23 April 2013

Selebriti kerja kuat bantu kempen PAS

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Kemeriahan kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin dirasai oleh rakyat Malaysia khususnya kepada parti-parti politik yang bertanding.

Bagi PAS dan Pakatan Rakyat, kempen PRU13 mungkin sedikit berbeza berbanding kempen-kempen PRU terdahulu apabila kempen kali ini turut dibantu secara terbuka oleh golongan artis dan selebriti.

Jika sebelum ini PAS dilihat tidak mendapat tempat di hati para artis dan selebriti, namun kali ini golongan artis secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap parti ini dan secara sukarela membantu parti dalam kempen pilihan raya.

Bagi pengarah,penerbit dan juga pelakon, Adam Hamid yang menyertai PAS pada Julai tahun lalu, PRU kali ini amat bermakna bagi dirinya kerana beliau terlibat secara langsung membantu kempen parti itu.

Teruja berkongsi pengalaman, Adam, 40, berkata beliau bergilir-gilir membantu calon PAS di Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi dan calon PKR, Nurul Izzah Anwar di Parlimen Lembah Pantai.

"Saya membantu kawasan Lembah Pantai dan Titiwagsa. Setakat ini, memang bergilir-gilir di dua kawasan ini sahaja tapi kalau ada kawasan lain yang jemput saya, saya cuba penuhi jika berkesempatan.

"Saya akan terus membantu jentera sehingga 5 Mei ini. Kalau ikutkan saya kena ke Brunei 1 Mei tapi saya minta tangguh selepas 5 Mei sebab saya ingin membantu dalam pilihan raya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Anak kelahiran Kelantan dan berdarah Cina Pakistan itu juga berkata, beliau dipanggil memberikan ceramah dalam program bersama anak muda dan ada kalanya diberi tugas menjadi pengacara majlis.

"Memang saya tumpu seratus peratus kepada kempen. Biasanya saya dipanggil memberi ceramah kelompok, jadi pengacara program dan kadang-kadang jadi penceramah bidang terjun. Tapi saya cuba tolong mana yang mampu.

"kalau tak ada program ceramah pun, saya akan tolong pasang bendera, dan keluar ke markas dan bilik gerakan untuk bersama-sama jentera," katanya ramah.

Cerita beliau juga, beliau sangat terharu dengan sambutan yang diberikan penduduk setempat sewaktu PAS mengadakan program di Titiwangsa.

"Pengalaman saya sendiri, sewaktu menyertai program goreng keropok lekor di PPR Laksamana, walaupun hujan, saya terharu apabila ada uncle dan auntie Cina turun membantu kami. Saya nampak sokongan mereka terhadap PAS," katanya.

Beliau sempat memberitahu, 99 peratus keluarganya di Kelantan yang berbangsa Cina dan beragama Budha menyokong PAS.

"Keluarga saya di Kelantan, 99 peratus Cina dan belum memeluk Islam tapi menyokong PAS. Mak saya Cina masuk Islam dan ahli keluarganya belum memeluk Islam. Tapi mereka memang menyokong PAS dan menyatakannya secara terbuka. Kalau saya balik Kelantan, mereka suka bercerita tentang PAS di Kelantan," ceritanya.

Pengundi di Lembah Pantai itu juga tanpa berselindung memberitahu, enam undi sudah dijamin untuk Nurul Izzah.

"Saya, abang, dan kakak ipar dan keluarganya, memang akan beri undi kepada Nurul Izzah," katanya diiringi ketawa.

Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar keluar mengundi dan tidak takut melakuan perubahan kerana menyifatkan PRU13 amat penting untuk masa depan negara.

"Saya menyeru semua warga Malaysia agar tidak takut untuk keluar mengundi. Pilihan raya kali ini sangat penting kepada warga Malaysia untuk menentukan siapa yang bakal memerintah negara. 

"Kepada jentera pula, saya harap bekerjalah seikhlas hati, semampu yang boleh dan tidak mengharapkan pujian.

"Kalau nanti andai wakil rakyat yang kita bantu itu tidak kenal kita, tida tegur kita, jangan kecil hati. Dia ada banyak tugas, ada banyak rakyat yang nak kena jaga. Allah ada untuk membalas segala kerja buat kita," katanya.

Bagi seorang lagi selebriti, Leman Raja Lawak atau nama sebenarnya Sulaiman Ibrahim, inilah masanya beliau mengotakan janji untuk menjadi pekerja sepenuh masa kepada PAS.

Leman, 31, sewaktu menyertai PAS Jun tahun lalu berjanji akan membantu PAS dalam PRU13.

Leman yang juga dihubungi Harakahdaily hari ini mengakui jadualnya padat dengan aktiviti kempen bersama calon PAS.

"Saya berkempen di seluruh negara. Malam ini di Kedah, esok di di Perak, lusa di Melaka, kemudian Johor, Kelantan dan balik semula ke Kedah.

"Saya memang fokus kepada ceramah bersama calon-calon. Saya fokus kepada isu rakyat seperti masalah ekonomi, terangkan manifesto Pakatan Rakyat. 

"Mungkin PAS nampak saya boleh tarik anak muda dengar ceramah, jadi saya diberi tugas berceramah dan fokus saya memang untuk jatuhkan Umno BN" katanya bersahaja.

Leman juga baru diambil menjadi anak angkat Parlimen Sik, kerana dilihat mampu memberi pengaruh kepada golongan muda di kawasan tersebut.

"Malam semalam saya berkonvoi motosikal bersama 1,000 pemuda dari Pekan Sik, masuk ke kawasan Felda. Alhamdulillah sambutan memberangsangkan dan kami tak dihalang masuk Felda walaupun diketahui kawasan kuat Umno di situ," ceritanya.

Pengundi di Parlimen Padang Terap itu turut menyeru rakyat Malaysia agar keluar menunaikan tanggungjawab pada 5 Mei ini.

"Saya nak pesan, untuk pilihan raya kali ini, jangan takut untuk undi Pakatan Rakyat, jangan takut untuk tukar kerajaan.

"Jangan percaya khabar angin yang kata akan berlaku huru-hara selepas pilihan raya. Kitalah penentu masa depan negara," katanya yang juga Presiden Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulama (Panglima).

Menyentuh mengenai penyanyi Aishah yang bertanding di Parlimen Jempol, beliau menyokong penuh perkara itu dan berharap kemenangan Aishah di kawasan tersebut. 

"Saya sangat sokong Kak Aishah jadi calon tapi saya minta maaf, saya memang tidak sempat untuk turun berkempen untk beliau.

"Baru-baru ini saya hanya sempat turut ke Pengerang, kawasan Dayangku Intan bertanding. Apa-apa pun, saya memang menyokong mereka dan mendoakan kemenangan mereka," ujarnya.

Harakahdaily/-

Air percuma: Zambry bohongi rakyat Perak

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


IPOH: Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin menempelak kenyataan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mendakwa Pakatan Rakyat telah meniru tawaran BN tentang pemberian air percuma.

Menurutnya, Zambry ternyata berbohong tentang kenyataan itu kerana pemberian air percuma itu telah wujud dalam tawaran Barisan Alternatif Perak pada pilihanraya umum 2008 lalu.

Katanya, selepas berjaya membentuk kerajaan, Pakatan Rakyat telah merealisasikan janji tersebut seawal Ogos 2008.

“Saya hairan kenapa Zambry boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas tersebut kerana janji itu telah pun dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat ketika memerintah Perak selama 11 bulan dahulu,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, di sini hari ini. (Gambar)

Hadir sama Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh, Ustaz Hakim Mohd Nor dan Safarizal Saleh.

Jelas beliau, kenyataan Zambry itu jelas menggambarkan BN dalam keadaan sangat terdesak untuk meraih sokongan rakyat.

Nuri menjelaskan, Zambry harus mengemukakan fakta dan hujah sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Saya terkejut apabila membaca kenyataan Zambry itu yang jelas menipu dan tidak berfakta.

“Sepatutnya Zambry yang berkelulusan PhD harus menunjukkan ketokohannya dalam mengeluarkan kenyataan,” katanya dalam nada sinis.

Zambry dalam kenyataannya di akhbar Berita Harian hari ini mendakwa Pakatan Rakyat telah meniru tawaran BN dalam pemberian air percuma.

Beliau menyatakan perkara itu ketika majlis pelancaran Manifesto BN Perak di Padang Rengas, semalam.

Harakahdaily/-

Mukhriz dalam bahaya dipancung puak Umno sendiri?

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



Maklumat terbaru sampai ke tangan saya tepat jam 7.47 malam tadi.

Pengirim emel yang enggan namanya disiarkan memberitahu gerakan untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN) DUN Ayer Hitam, Mukhriz Mahathir sedang giat dirancang rapi beberapa pemimpin Umno Kedah sendiri.

Enggan memberitahu siapakah mereka yang menjadi dalang di sebalik gerakan tersebut, dia juga memberitahu satu mesyuarat rahsia peringkat negeri dihadiri beberapa pemimpin Umno yang tidak suka kepada Mukhriz akan dibuat dalam masa terdekat.

Apabila team Jalan Pulang membalas emel berkenaan bertanyakan butiran lanjut serta di mana pertemuan itu diadakan, balasan dari si pengirim ini setakat ini belum dapat diterima.

Antara tulisan pengirim emel tersebut yang boleh disiarkan adalah seperti berikut:


Harakahdaily/-

Selepas dicium India, 104 ahli MIC Shah Alam keluar parti

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR:Selepas media BN menyiarkan gambar seorang lelaki India mencium calon BN Shah Alam, Zulkifli Nordin,  Naib pengerusi MIC Shah Alam C Supayah bersama 104 pengikutnya keluar meninggalkan MIC.


(Seorang India berpakaian BN mencium Zulkifli Nordin. Kesannya, Naib Pengerusi MIC Shah Alam bersama 104 pengikutnya keluar MIC)

Ia dibuat sebagai tanda bantahan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana meletakkan Datuk Zulkifli Noordin sebagai calon di kerusi Parlimen Shah Alam.

Perkembangan terbaru ini memberi tamparan hebat kepada BN terutamanya dalam misi untuk merampas negeri Selangor dan pemimpin utama MIC S Vell Paari juga pernah memberikan amaran sama sebelum ini, lapor The Malaysian Insider.

"Ya, hari ini saya hantar surat keluar parti... seramai 104 pengikut saya juga mengambil tindakan sama," kata Supayah apabila dihubungi laman itu.
Supayah yang memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi MIC Shah Alam sejak 2009 juga memberikan tiga alasan mengambil langkah keluar parti, salah satu sebab utamanya adalah kerana faktor pengumuman

Zulkifli dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai calon BN di Shah Alam.

"Sebab pertama adalah kerana meletak calon Perkasa Zulkifli Noordin, dia sebelum ini telah menghina masyarakat India dan penganut agama Hindu.

"Bukankah itu jelas penghinaan?" kata Supayah lagi. 

Faktor kedua yang menyebabkan beliau mengambil keputusan tersebut adalah kerana tindakan Ketua Bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi Mohd Zin memijak kepala lembu pada tahun 2009 disamping tindakan calon BN Che Johan Che Pa di Pasir Mas yang memberikan laluan kepada Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali untuk mempertahankan kerusi parlimen tersebut.

Zulkifli Nordin adalah Naib Presiden Perkasa.

Sebelum ini tersebar video beliau menghina tuhan orang India yang beragama Hindu.

Di Pasir Mas pula, Datuk Ibrahim Ali bertanding sebagai calon bebas selepas namanya tidak terpilih sebagai calon BN.

Ketika Umno memecat 61 pemimpinnya kerana bertanding calon bebas, calon BN di Pasir Mas tiba-tiba tidak memfailkan namanya di hari penamaan calon.

Ibrahim telah merayu kepada Umno supaya tidak bertindak ke atas Che Johan Che, Naib Ketua Umno Bahagian Pasir Mas kerana tidak memfailkan namanya sebagai calon BN di situ.

Harakahdaily/-

'Orang India amat meluat dengan Zul Noordin'

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Ciuman dari anggota masyarakat India tidak memadai untuk menyelamatkan calon BN untuk kerusi parlimen Shah Alam, Zulkifli Noordin, atau menjadi penawar kepada perasaan “amat meluat” di kalangan warga berkenaan, kata ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jarang sekali kita mendapat ahli politik seperti ini, penuh dengan ketaksuban kaum, merendah-rendahkan agama dan kepercayaan lain,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Anwar juga tertanya-tanya mengapakah pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak meletakkan Zulkifli sebagai calon di kawasan tersebut.

Sedangkan, masyarakat India kini “sangat meluat” dengan Zulkifli yang merupakan naib presiden PERKASA itu, katanya.

Sentimen itu tidak boleh ditawarkan dengan hanya satu ciuman, kata Anwar lagi.

Zulkifli pada hari penamaan calon Sabtu lalu dirakam dalam keadaan beliau dirangkul erat dan dikucup oleh seorang lelaki, yang merupakan seorang penyokong dari BN dari kelompok masyarakat India.

Najib menguar-uarkan kucupan tersebut sebagai tanda bahawa masyarakat India sudahpun menerima Zulkifli yang sebelum ini mencetus kontroversi berhubung kenyataannya berhubung dewa Hindu.

Najib juga berkata Zulkifli berikrar untuk menjaga kebajikan orang India di kawasan tersebut.

Malaysiakini/-

Rafizi cabar Muhyiddin debat berkenaan pendirian PKR melibatkan produk 1Malaysia

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PETALING JAYA, 23 April — Rafizi Ramli hari ini berkata hanya akan menjawab cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya PKR menyatakan pendirian mereka melibatkan produk 1Malaysia dalam satu debat ekonomi.

Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini, mempelawa timbalan pengerusi BN itu ke satu debat ekonomi bagi mengupas tentang isu produk 1Malaysia.

“Saya berbesar hati untuk mengupas isu ini lebih panjang dan menyatakan pendirian sama ada akan menghapuskan barangan 1Malaysia di dalam satu forum ekonomi yang turut disertai Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata Rafizi.

Rafizi walau bagaimanapun menekankan dua kaedah yang ditawarkan PKR untuk menangani beban sara hidup yang dihadapi rakyat, serta mengkritik pengenalan produk 1Malaysia tidak berkesan dalam meringankan beban rakyat.

“Cara terbaik adalah menyelesaikan dua perkara iaitu mengawal dan menurunkan harga barang.
“Kedua mengurangkan beban hutang rakyat herotan di dalam pasaran,” tambahnya lagi.

malaysianinsider/-

Labuan: PAS Wilayah terima keputusan Pusat

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan menerima sepenuhnya keputusan pimpinan PAS Pusat menyerahkan Parlimen Labuan untuk ditandingi PKR pada PRU13 ini.

Pesuruhjayanya, Mohamad Noor Mohamad berkata, ini sebagaimana yang diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam atas semangat setiakawan dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, tindakan pucuk pimpinan PAS itu selari dan memenuhi kemahuan rakyat serta menyokong usaha menuju kemenangan ke Putrajaya bagi mengalahkan Umno BN di Labuan.

Jelas Mohamad, PAS berjuang bukan untuk merebut takhta ataupun kepentingan peribadi dan apatah lagi manfaat kebendaan tetapi, PAS berjuang demi kebenaran yang dibawa oleh lslam.

Bahkan katanya, keputusan PAS Wilayah itu memberi gambaran yang jelas kepada Umbo BN bahawa Pakatan Rakyat tetap kukuh di Labuan.

"Kenyataan ini menggambarkan pendirian kita sebagai ahli PAS yang patuh dan taat kepada keputusan pucuk pimpinan," tegasnya dalam satu kenyataan.

Katanya, PAS rela berkorban untuk memastikan hubungan dalam Pakatan Rakyat dan mengharapkan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menghormati keputusan itu.

"PAS akan terus melaksanakan tanggungjawab dan peranan di Labuan walaupun tidak bertanding dalam PRU13 demi meneruskan khidmat kepada masyarakat Labuan untuk memastikan hak rakyat terus terbela," katanya.

harakah/-

Kertas undi pos luar negara akan dihantar esok

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PUTRAJAYA, 23 April — Semua kertas undi bagi pengundi pos luar negara dan pengundi tidak hadir (PTH) untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13), akan dihantar esok.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata kertas undi itu akan dihantar ke 103 Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.
“SPR memberi jaminan proses penghantaran dan penerimaan balik sampul kertas undi tersebut selamat ... pengundi luar negara tidak perlu rasa bimbang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengundian bagi pemilih di luar negara ditetapkan pada 28 April (Ahad), masa penyerahan dan penerimaan balik sampul ialah dari pukul 9 pagi hingga 8 malam di London, dan Melbourne.

Bagi Pejabat Perwakilan Malaysia yang lain, tarikhnya sama, namun tempohnya lebih singkat iaitu dari 9 pagi hingga 6 petang.

Sehubungan itu, Wan Ahmad menasihati mereka supaya mengundi di tempat sampul kertas undi diserahkan bagi mengelak sebarang masalah.

“Semua ada di sana, pegawai bertangggungjawab, saksi, petak mengundi, peralatan diperlukan, dan boleh terus memasukkan kertas undi ke dalam karung undi pos,” katanya.

Wan Ahmad juga berkata pengundi boleh membawa balik kertas undi dan bertanggungjawab menghantarnya sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Jangan salahkan SPR sekiranya kertas undi itu tidak sampai ke pejabat pegawai pengurus (RO) masing-masing sebelum pukul 5 petang pada hari pengundian,” katanya.

Beliau berkata semua beg diplomatik yang mengandungi kertas undi itu dijangka sampai semula di Malaysia seawal-awalnya pada 29 April, dan akan dihantar terus ke pejabat SPR di seluruh negara sebelum diagihkan ke pejabat RO.

Seramai 6,360 pengundi luar negara dan 2,900 PTH akan mengundi pada PRU ke-13.
Di Seremban, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata angka itu tidak termasuk warga Malaysia di Singapura, Brunei, selatan Thailand dan Kalimatan.

Warga Malaysia di luar negara yang ramai mengundi pos pada PRU13 ini menetap di Australia, diikuti United Kingdom dan China, katanya kepada pemberita selepas melawat dan mendengar taklimat persiapan PRU13 di Pejabat SPR negeri dan bilik gerakan PRU-13 Parlimen Rasah di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban di sini hari ini.

Abdul Aziz juga berkata pengundian awal yang membabitkan anggota polis dan tentera akan diadakan pada 30 April.
Katanya kertas undi pos dan undi awal ini akan dikira pada hari yang sama dengan kertas undi biasa iaitu pada 5 Mei.
“Kertas undi pos dan undi awal mesti dibuka pada pukul 4 petang pada 5 Mei dihadapan ejen parti. Kalau banyak sangat, kita buka awal, tapi mesti dihadapan ejen parti dan pemerhati, sama ada domestik dan antarabangsa,” katanya. — Bernama

Idham Lim: Saya akan usahakan bas baru laluan Kuala Kangsar ke Simpang Tiga

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA KANGSAR: Kerajaan baru di bawah Pakatan Rakyat akan mengusahakan bas yang lebih baru dan selesa kepada rakyat bagi laluan Kuala Kangsar ke Simpang Tiga Beruas. Demikian antara penegasan yang dibuat oleh Calon PAS Parlimen Kuala Kangsar, Drs. Khalil Idham Lim semasa menyampaikan ucapan dalam ceramah penerang di Markaz Zon Manong di Pekan Manong di sini.


Tawaran tersebut mewarnai Kempen PRU 13 Parlimen Kuala Kangsar oleh jentera PAS yang semakin rancak dengan pebagai bentuk kempen yang lain.



"Dengan bantuan dari kementerian dan agensi yang berkaitan saya akan usahakan bas yang lebih selesa kepada masyarakat dikalangan pelajar, ibu tunggal dan berbagai lapisan masyarakat yang menggunakan bas itu", tegasnya.



Beliau mendedahkan bagaimana beliau telah menaiki bas syarikat Wai Thong tersebut yang disifatkan terlalu uzur dan merisikokan penumpangnya dikalangan orang biasa dan pelajar sekolah kepada kemalangan.



"Bas tersebut sudah berusia 50 tahun dan selayaknya sudah berada di muzium" katanya.

Kumpulan intelektual pula kempen tolak politik kotor

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


 

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan budaya keji yang semakin subur dalam politik di Malaysia, sekumpulan ilmuan, sarjana, ulama, sasterawan, budayawan dan penggiat masyarakat menubuhkan Gerakan Intelektual Rakyat (Gatera).

Gatera dari Bahasa Sanskrit yang bermaksud sudut pandangan bertujuan menyedarkan masyarakat supaya memilih pemimpin politik yang memperjuangkan nilai luhur masyarakat yang beradab.

Pengerusinya, Profesor Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, Gatera akan bergerak ke lapangan masyarakat untuk mengajak mereka menolak segala budaya kotor yang diamalkan dalam politik.

"Kami melihat persekitaran politik malaysia kini berada pada tahap yang parah, lebih-lebih lagi pada hari-hari menuju Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.

"Sebahagian daripada para pemimpin, ilmuan dan ulama tidak dapat menjadi penjaga kepada nilai murni masyarakat ini," kata beliau pada sidang media di sebuah hotel di Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Prof Shaharir juga khuatir budaya ini berterusan apabila ada pihak yang ingin meraih kuasa dan mengekalkan kuasa mereka.

"Demi meraih kuasa dan mengekalkan kuasa, mereka menggunakan, membiarkan malah nampak menyuburkan segala kekejian, keganasan, dan penyalahgunaan kuasa bagi menghalalkan rasuah, fitnah, kelucahan, keganasan, kesumbangan, kesamsengan, dengan tid amenghiraukan batasan agama dan budi bahasa yag diamalkan oleh masyarakat bertamadun," tegasnya.

Beliau juga berkata, Gatera akan bergerak secara aktif sepanjang tempoh kempen PRU13 ini untuk menyatakan pendirian mereka.

"Budaya kotor dalam politik inilah yang emnjadi pemangkin kepada kami untuk menubuhkan Gatera ini.

"Jadi kami akan turun ke masyarakat dalam memberikan penerangan mengenai kesan budaya politik kotor ini dan mungkin juga akan duduk sepentas denan ahli politik untuk menyatakan pandangan kami sekiraya dijemput," katanya sambil menambah, program-program Gatera akan berterusan walaupun selepasa PRU13 berakhir.

Sidang media turut dihadiri setiausah Gapaera, Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Kassim Muhamad, Penolong Setiausaha Aangkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz, Sarjana Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa, Prof Mohd Nazari Ismail.

Harakahdaily/-

Ada lagi pemimpin Umno akan masuk PAS

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Kami yakin masa depan sudah tidak ada dalam Umno, kata Tamrin Abdul Ghafar.
KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin veteran Umno Datuk Tamrin Abdul Ghafar mendakwa ada lagi pemimpin tertinggi Umno yang akan  mengikuti jejak langkah bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menyertai PAS.

Tamrin berkata, individu itu merupakan seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno senior yang kecewa kerana tidak dicalonkan bertanding  Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Dia tak gembira dengan keputusan itu dan ada kemungkinan besar dia akan masuk PAS dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang  media di sini hari ini.
Anak mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Ghafar Baba itu berkata, hasrat pemimpin MT Umno dinyatakan semasa pertemuan  singkat pada minggu lalu.
Katanya, pemimpin Umno itu turut mendakwa ramai rakan-rakannya yang tidak dinamakan bertanding atas tiket Umno sedang  berbincang secara serius untuk memberi sokongan secara terang-terangan kepada calon Pakatan Rakyat.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama Muhammad, Tamrin menyeru ahli Umno khasnya 61 pemimpin Umno yang dipecat kerana  bertanding atas tiket Bebas memberikan undi kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU13.
“Kami berdua dengan rendah diri dengan ini menyeru semua rakan-rakan yang masih berada dalam Umno untuk bersama-sama kami  membuat perubahan.
“Kami yakin masa depan sudah tidak ada dalam Umno. Dengan corak dan pendekatan politik yang ada, Umno sudah tertinggal di arus
perubahan negara dan dunia,” katanya.

Katanya semua calon Umno yang terpilih itu terdiri daripada mereka yang tidak layak, bermasalah dan mempunyai agenda kepentingan  peribadi.
Disebabkan itu, Tamrin menjangkakan banyak kerusi Parlimen yang dimenangi BN sebelum ini akan kecundang ke tangan Pakatan  Rakyat.
Beliau turut meramalkan tindakan BN yang memindahkan Datuk Mukhriz Mahathir daripada Parlimen Jerlun ke kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Ayer Hitam sebenarnya ingin membunuh karier politik anak mantan Perdana Menteri itu.

“Sepatutnya kerusi yang selamat untuk Mukhriz adalah DUN Kuah di Langkawi kerana ada sentimen Mahathir yang telah membangunkan  Langkawi.
“Kawasan Jitra (Kayu Hitam) itu kawasan kuat PAS. Dua PRU yang lalu PAS menang.
“Memang ada unsur cubaan nak pekena dia sebab ada kumpulan lain yang nak jadi Menteri Besar juga,” katanya.
FMT/-

Mencari Orang Hilang

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


4 Pemimpin tertinggi Barisan Nasional di dapati Hilang, kehilangan mereka sungguh di rasai di peringkat nasional, yg mana rakyat Malaysia amat merindui mereka utk di buat bahan.

Ketiadaan mereka sebagai calon BOLEH KE MENANG bagi Barisan Nasional menyebabkan berlakunya pertembungan calon BN melawan calon BN di 25 kerusi parlimen dan dun seluruh negara.

Rakyat begitu menagih SIMPATI akan HIKMAT mereka.

by @tiewnama - Hikmat Katak Mengaum. kah3 - Era Pasca

Fitnah: Kain rentang untuk kelirukan pengundi Cina

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

MELAKA: Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari kesal dengan pemasangan kain rentang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab memfitnah PAS.
"PAS Melaka menafi sekeras-kerasnya bahawa kami memasang kain-kain rentang,” ujarnya pada sidang akhbar di Pusat Media Pakatan Rakyat Melaka di Pejabat DAP Melaka, Lorong Pandan di sini hari ini.

Jelasnya, PAS tidak pernah mencetak dan memasang kain rentang seperti ini, ianya merupakan provokasi pihak musuh yang sengaja ingin mengelirukan pengundi terutama pengundi Cina.

"PAS yakin ini adalah kerja-kerja musuh politik kita yang sengaja memfitnah dan jumpa mengelirukan rakyat supaya memandang serong kepada PAS," tambah Adly yang bertanding di N.09 Durian Tunggal.

Calon PAS N.17 Bukit Baru, Dr Khalid Kassim juga kesal kerana Dun Bukit Baru menjadi sasaran utama pemasangan kain-kain rentang provokasi tersebut.

"Petugas-petugas kita menjumpai lebih dari 10 kain rentang seumpama ini dipasang di dalam Dun Bukit Baru.

"Jelas lawan kita semakin terdesak sehingga sanggup memasang kain rentang yang memfitnah PAS,"ujar beliau.

Dr Khalid berkata beliau dan jentera Majlis Tindakan Dun Bukit Baru tidak sedikit pun gentar dan takut dengan tindakan provokasi seumpama itu.

"Kami sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa juga kemungkinan. Rakyat semakin hari semakin menerima PAS di Dun Bukit Baru dan kita yakin satu kejutan akan berlaku di sini," tambahnya.

harakah/-

PR isytihar cuti umum 6hb Mei jika kuasai P'jaya

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan mengisytiharkan 6hb Mei ini iaitu sehari selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diumumkan, sebagai cuti umum jika berjaya menguasai pentadbiran di Putrajaya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata ianya bagi memberi keselesaan kepada rakyat khususnya pengundi di perantauan untuk kembali ke ibu kota bagi meneruskan tugas mereka.

"InsyaAllah, Pakatan Rakyat akan isytiharkan 6 Mei sebagai cuti umum jika Pakatan Rakyat mendapat majoriti untuk bentuk kerajaan di Putrajaya.

"Jadi rakyat tidak perlu untuk tergesa-gesa balik ke tempat kerja masing-masing selepas selesai membuang undi," katanya yang juga calon PAS bagi parlimen Pokok Sena kepada Harakahdaily.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari mengundi PRU13 akan diadakan pada hari Ahad, 5 Mei ini.

Ianya adalah hari bekerja bagi tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kelantan bagaimanapun telah mengumumkan bahawa tarikh itu dijadikan cuti peristiwa bagi membolehkan rakyat negeri itu keluar mengundi dengan selesa.

Seramai 13.3 juta rakyat Malaysia yang sudah berdafar sebagai pengundi, layak mengundi kali ini.

harakah/-

Semangat abah sentiasa bersama saya - Anis Afida

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pemergian seseorang yang disayangi di saat-saat dia diperlukan sebagai pendorong dan tempat bergantung khususnya buat calon Dun Penawar Anis Afida merupakan satu dugaan yang cukup berat.

Ketika calon anak muda PAS ini sedang rancak berkempen menjelang pilihan raya umum 5 Mei ini, Anis dikejutkan dengan pemergian ayahnya semalam kerana mengalami masalah buah pinggang.

"Anis Afida akan kembali dalam masa dua-tiga hari lagi dengan langkah yang lebih ampuh dan semangat lebih kental menggalas tanggungjawab dan amanah abah. Doakan abah dan kami sekeluarga kekal di atas jalanNya!

"Dia telah berkorban segala yang dia ada untuk perjuangan menegakkan keadilan di muka bumi Allah taala ini," ujar Anis melalui laman Facebooknya.

Bagi Anis, arwah bapanya adalah mentornya di mana beliau kini menyambung perjuangan ayahnya yang merupakan aktivis PAS sejak tahun 1986.

Bapa Anis, Mohd Azli Jufri yang juga bekas guru menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu, semalam dan selamat di kebumikan jam 9 pagi ini Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi.

Sementara itu Timbalan Pesruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Anis Afida.

Mazlan cukup mengenali Allahyarham bapa Afida sejak 1986 ketika itu Cikgu Azli bergiat aktif dalam Dewan Pemuda PAS Johor bermula ahli biasa sehinggalah dilantik sebagai exco.

"Arwah adalah aktivis parti yg sangat gigih dan berani, meskipun seorang penjawat awam. Jawatan terakhir yg masih disandangnya ialah Setiausaha PAS Kawasan Pengerang. Bakat kepimpinan arwah dan isterinya Wan Rohani Wan Ahmad, diwarisi oleh Anis," kata Mazlan ketika menghubungi.

harakahdaily/-

Najib belanja RM4,364 setiap pengundi, terbesar di Asean - penganalisa

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Seorang penganalisa politik terkemuka rantau Asia Tenggara hari ini membuat penganggaran bahawa Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak telah membelanjakan RM58 bilion atau RM4,363 setiap pengundi untuk PRU13 ini.

Dr Bridget Welsh (gambar), seorang professor madya sains politik menulis dalam artikelnya di Malaysia berkata perangkaan tersebut datang daripada analisa beliau dalam 4,000 sumber berita sejak 2009 dan kajian terhadap tiga bajet dan bajet tambahan dari 2010 sehingga 2013.

“Saya secara konservatif menganggar bahawa pentadbiran beliau (Najib) telah membelanjakan RM57.7 bilion bermula dari hari beliau menjadi Perdana Menteri sehingga sebelum parlimen dibubarkan dalam insentif pilihanraya,” tulis Bridget.

Bridget berkata Najib telah membelanjakan RM46.7 bilion dalam pembangunan sasaran berjanji dan RM11.0 bilion dalam program 1Malaysia.

“Dua komponen terbesar ini adalah bersifat pengagihan sasaran politik dan perbelanjaan 1Malaysia. Langkah-langkah ini berunsur politik, kerana bukan sahaja mereka dicanang dalam bentuk politik, ia juga disebarkan sebagai sebab-sebab untuk mengundi BN di peti undi nanti,” kata beliau.

Bridget berkata pembelanjaan terbesar bukannya datang daripada RM5.6 bilion yang digunakan untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tapi di atas langkah-langkah populis yang lain seperti kenaikan gaji dan pembinaan sekolah menggunakan duit daripada pejabat Perdana Menteri.

“Dalam erti kata lain, anggaran itu mencadangkan bahawa pentadbiran Najib telah membelanjakan kira-kira RM4,363 setiap pengundi setakat ini. Setakat ini, ini adalah pilihanraya termahal di Malaysia. Memandangkan bahawa wang juga diperuntukkan kepada calon-calon untuk kempen, lebih banyak wang akan digunakan,” beliau memberikan amaran.

Najib, kata beliau, sekarang boleh dikatakan terlibat dalam pilihanraya termahal di Asia Tenggara.

Sebelum ini, ada satu laporan Maybank bertarikh 19 Mac menyatakan bahawa Jabatan Perdana Menteri telah membelanjakan sebanyak RM36.1 juta untuk menaikkan imej pentadbirannya di mata rakyat menerusi pengiklanan.

harakahdaily/-

Ujian roket swasta berjaya

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
 
ATLANTIK, Virginia - Sebuah syarikat yang diupah oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) untuk menghantar bekalan perkakasan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berjaya melancarkan sebuah roket kelmarin. 

Pelancaran itu dilakukan bagi menguji keupayaan roket Antares untuk melakukan penghantaran kargo yang besar ke angkasa lepas.

Kira-kira 10 minit selepas pelancaran dilakukan dari Kepulauan Wallops di Pantai Timur Virginia, syarikat Orbital Sciences Corp. mengisytihar ujian tersebut telah berjaya.

Roket prototaip itu berjaya sampai ke orbit yang disasarkan.

Syarikat dari pinggir Dulles itu dan sebuah lagi firma AS, SpaceX dipilih untuk membawa bekalan kargo ke stesen angkasa, selepas NASA menamatkan program ulang-alik ke angkasa sejak tiga dekad lalu pada 2011.

Agensi angkasa lepas itu mula beralih kepada syarikat swasta untuk tugas penghantaran kerana ia mahu memberi tumpuan kepada misi menghantar manusia ke asteroid dan planet Marikh. - AP

Kakitangan awam, pelajar kolej ditahan parti liar

Mohamad Mansor12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

BENTONG - Keasyikan 42 lelaki dan 20 wanita berpesta liar dalam dua unit apartmen di sebuah resort di Genting Highlands, dekat sini, awal pagi kelmarin terbantut apabila sepasukan polis menyerbu dan menahan mereka.

Mereka yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 29 tahun terdiri daripada kakitangan awam dan pelajar kolej.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong diketuai Inspektor Ng Tee Yian kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, ketika serbuan, kebanyakan mereka dalam keadaan khayal dan sedang asyik menari diiringi muzik Techno.

“Hasil pemeriksaan dijalankan polis berjaya merampas 74 biji pil eramin 5, satu ketul mampatan ganja, satu peket plastik lut sinar ketamin, tiga peket lut sinar serbuk ecstasy, 70 biji pil ecstasy, 28 biji kapsul mengandungi dadah berbahaya dianggarkan berjumlah RM7,300.

“Berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan, 32 lelaki dan 16 perempuan disahkan positif dadah,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, hasil siasatan awal mendapati, kesemua suspek yang ditahan membayar RM15 seorang kepada penganjur untuk menyertai parti berkenaan.

Katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti penganjur parti itu.

“Kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kini ditahan reman sehingga 25 April 2013 untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

sinar/-

Tinggal emak di hentian bas

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Johor Bahru: “Tidak apa, biar emak saya duduk di sini, bukannya salah duduk di sini,” kata seorang daripada dua anak yang ditanya kenapa meninggalkan ibu mereka yang berumur 60 tahun gelandangan di hentian bas sekitar bandar raya ini sejak setahun lalu.

Dua wanita itu berumur 30-an dan 40-an kini bekerja serta tinggal di Singapura.

Penjaja yang enggan dikenali berkata, warga emas itu dikenali sebagai Raodah menjadi perhatian ramai, malah ada yang memberinya makanan serta wang.

“Anaknya berperwatakan tomboi dan perbuatannya itu ditegur ramai penjaja di sini namun tidak dihiraukan. Mereka datang sebulan sekali untuk meninggalkan sedikit wang belanja.

“Mereka meninggalkannya dengan alasan dia kesunyian di rumah berikutan mereka di Singapura,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru Manayi Ibrahim berkata, pihaknya mengenal pasti warga emas itu ketika melakukan operasi mencegah pengemis serta kutu rayau di sekitar bandar raya ini hujung minggu lalu.

“Dalam operasi itu, kami mengenal pasti 11 individu yang hidup gelandangan membabitkan tiga wanita dan lapan lelaki dewasa.

“Amat mengejutkan seorang wanita berusia 63 tahun menyatakan dia hidup gelandangan di hentian bas kerana anak perempuannya bekerja di Singapura.

“Dia memberitahu berbuat demikian kerana dipaksa anaknya,” katanya.

metro/-