12 Mei 2017

PAS Maju Bersama Gagasan Sejahtera Menuju PRU ke 14

PENGUMUMAN oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada petang Khamis, 11 Mei 2017, menjadi satu titik tolak yang besar kepada PAS dalam meneruskan langkah penting untuk PAS memimpin perubahan politik Malaysia dengan Sejahtera Bersama Islam. Tindakan MSU dibuat dengan perkiraan syarak seperti mana ketika meluluskan juga tahaluf siyasi dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Kehujahan yang dilakukan oleh MSU tidak boleh dipertikai lagi sekiranya semua faham rujukan PAS adalah Quran, sunnah, ijmak dan qias. Dalam sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW, berlaku banyak perlanggaran perjanjian, dan kebiasaannya mereka yang melanggar perjanjian tidak diberi muka lagi seperti Yahudi Bani Qaynuqa yang melanggar piagam Madinah, Yahudi Bani Nadhir yang khianat kepada Islam. Ataupun seperti mana putusnya Sulh Hudaybiah, apabila Qurays melanggar perjanjian dengan menolong Bani Bakr yang bertelingkah dengan Bani Khuzaah yang mempunyai ikatan dengan Kerajaan Islam Madinah.