KUALA LUMPUR, 26 Sept: Parti MCA dan Gerakan dicabar keluar dari BN sekarang, ekoran kenyataan kedua-dua pemimpin utama parti itu untuk keluar dari BN sekiranya BN melaksanakan Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi hukuman hudud.
Kedua-dua parti itu dicabar keluar dari BN kerana Kanun Jenayah Syariah yang mengandungi perlaksanaan hudud sememangnya telah digunakan di Terengganu sekarang.
Kanun Jenayah Syariah Terengganu itu telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ketika Terengganu berada di bawah pemerintahan PAS pada tahun 1999 hingga 2004 lalu, tetapi kini terus digunakan di Terengganu walaupun Terengganu berada di bawah pemerintahan BN.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, dengan itu undang-undang Kanun Jenayah Syariah Terengganu yang digunakan oleh Kerajaan BN Terengganu sekarang adalah kanun jenayah syariah yang digubal oleh PAS.
Katanya, sekarang BN di Terengganu telah menggunakannya sejak BN merampas kembali Terengganu dari PAS dan MCA serta Gerakan perlu sedar perkara itu serta melaksanakan janjinya untuk keluar dari BN sekiranya BN berbuat demikian.
"Jadi kalau MCA dan Gerakan nak keluar dari BN, keluarlah sekarang kerana itulah Kanun Jenayah Syariah yang dilaksanakan oleh BN di Terengganu sekarang," katanya pada sidang media bersama dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.
MCA dan Gerakan seperti yang dilaporkan media tempatan termasuk akhbar milik Umno beberapa hari lalu termasuk semalam mengatakan, pemimpin utama MCA dan Gerakan akan tetap menentang perlaksanaan hudud di negara ini dan sekiranya Umno atau BN melaksanakannya, kedua-dua parti itu akan keluar dari BN.
Menurut Saifuddin, para pemimpin kedua-dua parti itu kini perlu menyedari realiti yang berlaku di Terengganu sejak BN mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu dari PAS dan perlu melaksanakan apa yang dikatakan oleh mereka itu.
Realiti yang berlaku di Terengganu, tegas beliau, berbeza dengan Kelantan kerana Terengganu kini diperintah oleh BN setelah merampas tampuk pemerintahan Terengganu dari PAS, manakala Kelantan pula terus diperintah oleh PAS.
Para pemimpin MCA dan Gerakan tidak seharusnya bercakap kosong dalam hal itu, malah mereka perlu melaksanakan apa yang diperkatakan oleh mereka itu bagi mempertingkatkan imej mereka sendiri.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang sehubungan itu turut mengingatkan para pemimpin Umno BN bahawa hajat mereka untuk memporakperandakan PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat dengan mencetuskan isu hukum hudud dan agenda penubuhan negara Islam hanyalah sia-sia kerana ia diyakini tidak akan kesampaian.
Malah, kerjasama antara PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat kini jauh lebih utuh dan matang dari sehari ke sehari berbanding di peringkat awal penubuhan Pakatan Rakyat dulu.
"Asas kerjasama Pakatan Rakyat adalah rakyat didahulukan atau kepentingan rakyat yang diutamakan, di samping menghargai perbezaan pendapat antara parti-parti yang berada di dalamnya," katanya.
Serentak dengan itu, katanya, para pemimpin Pakatan Rakyat dan penyokong-penyokongnya akan terus berkerjasama bagi kerja-kerja pilihanraya dengan teratur, tanpa dapat diganggu gugat oleh para pemimpin Umno BN.
Manakala Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Anthony Loke pula berkata, isu mengenai perlaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam itu bukanlah isu baru dan ia telah lama difahami oleh para pemimpin Pakatan Rakyat.
Beliau yang juga wakil kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan juga wakil kepada DAP menjelaskan, para pemimpin Pakatan Rakyat sememangnya menghormati pendirian parti masing-masing.
Atas penghormatan itulah, para pemimpin Pakatan Rakyat berkerjasama dengan baik sejak Pakatan Rakyat ditubuhkan, malah kini kerjasama itu semakin mantap dengan ketiga-tiga parti berfungsi dengan baik.
"Sekarang Tun Dr Mahathir tiba-tiba menjadi pengacau dan jurucakap kepada Umno untuk membangkitkan perkara itu. Tetapi dalam masa yang sama, semua orang faham Umno sebenarnya tak nak laksanakan hukum hudud. Apa yang dibangkitkan hanyalah untuk kepentingan politik mereka.
"Pada kami dari DAP dan Pakatan Rakyat, apa yang dibangkitkan itu sebenarnya tak timbul kerana ia merupakan isu yang dah lama, tambahan pula ia tidak dinyatakan di dalam Buku Jingga.
"Kalau tak ada dalam Buku Jingga, itu bukanlah dasar Pakatan Rakyat. Para pemimpin Pakatan Rakyat cukup faham perkara itu, jadi tak perlulah Umno BN menimbulkan kembali isu itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.
H/daily
|
27 September 2011
MCA, Gerakan dicabar keluar BN
29 Syawal 1432H. [MOD] -
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan