23 April 2013

Ribut 10 minit, bumbung 15 rumah rosak

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Tiupan angin ribut 10 minit
Mohd Lukman menunjukkan hampir sebahagian bumbung rumahnya musnah.
SIMPANG RENGGAM - Hanya 10 minit tiupan angin ribut, mengakibatkan 15 rumah di kawasan Pekan Layang-Layang dekat sini, terjejas teruk.

Kejadian yang berlaku jam 12 tengah hari kelmarin, menyebabkan beberapa bumbung kediaman penduduk rosak diterbangkan angin.

Menurut mangsa ribut di Kampung Melayu, di sini, Sabtu Adang, 72, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen, dan tidak menyangka angin kencang secara tiba-tiba itu memberi petanda ribut melanda.

“Sewaktu angin kencang itu datang pada kali pertama, bumbung rumah saya seakan-akan mahu terangkat dan selepas itu angin beransur reda, tapi saya tak sangka angin ribut itu datang untuk kali kedua.

“Pada kali kedua bumbung rumah saya tidak boleh diselamatkan. Beberapa keping zink rumah diterbangkan bersama angin ribut dan garaj tempat letak kereta turut musnah tercabut diterbangkan angin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, fenomena itu bukan pertama kali berlaku di kawasan tersebut, namun kali ini rumahnya terjejas teruk apabila mengalami kerugian hampir RM1,000 akibat kejadian itu.

Sementara itu, mangsa ribut, Mohd Lukman Hadi, 18, mengakui kejadian tersebut adalah pengamalan pertama dialaminya.

“Saya ingat hanya hujan biasa, tapi tak sangka ribut yang datang. Bagaimanapun, tiada barang yang rosak, hanya bumbung rumah sahaja.

“Saya juga bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku walaupun ada juga pokok di sekitar rumah yang tumbang,” katanya.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng berkata, pasukan sukarelawan BN akan memberikan bantuan kepada penduduk terlibat.

“Dengan cara ini, penduduk tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dari segi tenaga kerja untuk membaiki kerosakan dialami mereka setelah bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diperoleh nanti.

“Apa yang perlu dilakukan oleh ketua masyarakat di sini adalah mengumpul maklumat kerosakan yang dialami penduduk dan seterusnya akan dilanjutkan kepada JKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa ribut berkenaan bersama pasukan sukarelawan BN, dekat sini, semalam.

Sinar/-

Tiada ulasan: