25 Mac 2013

Najib tidak tahu malu ciplak idea orang

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak didakwa seorang pemimpin yang tidak tahu malu apabila menciplak idea pihak lawannya menjelang pilihan raya umum ini.

Ia terbukti apabila Najib mengumumkan pemberian 1,000 permit teksi kepada pemandu teksi terpilih baru-baru ini.

Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa 1,000 permit teksi akan diberikan kepada pemandu-pemandu teksi terpilih mengesahkan beberapa perkara.

Demikian dinyatakan oleh Rafizi Ramli (gambar), Pengarah Strategi PKR dalam satu kenyataannya hari ini.

Bagi beliau, pengumuman Najib itu memberi tiga implikasi.

Pertama, ia pengakuan terbuka Umno/Barisan Nasional bahawa dasar dan program ekonomi yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat (melalui Dasar Bersama, Buku Jingga dan Manifesto Rakyat) benar-benar memenuhi citarasa dan tuntutan rakyat.

Kedua, ia mengesahkan bahawa program-program ini mampu dilaksanakan dan tidak mengundang kesan kewangan yang buruk, seperti yang dituduh oleh Umno/Barisan Nasional.

Ketiga, ia membuktikan terdesaknya Datuk Seri Najib Tun Razak sehinggakan beliau tidak lagi mempunyai perasaan malu untuk menciplak idea dasar dan program yang dibawa oleh Pakatan Rakyat.

"Pun begitu, saya mengkritik sekerasnya kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang cuba mengumpan pemandu teksi untuk mengundi Barisan Nasional," katanya.

Ucapan beliau, katanya, berbaur ugutan politik apabila beliau menyatakan bahawa pemandu teksi perlulah “bai’ah” (mengikat janji) untuk mengundi Barisan Nasional jika mahu mendapatkan lebih banyak permit persendirian di masa hadapan.

Setakat ini, Umno/Barisan Nasional terus gagal untuk mengumumkan manifesto mereka sendiri. 

Sebaliknya, Najib Tun Razak menciplak idea dasar Pakatan Rakyat dan mengumpan rakyat dengan berjanji akan melaksanakan program-program Pakatan Rakyat itu sekiranya Barisan Nasional menang dalam Pilihanraya Umum ke-13.

"Oleh sebab itu, saya tidak hairan lagi kenapa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berani berdebat secara terbuka dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai dasar-dasar dan program ekonomi. 

"Beliau nampaknya tidak mempunyai idea dan kepakaran ekonomi kerana sering terpaksa bergantung kepada idea orang lain, termasuklah idea Pakatan Rakyat sendiri.

"Saya pasti pemandu-pemandu teksi yang ada di seluruh negara faham bahawa pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah satu gimik politik untuk menenangkan kemarahan mereka selama ini," katanya.

Bagi Rafizi, penyelesaian berpanjangan isu permit teksi ini terletak di tangan Pakatan Rakyat yang mula-mula sekali memperjuangkan isu ini.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Menceduk idea yang positif apalah yang salah sangat. Tak perlulah nak diungkit-ungkit sehingga jadi satu isu pula. Parti mana sekalipun, asalkan idea bernas dan sesuai berkebajikan untuk rakyat teruskan saja. Kalau asyik nak berbalah saja tak akan ada penghujungnya kerana umat hari ini tak mudah mengalah, malah riak lagi ada! Jangan taksub sangat dengan manifesto umpan mengumpan rakyat kerana akhirnya kita tak akan bertemu dengan realiti sebenar! Orang teksi dapat permit individu tu memanglah bagus, tapi mengapa sekarang dalam saat-saat gawat begini? Bolehkah kita pastikan permit tersebut akan dapat pada orang yang benar-benar memerlukan, dan sikap orang teksi pula bagaimana? Macam-macam cerita yang kita dengar berkenaan sebahagian orang-orang teksi yang curang dan asal boleh saja. Suruh pasang meter masih ada yang engkar, dan ada pula yang memilih hala jarak atau penumpang yang nak di sembelih. Kita kena terima hakikat ini walau pun amat pahit untuk kita bongkarkan kecurangan orang-orang teksi. Apakah mereka cukup berdisiplin dan bersedia untuk perubahan? Sikap tu yang nak kena ubah dulu atau kalau tidak tak akan kemanalah nak dibanggakan teksi 1Malaysia.