27 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 25 Okt: “Artis yang cukup rosak seperti (Elton John) ini mahu dibawa ke negara Malaysia?” tanya Nik Nasri Nik Malek.
Ketua Lajnah Penerbitan dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu itu menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan sebuah akhbar harian bahawa Elton John akan mengadakan konsert sulungnya di Malaysia pada 22 November ini di Genting Highlands.
Elton John ‘berkahwin’ dengan David Furnish pada Disember 2005 selepas kerajaan negara mereka membenarkan perkahwinan sejenis.
Tahun sebelumnya mereka merancang mengambil seorang anak angkat yang dikatakan mengidap penyakit HIV dari Ukraine, tetapi hasrat mereka tidak kesampaian apabila kerajaan Ukraine tidak membenarkan perkahwinan sejenis dan juga atas faktor umur Elton John.
Pada tahun 2010, mereka mendapat ‘anak’ hasil dari bayi yang dikandungkan oleh seorang ibu tumpang kepada bayi tersebut yang diberikan nama Zachary Jackson Levon Furnish-John.
Menurut sebuah majalah, Elton John dan pasangannya itu rasa amat gembira dengan kehadiran ‘anak’ mereka itu: “We are overwhelmed with happiness and joy at this very special moment. Zachary is healthy and doing really well, and we are very proud and happy parents“.
Menurut Nik Nasri, apa yang dipaparkan ialah kehidupan teramat songsang bagi manusia yang sihat fitrah kemanusiaannya.
Justeru, beliau mempersoalkan adakah wajar artis yang rosak seperti ini mahu dibawa ke negara ini.
“Ketua negaranya beragama Islam, agama Persekutuannya agama Islam dan sebahagian rakyatnya beragama Islam dan rakyat lain beragama lain yang juga tidak boleh menerima cara hidup yang sangat songsang ini,” ujarnya.
Menurutnya, mungkin ada yang berhujah kami bukan mahu ikut cara hidupnya yang songsang itu tetapi kami minat lagunya sahaja.
“Ya! Mungkin begitu untuk sebahagian orang yang tak kisah dengan seks rambang atau hidup secara songsang, tetapi bagi mereka yang berfikir tentang kehidupan yang lebih harmoni termasuk masadepan remaja, maka kepentingan nilai dan budaya itu lebih penting dari hanya semata-mata lagunya,” katanya lagi.
Ada juga, katanya yang beralaskan dengan hak asasi manusia, hak untuk bercakap dan hak untuk menyuarakan pandangan.
Jelasnya, hak untuk sesuatu yang menjadi fitrah semulajadi manusia mesti diraikan tetapi hak berhibur dan kemudian terpengaruh dengan kehidupan ‘bersuami isteri’ secara songsang menyalahi fitrah semuljadi manusia itu sendiri dan ia sangat merosakkan.
Beliau menambah, remaja di Malaysia dilaporkan mengalami krisis identiti seramai 6 juta orang, tidak termasuk lelaki jadi perempuan, perempuan jadi lelaki, jenayah seks dan pelbagai kehancuran nilai.
“Pergi ke enjin pencari di internet dan taip ‘gay’ atau yang sepertinya, anda akan terkejut dengan budaya gay di Malaysia,” katanya.
Justeru, katanya kerajaan dan agensi terlibat mesti sensitif dengan isu-isu nilai yang terhakis dengan dahsyatnya sekarang.
“Batalkan konsert Elton John itu atau bersedia menghadapi murka Allah dan makin hancurnya remaja Malaysia sendiri,” katanya lagi.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan