25 Mac 2013

Najib tidak tahu malu ciplak idea orang

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak didakwa seorang pemimpin yang tidak tahu malu apabila menciplak idea pihak lawannya menjelang pilihan raya umum ini.

Ia terbukti apabila Najib mengumumkan pemberian 1,000 permit teksi kepada pemandu teksi terpilih baru-baru ini.

Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa 1,000 permit teksi akan diberikan kepada pemandu-pemandu teksi terpilih mengesahkan beberapa perkara.

Demikian dinyatakan oleh Rafizi Ramli (gambar), Pengarah Strategi PKR dalam satu kenyataannya hari ini.

Bagi beliau, pengumuman Najib itu memberi tiga implikasi.

Pertama, ia pengakuan terbuka Umno/Barisan Nasional bahawa dasar dan program ekonomi yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat (melalui Dasar Bersama, Buku Jingga dan Manifesto Rakyat) benar-benar memenuhi citarasa dan tuntutan rakyat.

Kedua, ia mengesahkan bahawa program-program ini mampu dilaksanakan dan tidak mengundang kesan kewangan yang buruk, seperti yang dituduh oleh Umno/Barisan Nasional.

Ketiga, ia membuktikan terdesaknya Datuk Seri Najib Tun Razak sehinggakan beliau tidak lagi mempunyai perasaan malu untuk menciplak idea dasar dan program yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

"Pun begitu, saya mengkritik sekerasnya kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang cuba mengumpan pemandu teksi untuk mengundi Barisan Nasional," katanya.

Ucapan beliau, katanya, berbaur ugutan politik apabila beliau menyatakan bahawa pemandu teksi perlulah “bai’ah” (mengikat janji) untuk mengundi Barisan Nasional jika mahu mendapatkan lebih banyak permit persendirian di masa hadapan.

Setakat ini, Umno/Barisan Nasional terus gagal untuk mengumumkan manifesto mereka sendiri. 

Sebaliknya, Najib Tun Razak menciplak idea dasar Pakatan Rakyat dan mengumpan rakyat dengan berjanji akan melaksanakan program-program Pakatan Rakyat itu sekiranya Barisan Nasional menang dalam Pilihanraya Umum ke-13.

"Oleh sebab itu, saya tidak hairan lagi kenapa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berani berdebat secara terbuka dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dasar-dasar dan program ekonomi. 

"Beliau nampaknya tidak mempunyai idea dan kepakaran ekonomi kerana sering terpaksa bergantung kepada idea orang lain, termasuklah idea Pakatan Rakyat sendiri.

"Saya pasti pemandu-pemandu teksi yang ada di seluruh negara faham bahawa pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah satu gimik politik untuk menenangkan kemarahan mereka selama ini," katanya.

Bagi Rafizi, penyelesaian berpanjangan isu permit teksi ini terletak di tangan Pakatan Rakyat yang mula-mula sekali memperjuangkan isu ini.

Harakahdaily/-

Polis: Mangsa potong kemaluan masih kritikal

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU - Mangsa yang kemaluannya dipotong oleh anaknya masih kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata kemaluan mangsa berjaya disambung semalam namun lelaki berusia 67 tahun itu masih belum sedarkan diri.

Pihak hospital juga berjaya menyambung semula kemaluan suspek dan dia kini dilapor stabil serta ditempatkan di wad biasa di hospital sama, katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Manoharan, polis masih menunggu laporan daripada hospital untuk mengetahui sama ada suspek mengalami gangguan mental atau sebaliknya.

"Pihak kami juga akan menahan suspek sebaik suspek pulih dari kecederaan dalam masa terdekat," katanya.

Dalam kejadian 1.30 pagi semalam di Felda Kerteh 6, Ketengah Jaya, Dungun, suspek yang berusia 40 tahun bertindak memotong kemaluan bapanya sebelum memotong kemaluan sendiri.

Suspek yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di ibu negara di percayai terpengaruh dengan ajaran sesat yang dipelajarinya menerusi Internet.

Suspek sebelum itu dikatakan bertindak agresif denga merotan dan memukul bapanya bagi membuatkan warga emas berkenaan menangis untuk mengeluarkan "semangat Imam Nawawi" daripada badan bapanya.

Setelah gagal membuatkan bapanya menangis, suspek kemudian meminta sebilah pisau daripada abang iparnya sebelum meluru masuk ke bilik tidur bapanya dan bertindak memotong kemaluan warga emas itu sebelum memotong kemaluan sendiri.

Dia juga turut memaksa abang iparnya berbuat demikian namun lelaki itu berjaya melarikan diri. - Bernama

Pemilih tanpa parti penentu dalam PRU 2013 — A. Kadir Jasin

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


 Pilihan raya bukanlah kompleks sangat. Mula-mula Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Lepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Yang susah ialah memilih parti atau calon untuk diundi. Itu pun bagi pemilih atas pagar dan pemilih baru saja. Bagi pemilih partisan, mereka sudah buat pilihan. Buruk baik, datang hujan atau matahari terik, mereka akan pangkah parti mereka sekalipun mereka tidak senang hati dengan pemimpin parti.
Ada yang taasub kepada parti kerana agama. Masih ramai penyokong PAS, contohnya, percaya iaitu ada kaitan antara akidah dengan mengundi parti itu. Bagi segelintir daripada mereka, mengundi PAS memisahkan antara syurga dan neraka.
Ada yang taasub kepada parti kerana bangsa dan nasionalisme. Banyak penyokong Umno yakin parti itu masih berpaksikan nasionalisme dan perjuangan orang Melayu walaupun ada di kalangan pemimpinnya yang berkata agenda Melayu sudah ketinggalan zaman manakala yang lain pula memperjuangkan keterangkuman (inclusiveness).
Ada yang taasub kepada kaum dan kepentingan kaum. Penyokong DAP, secara sedar atau separa sedar, menganggap parti itu sebagai parti orang Cina. Walaupun DAP memperkenalkan dirinya sebagai parti pelbagai kaum dan melandaskan perjuangan di atas konsep Malaysian Malaysia dan sosialisme namun kepemimpinan, keahlian dan orientasinya adalah Cina. Sejak awal-awal lagi, orang Melayu dan India sekadar biola kedua (second fiddle) dalam parti itu.
Sejak mencapai prestasi baik dalam PRU 2008, DAP nampak lebih ikhlas dan tekun untuk membawa masuk orang Melayu yang boleh memberikan wajah Malaysia kepada perjuangan, tetapi tidak begitu berjaya. Namun dalam PRU kali ini ia mungkin meletakkan lebih banyak calon Melayu-Bumiputera.
Ada juga pengundi yang taasub kepada watak seperti PKR yang berkisar di sekitar perwatakan Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim. Tetapi unsur ketaasuban kepada pemimpin dan pemujaan kultus (cult worshiping) tidak terhad kepada PKR saja. Ciri yang serupa wujud dalam hampir semua parti, termasuk Umno, apabila ada pemimpin yang mengutamakan peribadi mereka daripada dasar dan perjuangan parti.
Dalam PAS ada beberapa watak kultus yang kuat pengaruhnya. Terulung adalah Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pemujaan penyokong PAS terhadapnya sudah mencapai tahap taasub dan pemujaan kultus. Ciri yang serupa turut dipamerkan terhadap Lim Kit Siang (DAP) dan Abdul Taib Mahmud (Parti Bumiputera Bersatu Sarawak).
Faktor pengundi atas pagar
Bagi pengundi tanpa parti dan atas pagar, membuat pilihan lebih rumit. Bilangan pengundi atas pagar dijangka lebih besar kali ini dengan bertambahnya bilangan pemilih baru.
Ramai pemilih baru, termasuk yang direkrut oleh parti-parti politik, tidak berparti. Selain pemilih baru, sebahagian penyokong Umno/BN yang berpaling tadah pada PRU 2008 mungkin kekal sebagai pengundi atas pagar.
Memperoleh undi pemilih baru ini lebih sukar kerana mereka belum biasa mengundi dan tidak terikat dengan mana-mana parti.
Mereka juga lebih sukar untuk dipengaruhi kerana majoriti tidak mengikuti media arus perdana atau tidak yakin kepada MAP. Kemungkinannya mereka lebih terdedah dan mempercayai media baru dan media alternatif.
Dalam konteks ini, penggunaan media baru berasaskan Internet adalah sangat penting. Siapa yang lebih meyakinkan atau lebih lantang akan mendapat perhatian. Tuduhan dan dakwaan yang tidak dijawab akan disimpulkan sebagai kebenaran. 
Aliran pengundian PRU 2013 
Adalah tidak memeranjatkan kalau aliran berikut berlaku pada PRU 2013:
1. Sebahagian penyokong Umno/BN yang merajuk pada PRU 2008 dan mengundi pembangkang akan kembali menyokong Umno/BN;
2. Yang masih berasa marah mungkin tidak akan keluar mengundi atau membuat undi protes dengan merosakkan kertas undi;
3. Umno/BN mungkin dibantu oleh ahli parti yang sebelum ini tidak mendaftar sebagai pemilih tetapi kini sudah didaftarkan dan oleh kegiatan memindahkan pengundi Melayu dari kerusi di mana BN tidak ada harapan menang ke kerusi di mana BN ada harapan merampas balik kerusi daripada pembangkang;
4. Majoriti pengundi baru bandar akan mengundi pembangkang manakala pengundi baru luar bandar akan mengundi BN; dan
5. Aliran pengundian akan mempamerkan ciri polarisasi kaum yang lebih buruk kerana kegiatan merekrut pemilih baru oleh parti-parti politik dibuat berasaskan perkiraan kaum. Wallahualam. — kadirjasin.blogspot.com
The Malaysian Insider/-

Solat Terakhir

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


“Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, yaitu orang yang khusyuk dalam shalatnya” (QS. al Mukminun: 1-2).

LAZIMNYA, kalau seseorang hamba merasakan hidupnya di dunia ini sudah berada di hari-hari terakhir, akan berusaha untuk taat beribadah. Namun, saat terakhir hidup seseorang merupakan rahasia Allah. Sedangkan manusia diajak untuk senantiasa memaksimalkan penggunaan waktu untuk menghadapi saat terakhir di dunia ini.

Rasulullah saw, antara lain, mengajak untuk melaksanakan shalat bagaikan untuk yang terakhir kalinya. Shalat yang terasa terakhir kali, akan membuat diri kita tergugah untuk melaksanakannya secara maksimal. Juga muncul rasa takut kalau-kalau shalat yang dilakukan tidak diterima Allah. Dengan sendirinya, akan berusaha untuk menjaga setiap bacaan dan menghayati maknanya, serta menyempurnakan segala rukunnya. Semua ini akan membantu kekusyukan dalam shalat. Hal ini sangat penting dilakukan, mengingat kusyuk adalah syarat diterimanya shalat.

Bukan hanya itu, shalat adalah ibadah yang paling utama diperiksa di akhirat kelak. Kalau ia baik, maka baiklah ibadah-ibadah yang lain. Demikian juga sebaliknya, kalau ia buruk, maka buruklah amal yang lain. Bahkan, orang yang tidak menyempurnakan shalatnya pernah dilabelkan dengan pencuri dalam shalat. Para sahabat bertanya apakah yang dimaksud dengan mencuri dalam shalat. Dijawabnya, yaitu orang yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud dalam shalatnya.

Serambi Indonesia/-


Najib tekan pemandu teksi guna permit persendirian, kata PKR

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak semalam menekan pemandu teksi dakwa PKR hari ini ekoran tindakan perdana menteri menyuruh pemandu teksi perlulah “bai’ah” (mengikat janji) untuk mengundi Barisan Nasional (BN) jika mahu mendapatkan lebih banyak permit persendirian di masa hadapan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mengecam ucapan Najib yang dianggapnya sebagai ketandusan idea dan membuktikan BN terdesak sehingga terpaksa mengambil langkah sedemikian.
“Ia membuktikan terdesaknya Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata Rafizi.
“Saya mengkritik sekerasnya kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang cuba mengumpan pemandu teksi. Ucapan beliau berbaur ugutan politik apabila beliau menyatakan bahawa pemandu teksi perlulah ‘bai’ah’ (mengikat janji) untuk mengundi Barisan Nasional jika mahu mendapatkan lebih banyak permit persendirian di masa hadapan,” katanya.
Semalam, Putrajaya menyerahkan 1,000 permit teksi individu dan menjanjikan lebih lagi yang mana Najib berkata ianya merupakan bukti kerajaan BN menunaikan janjinya.
“Ini satu lagi janji ditepati kerajaan,” kata Najib kepada 5,000 pemandu teksi dalam satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Rafizi dalam pada itu turut menuduh Najib telah menciplak idea dasar Pakatan Rakyat (PR) dan mengumpan rakyat dengan berjanji akan melaksanakan program-program PR itu sekiranya Barisan Nasional menang dalam Pilihanraya Umum ke-13.
“Setakat ini, Umno dan Barisan Nasional terus gagal untuk mengumumkan manifesto mereka sendiri. Sebaliknya, Najib telah menciplak,” tambah Rafizi.
Walaupun demikian, beliau tidak bimbang dengan langkah terbaru terbaru tersebut serta menyifatkannya sebagai satu gimik politik dan tidak akan berkesan untuk menarik sokongan pemandu teksi.
“Saya pasti pemandu-pemandu teksi yang ada di seluruh negara faham bahawa pengumuman Dato’ Seri Najib Tun Razak hanyalah satu gimik politik untuk menenangkan kemarahan mereka selama ini.
“Penyelesaian berpanjangan isu permit teksi ini terletak di tangan Pakatan Rakyat yang mula-mula sekali memperjuangkan isu ini,” kata Rafizi yang memberi janji PR akan menyelesaikan masalah yang dihadapi pemandu teksi sebaik memerintah Putrajaya.
Baru-baru ini, kumpulan pendesak mewakili pemandu teksi Lembah Klang menuntut permit teksi, dan berharap Putrajaya akan menerima permohonan permit teksi tanpa syarat kepada pemohon individu.
Sistem sewaan sedia ada yang mana teksi dikehendaki membayar setinggi tiga kali pendapatan mereka kepada syarikat yang kebiasannya dikaitkan dengan politik yang digambarkan sebagai “perhambaan alaf baru”.
Kumpulan yang mendakwa mereka daripada Gerakan Tuntutan Pemandu Teksi (TEKSI), menuntut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Datar (SPAD) untuk mendengar tuntutan mereka, yang telah dibawa untuk perbincangan.
Dengan pilihan raya yang semakin hampir, pentadbiran Najib dilihat cuba mengrlakkan perselisihan dengan kumpulan pengundi sasaran seperti pemandu teksi bagi menghadapi pilihan raya yang getir kali ini.
TEKSI dibentuk Oktober lalu selepas sejumlah pemilik teksi di Lembah Klang bersatu menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kepada Putrajaya agar memudahkan mereka memperolehi permit teksi.
Kumpulan itu juga sebelum ini mengugut untuk menjadi duta Pakatan Rakyat sekiranya tuntutan mereka tidak diendahkan.
Terdapat hampir 80,000 teksi di Malaysia dengan kebanyakannya di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang, namun rekod rasmi menunjukkan  79,571 pemandu teksi berdaftar, dan 1,303 syarikat teksi seluruh negara.
Syarikat-syarikat ini memiliki 31,978 permit atau 48 peratus jumlah permit teksi di negara ini.
The Malaysian Insider/-

Pekerja tol maut tersepit

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


kemalangan

Mangsa maut selepas keretanya merempuh belakang sebuah bas di Kilometer 24.5 Lebuhraya Silk berhampiran Plaza Tol Sungai Ramal, awal pagi kelmarin.
KAJANG - Seorang pekerja tol maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 24.5 Lebuhraya Silk berhampiran Plaza Tol Sungai Ramal, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab berkata, mangsa, Nor Apizi Md Isa, 32, ketika kejadian jam 5.52 pagi itu mangsa dalam perjalanan ke Semenyih.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Kancil  dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh belakang bas yang berhenti di tepi jalan itu.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal di lokasi kejadian. Pemandu dan penumpang bas terbabit tiada di lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Sardan Sakiman mengambil masa 20 minit mengeluarkan mangsa yang kemudian dihantar ke Hospital Serdang.

Sinar harian/-

PAS desak Najib arah Taib Mahmud bercuti

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PAS mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengarahkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud bercuti supaya membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menyiasat pendedahan video Global Witness berhubung isu penerokaan hutan dan pembalakan di negeri itu.

Pada masa yang sama, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Zulkefly Mohamad Omar mendesak SPRM supaya segera menyiasat pendedahan yang dibuat sekalipun tiada laporan dibuat mengenainya.

Katanya lagi, kakitangan kerajaan negeri yang didakwanya terlibat dalam tuduhan salah urus tadbir itu termasuk ketua menteri Sarawak perlu mengambil cuti buat sementara waktu agar siasatan yang adil dan menyeluruh dapat dijalankan oleh suruhanjaya itu.

"(SPRM) jangan tunggu lagi. Pergi (siasat) sekarang, walaupun tak buat lagi laporan.

"Kita akan buat laporan, jika tiada siasatan. Atau PM arahkan (ketua menteri) cuti sementara. Kita nak melihat tranformasi kerajaan khususnya melibatkan rasuah," katanya.

Bercakap dalam sidang media pagi ini, Zulkefly juga berkata setakat ini perdana menteri juga masih belum menjawab berhubung pendedahan tersebut, bahkan penafian juga masih belum dibuat olehnya.

"Kalau tak betul saman. Tetapi setakat ini tak ada... Kita tak nampak pejabat ketua menteri digeledah atau (Taib) diminta bercuti.

"Kalau di Selangor (bawah Pakatan Rakyat), segera tindakan diambil. Kalau tidak betul buat penafian atau saman Global Witness," katanya yang juga ahlin jawatankuasa PAS Pusat.

Zulkefly berkata pendedahan yang dibuat Global Witness melalui penyamaran sebagai pelabur antaranya melibatkan dakwaan habuan kepada ketua menteri kerana kelulusan lesen pertanian, dakwaan korupsi dari perjanjian tanah dan dakwaan pembabitan peguam tempatan yang didakwa membantu transaksi yang bercanggah dengan undang-undang Malaysia dan Singapura.

Bagaimanapun dilaporkan Taib Mahmud memberi amaran supaya rakyat tidak mudah percaya kepada sesiapa yang mendakwa bertindak sebagai agennya untuk membeli tanah di Sarawak dan SPRM juga dilaporkan akan menyiasat mengenai perkara itu. 

Ditanya bila pihaknya akan membuat laporan berhubung perkara itu, Zulkefly berkata pihaknya akan berbuat demikian dan tempoh seminggu.

"Selepas itu kita akan buat roadshow di seluruh mengenai (menjelaskan isu ini)," katanya termasuk berbincang dengan peguam untuk meneliti tindakan saman terhadap kerajaan negeri.

Malaysiakini/-

Kuala Nerus: Peluang PAS sangat cerah

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kuala Nerus disambungkan dengan Kuala Terengganu melalui Jambatan Sultan Mahmud yang merentas Sungai Terengganu.

Setiap kali rakyat Terengganu mahu melalui jambatan ini, mereka dikenakan tol 50 sen. Namun itu kisah lama. Pada malam keputusan pilihan raya umum diumumkan pada tahun 1999, tol 50 sen itu telah dimansuhkan.

Ia berlaku sebagaimana janji PAS dalam pilihan raya itu, mahu menghapuskan tol di atas jambatan itu. Sebaik saja PAS menang dalam pilihan raya 1999, belum lagi kerajaan dibentuk, tol di situ sudah dimansuhkan melalui arahan pentadbiran. Kini yang tinggal hanya rumah tol sahaja.

50 sen bagi orang berada mungkin tidak besar tetapi bagi peraih ikan, petani atau nelayan, RM1 pergi dan balik melalui jambatan itu satu nilai yang besar.

30 hari atau sebulan bermakna RM30 mereka belanjakan untuk tol sahaja. Sebab itu selepas ia dimansuhkan, ia menjadi satu perkara yang melegakan banyak pihak.

Apabila naik ke jambatan ini dari Kuala Terengganu, kita boleh melihat arca-arca menarik yang dibina oleh bekas MB Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dengan menggunakan wang ehsan.

Namun ianya semua arca sahaja yang tidak boleh digunakan. Masjid kristal nama sahaja masjid tetapi tidak dibuat solat Jumaat di situ.

Kini pembangunan di Terengganu tertumpu kepada kawasan Parlimen Kuala Nerus. Banyak bangunan menarik dibina di sini termasuklah Stadium Sultan Mizan yang roboh itu.

Kini stadium itu tinggal bahagian konkrit sahaja kerana bumbungnya yang runtuh sudah mula dibuang(gambar). Pelik juga, bahagian konkrit hingga ke bawah gagah berdiri tetapi bumbungnya sudah hilang.

Rupa-rupanya, konkrit direkabentuk oleh arkitek terkenal Terengganu Datuk Raja Bahrin manakala bumbungnya direkabentuk dan dipasang oleh pihak lain iaitu syarikat Sohwon dari Korea.

Selain stadium, di Kuala Nerus juga ada dua universiti, Institut Pendidikan Guru (IPG) pusat latihan Petronas dan lain-lain. Pendekata Kuala Nerus bergerak laju bersama arus pembangunan negara.


Pilihan raya

Dalam pilihan raya 1999 juga, PAS buat pertama kali menang di Parlimen Kuala Nerus. Ia dimenangi oleh Mohd. Shukrimun Shamsuddin mengalah calon Umno.

Namun pada pilihan raya 2004 dan 2008, Shukrimun yang kini Yang Dipertua PAS Kuala Nerus gagal mempertahankan kerusi itu. 

Pada amalan biasa PAS, mereka yang kalah dua kali berturut-turut jarang diletakkan sekali lagi sebagai calon. Jadi besar kemungkinan PAS akan meletakkan calon baru di kerusi itu dalam pilihan raya ini.

Nama yang paling popular adalah Dr Khairudin Aman Razali(gambar kiri) atau lebih dikenali dengan nama Khairudin At-Takiri. Beliau adalah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat. 

At-Takiri adalah sempena dengan nama kampung kelahirannya Seberang Takir, sebuah kampung yang terletak di kawasan Kuala Nerus. Seberang Takir terkenal dengan nelayannya dan keropok lekornya yang sedap, sehingga ada sebuah kampung di di situ yang dinamakan Mengabang Lekor.


Dewan Undangan Negeri

Di bawah Parlimen Kuala Nerus ada empat kawasan DUN iaitu Bukit Tunggal, Tepoh, Teluk Pasu dan Seberang Takir.

Kini PAS hanya menang di Bukit Tunggal melalui Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak. Dalam pilihan raya umum 2008, Dr Alias menang dengan majoriti 336 undi mengalahkan calon BN, Tuan Arif Sharibu Fadilah Tuan Ahmad.

Menurut desas desus di Pekan Batu Enam, Dr Alias akan kekal bertanding di Bukit Tunggal. Begitu juga calon PAS di Teluk Pasu pada tahun 2008, Ridzuan Hashim.

Dalam pilihan raya akan datang ini, seorang jurutera JKR, Mohamad Yasin dikatakan menjadi calon yang paling popular dari Umno untuk merampas kerusi Bukit Tunggal dari Dr Alias.

Calon PAS di Tepoh dikatakan akan bertukar kepada calon baru. Seorang tokoh baru yang merupakan Exco Pemuda PAS Terengganu, Hishamudin Abdul Karim (gambar kanan)dilihat banyak memimpin program-program PAS di Tepoh.

Jika benar, beliau bakal bertembung dengan Ustaz Ramli Nuh, Timbalan Exco Agama Terengganu yang lebih dikenali Adun 10 peratus ini. Sudah beberapa kali Ramli Nuh mencabar tokoh muda ini berdebat melalui ceramah-ceramahnya.

Namun apabila dihantar surat rasmi untuk berdebat, Ramli tidak pula menerimanya. Beliau hanya diam dalam rumah besarnya sahaja. Yang pasti sejak itu, tidak ada lagi cabaran berdebat dari Ramli.

Jika benar ada dua muka baru PAS di Kuala Nerus ini, bermakna sasaran untuk mencalonkan 40 peratus muka baru PAS di Terengganu, ia bakal menghampiri kenyataan. Di Kuala Nerus saja, dua muka baru akan bertanding iaitu Tepoh dan Kuala Nerus.

Berdasarkan persetujuan 2008, DUN Seberang Takir akan ditandingi oleh calon PKR. Namun, sehingga kini tidak ada sebarang kelibat siapakah akan  bertanding di Seberang Takir dari PKR. 

"Jika PKR tidak bersedia, PAS sedia untuk mengambil alih tempat ini," kata Penyelaras DUN Seberang Takir dari PAS, Zakaria Dagang.

Sejak dari dulu, Seberang Takir adalah kubu Umno. Ini kerana, di situ ada sebuah kem tentera yang selama ini menjadi 'deposit tetap' untuk BN.

Namun senario kebelakangan ini agak berubah. Tentera tidak lagi akan mengundi secara tertutup di dalam kem masing-masing. Wakil calon (polling agent) parti-parti yang bertanding kini dibenarkan memerhatikan proses pengundian.

Menurut Zakaria, undi tentera di kem itu kini hanya  kira-kira 1,600 sahaja kini berbanding dengan hampir 2,000 sebelum ini.

Dalam pilihan raya 2008, calon PKR Muzafeq Affyuzaifuzan Mamat kalah kepada calon BN Ahmad Razif Abdul Rahman dengan majoriti 2,430 undi.


Prospek Kuala Nerus

Menurut Dr Briget Welsh, pengkaji sains politik Asia Tenggara, PAS hampir pasti menang di  Parlimen Marang manakala BN hampir pasti menang di Kemaman, Besut dan Setiu di Terengganu.

Ini bermakna, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Hulu Terengganu masih kelabu. Ia boleh pergi ke PAS atau kepada Umno dalam pilihan raya umum kali ini.

Bagi satu kajian lain pula, PAS hampir pasti akan menang di Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.  Namun semuanya boleh berlaku dalam pilihan raya kali ini.

"Saya yakin kita (PAS) boleh menang dengan majoriti lebih 1,000 undi di Parlimen Kuala Nerus," kata Zakaria Dagang (gambar kiri), petugas veteran di Pejabat Perhubungan PAS Terengganu.

Di samping itu, Zakaria juga menjangkakan PAS akan menang di DUN Tepoh, Telok Pasu dan sudah pasti di Bukit Tunggal dalam pilihan raya ini.

Harakahdaily/-

PRU13: Polis beri tumpuan kawasan panas di Perak

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


IPOH - Polis Perak akan memberi lebih penekanan terhadap beberapa kawasan yang dianggap panas di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.
Beliau berkata polis telah mengenal pasti enam atau tujuh daerah yang dipercayai kawasan berisiko bagi sesetengah pihak mencetuskan provokasi.
"Memang ada tempat yang dijangka menjadi kawasan panas pada pilihan raya umum nanti. Polis sudah kenal pasti tempat dikatakan panas itu.
"Polis memberi tumpuan kepada kawasan panas itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang provokasi di kawasan tersebut yang boleh menjejaskan proses PRU-13," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-206 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan tersebut dan jumlah anggota yang akan mengawal keadaan keselamatan pada PRU-13.
Bagaimanapun, beliau berkata polis Perak sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
"Kontinjen Perak bersedia untuk bertugas menjaga kawasan panas pada pilihan raya nanti tetapi keadaan boleh berubah dari semasa ke semasa," katanya.
Sementara itu, mengenai Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Mohd Dzuraidi berkata unit baharu yang diperkenalkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2013 itu sudah mula beroperasi bagi memerangi jenayah di Perak.
Beliau berkata setiap daerah akan mempunyai kira-kira 10 unit motosikal bergantung kepada keperluan kawasan terbabit terutama lokasi yang dikenal pasti sebagai panas.
"Sebanyak 135 unit motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 akan mula digunakan oleh pegawai dan anggota polis terpilih bermula, awal April ini.
Katanya unit bermotosikal ini akan menjalankan tugas rondaan di beberapa daerah terpilih khususnya di kawasan yang tidak boleh dilalui kereta peronda MPV.
"Mereka akan berinteraksi dengan masyarakat dan melakukan rondaan selama 15 minit dan berhenti untuk berjumpa penduduk setempat," katanya. - Bernama

Penyelewengan penerokaan hutan Sarawak sangat serius

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


(Zulkifli  [tengah] dan rakan-rakan menceritakan masalah alam sekitar di Sarawak yang semakin terdedah)

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud berhubung pendedahan Video Global Witness mengenai penerokaan hutan di negeri itu.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia, Zulkefly Mohamad Omar berkata, Taib dan juga kakitangan kerajaan negeri yang terlibat dalam dakwaan urus tadbir itu harus mengambil cuti buat sementara waktu agar siasatan dapat dijalankan oleh SPRM.

"Sudah seminggu pendedahan ini dibuat tapi belum ada siasatan dijalankan.

"Sebagai sebuah kerajaan yang dimomokkan adil dan telus dalam setiap urus tadbir mereka, seharusnya tindakan ini diambil," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Video selama 16 minit 24 saat itu meliputi empat hasil siasatan melalui penyiasat persendirian yang menyamar sebagai pelabur untuk penanaman kelapa sawit di Sarawak antaranya ialah habuan kepada Taib dari kelulusan Lesen Penanaman / Pertanian.

Global Witness yang berpengkalan di London itu juga mendedahkan terdapat korupsi dari Perjanjian Tanah di mana sebahagian ahli keluarga Taib itu diberikan tanah atas arahan Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar yang dipimpin oleh Taib sendiri dan mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit darinya.

Selain itu, sebuah syarikat perkongsian di antara sepupu Taib, seorang Ahli Parlimen dari parti Taib dan kakak ipar Najib ditawarkan untuk jualan melalui transaksi tidak sah di Singapura yang direka untuk mengelak cukai dari Kerajaan Malaysia.

Korupsi juga berlaku dalam perkhidmatan yang ditawarkan peguam tempatan untuk membantu transaksi haram dan bercanggah dengan undang-undang Malaysia dan Singapura.

"Jika proses kelulusan lesen balak boleh dimanipulasi untuk kepentingan jahat pihak yang berkepentingan sehingga akhirnya mendorong kemusnahan hutan malah sistem ekologi yang menjadi sumber makanan dan minuman kepada haiwan liar serta Orang Asal di Sarawak," katanya lagi.

Zulkefly juga berkata, jika pendedahan itu tidak benar, Taib harus membuat penafian atau menyaman Global Witness.

"Kalau Global Witness salah buat laporan, Taib seharusnya membuat penafian atau mengambil tindakan undang-undang.

"Sekarang ini beliau mahupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab apa-apa," katanya.

Justeru beliau berkata, sekiranya SPRM tidak mengambil apa-apa tindakan, pihaknya sendiri akan membuat aduan ke institusi tersebut.

"Sebelum ini dah ada beberapa kenyataan daripada pemimpin BN mengenai isu ini tapi SPRM tak siasat pun.

"Jadi kalau dalam masa seminggu ini tiada apa-apa tindakan juga, kami sendiri akan ke pejabat SPRM," katanya sambil menambah akan melakukan siri jelajah berhubung isu ini.

Harakahdaily/-

AR Badul: 'Lahad Datu buat saya rasa nak berperang'

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


AR Badul

AR Badul .- Foto Sinar Harian MUHAMMAD ZULFADHLI AHMAD ZAKI
AR Badul

Salah satu babak dalam filem Darah Satria
Filem Darah Satria dan Prebet Lapok cukup hebat suatu ketika dahulu. Paling terkesan filem Darah Satria yang mana memperlihatkan perjuangan tentera menentang komunis di hutan. Realitinya hari ini, ia dianggap lebih kurang sama dengan situasi yang berlaku di Lahad Datu, Sabah.
Penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelawak terkenal, AR Badul punyai seribu satu kenangan mengenai hidup ala tentera. Berkampung dalam tempoh lama bagi menyiapkan filem tersebut, sudah pasti Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie terasa terkesan apabila ada yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan kita di Sabah. Wartawan Sinar Harian, HASLI NA KAMALUDIN dan NOR FAIZAL GHAZALI bersama jurufoto ZULFADHLI ZAKI mendapatkan reaksi Badul mengenai insiden ini

Bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan filem Darah Satria?

Idea ini bermula daripada produser ketika itu yang mahukan genre berbeza daripada cinta. Tetapi dalam masa sama, tidak meninggalkan terus elemen cinta dalam filem. Menerusi perbincangan, kami ambil keputusan untuk mengetengahkan kisah tentera. Mesejnya mudah, iaitu tugas sebagai tentera adalah lain daripada yang lain yang sedia berkorban diri untuk negara. Masih wujud unsur cinta tetapi dengan cara positif di mana tunang anggota tentera ini rela dan mendoakan orang tersayang pergi berjuang di medan perang. Selain berlakon, saya bertindak sebagai penolong pengarah, di samping Datuk Aziz Satar sebagai pengarah.

Bagaimana dengan pra-perfileman, memandangkan ia berkaitan tentera?

Kita sangat bertuah dan berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan yang memberi sepenuh sokongan terhadap filem ini. Penggambaran dilakukan dalam kem dan di hutan Gombak. Pegawai tentera ketika itu memberi tunjuk ajar serta latihan kepada kami sebelum memulakan penggambaran. Kami juga dibenarkan menggunakan senjata, lokasi, pakaian sebenar seorang tentera. Kami juga direkrut pegawai khas sepanjang penggambaran.

Berapa kos filem dan berapa lama penggambaran di dalam hutan?

Untuk filem Darah Satria, kos filem mencecah RM100,000. Ia jumlah yang besar pada ketika itu dan merangkumi semuanya termasuk promosi. Kami berkampung selama dua minggu di hutan. Kami melalui kehidupan seperti tentera seperti mengalami sendiri pengalaman tidur dalam khemah, makanan dan semua perkara yang dilakukan tentera. Bukan senang kerana selain daripada pelakon tambahan yang ramai, kami juga menggunakan senjata sebenar. Berat dan kami perlu berhati-hati. Semua ini demi untuk memastikan filem ini sukses.

Apakah kesukaran dalam menyiapkan filem tersebut?

Kami diberi peluang untuk menggunakan helikopter dalam beberapa babak. Kebanyakan aksi dilakonkan pelakon sendiri. Aksi paling sukar adalah situasi di dalam helikopter. Pelakon perlu turun dari helikopter menggunakan tali. Bukan sahaja tinggi, malah angin yang kuat juga menambah kesukaran. Kami hanya diberi latihan terjun tiga hari. Tetapi segala-galanya berjalan lancar. Selain itu, memegang senjata sebenar juga adalah masalah besar buat kami. Kami risau takut perkara yang tidak diingini berlaku.
 
Adakah pada ketika itu mahu menaikkan semangat patriotik rakyat Malaysia?

Pada asalnya, kita hanya ingin tukar tajuk sahaja. Tapi, apabila ditayangkan, mendapat sambutan kerana genre berbeza, ia secara langsung memberi impak positif kepada penonton dan lebih patriotik daripada biasa.
Selain Darah Satria, anda turut terlibat dalam filem ala tentera iaitu Prebet Lapok.

Ya, filem Prebet Lapok, saya diberi peranan utama. Masih mengisahkan hidup ala tentera. Ia juga disampaikan secara ringan iaitu bagaimana kehidupan tentera di kem. Ada juga tentera keluar malam, masalah disiplin dan sebagainya. Filem ini berjaya menarik ramai anak muda ketika itu untuk menyertai tentera. Untuk jadi tentera, hanya perlu ada semangat, disiplin dan rela berkorban nyawa untuk agama, bangsa dan negara.    
 
Melihat situasi sebenar tentera berperang di Lahad Datu, apakah anda boleh digambarkan?

Pertama, ia mengingatkan kenangan saya berlakon di hutan dulu. Walaupun hanya berlakon, tetapi bukan mudah. Beg dan senjata yang berat. Kami perlu fokus. Melihat apa yang berlaku di depan mata kita ini membuatkan saya terasa ingin berjuang bersama mereka. Saya dapat rasakan betapa sukarnya mereka menjaga keamanan negara kita dan bagaimana mereka perlu berdepan dengan musuh sebenar. Semangat mereka ada dengan saya. Tapi, apa yang boleh, saya hanya doakan yang terbaik. Mereka adalah tentera terlatih. Saya bangga dengan mereka.

Khabarnya, ada antara ahli keluarga anda juga seorang tentera?

Ya, anak lelaki saya adalah komando VAT69. Dia juga dihantar ke Lahad Datu dan juga banyak misi di luar negara. Kerana itu, saya sangat faham perasaan keluarga tentera.

Apakah kewajaran untuk pengarah filem menghasilkan filem patriotik pada masa sekarang?

Kita sebenarnya tidak banyak sejarah perang, soal buat filem itu terserah kepada produser. Pada masa sekarang perlu buat filem yang melambangkan kedaulatan negara dan keperkasaan tentera kita. Jangan buat filem 'pak turut dan pak sangkut' saja yang akan merosakkan institusi Malaysia.

Apakah anda akan menghasilkan filem patriotik?
Kalau ada permintaan saya akan pertimbangkan untuk mengarah.  
 
Apa komen anda mengenai persepsi yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan di Lahad Datu?

Negara kita jarang berperang. Kerana itu, mereka seperti tidak ada perasaan kasih sayang. Sudah macam hilang akal dengan melemparkan pelbagai tohmah dan kata-kata negatif. Sedangkan kalau ada berlaku kemalangan jalan raya pun kita rasa simpati. Inikan pula tentera yang ingin mempertahankan kedaulatan negara. Seharusnya mendengar tentera perlu bertugas ke Lahad Datu itu pun kita sudah sugul dan sedih. Apabila kena tembak, mengapa tergamak mengatakan ini sandiwara. Mereka tidak fikir orang lain. Cuba kalau saudara mereka ditembak. Pasti sedih. Inilah yang berlaku apabila wujud pihak-pihak yang tidak pernah fikir perasaan orang. Seolah-olah dalam otak mereka ada 'cip' yang ikut sahaja cakap beberapa pihak yang mengaitkan isu ini dengan politik.
 
Apakah situasi tentera hari ini melawan Sulu lebih teruk daripada zaman melawan komunis dulu?

Bagi saya, Sulu ni komunis moden. Ada duit, kedudukan dan penyokong. Jika mereka berjaya, mereka akan dapat habuan dan bahagian tertentu. Komunis tidak kerana mereka ada fokus. Saya lihat Sulu tiada fokus. Kenapa mereka mahu Sabah? Mereka muncul tiba-tiba dalam keadaan dan saat sekarang (musim Pilihan Raya).

Bagaimanakah pandangan anda dengan moral rakyat Malaysia terhadap anggota keselamatan?

Pasukan keselamatan perlulah dihormati. Mereka ini harga yang tidak ternilai kepada negara. Sekiranya negara menghadapi perang, merekalah benteng utama, bukan bomba atau jururawat. Tanpa mereka habislah kita. Saya sangat bersimpati kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban. Masyarakat perlu menghargai jasa dan tanggungjawab mereka bukan menghina.
 
Apakah harapan anda terhadap insiden Lahad Datu ini?

Saya tahu ini adalah detik sukar untuk semua warga Malaysia dan pasukan keselamatan kita. Perkara ini sudah pasti memakan masa agak lama untuk berakhir. Tetapi, saya berharap tidak akan ada lagi kata-kata negatif terhadap pasukan keselamatan. saya berdoa perkara ini akan dapat ditamatkan dengan penuh diplomasi. 

Perlukah kisah Lahad Datu difilemkan sebagai pengajaran kepada generasi akan datang?

Saya rasa ia tidak perlu menjadi filem. Lebih baik dijadikan dokumentari. Pada saya, siapa juga yang nak buat filem, ia tidak lari daripada nak dapat untung. Kalau dokumentari ia akan lebih diberi perhatian. Minta maaf cakap, filem hanya untuk untung. 

Apakah pandangan mengenai seniman atau artis yang memilih politik?

Pada saya, mereka ini tidak jujurlah. Mereka kena tahu apa tujuan masuk politik? Tidak perlu hipokrit. Kalau artis itu mahu bersihkan diri dan dekatkan diri dengan agama, mereka tidak semestinya kena masuk politik. Sepatutnya mereka perlu belajar dulu. Bila mereka masuk platform politik, secara tidak langsung kita akan mengata orang juga, baik masuk pondok. Kita mahu berdakwah, kenalah sedar standard diri kita. Contohi Ustaz Akhil Hayy, belajar dulu betul-betul lepas itu bolehlah nak berceramah dan berdakwah.

Ada sesetengah pihak dilihat terlalu ekstrem dengan politik, bagaimana anda melihat situasi ini?

Pada saya kita tidak perlu terlalu ekstrem dalam hal politik. Mana yang elok kita turut, tak perlu ekstrem mana-mana parti politik. Siapa pun yang memerintah negara, saya tetap macam ini juga. Kita perlu terbuka, jangan terlalu terikut dengan apa yang orang cakap. Jadi kita ikut mana yang elok, mana yang kita rasa betul. Satu hal lagi, mengapa jika ada pihak yang menghina negara diberi muka? Kenapa kita terlalu berlembut? Minta maaf, paling tidak saman. Kalau orang minum air ketum kita lempang pula. Ini orang yang sah-sah hina negara.

Sinar harian/-