Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menegaskan akan sentiasa konsisten untuk menegur mana-mana pihak yang membabitkan kemungkaran di negeri ini.
Timbalan ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata, pihaknya meneliti kenyataan rasmi Exco kerajaan negeri, Datuk Hamidah Osman berhubung penganjuran Pertandingan ‘Full Moon Beach’ yang turut mempertandingkan Miss Bikini Malaysia di Pangkor Island Beach Resort pada 7 dan 8 Oktober nanti.
Baginya, kenyataan itu jelas merujuk kepada sikap Pemuda PAS negeri menegur aktiviti yang tidak bermoral tersebut.
“Kami lahirkan sikap berterima kasih dan syabas di atas langkah segera Kerajaan Negeri Perak di dalam membabitkan isu moral ini dan yang sensitif terhadap umat Islam tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, dalam kenyataan tersebut Hamidah juga mengakui kegagalan memantau aktiviti yang disifatkan tidak bermoral dan juga mengakui setelah Pemuda PAS mendedahkan perkara tersebut menyebabkan kerajaan negeri memberi respons.
Tambahnya, exco itu juga jelas mengakui bahawa Pemuda PAS negeri sentiasa memantau sebarang aktiviti dan juga perjalanan pembangunan pentadbiran negeri untuk kebaikan semua pihak bersama.
“Akhirnya, kami masih menanti keputusan yang dinyatakan oleh Datuk Hamidah agar pihak kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti seumpama ini dan masih menunggu jawapan balas daripada pihak Pangkor Island Beach Resort sebagai penganjur tentang pertandingan tersebut,” ujarnya.
H/daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan