25 Mac 2013

Pekerja kilang maut bertembung treler

13 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


LEDANG - Seorang pekerja kilang yang mengalami kecederaan parah di kepala maut setelah terbabit dalam satu kemalangan di Kilometer 24 Jalan Muar-Segamat di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu melibatkan sebuah treler dengan motosikal yang mengorbankan penunggang motosikal berkenaan, Haris Harun, 48, maut serta merta di tempat kejadian.

Mangsa merupakan pekerja kilang elektronik di Tangkak dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jasin, Melaka.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah Muar menghala ke Segamat bertembung dengan sebuah treler dari arah Segamat menghala ke Muar.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Pemandu treler itu yang berusia dalam lingkungan 30an tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan di balai polis berhampiran,” katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: