27 September 2011

Resolusi Kongres Mahasiswa jawab tuntutan rakyat

29 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 27 Sept: Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyambut baik resolusi yang dihasilkan dalam Kongres Mahasiswa Nasional 3.0 kelmarin di Yayasan Selangor.
Resolusi Kongres Mahasiswa Nasional 3.0 menggariskan 5 perkara iaitu menuntut kerajaan melaksanakan reformasi politik, ekonomi, sosio budaya, pendidikan dan wanita, kata pengarahnya, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli.
Beliau beranggapan bahawa 5 hasil resolusi ini adalah menjawab tuntutan dan permasalahan rakyat kebanyakan.
“Reformasi dan penambahbaikan kepada 5 aspek ini, AMK percaya akan memberikan kesan positif yang besar di dalam membina negara dan generasi masa depan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, AMK percaya bahawa 5 tuntutan itu hanya boleh dijayakan jika pihak pemerintah mempunyai ‘political will’ atau keberdayaan politik untuk merealisasikan dan menjayakan tuntutan reformasi ini.
Namun demikian, katanya melihat kepada pengalaman, ‘track record’ pemerintahan negara, di bawah Umno BN tidak punya kesungguhan membawa perubahan.
Sebagai contoh, ujarnya Auku yang diwar-warkan dipinda, namun apabila dipinda pada tahun 2008 segalanya hanyalah kosmetik dan gimik politik.
Menurutnya, Seksyen 16 dan 17 Auku masih mengongkong mahasiswa dan meletak kuasa yang besar kepada menteri.
Beliau berkata, mahasiswa bukan sahaja masih tidak dibenarkan bersuara dan beraktiviti, malah mencari dana untuk persatuan pelajar pun tidak dibenarkan.
“Dengan ini, Biro Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin menyatakan komitmen kepada keberdayaan dan kesungguhan politik untuk melaksanakan reformasi ini jika diberi mandat untuk bersama mentadbir kerajaan persekutuan,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan AMK Selangor.
AMK juga, katanya ingin memuji usaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan 10 badan gabungan gerakan mahasiswa kerana menjadi ‘dhammir’ hati nurani rakyat.
H/daily

Tiada ulasan: