosmo/-

Tiada ulasan: