25 Mac 2013

Merenung watak Qarun dalam politik Melayu

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Al-Quran adalah sumber petunjuk  umat manusia. Petunjuk-petunjuk Ilahi itu disampaikan dengan pelbagai cara. Sebahagiannya berbentuk perintah dan larangan, teguran dan amaran, tetapi tidak sedikit yang disampaikan melalui rekod sejarah penuh pengajaran. Misalnya menerusi kisah dan teladan. Penyampaian cerita-cerita tersebut di dalam al Quran bukan sekadar untuk diketahui, tetapi adalah mesej petunjuk daripada Yang Maha Agung.

Sekiranya anda pernah ke Mesir, sebagai penuntut mahupun pelawat, penulis yakin anda pernah menjejaki tempat yang dipercayai menjadi kawasan Qarun bermukim. Ma’bad Qarun, Buhaira Qarun, Qasru Qarun, Qaryah Qarun antara nama-nama tempat yang lazimnya menjadi lokasi penjelajahan para pengunjung dan tetamu dermawan yang teguh membayar tiket puluh-puluhan junaih untuk menyaksikan Qarun yang telah ditenggelamkan. Persoalannya, insafkah kita kepada hakikat yang diberitakan Allah tentang nasib Qarun?

Ketika fatrah penyebaran dakwah Nabi Musa alaihissalam kepada kaumnya Bani Israel, Baginda pernah digawatkan dengan kemunculan satu watak penderhaka yang seangkuh Firaun, selicik Haman, iaitu Qarun. Qarun tampil di hadapan Baginda Musa dengan citra kerakusan konglomerat lupa daratan. Hartanya yang melimpah ruah digunakan untuk memaksa "Satu Israel" (seluruh bangsa Israel) memulaukan dakwah Baginda Musa yang giat menyebarkan risalah syariat dan tauhid.

Al-Quran memperkenalkan Qarun sebagai orang yang berasal daripada kaum Nabi Musa. Ini bermakna, Qarun juga daripada bangsa Yahudi, ras yang sama seperti Baginda Musa alaihissalam. Begitupun, bukanlah bererti Qarun menyebelahi nasib kaumnya, bahkan dengan bongkak menindas dan memeras saudara yang sebangsa dengannya. Apa-apa yang menimpa nasib kaumnya tidak dipedulikan, yang penting nafsu temboloknya dipenuhi setiap hari.

Qarun terkenal mempunyai kekayaan luar biasa. Imam Ibnu Kathir menyatakan bawaha kunci khazanahnya sahaja tidak terpikul oleh sejumlah orang kekar perkasa. Beliau mendakwa kekayaannya adalah hasil usahanya sendiri.

“Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).” (Surah al-Qasas : ayat 78)

Dengan mempamerkan segala kemewahannya, Qarun seolah-olah ingin memberikan isyarat kepada kaumnya bahawa dia mampu melakukan segala-gala, mengupah, membeli, membiayai dan menyumbang apa dan berapa sahaja - 3 juta, 4 juta, 5 juta, semua itu dihujung telunjuk dan mulus suara yang mampu ditunaikan oleh Qarun. Sesiapapun bakal disihir dan terpegun menyaksikan kemewahan Qarun.

Kemampuan material yang luar biasa dimiliki oleh Qarun menyebabkan ramai kaumnya yang tertewas daripada landasan kebenaran yang disebarkan oleh Nabi Musa.

Jangan cuba mencabar Qarun!

Jangan berani melangkah Qarun!

Jangan sekali-kali berusaha menjatuhkan Qarun!

Qarun mampu menakluk, merasuah sesiapa sahaja untuk menewaskan sesiapa sahaja dengan longgokan hartanya. Inilah sedikit gambaran betapa rakusnya Qarun menindas, mengancam dan mencengkam sesiapa yang menjadi mangsa.

Qarun yang juga merupakan salah seorang anggota kabinet Firaun, telah menggunakan posisi politiknya untuk memintas pengaruh Musa alaihissalam sebagai pautan Bani Israel. Qarun pernah menggunakan kekayaannya untuk membiayai rancangan memusnahkan personaliti Musa. Qarun turut mengupah mata-matanya yang mengawasi setiap gerakan, aktiviti dakwah Nabi Musa dengan tujuan mengekang kemaraan dan memusnahkan reputasi Baginda.

Dalam satu riwayat yang dinaqalkan oleh Imam Ibnu Jarir at-Tabari, pernah satu ketika Qarun menaja seorang pelacur supaya mengaku bahawa Musa pernah menidurinya. Lalu pelacur yang ditugaskan tersebut berteriak di tengah khalayak bahawa dia pernah berzina dengan Nabi Musa. Belum pun terbukti Nabi Musa melakukan, Baginda dilihat di dalam kandang pesalah.

Pelacur itu mendakwa bahawa anak yang sedang dihamilinya, merupakan hubungan terlarang bersama Musa alaihissalam. Sedih dengan fitnah yang melampau ini, Baginda langsung berdoa kepada Allah agar kebenaran menyerlahkan cahayanya, “Ya Allah perlihatkan kebenaran. Ya Allah tunjukkan hati wanita ini supaya menyebut perkataan yang benar. Ya Allah janganlah Engkau mengaibkan hamba-Mu dan Nabi-Mu ini.”

Sayunya rintihan Musa alaihissalam itu menyebabkan pelacur tersebut memohon maaf kepadanya dan menceritakan bahawa apa yang dilakukan adalah kerana arahan dan sogokan yang dilakukan oleh Qarun.

“Musa tidak melakukan apa-apa. Dia orang baik. Aku hanya diupah oleh Qarun untuk mengatakan bahawa aku dihamili oleh Musa,” lanjut pelacur tersebut.

Mendengar penjelasan pelacur itu, Nabi Musa menyatakan rasa syukurnya kepada Allah. Sebahagian mufassirin menyatakan kisah ini menjadi sebab turun ayat ini;

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa lalu Allah membersihkannya daripada segala cacian yang mereka katakan; dan adalah dia (Musa) seorang yang mulia di sisi Allah.” (Surah al-Ahzab : ayat 69)

Al-Quran turut menyebut tentang kewujudan kelompok yang mengagumi Qarun; iaitu golongan penyokongnya yang mata duitan, terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan apa cara sekalipun. Bagi kelompok ini, Qarunlah idola pujaan, Qarunlah "hero" sanjungan. Qarunlah pejuang rakyat yang mampu memastikan kestabilan ekonomi rakyatnya terjamin. Malah ada yang menganggap bahawa kekayaan Qarun adalah bukti keredhaan Allah padanya.

Oleh sebab nafsu yang dituruti ingin menjadi kaya seperti Qarun, maka kejayaan diukur daripada harta yang diperoleh tanpa mengambil kira dari mana hasilnya dan ke mana ia dibelanjakan.

“Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.” (Surah al-Qasas : ayat 79)

Kekaguman Bani Israel terhadapnya menyebabkan Qarun terus mencabar kebenaran Musa. Qarun merendah-rendahkan kenabian Musa. Qarun memicingkan mata mendengar amaran Allah yang disampaikan oleh Nabi Musa. Qarun menuduh Musa sebagai penipu demi memenuhi tujuan politiknya. Qarun mendakwa Musa sebagai sesat supaya para pengikutnya lari meninggalkan ajaran Allah. Qarun menghukum rakyatnya bahawa haram bersama-sama dengan gerakan yang dipimpin oleh Musa.

“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan Musa dengan ayat-ayat Kami dan kekuasaan yang jelas (hujjah yang nyata). Kepada Firaun, Haman dan Qarun, lalu mereka mengatakan (menuduh Musa) sebagai ahli sihir yang menipu.” (Surah Ghafir : ayat 23-24)

Sudah menjadi hakikat dunia, orang yang ingkar kepada Allah punya tenaga yang kuat, dana yang begitu besar dan kudrat "super mega". Penderhaka-penderhaka yang dibarisi barisan jentera kerajaan Firaun, Haman dan Qarun, masing-masing bekerjasama bertindak memusnahkan karier Nabi Musa alaihissalam.

Bagaimanapun, pemeliharaan dan pembelaan Allah kepada hamba-Nya yang beriman terutamanya utusan yang dikasihi tidak diabaikan. Qarun mengakhiri hayatnya dengan nasib yang sangat tragis, hancur luluh ketulahan bumi. Tidak ada satupun kekayaan Qarun yang tersisa, selain puing-puing istananya yang sampai saat menunggu saat runtuhnya.

“Maka Kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya).” (Surah al-Qasas : ayat 81)

Selain tidak menunaikan zakat, Qarun bersalah kerana menyalahgunakan kekayaan untuk membiayai kegiatan-kegiatan khianat dan pelbagai kezaliman lagi seperti kempen menjatuhkan Musa alaihissalam. Tetapi ada lagi yang wajar disalahkan, iaitu sistem yang mengizinkan fenomena keqarunan itu berlaku.

Jatuhlah politikus seperti Qarun!

Jatuhlah parti syaitan yang membiarkan orang seperti Qarun!

Jatuhlah dengan izin Allah Taala.

http://www.tarbawi.my

Tiada ulasan: