27 September 2011

Apakah Taqwa ?

27 Syawal 1432H. [MOD] -

Allah berfirman maksudnya "Yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling taqwa." (Al-Hujurat : 13)

Seorang lelaki bertanya kepada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu: "Apakah taqwa ?" Abu Hurairah menjawab: "Adakah engkau pernah melalui jalan yang mempunyai duri? Katanya: "Ya, pernah" Abu Hurairah berkata lagi:

"Bagaimana engkau bua?t" Katanya: "Jika aku melihat duri, aku berpaling daripadanya, atau aku lepasinya, atau aku menahan diri daripadanya" Abu Hurairah berkata: "Itulah taqwa" (Ad Dur al Manthur 1/61. Kata As Suyuti: Diriwayatkan oleh Ibn Abi ad Dunya dalam kitab at Taqwa.)

TAZKIRAH/-

82 Penduduk Sg Besar Terima Notis 5A

27 Syawal 1432H. [MOD] -

SUNGAI BESAR, 27 SEPT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan surat hak milik tanah kepada 82 orang dalam Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) di Dewan Sri Bernam di sini semalam.

Surat hak milik tanah atau notis 5A itu diserahkan kerajaan negeri kepada sekumpulan penduduk di daerah Sabak Bernam itu adalah sebagai satu usaha membantu rakyat yang masih belum memiliki tanah atau kediaman sendiri selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri prihatin terhadap rakyat yang masih belum memiliki tanah atau kediaman sendiri dan penyerahan notis 5A itu diharap mampu mengatasi masalah pemilikan tanah yang dihadapi selama ini.

Beliau berkata, bagi mengelak masalah ketidakupayaan membayar premium yang membelenggu penduduk, kerajaan negeri juga memberi kelonggaran dengan penduduk hanya perlu membayar RM1,000 sebagai bayaran premium.

Tidak cukup dengan itu, katanya, kerajaan negeri turut membantu golongan yang langsung tidak mampu membayar premium tersebut menerusi dana kebajikan yang diwujudkan dengan syarat mereka yang dibantu itu dimestikan menjalankan kerja kemasyarakatan.

"Kita bagi kelonggaran dalam membayar premium ini. Ada penduduk yang kata tak mampu bayar premium walaupun kita bagi notis 5A. Kita buat keputusan mereka yang dapat surat hak milik tanah ini hanya perlu bayar RM1,000 sebagai bayaran premium," jelasnya.

Bagi yang tidak mampu membayar RM1,000 kerajaan negeri bantu bayar dengan tabung kebajikan yang diwujudkan.

"Tetapi mereka ini kena buat kerja kebajikan kerana hak pemilikan tanah ini hak penduduk. Jadi mesti buat kerja," katanya.

Abdul Khalid turut mengingatkan penduduk yang menerima surat hak milik tanah tersebut supaya tidak menjual tanah itu yang sudah dimiliki itu.

Selain itu seramai 45 orang turut menerima sijil Amanah Saham Bumiputra (ASB) daripada Abdul Khalid.

Difahamkan, peserta menerima sijil ASB tersebut dengan nilai sekurang-kurangnya RM1,000 setiap seorang.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi; Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim; Pegawai Daerah Sabak Bernak, Mohamad Zainal Mohamad Nor dan barisan Exco Kerajaan Selangor.

Berhubung penyerahan sijil ASB pula, katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat di negeri Selangor.

Katanya, bantuan menerusi pegangan saham ASB itu adalah salah satu langkah bagi tujuan itu.

Sementara itu, penduduk yang menerima surat hak milik tanah ketika ditemui, Heng Haw Chai, 42, dari Kampung Bagan, Sekinchan melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana akhirnya hajat bagi mendapatkan hak milik tanah itu menjadi kenyataan.

Katanya, dia dan keluarganya sudah menanti saat itu sekian lama sejak dari zaman bapanya lagi.

"Selepas lebih 40 tahun maka pada hari ini (semalam) hasrat saya dan keluarga menjadi nyata apabila kerajaan negeri memberikan surat hak milik tanah ini.

"Sebabnya sebelum ini kami sudah beberapa kali mengemukakan permohonan tetapi tidak berjaya," katanya.

Bagi Tee Kit Siang, 24, yang menetap di Kampung Sekinchan menjelaskan, sudah lebih kurang 40 tahun keluarganya menetap di kampung itu tetapi mereka tidak dberikan hak pemilikan tanah di kawasan tersebut.

Jelasnya, keluarganya yang sudah bertukar generasi bagaikan dinafikan hak tersebut.

"Bagaimanapun saya gembira kerana apa yang kami perjuangkan selama ini menjadi satu kenyataan apabila kerajaan negeri memutuskan memberi hak pemilikan itu kepada penduduk," katanya.

Bagi dua penerima sijil ASB, Ahmad Arif, 70, dan Nurudin Timan, 78, berkata Kerajaan Negeri sesungguhnya amat memahami kehendak rakyat dan sumbangan diterima sedikit sebanyak akan membantu dalam kehidupan mereka.

Ahmad berkata, dia sudah lama melabur dalam ASB dan bantuan diterima itu akan menambah lagi pelaburannya.

Begitu juga Nurudin yang bersetuju dengan menyatakan ia langkah yang bagus ke arah meningkatkan minat bagi meneruskan pelaburan.

tv news/-

Nik Aziz perjuangkan hudud bersama 1/2 juta fannya?

27 Syawal 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 27 Sept: Mungkin ada yang merasa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesaorangan dalam memperjuangkan undang-undang syariah kali ini tetapi sebenarnya tidak.

Sekurang-kurangnya 561,047 orang sentiasa mengikuti beliau dalam bentuk fan dalam Facebook Menteri Besar Kelantan itu.

Dan yang menariknya, dalam satu posting mengenai hudud yang dibuat dalam facebooknya, beliau menerima 4,536 komen untuk posting itu sahaja.

9,146 pula menyatakan 'like' (suka) kepada posting itu manakala 3,054 orang pula membuat 'share' (kongsi) posting itu dalam facebook mereka.

Posting itu berbunyi:

KARIKATUR UTUSAN MALAYSIA HARI INI: Aduhai Utusan Malaysia, akhbar yang mengaku membela Melayu dan Islam.. Sedarkah apa yang anda lakukan? Di mana batasan anda bermain politik sehingga perkara yang jelas nasnya di dalam al-Quran pun anda ingin permainkan??

Wahai umat Islam... wahai PERKASA... wahai para mufti... wahai NGO Melayu/Islam.. wahai para ulama dan ulama muda UMNO... tidak jelaskah ini sebagai menghina perundangan Islam?

Kebanyakan komen yang diberikan adalah menyokong penyataan beliau itu dan bersetuju bahawa Utusan telah menghina perundangan Islam.

Dalam posting berikutnya, Nik Aziz menulis, beliau jarang membaca Utusan Malaysia.

"Bagi saya ia lebih kepada surat pekeliling Umno. Pagi ini saya ditunjukkan lakaran kartun yg disiarkan semalam, memperlekehkan kalimah hudud.

"Saya tidak mahu mengulas panjang, cukuplah saya katakan, padanlah dengan tahap pemikiran sidang pengarang Utusan Malaysia...," katanya.

Posting ini sehingga berita ini ditulis telah diberikan komen sebanyak 367 kali dan dishare oleh 134 orang.

haeakahdaily/-

Tentera pengaman AU akui bunuh jurugambar

27 Syawal 1432H. [MOD] -

Tentera pengaman Kesatuan Afrika (AU) yang melawan pihak pemberontak di ibu negara Somalia, Mogadishu, mengakui hari ini bahawa askarnya mungkin secara tidak sengaja telah menembak mati seorang jurugambar Malaysia pada awal bulan ini.

Noramfaizul Mohd Nor terbunuh apabila tentera pengaman dari Burundi yang meronda di bandar itu melepaskan tembakan ke atas kenderaannya. Seorang lagi wartawan Malaysia juga cedera pada kejadian itu.

"Lembaga siasatan yang ditubuhkan mendapati empat orang askar terlibat dalam kejadian tembakan itu ... dan mengesyorkan supaya keempat-empat askar, dari Burundi itu dihadapkan ke mahkamah mengikut proses ketenteraan dan undang-undang negara mereka," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan pengaman Amisom.

Menurut kenyataan itu lagi, keempat-empat orang askar itu juga telah digantung daripada dtugas.

Amisom mempunyai kira-kira 9000 askar di Somalia bagi menghalang pemberontak yang disokong oleh al-Qaeda dan sekutunya daripada menumbangkan kerajaan yang didirikan dengan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Militan al-Shabaab menarik diri dari Mogadishu pada bulan lalu tetapi memberi amaran, mereka akan menjalankan serangan gerila di bandar itu, termasuk melancarkan serangan bom kereta dan serangan berani mati.

- Reuters

Cermin gelap: JPJ perlu kawal dan daftar kedai aksesori

27 Syawal 1432H. [MOD] -

Tinjauan yang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) beberapa bulan lepas menunjukkan banyak kereta persendirian di Pulau Pinang bercermin gelap. Kami percaya kebanyakan pemandu ini telah diyakinkan oleh kedai aksesori kereta supaya memasang cermin gelap.

Tingkap penting untuk melindungi penumpang daripada panas terik matahari. Ia menapis sinaran ultraungu menjadikan pemanduan lebih selesa. Bagaimanapun, kenderaan bercermin gelap lebih mudah terdedah kepada perlanggaran bahagian belakang.

Cermin gelap cenderung menghalang pandangan lebih jauh keadaan lalu lintas kenderaan di belakang. Kereta yang mengikutinya tidak mampu untuk bertindak dengan segera terhadap halangan di jalan raya serta lambat untuk bertindak terhadap sebarang situasi.

Kecekapan mereka dalam membrek juga lemah dan kenderaan bercermin gelap sering dalam kebanyakan kes sering dilanggar dari belakang.

Ini merupakan alasan kenapa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah meluluskan atau memperakui sebarang produk cermin gelap. Paras cermin gelap yang dibenarkan hanya 70% (cermin depan) dan 50% (cermin belakang dan tingkap tepi).

Sehubungan itu, CAP menggesa Bahagian Penguatkuasa JPJ supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan yang dipasang dengan tingkap dan cermin gelap.

Kedai aksesori yang menyediakan perkhidmatan itu juga perlu dikawal dan didaftarkan dengan JPJ dalam usaha untuk memastikan kedai-kedai ini mematuhi undang-undang.

S M Mohamed Idris

HARAKAHDAILY/-

Bandar raya terapung

27 Syawal 1432H. [MOD] -

PROJEK Utopia lebih seperti bandar raya terapung berbanding sebuah bot.

DARI fiksyen menjadi realiti...projek Utopia seperti tempat persembunyian Stromberg dalam filem James Bond, The Spy Who Loved Me

SOUTHAMPTON: Ia kelihatan seperti sesuatu yang pernah digunakan dalam filem James Bond.

Bagaimanapun, sebuah syarikat Britain percaya, bangunan terapung ini boleh menjadi sebahagian daripada kehidupan masa depan di laut.

Dengan 11 dek yang boleh digunakan sebagai kediaman, kawasan meninjau 360 darjah, empat tempat tempat helikopter mendarat, tempat berlabuh sendiri,

beberapa kolam renang dan ruang yang sama besar dengan sebuah kapal peranginan mewah, ia boleh diangap sebuah bandar raya terapung.

Meskipun ia tidak sesuai untuk digelar kapal mewah, rekaan itu yang dinamakan ‘Projek Utopia, didedahkan kepada pengunjung Pameran Kapal Layar Monaco baru-baru ini.

Perekanya, BMT Nigel Gee, dari Southampton, masih belum meletakkan harga pulau terapung itu atau menentukan jenis pelanggan yang mungkin berminat untuk membelinya.

Ia direka untuk terapung pada empat platform, setiap satu dilengkapi dengan penujah bagi membolehkan keseluruhan pulau terapung ini stabil, walaupun di laut yang bergelora.

Mampu untuk bergerak dengan perlahan, ia terbentang selebar 65 meter di atas permukaan laut, menyediakan dek meninjau 13 tingkat untuk pelawat dengan pemandangan panoramik.

Di bawahnya, dek ruang utama penempatan dan perkhidmatan, yang boleh menempatkan kedai, bar dan restoran, akan dilitupi dengan kanopi yang boleh ditutup dan dibuka.

Pengarah Yatch Design, James Roy percaya, rekaan ini mencabar kepercayaan terhadap seni bina tradisional mengenai pengangkutan laut.

Beliau berkata: “Wawasan mengenai masa depan sentiasa dikekang oleh kebiasaan dengan yang ada ketika ini atau gambaran pada yang lalu.

“Banyak yang dihasilkan dalam masyarakat pereka hari ini bermula di atas sekeping kertas kosong. Tetapi banyak, jika tidak semua konsep kapal mewah merujuk kepada bentuk tradisional.

“Kerana tanggapan bahawa sebuah kapal mewah mesti berbentuk pengangkutan, ia serta merta mengekang ilham pereka.

“Utopia bukan objek pengangkutan. Ia sebaliknya adalah tempat, sebuah pulau yang diwujudkan untuk sesiapa saja, yang ada wawasan untuk mencipta tempat seumpama itu.”

James berkata, rekaan itu yang dihasilkan bersama dengan Yacht Island Design, mempamerkan bagaimana syarikat itu, yang tertumpu kepada pembinaan kapal mewah, kapal komersial dan tentera laut, menggunakan teknologi canggih bagi membawa sesuatu yang baru ke dalam industri itu.

“Dengan merintis idea rekaan seperti Utopia adalah jenis projek yang menjadi kemahiran kumpulan kami.

“Pendekatan pemikiran ke hadapan dan pengalaman kejuruteraan canggih yang tidak ada tandingan membolehkan kami bekerjasama rapat dengan pereka dan syarikat membuat kapal serta menjelmakan idea ini menjadi realiti. - Agensi

Hidup semula selepas dimasukkan dalam beg mayat

29 Syawal 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

RIO DE JANEIRO - Seorang wanita yang berusia 60-an yang dirawat kerana sakit pneumonia dihantar terlalu cepat ke rumah mayat selepas diisytiharkan mati oleh seorang doktor, lapor akhbar Globo kelmarin.
Doktor tidak dapat mengesan sebarang tanda-tanda penting, melakukan ujian dan mengesahkan dia mati.
Dia kemudian dihantar ke bilik mayat dan berada selama dua jam di dalam beg plastik.
"Saya datang untuk memberikan ibu saya satu pelukan terakhir dan ketika itu saya berasa ibu saya masih bernafas. Saya menjerit mengatakan ibu saya masih hidup tetapi petugas di situ melihat seperti saya orang gila," kata anak perempuan wanita berkenaan, Rosangela Celestrino.
Pegawai-pegawai hospital yang menjalankan ujian dan mendapati Rosa Celestrino de Assis mengalami dua strok dan memerlukan bantuan pernafasan.
Pada pukul 7.30 malam waktu tempatan pada hari Jumaat, seorang jururawat menghubungi seorang doktor kerana wanita tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda penting akan hidup. Doktor kemudian mengesahkan kematiannya dan mayatnya dihantar ke rumah mayat.
Pengarah hospital, Manoel Moreira Filho menyatakan kesilapan tersebut dikesan pada pukul 10 malam dan wanita tersebut segera diberikan rawatan bantuan pernafasan. - AFP

Kartun jenakakan hudud diselar

27 Syawal 1432H. [MOD] -

PAS Melaka menyelar siaran kartun dalam akhbar Umno Utusan Malaysia semalam yang didakwa menjadikan hukum hudud sebagai bahan jenaka.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Melaka Muhamad Aizat Bahrudin berkata, tindakan itu keterlaluan kerana mempermainkan-mainkan hukuman Allah merupakan dosa besar.

"Hudud adalah hukuman yang disyariatkan Allah. Ia bukan hukum buatan manusia tetapi ia datang dari Allah.

"Penghinaan terhadap sesuatu yang datang dari Allah itu adalah sama dengan penghinaan kepada Allah," kata Muhammad Azizat.

Muhammad Azizat menggambarkan kartun itu menunjukkan lelaki berserban, yang merujuk kepada Musyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang mendengar lagu sambil berbaring.

Karikatur tersebut juga menggambarkan irama yang keluar dari alat muzik tersebut dengan perkataan: “ Hu..hu..hu..dudd..dudd..”

Pandangan akal

Menurut Muhammad Azizat, karikatur itu cuba menggambarkan bahawa Nik Aziz sedang membangkitkan isu lama.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau menyifatkan hudud kini digambarkan dengan wajah yang begitu hodoh, seolah-olah perlaksanaannya merupakan "jenayah".

"Akhbar arus perdana begitu hebat mempolemikkan isu ini dengan pelbagai tafsiran dan pandangan akal.

"Satu demi satu penghinaan dilakukan terhadap undang-undang Islam. Jika sebelum ini Utusan menghina hukuman zina, hari ini kepada hudud pula.

"Esok lusa hina Allah dan Rasul pula secara terang-terangan," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Melaka mendesak akhbar harian itu memohon maaf terhadap umat Islam atas "penghinaan" itu, kata Muhammad Azizat lagi.

MALAYSIAKINI/-

Tinggal dalam 24 tan sampah

27 Syawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas memiliki hobi pelik apabila sanggup menjadikan rumahnya sebagai tempat menyimpan pelbagai jenis sampah yang dikutip setiap hari selain makan dan tidur di situ sejak 10 tahun lalu.

Sehingga kini, wanita berusia 60-an itu hidup dikelilingi sampah-sarap seberat 24 tan dan hobinya itu dipercayai bermula selepas suaminya meninggal dunia menyebabkan dia ketandusan kasih sayang serta sunyi hidup bersendirian selepas anaknya tinggal berjauhan.

Ekoran sifat peliknya itu, jiran di kawasan sekitar itu membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) supaya mengambil tindakan berikutan tidak tahan dengan bau busuk dari rumahnya.

Ahli Majlis Zon 14 MBPJ, R Selvarajan berkata, bertindak selepas menerima aduan orang ramai, seramai 50 kakitangan MBPJ diketuai beliau sendiri ke rumah terbabit dan mendapati hampir setiap sudut kediaman berkenaan dipenuhi sampah.

“Ini kes pertama di kawasan ini. Agak mengejutkan melihat rumahnya yang dipenuhi pelbagai jenis botol, plastik, kayu dan pelbagai sampah-sarap lain.

“Lapan lori terpaksa digunakan untuk mengeluarkan sebanyak 24 tan sampah dari rumah terbabit selepas dibersihkan,” katanya selepas operasi berkenaan, semalam.

Operasi bermula jam 8.30 pagi itu turut disertai anggota polis Petaling Jaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor. Selvarajan berkata, bagi kesalahan itu, denda dikenakan ke atas wanita terbabit berikutan kesalahan membiarkan pembiakan nyamuk aedes.

Menurutnya, setiap hari seawal jam 4 pagi, warga emas itu akan keluar mengayuh basikal untuk mengutip sampah sebelum membawa pulang pada sebelah malam.

“Menurut jirannya, wanita itu tidak mempunyai masalah kewangan untuk menyara hidup kerana anaknya selalu memberikan wang selain mempunyai beberapa rumah sewa,” katanya.

“Tetapi, disebabkan dia hidup berseorangan dan tidak tahu berbuat apa-apa, dia bertindak sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan merujuk wanita berkenaan di hospital bagi mengenal pasti sama ada dia mempunyai masalah mental atau tidak.

METRO/-

Lion King kekal No.1

29 Syawal 1432H. [MOD] -




BEBERAPA orang beratur untuk melihat filem Lion King 3D di pawagam The El Capitan, Los Angeles pada 17 September lalu.


LOS ANGELES - Filem Lion King 3D terbitan Walt Disney menduduki carta box-office buat minggu kedua berturut-turut dengan kutipan dianggarkan sebanyak AS$22.1 juta (RM70.33 juta).
Anggaran kutipan itu dibuat oleh studio tersebut pada Ahad lalu.
Filem itu mengatasi filem lakonan aktor Brad Pitt yang berjudul Moneyball terbitan Sony Pictures dengan kutipan sebanyak AS$20.6 juta (RM65.65 juta).
Berada di tempat ketiga ialah filem terbitan Warner Bros yang berjudul Dolphin Tale dengan kutipan sebanyak AS$20.3 juta (RM64.60 juta).
Dolphin Tale dibintangi oleh Harry Connick Jr., Ashley Judd dan Morgan Freeman. Filem Abduction menduduki tangga keempat dengan kutipan sebanyak AS$11.2 juta (RM35.64 juta) manakala Killer Elite berada di tangga kelima dengan kutipan sebanyak AS$9.5 juta (RM30.23 juta).
Berada di tempat keenam ialah filem Contagion yang mendapat kutipan sebanyak AS$8.6 juta (RM27.37 juta) manakala Drive menduduki tangga ketujuh dengan kutipan sebanyak AS$5.8 juta (RM18.45 juta). - AP

Pelajar AS didakwa sukakan seks liar

29 Syawal 1432H. [MOD] -







PERUGIA, Itali - Peguam pemilik sebuah bar di Perugia menggelar seorang pelajar Amerika Syarikat (AS), Amanda Knox yang disabitkan kesalahan membunuh rakan sebiliknya sebagai seorang yang sukakan seks dan syaitan yang menipu kepada polis untuk mengalihkan siasatan.
Peguam itu, Carlo Pacelli memberitahu mahkamah semalam bahawa Knox mempunyai dua personaliti.
Menurutnya, Knox mempunyai personaliti sebagai seorang wanita yang baik semasa duduk di depan hakim selain personaliti syaitan yang meminati seks liar.
Dakwaan itu dibuat ekoran Knox mendakwa anak guam Pacelli, Diya 'Patrick' Lumumba membunuh Meredith Kercher.
Kercher merupakan rakan sebilik Knox yang merupakan warga Britain.
Lumumba dipenjarakan tetapi kemudian dibebaskan.
Namun, Knox disabitkan kesalahan dalam pembunuhan Kercher yang berlaku pada 2007 itu dan dihukum penjara selama 26 tahun.
Knox menafikan melakukan pembunuhan itu dan kini sedang merayu berhubung sabitannya. - AP

Subhanallah, ternyata Otak manusia, seperti orang SUJUD




27 Syawal 1432H. [MOD] -

Itulah hebatnya Tuhan. Otak yang selama ini kita bangga-banggakan ternyata bersujud kepada Tuhan, lantas kenapa kita masih bisa menyombongkan diri dihadapan Tuhan seperti orang-orang atheis yang menolak keberadaan Tuhan. Buat agan-agan yang muslim coba simak ayat Al-Qur'an dibawah ini
"Apakah kamu tiada mengetahui, bahwa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit, di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, pohon-pohonan, binatang-binatang yang melata dan sebagian besar daripada manusia?"
[QS. Al-Hajj (22): 18].

Kubur besar mangsa Gaddafi

27 Syawal 1432H. [MOD] -

SEORANG lelaki mengutip tulang dipercayai milik lebih 1,270 mangsa pembunuhan ketika era pemerintahan rejim Gaddafi di suatu kawasan kubur besar di luar tembok penjara Abu Salim, kelmarin.

Tulang milik 1,200 tahanan ditemui di luar tembok penjara Abu Salim

TRIPOLI: Pihak berkuasa Libya mengumumkan kelmarin bahawa mereka menemui sebuah kubur besar dipercayai mengandungi mayat kira-kira 1,200 tahanan di luar tembok penjara Abu Salim di sini, tempat pemimpin yang disingkirkan Muammar Gaddafi dipercayai mengurung dan menyiksa penentangnya.

Jurucakap tentera, Khalid al-Sherif dalam satu sidang media berkata, tulang yang terikat dengan tali dan serpihan tengkorak berselerak di kawasan padang pasir itu adalah bukti ngeri membabitkan satu pembunuhan beramai-ramai pada 1996 ke atas lebih 1,200 tahanan rejim Gaddafi.

Penggalian masih belum dimulakan, namun beberapa serpihan tulang dan kepingan pakaian sudah ditemui di bahagian permukaan tanah, katanya.
Al-Sherif berkata tulang terbabit mungkin menjadi sebahagian bukti paling mengejutkan mengenai kekejaman pemerintahan Gaddafi selama hampir 42 tahun dan membenarkan saudara mara mangsa mengetahui kebenaran mengenai nasib mereka selepas bertahun dihalang rejim.

Ia juga menjadi simbol menggambarkan betapa pentingnya revolusi Libya yang tercetus pertengahan Februari lalu di bandar Benghazi bagi menuntut pembebasan seorang peguam terkenal mewakili keluarga tahanan yang dibunuh.

Kami menemui kebenaran yang dinanti rakyat Libya selama beberapa tahun dan ia adalah mayat dan tulang mangsa pembunuhan beramai-ramai tahanan di penjara Abu Salim, katanya.

Tentera dan saudara mara mangsa mengayak pasir ketika mengunjungi tapak penemuan itu. Sehelai seluar dan serpihan lain yang ditemui ditunjukkan kepada anggota media yang dibawa ke tapak. Satu tulang dililit tali di sekelilingnya, kemungkinan salah seorang tahanan turut ditemui.

Sekumpulan bekas pemberontak yang berada di kubur besar itu melaungkan Allahu Akbar ketika saudara mara berhimpun di kawasan itu.

Al-Sherif dan anggota sebuah jawatankuasa ditugaskan mencari kubur besar itu, berkata mereka yakin padang itu mengandungi mayat mangsa pembunuhan beramai-ramai tahanan berdasarkan maklumat daripada saksi termasuk bekas pengawal keselamatan yang ditahan dalam pertempuran menentang pemimpin kuku besi itu.

Gaddafi berada dalam persembunyian sejak tentera revolusi menggempur Turkii akhir Ogos lalu, walaupun penyokongnya terus berperang di beberapa bahagian negara itu.

Beliau, seorang anak lelakinya dan ketua perisikan berdepan dakwaan jenayah kemanusiaan berikutan tindakan berdarah rejim menghapuskan bantahan antikerajaan tahun ini.

Pembunuhan beramai-ramai Jun 1996 berlaku selepas tahanan merusuh dan membantah layanan ke atas mereka. Pengawal memberi reaksi balas dengan melepaskan tembakan ke arah mereka. Al-Sherif berkata pihak berkuasa percaya mayat itu disimpan di dalam penjara sebelum dikebumikan pada 2000.

Isu pembunuhan menjadi tumpuan utama penentang Gaddafi. Kebanyakannya adalah tahanan politik, termasuk ulama dan pelajar berani bersuara menentangnya. AP

Wanita Saudi boleh sertai pilihan raya

27 Syawal 1432H. [MOD] -

Kebenaran anggotai Majlis Syura disambut baik, Raja Abdullah dianggap tokoh pembaharuan

RIYADH: Buat kali pertama dalam sejarah, wanita Arab Saudi akan diberi hak untuk mengundi dan bertanding dalam pilihan raya tempatan serta menganggotai Majlis Syura mulai 2015.

Pengumuman mengenai berita gembira itu dibuat pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang dianggap sebagai tokoh pembaharuan dalam kerajaan konservatif Asia Barat itu kelmarin, ketika ucapan perasmian tahun ketiga sesi kelima Majlis Syura.

Bagi dunia wanita, ia adalah kejayaan besar untuk masa depan walaupun mereka belum dibenarkan menyandang jawatan menteri Kabinet, memandu kenderaan atau keluar negara tanpa kebenaran mahram.

Wanita Arab Saudi berdepan peraturan paling ketat berikutan nilai konservatif yang sering menyebabkan mereka menjadi sasaran polis pencegah maksiat yang menguatkuasakan peraturan keras terhadap undang-undang syariah di jalan dan tempat awam seperti pusat beli-belah dan universiti.

Semua pihak tahu peranan wanita dalam sejarah Islam dan kedudukan mereka tidak boleh dipinggirkan.

Ramai wanita hebat yang menyumbang ke arah kemajuan Islam sejak zaman Rasulullah. Kita juga menolak daripada mengetepikan peranan wanita dan ini adalah seperti yang digariskan syariah.

Kami memutuskan bahawa wanita dibenarkan menyertai Majlis Syura sebagai anggota untuk sesi akan datang dan seterusnya mempunyai hak untuk mencalonkan diri mereka bagi keanggotaan majlis perbandaran dan menyertai proses pilihan raya, titah Raja Abdullah yang dipetik akhbar, Arabnews.

Menteri Kesihatan, Dr Abdullah Al-Rabeeah berkata, keputusan itu disambut baik kerana memberi peluang kepada wanita menyertai pembuat keputusan dan hal ehwal kerajaan.

Malah katanya, sejak permulaan Islam, wanita bekerjasama dengan lelaki dan memberi sumbangan dalam pelbagai perkembangan.

Bagaimanapun, keputusan yang memberikan wanita hak mengundi dan menyertai pilihan raya perbandaran tidak cukup memuaskan keinginan yang meningkat untuk mendapatkan kedudukan sama dengan lelaki.

Wanita di negara itu perlu menunggu empat tahun lagi untuk menyertai proses pilihan raya sedangkan pilihan raya tempatan bakal diadakan Khamis ini.

Mengapa bukan esok. Saya rasa pemerintah tidak mahu menggegarkan negara tetapi kita lihat dikeliling kita dan adalah sesuatu yang memalukan kerana kita masih memikirkan bagaimana untuk mendapatkan hak mudah bagi wanita, kata pejuang hak asasi terkemuka, Wajeha al-Hawaidar.

Pengumuman itu dilihat sebagai cubaan perubahan cara Saudi, langkah mengelak penentangan ulama berkuasa dan kumpulan konservatif dalam masyarakat.

Ia dilihat sebagai usaha pemerintah mempertahankan kerajaannya daripada menerima nasib serupa negara Arab lain yang dijatuhkan oleh kebangkitan popular.

Bimbang dengan kebangkitan di negara itu, Mac lalu, Raja Abdullah membuat pengumuman pakej insentif $93 bilion (RM294.1 bilion) untuk kerja dan perkhidmatan bagi mengurangkan bebanan rakyat. AP/Agensi.

Video Majlis Pecah Tanah Wakaf Kompleks Pendidikan Darul Anwar

29 Syawal 1432H. [MOD] -


Majlis Pecah Tanah Wakaf Kompleks Darul Anwar oleh Pengerusi Idham Care, Drs Khalil Idham Lim B Abdullah yang turut disaksikan oleh dua tetamu jemputan Ustaz Hj zamri B Hj Zainoldin dan Ustaz Dr Ang Wan Seng serta 3,000 hadirin yang hadir kelmarin sempena Majlis Pelancaran Tanah wakaf dan Eidul Fitri di Titi Serong, Parit Buntar.

Tiada lagi sukan laga lembu di Barcelona

29 Syawal 1432H. [MOD] -



LEMBU terakhir yang mati dibunuh ditarik keluar dari arena Monumental di Barcelona kelmarin.


BARCELONA, Sepanyol - Seekor lembu jantan dibunuh di Catalonia kelmarin sebelum pengharaman sukan tersebut berkuat kuasa di arena Monumental, Barcelona.
Haiwan seberat 570 kilogram itu dibunuh oleh seorang matador berusia 28 tahun, Serafin Marin.
Para penonton seramai 18,000 orang menyaksikan majlis terakhir laga lembu jantan tersebut.
Sebahagian daripada mereka menjulang tiga matador yang mengambil bahagian dalam pertarungan dengan lembu jantan.
Larangan sukan tersebut akan bermula pada Januari tahun depan.
Parlimen Catalonia mengundi pada Julai 2010 untuk mengharamkan sukan tersebut.
Pengundian itu dibuat selepas beberapa kumpulan hak asasi manusia mendapatkan 180,000 tandatangan bagi meminta sukan tersebut dibincangkan.
Para peminat sukan itu bergambar di arena tersebut sebagai kenangan.
"Adalah amat penting untuk datang ke sini hari ini," kata seorang peminat sukan itu, Juan Jose Cabedo.
Dia sanggup menempuh perjalanan sejauh 200 kilometer untuk menyaksikan acara itu.
"Kami berasa sedih dan marah," katanya.
Namun, kira-kira 30 aktivis hak asasi haiwan meraikan penamatan acara laga lembu itu. - AFP

Lif Selayang Mall Terhempas, Wanita Hamil Cedera

27 Syawal 1432H. [MOD] -

Kuala Lumpur — Seorang wanita hamil tujuh bulan patah kaki kanan selepas lif yang dinaikinya jatuh terhempas di pusat membeli belah Selayang Mall di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, mangsa Norazlina Mohd. Yusoff 9gambar), 25, bersama enam lagi ahli keluarganya dan beberapa individu lain menggunakan lif tersebut untuk turun dari tingkat empat ke tingkat paling bawah.

Norazlina berkata, beliau sekeluarga masuk ke dalam lif itu dari tingkat empat kawasan parkir sebelum lif tersebut berhenti di tingkat tiga untuk mengambil penumpang yang merupakan satu keluarga dan tiba-tiba berhenti di tingkat ‘G’ (ground floor) tanpa pintu terbuka.

"Secara tiba-tiba lif tersebut naik semula ke tingkat satu sebelum terus menjunam ke tingkat paling bawah (lower ground),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Selayang.

Beliau berkata, kesemua mereka kemudiannya dikeluarkan oleh pengawal keselamatan bangunan itu dan orang ramai yang kebetulan berada di situ sebelum yang tercedera dikejarkan ke hospital tersebut.

"Ketika kejadian kira-kira 12 orang berada dalam lif termasuk keluarga saya yang terdiri dari suami, emak, nenek dan ahli keluarga lain dan ia berlaku sekelip mata...semua orang terjatuh dan keadaan menjadi huru-hara.

"Saya sendiri cuba menahan dari terjatuh bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan dan akibatnya kaki kanan patah namun saya bersyukur bayi dalam kandungan selamat, malah anak saudara berusia 8 bulan yang dikendong suami turut selamat,” kata Norazalina, seorang kerani swasta.

Norazalina berkata, mereka menunggu kira-kira 20 minit sebelum ambulans tiba dan ahli keluarganya yang cedera ringan seperti neneknya, mendapat rawatan pesakit luar di hospital itu.

Katanya, bagaimanapun mereka yang lain tidak mengalami kecederaan. — Bernama

Keputusan inkues Sarbaini sukar dipercayai - PKR

27 Syawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 27 Sept: Mahkamah koroner semalam memutuskan bahawa kematian pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamad pada 6 April lalu adalah satu kemalangan.

“Keputusan ini sangat sukar dipercayai, tidak dapat diterima dan tidak konsisten dengan fakta kes.

“Mahkamah koroner memaksa kita untuk percaya bahawa Sarbaini yang secara sukarela datang ke pejabat SPRM di Cheras, kemudiannya mahu melarikan diri dengan merangkak keluar dari tingkap di aras tiga,” kata Naib Presiden PKR, N Surendran dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Katanya, tiada penjelasan diberikan tentang bagaimana dan mengapa rakaman CCTV selama 22 jam dipadam, yang mana ianya memaparkan detik-detik di mana Sarbaini menemui ajalnya.

Beliau berkata, paling membimbangkan adalah tindakan SPRM sepanjang kes Sarbaini.

Menurutnya lagi, sebagai institusi awam utama yang dibiaya sepenuhnya dengan wang rakyat, keutamaan SPRM seharusnya adalah untuk mendapatkan kebenaran perkara tersebut, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melaksanakan reformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Sebaliknya, kata beliau SPRM bertindak seperti individu yang terdesak untuk membersihkan namanya walau dengan cara apa sekalipun.

Baginya, SPRM bertindak sehingga ke tahap mengupah peguam Umno iaitu Shafee Abdullah untuk 'mempertahan' mereka sepanjang inkues.

“Perlu diperhatikan bahawa SPRM berkelakuan dengan cara yang sama semasa penyiasatan dan siasatan kematian Teoh Beng Hock, yang juga meninggal dunia semasa siasatan SPRM pada 16 Julai 2009,” ujarnya yang juga seorang peguam.

Dalam kedua-dua contoh, ujarnya SPRM bertindak menyerang reputasi mangsa-mangsa yang meninggal dunia secara terbuka sepanjang inkues dijalankan.

Surendran berkata, Sarbaini turut didakwa sebagai menerima rasuah meskipun beliau sudah tidak boleh menjawab mahupun mempertahankan dirinya terhadap dakwaan tersebut.

“Ini adalah memalukan dan tidak penting bagi pihak inkues tentang bagaimana beliau meninggal dunia.
“Asas kepada sistem perundangan kita adalah bahawa perbicaraan di mahkamah tidak seharusnya digunakan untuk memburukkan pihak yang telah tiada,” katanya lagi.

Katanya, keyakinan rakyat terhadap SPRM adalah di tahap paling rendah susulan kematian misteri dua individu itu.

Tambahnya, kedua-duanya merupakan bapa yang meninggalkan keluarga yang selamanya akan menderita atas kehilangan insan yang disayangi yang meninggal dunia dengan tragis.

Kerajaan, ujar beliau seharusnya memikul tanggungjawab terhadap kegagalan dalam memberikan jawapan sebenar kepada pihak keluarga dan rakyat.

Katanya, keengganan kerajaan yang terus-menerus tidak mahu melaksanakan reformasi terhadap badan penguatkuasa seperti SPRM dan PDRM adalah punca sebenar terhadap masalah ini.
“Kami menyeru Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat punca sebenar di sebalik kematian Ahmad Sarbaini.

“Skop suruhanjaya ini mestilah termasuk prosedur operasi, pengambilan dan kaedah latihan SPRM serta membuat syor-syor pembaharuan yang amat mendesak dalam memastikan reformasi sistem terlaksana,” tegasnya.

HARAKAHDAILY/-

Isu Hudud:Kenapa Najib MENEMPAH KEMURKAAN ALLAH?

27 Syawal 1432H. [MOD] -

ALLAH berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 36, "Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, mempunyai hak membuat pilihan sendiri dalam urusan mereka apabila Allah dan Rasul-Nya telah membuat sesuatu keputusan.

Siapa yang tidak mematuhi hukum-hukum Allah dan Rasul-Nya, bererti ia telah terjerumus dalam kesesatan yang amat nyata."Seorang ulama dengan tegas menyatakan bahawa sesiapa yang tidak sanggup menjunjung hukum Allah dan secara terbuka menentang Al-Quran dan sunnah Rasulullah, maka mereka ini tergolong secara langsung sebagai manusia yang menentang Allah dan Rasul-Nya.

Pernah kah kita terbaca atau terjumpa catitan sejarah bahawa terdapat manusia yang menang dalam peperangan menentang Allah? Waliya uzubillah. Saya belum pernah terjumpa buku atau mendengar kuliah yang menyatakan manusia pernah menang dalam peperangan menentang hukum-hukum Allah.

Apa yang saya pernah dengar dan pernah tengok dengan mata sendiri ialah manusia dan bumi dihancurkan Allah angkara keangkuhan dan kesombongan manusia yang menganggap diri mereka lebih hebat dan lebih bijak dari Allah s.w.t.

Allah berfirman dalam surah Ar-Rum, ayat 41, "Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia. (Timbulnya perkara-perkara itu) Kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian balasan dari perbuatan-perbuatan buruk mereka yang telah dilakukan, agar supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Pemimpin tertinggi UMNO terlalu sombong dan bongkak apabila dengan tegas menyatakan bahawa Kerajaan Pusat akan menghalang percubaan untuk melaksanakan undang-undang hudud seperti yang diinginkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Pemimpin UMNO selanjutnya bertegas bahawa hudud tidak sesuai dipraktikkan kerana suasana dinegara ini tidak mengizinkan undang-undang ciptaan Allah ini diletakkan pada kedudukan yang sewajarnya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi UMNO yang bertegas menolak perlaksanaan hukum hudud sebenarnya didorong oleh rasa takut akan kehilangan sokongan MCA dan GERAKAN. UMNO sekarang berada dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan'.

Para pemimpin UMNO lebih bersedia mencari redha MCA dan GERAKAN dengan menempah kemurkaan Allah. Maka tunggulah tiba saatnya nanti Allah menentukan sesuatu yang tidak terduga sama sekali oleh para pemimpin UMNO yang sombong dan bongkak, yang tidak sedar diri bahawa udara yang mereka hirup setiap detik adalah anugerah Allah, nyawa yang mereka miliki adalah pinjaman dari Allah, yang boleh ditarik pada bila-bila masa yang Allah kehendaki.

Menteri Besar Kelantan, Mursyidul Am PAS adalah pemimpin yang terus relevan sepanjang masa. Ketegasan Tok Guru Nik Aziz yang sanggup kehilangan rakan dalam Pakatan Rakyat, DAP, kerana penentangan YB Karpal Singh atas kesungguhan PAS mahu melaksanakan hudud, membuktikan kepada umat Islam bahawa Tok Guru bersedia menerima kemurkaan manusia dengan menempah keredhaan Allah!

Tok Guru tidak takut kehilangan kuasa kalau kuasa yang dimiliki hanya untuk mengekalkan undang-undang dan peraturan bersifat maksiat kepada Allah. Kenyataan Najib kononnya Kerajaan BN sekarang berkewajipan melindungi 'Maqasid Syariyyah', adalah palsu dan bohong semata-mata.

Apa yang berlaku pada malam 17 September yang menyaksikan berlangsungnya konsert 'Suarakami' di Stadium Merdeka yang turut disertai oleh Najib dan isterinya sama sekali bertentangan dengan prinsip 'Maqasid Syariyyah' yang salah satunya untuk melindungi aqidah dan kehormatan umat Islam.

Bohong! Cuba lihat siapa dia penyanyi yang dijemput untuk menjayakan konsert tersebut kalau bukan 'Awang Hitam' dari USA, dengan ukiran tatoo di badan mereka! Apakah ini dia contoh 'Maqasid Syariyyah' yang dicanangkan oleh Najib dan pemimpin tertinggi UMNO?

Remaja Islam yang menyertai konsert tersebut tiada bezanya dengan remaja bukan Islam yang tidak mempedulikan pergaulan bebas yang hanya mengundang dosa dan kemurkaan Allah.

Akhirnya, remaja Islam akan terus bergelumang dengan dosa yang tiada kesudahannya dimana kes-kes buang bayi terus bercambah, pelajar sekolah menggugurkan kandungan, dan pelbagai dosa yang amat menggerunkan umat Islam negara ini.

Semoga talian hayat UMNO beakhir dan tamat menjelang PRU ke-13 dan negara ini semoga menuju sebuah negara ini dipimpin ke arah 'baldatun tayyibatun warabbun ghafuur.’/IBN ABDULLAH - sabahkini.net/MU

Kes Ahmad Sarbaini gagal hapus kemarahan rakyat

27 Syawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Keputusan Mahkamah Koroner yang memutuskan Ahmad Sarbaini Mohamed mati kerana jatuh dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal menghapuskan kemarahan umum, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"Kita tidak berniat hendak mempertikaikan keputusan mahkamah tetapi apa yang nyata, keputusan itu gagal menghapuskan kemarahan umum yang meluap-luap apabila terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu di premis SPRM.

"Dalam masa yang singkat, dua orang terbunuh di premis SPRM, iaitu Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock dan apa jua keputusan mana-mana institusi sekalipun tidak akan mampu meredakan perasaan marah masyarakat terhadap SPRM dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," kata beliau.

Salahuddin juga tidak menolak bahawa sebahagian besar rakyat semakin tidak sabar menanti tarikh pilihan raya untuk membalas dendam dan menghukum BN berikutan keputusan-keputusan berkaitan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini dan Teoh di premis SPM itu.

"Sebelum ini, rakyat marah apabila media-media yang dilihat pro Umno dan BN memberi gambaran bahawa Ahmad Sarbaini membunuh diri.

"Terbaru, ada pula blog pro Umno dan BN yang dilihat mengaitkan tragedi terbunuhnya Ahmad Sarbaini di premis SPM itu dengan video seks.

"Rakyat yang marah berikutan tuduhan-tuduhan dan keputusan-keputusan berkaitan kedua-dua kes itu pastinya tidak sabar-sabar lagi menanti pilihan raya untuk menghukum Umno dan BN habis-habisan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga bersetuju dengan peguam keluarga Ahmad Sarbaini, Awtar Singh yang menegaskan SPRM seharusnya dipertanggungjawabkan kerana tragedi terbunuhnya Penolong Pengarah Kastam Selangor itu berlaku di premis SPRM.

"Sama seperti terbunuhnya Teoh Beng Hock, bukan sahaja Ahmad Sarbaini terbunuh di premis SPRM malah beliau terbunuh ketika dalam siasatan SPRM," kata Salahuddin sambil menyarankan keluarga dan sahabat Ahmad Sarbaini terus mengadakan solat hajat memohon Allah membuat penentuan yang muktamad.

Ketika mengulas keputusan mahkamah koroner itu, Awtar juga berkata adalah sukar untuk dipercayai Ahmad Sarbaini memanjat pintu untuk melarikan diri.

"Apa perlunya dia buat begitu? Dia datang dengan kerelaannya sendiri. Lebih dari itu, tidak ada kesan cap jari yang boleh dikesan berdekatan pintu berkenaan dan mereka tidak mengambil pakaian ketua SPRM Kuala Lumpur, Ahmad Fauzi (Husin), untuk melakuan ujian DNA," kata Awtar yang juga memberitahu pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memohon semakan kehakiman.

Dalam penghakimannya kepada mahkamah yang penuh sesak, koroner Aizatul Akmal Maharani berkata, teori bahawa SPRM terlibat dengan kematian Ahmad Sarbaini tidak boleh diterima.

Sehubungan itu, beliau menolak bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga bagi alasan kematian.

"Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri."

Menurut koroner, beliau percaya Ahmad Sarbaini terjatuh dari bangunan itu dan dalam keadaan sedar semasa jatuh.

"Mahkamah juga mendapati dia mati serta-merta dalam kejatuhan itu dengan kakinya terjatuh dahulu sehingga mencederakan kedua-dua belah kakinya dan juga mengalami kecederaan teruk di kepala," katanya.

Sebelum terbunuh, Ahmad Sarbaini dilaporkan pergi ke pejabat SPRM secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat suruhanjaya tersebut berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematiannya.

Mereka berkata, Ahmad Sarbaini adalah seorang pegawai yang bersih dan telah merancang untuk menunaikan fardu haji tahun ini bersama isteri dan ibu bapanya.

HARAKAHDAILY/-

Kubu Umno di Jeli makin tergugat

27 Syawal 1432H. [MOD] -

JELI, 27 Sept: Di segenap penjuru pasar Kuala Balah ribuan orang berdiri tanpa menghiraukan hujan sepanjang program berlangsung malam tadi.

Kawasan laman pasar yang agak lembab tidak dihiraukan, ramai yang kelihatan basah di bahagian punggung. Kawasan yang berbumbung pula sendat dengan manusia, mereka berhimpit-himpit bagi mendengar ceramah Pakatan Rakyat.

Mereka datang tidak diangkut dengan bas seperti biasa berlaku pada program tajaan Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mungkinkah ini menggambarkan kedudukan Datuk Seri Mustapa Mohamed mahu dinilai kembali rakyat Jeli selepas dua tahun menguasai kawasan berkenaan.

Ia disifatkan sebagai satu kejutan memandangkan kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Balah merupakan kubu Umno dan hanya sepenggal dimenangi PAS pada pilihan raya umum 1999.

Sebelum ini Dun berkenaan dikenali Pergau. Malah ada juga penduduk yang datang dari Gua Musang. Paling ramai penduduk tempatan termasuk dari Dun Air Lanas dan Bukit Bunga.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berharap rakyat Jeli membuat penentuan baru bagi menilai semula anggota parlimen sekarang yang sering berdalih dalam isu royalti minyak.

”Ketika peringkat awal kerajaan negeri menuntut bayaran royalti minyak anggota parlimen Jeli yang juga seorang menteri bermati-matian mengatakan minyak tidak ada di perairan Kelantan.

”Kemudian selepas kita desak juga Perdana Menteri pun membuat pengakuan minyak ada di perairan Kelantan, namun Datuk Mustapa berdalih lagi.

”Katanya telaga minyak yang dituntut kerajaan negeri bertindih dengan Thailand pula,” katanya ketika berceramah pada program anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Hadir sama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PRK Kelantan, Amran Abdul Ghani dan pemimpin PAS serta PKR tempatan.

Oleh itu Husam yang juga pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan berkata, rakyat Jeli perlu memastikan parlimen tersebut tidak lagi berada di tangan Umno dan BN.

Katanya, rakyat Jeli perlu menyumbang satu kerusi mewakili kawasan mereka untuk membolehkan kerajaan baru dibentuk di Putrajaya bagi mendapatkan royalti minyak.

Semasa kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009 Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan menafikan perairan Kelantan ada minyak.

Bagaimanapun tidak lama kemudian Perdana Menteri mengumumkan pemberian wang ihsan kepada Kelantan hasil royalti minyak.

Husam berkata, sumber Petronas memberitahu sebuah lagi telaga minyak baru ditemui betul-betul berada di perairan Kelantan dan tidak bertindih dengan negeri lain.

”Apa yang berlaku sekarang kerajaan BN benar-benar merompak hak rakyat Kelantan. Sebab itulah rakyat Jeli perlu tukar kerajaan yang menguasai Putrajaya sekarang,” ujarnya.

Nurul Izzah berkata, Perdana Menteri sekarang tidak memiliki keupayaan sendiri mentadbir sehingga terpaksa mengupah konsultan dari luar.

Katanya, sebelum ini konsultan Apco Worldwide dibayar upah sebanyak RM77 juta, kemudian ABC Media pula diupah RM68 juta.

Dan terbaru pula konsultan yang ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri Britain, Tonny Blair dikatakan dibayar bagi memulih imej perdana menteri.

HARAKAHDAILY/-

Lagi kereta Nano terbakar

29 Syawal 1432H. [MOD] -




GAMBAR fail menunjukkan sebuah kereta Nano, keluaran Tata Motors terbakar di Mumbai, India pada 21 Mac 2010.


NEW DELHI - Pengeluar kenderaan India, Tata Motors mengarahkan satu siasatan dibuat semalam selepas sebuah lagi kereta kompak buatannya, Tata Nano yang dilabel kereta termurah di dunia terbakar secara tiba-tiba.
Dipuji pada 2008 sebagai kereta pencetus revolusi pengangkutan di India, penjualan kereta Nano mengalami kemerosotan ekoran kebimbangan berhubung tahap keselamatan kenderaan itu, masalah pengeluaran serta kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi.
"Sebuah kereta Nano terbakar di sini kelmarin. Kami telah menghantar pasukan jurutera untuk melakukan siasatan. Kami memerlukan masa untuk menyiasat kes berkenaan," kata jurucakap Tata Motor, Debasis Ray.
Menurutnya, pengeluar kereta berkenaan akan menghubungi pemilik kereta terbabit.
Terdahulu, akhbar tempatan The Times of India melaporkan bahawa dua adik beradik lelaki sempat melarikan diri selepas kereta terbabit tiba-tiba terbakar.
Pada tahun lalu, Tata Motor terpaksa menawarkan peningkatan ciri keselamatan percuma selepas beberapa kereta Nano terbakar dalam pelbagai insiden tetapi firma itu tetap bertegas bahawa kereta berkenaan tidak mengalami masalah.
Model asas kereta Nano dijual pada harga semurah AS$2,500 (RM7,956). - AFP

Memaafkan

29 Syawal 1432H. [MOD] -

"Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan, serta tidaklah seorang hamba merendahkan diri karena Allah melainkan Allah meninggikan darjatnya". (HR. Muslim)

Nabi s.a.w bersabda, "Orang yang paling sabar diantara kamu ialah orang yang memaafkan kesalahan orang lain padahal dia berkuasa untuk membalasnya." (Riwayat Ibnu Abiduyya dan Baihaqi)

Nabi bersabda, "Tidaklah seorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia." [HR. Muslim]

Allah berfirman, ”Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya di waktu senang maupun di waktu sempit, dan orang-orang yang menahan marah dan memaafkan kesalahan orang. Allah suka kepada orang yang berbuat kebajikan.” (Ali Imran : 133-134)

Nabi yang pernah bersabda: "Dilaporkan kepada Allah semua perbuatan manusia pada setiap hari khamis dan Isnin, lalu Allah 'Azza Wa Jalla mengampuninya pada hari itu juga, diampunkan setiap orang yang tidak syirik (menyengutukan) sesuatu dengan-Nya, kecuali sesiapa yang sedang bermusuhan, iaitu Allah berfirman untuknya:

Tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai , tinggalkanlah (jangan dihapus dosa) kedua dua (orang yang bersengketa) ini, sehingga mereka berdua berdamai." (HR Muslim)

"Dan jika kalian memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang". (At Taghobun: 14)

"Dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu ? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani". (al-Nuur: 22)

tazkirah/-

Banjir sebabkan 158 orang mati di Thailand

29 Syawal 1432H. [MOD] -




BEBERAPA kanak-kanak bermain air banjir di depan rumah mereka di Phnom Penh semalam.


BANGKOK - Angka kematian akibat banjir di Thailand sejak pertengahan Julai lalu terus meningkat kepada 158 orang manakala 61 orang lagi mati di Kemboja dalam masa dua minggu, kata pihak berkuasa di kedua-dua buah negara semalam.
Lebih 0.8 hektar tanah ladang di Thailand ditenggelami air banjir, bersamaan 11 kali ganda saiz negara Singapura.
"Sebanyak 23 wilayah di utara dan tengah Thailand ditenggelami banjir dan hampir dua juta penduduk terjejas akibat banjir dan hujan lebat," kata sumber dari Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand.
Menurutnya, banjir juga turut menjejaskan ibu kota Bangkok, yang terletak hanya dua meter dari aras laut.
Sungai Chao Phraya turut dinaiki air, melimpahi beberapa jalan raya walaupun pihak berkuasa telah membuat benteng di sepanjang tebing sungai bagi mengelak banjir. - Reuters