12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
PUTRAJAYA,
23 April — Semua kertas undi bagi pengundi pos luar negara dan pengundi
tidak hadir (PTH) untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13), akan dihantar
esok.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata kertas undi itu akan dihantar ke 103 Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.
“SPR memberi jaminan proses penghantaran dan penerimaan balik sampul
kertas undi tersebut selamat ... pengundi luar negara tidak perlu rasa
bimbang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pengundian bagi pemilih di luar negara ditetapkan pada 28 April
(Ahad), masa penyerahan dan penerimaan balik sampul ialah dari pukul 9
pagi hingga 8 malam di London, dan Melbourne.
Bagi Pejabat Perwakilan Malaysia yang lain, tarikhnya sama, namun tempohnya lebih singkat iaitu dari 9 pagi hingga 6 petang.
Sehubungan itu, Wan Ahmad menasihati mereka supaya mengundi di tempat
sampul kertas undi diserahkan bagi mengelak sebarang masalah.
“Semua ada di sana, pegawai bertangggungjawab, saksi, petak mengundi,
peralatan diperlukan, dan boleh terus memasukkan kertas undi ke dalam
karung undi pos,” katanya.
Wan Ahmad juga berkata pengundi boleh membawa balik kertas undi dan
bertanggungjawab menghantarnya sendiri dalam tempoh masa yang
ditetapkan.
“Jangan salahkan SPR sekiranya kertas undi itu tidak sampai ke
pejabat pegawai pengurus (RO) masing-masing sebelum pukul 5 petang pada
hari pengundian,” katanya.
Beliau berkata semua beg diplomatik yang mengandungi kertas undi itu
dijangka sampai semula di Malaysia seawal-awalnya pada 29 April, dan
akan dihantar terus ke pejabat SPR di seluruh negara sebelum diagihkan
ke pejabat RO.
Seramai 6,360 pengundi luar negara dan 2,900 PTH akan mengundi pada PRU ke-13.
Di Seremban, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata
angka itu tidak termasuk warga Malaysia di Singapura, Brunei, selatan
Thailand dan Kalimatan.
Warga Malaysia di luar negara yang ramai mengundi pos pada PRU13 ini
menetap di Australia, diikuti United Kingdom dan China, katanya kepada
pemberita selepas melawat dan mendengar taklimat persiapan PRU13 di
Pejabat SPR negeri dan bilik gerakan PRU-13 Parlimen Rasah di Pejabat
Daerah dan Tanah Seremban di sini hari ini.
Abdul Aziz juga berkata pengundian awal yang membabitkan anggota polis dan tentera akan diadakan pada 30 April.
Katanya kertas undi pos dan undi awal ini akan dikira pada hari yang sama dengan kertas undi biasa iaitu pada 5 Mei.
“Kertas undi pos dan undi awal mesti dibuka pada pukul 4 petang pada 5
Mei dihadapan ejen parti. Kalau banyak sangat, kita buka awal, tapi
mesti dihadapan ejen parti dan pemerhati, sama ada domestik dan
antarabangsa,” katanya. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan