25 Mac 2013

Ribut: Kediaman, premis perniagaan rosak

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Kediaman, premis perniagaan rosak

Keseluruhan atap kedai musnah diterbangkan ribut yang berlaku petang kelmarin.
KULIM - Hampir 500 kediaman dan premis perniagaan di beberapa kawasan di sekitar bandar ini musnah dilanda ribut kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Antara kawasan yang terlibat ialah pusat bandar, Lunas, Padang Serai dan Sungai Kop.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh menyifatkan kejadian ribut kali ini adalah yang terburuk sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, sehingga ini belum ada sebarang laporan melibatkan kecederaan dan maut akibat kejadian itu.

Menurutnya, bilangan premis yang terlibat mungkin didapati lebih banyak sekiranya lebih ramai mangsa membuat laporan polis.

“Saya minta semua mangsa membuat laporan polis jika berlaku sebarang kerosakan ke atas rumah atau harta benda mereka akibat ribut itu,” katanya.

Seorang ibu tunggal, Jemilah Ismail berkata, ketika kejadian dia bersama keluarganya sedang minum petang di belakang rumah.

“Kami terkejut dengar bunyi angin yang sangat kuat. Timbul rasa tak sedap hati.

"Sejurus selepas itu, kami terdengar bunyi berdentum di dapur dan mendapati beberapa keping atap rumah sudah diterbangkan angin.

"Alhamdulillah, kami sekeluarga tidak cedera. Atap rumah juga sudah digantikan,” katanya.

Seorang suri rumah, Norizan Che Daud, yang tinggal bersama keluarganya di Kampung Simpang Tiga Keladi berkata, terdapat tiga putaran angin ketika kejadian berlaku.

Norizan berkata, putaran angin itu mengakibatkan banyak kerosakan teruk kepada kediaman, terutama di bahagian atap.

“Ketika kejadian, saya berada di hadapan rumah dan saya cemas apabila menyedari ada tiga putaran angin..

"Selain pokok dan bumbung rumah, angin itu turut menumbangkan beberapa motosikal kami.

"Bumbung di bengkel suami yang terletak di sebelah rumah juga diterbangkan. Jumlah kerugian dialami sekitar RM19,000 kerana atap tambahan diterbangkan itu dibina dengan kos yang sama sebelum ini,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Pondok Labu Hujung, Norhayati Walad berkata, kerajaan persekutuan seharusnya menyediakan dana segera bagi kawasan yang sering dilanda masalah bencana alam seperti ribut dan banjir.

“Saya mencadangkan supaya dana khas diwujudkan bagi meringankan beban semua mangsa ribut.

"Ini bukan kali pertama masalah seperti ini berlaku. Bencana alam ini sering berlaku di kawasan Parlimen Padang Serai.

Beliau ucapkan terima kasih kepada pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kulim, sukarelawan, Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus-lumus membantu mangsa ribut di kawasan terlibat.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: