25 Mac 2013

200 kontraktor disenarai hitam SPNB

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim berkenan menandatangani plak Taman Persiaran Al Hijrah dan Surau Al Hijrah, semalam.
KOTA TINGGI - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tidak akan bertolak ansur dan akan menyenaraihitamkan mana-mana kontraktor yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik.

Pengerusinya, Datuk Idris Haron berkata, masalah yang ditimbulkan kontraktor terbabit akan menjejaskan prestasi dan niat baik kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik bagi kumpulan sasar yang memerlukan.

Menurutnya, sejak 2002, lebih 200 kontraktor telah disenarai hitam kerana tidak menjalankan tugas mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Ada kontraktor yang menjalankan tugas dengan baik dan ada pula sebaliknya.

Setakat ini dan yang terbaru, empat kontraktor besar di bawah projek Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia telah disenaraihitamkan.

“SPNB tidak akan bertolak ansur jika mereka tidak menjalankan tugas dengan baik kerana pada akhirnya yang akan terkesan adalah kerajaan yang berniat baik untuk membantu penduduk memerlukan,” katanya pada sidang media sempena Majlis
Perasmian Perumahan Generasi Kedua Felda Sungai Sayong di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi pembinaan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia generasi kedua kawasan Parlimen Tenggara ini, pihaknya telah melantik empat kontraktor meliputi pembinaan di empat Felda iaitu Felda Sungai Sayong, Felda Bukit Ramun, Felda Bukit
Besar dan Felda Pasir Raja.

Tegasnya, seperti yang dijanjikan kepada bakal pemilik rumah tersebut, jika kontraktor tidak menjalankan tugas dengan baik mereka akan disingkirkan pada bila-bila masa sahaja.

“Sehingga kini, sebanyak 19,899 Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia di bawah SPNB telah siap dibina di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, bagi kawasan Parlimen Tenggara sebanyak 499 rumah mesra rakyat 1 Malaysia generasi kedua Felda akan dibina di bawah SPNB melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM25 juta yang mana setiap seunit rumah berharga RM65,000.

Idris berkata, bagi projek rumah mesra rakyat generasi kedua di Felda Sungai Sayong, sebanyak 40 rumah telah berjaya disiapkan dan 139 lagi kini sedang dalam pembinaan.

Tambahnya, manakala di kawasan lain pula, sedang dalam peringkat awal mobilisasi bahan binaan dan perancangan pembinaan termasuk sokongan dalam bentuk jalan dan kemudahan infrastruktur.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, pembinaan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia buat generasi kedua Felda itu jelas membuktikan kerajaan menepati janji.

Menurutnya, semua pemilik kediaman tersebut dijangka akan dapat memasuki rumah sebelum sebelum Ramadan ini.

“Inilah janji kerajaan, janji ditepati. Terima kasih kepada semua pihak terutamanya perdana menteri kita kerana telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM2.6 juta untuk kemudahan air dan kementerian terlibat yang telah memberi infrastruktur seperti jalan raya yang akan menjadi kemudahan buat generasi kedua Felda di sini.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, berkenan menyempurnakan majlis perasmian tersebut.

Baginda tuanku turut berkenan menandatangani plak Taman Persiaran Al Hijrah dan Surau Al Hijrah serta menyerahkan kunci rumah kepada 20 penerima.

Hadir sama, Adun Pasir Raja, Datuk Dr Adham Baba dan Adun Panti merangkap Ketua Umno Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: