27 September 2011

Ulama main peranan besar di selatan Thai

29 Syawal 1432H. [MOD] -



YALA (Selatan Thai): Para ulama di wilayah selatan Thailand diberi peranan penting bagi memberi gambaran sebenar Islam kepada penduduk di sini.

Sebuah buku bertajuk 'Islam dan Kebenaran Yang Mesti Diketahui' telah dihasilkan oleh ulamak di lima wilayah selatan negara berkenaan diharapkan mampu memberi pemahaman kepada masyarakat setempat berhubung pergolakan yang berlaku.

Presiden Persatuan Pondok Wilayah Selatan, Abdul Aziz Yanya (Sano), berkata kandungan buku berkenaan memberi definasi betul mengenai perjuangan.
(Abdul Aziz menunjukkan buku 'Islam dan Kebenaran Yang Mesti Diketahui')

Beliau berkata golongan ulama amat dihormati oleh masyarakat di wilayah berkenaan.

Katanya,  dengan melalui tulisan yang disumbangkan oleh golongan berkenaan ianya diharap mampu meredakan sentimen benci antara satu sama lain khususnya masyarakat beragama Islam dengan Buddha.

"Antara kandungannya mengenai perjuangan yang betul, jihad dan penentuan mati syahid dan sebagainya.

"Kita cuba beri keterangan mengikut kaca mata Islam dan alhamdulillah ia diterima oleh masyarakat dan keganasan semakin kurang," katanya

Beliau bekata demikian ketika ditemui di Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand (SBPAC), di sini.

“Mereka (ulama) tidak beri apa-apa bayaran untuk menulis buku ini tetapi atas dasar untuk keamanan bersama mereka mengambil tanggungjawab ini,” katanya lagi.

Untuk rekod SBPAC ditubuhkan pada Disember 2010 untuk mentadbir lima wilayah iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Songkla dan Satun.

Sementara itu, Ketua Setiausaha SBPAC, Panu Uthairat berkata, hasil kajian mendapati pengganas di selatan negara itu dianggarkan tidak melebihi 1,000 orang.

Manakala mereka disokong antara 6,000 hingga 7,000 penduduk kampung di wilayah berkenaan.

Sementara berpuluh ribu lagi dalam keadaan keliru sama ada untuk menyokong atau pun tidak pihak pengganas berkenaan.

"Justeru, peranan alim ulama amat penting untuk memberi gambaran sebenar apa yang betul dan apa yang salah.

"Ini kerana masyarakat di sini cuba dipengaruhi anasir jahat yang sengaja mencari jalan memecah belah masyarakat di sini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Thailand juga menyediakan pelajaran secukupnya kepada masyarakat dan dianggarkan 75 peratus pegawai kerajaan adalah anak tempatan.

"Malah Raja Thailand sendiri kerap memainkan peranan khususnya untuk meningkatkan pembangunan di wilayah selatan," ujarnya.

Ujarnya lagi,  sektor pelancongan di Yala juga semakin meningkat, khususnya di Betong yang bersempadan dengan Malaysia.
H/daily

Tiada ulasan: