23 April 2013

Semangat abah sentiasa bersama saya - Anis Afida

12 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pemergian seseorang yang disayangi di saat-saat dia diperlukan sebagai pendorong dan tempat bergantung khususnya buat calon Dun Penawar Anis Afida merupakan satu dugaan yang cukup berat.

Ketika calon anak muda PAS ini sedang rancak berkempen menjelang pilihan raya umum 5 Mei ini, Anis dikejutkan dengan pemergian ayahnya semalam kerana mengalami masalah buah pinggang.

"Anis Afida akan kembali dalam masa dua-tiga hari lagi dengan langkah yang lebih ampuh dan semangat lebih kental menggalas tanggungjawab dan amanah abah. Doakan abah dan kami sekeluarga kekal di atas jalanNya!

"Dia telah berkorban segala yang dia ada untuk perjuangan menegakkan keadilan di muka bumi Allah taala ini," ujar Anis melalui laman Facebooknya.

Bagi Anis, arwah bapanya adalah mentornya di mana beliau kini menyambung perjuangan ayahnya yang merupakan aktivis PAS sejak tahun 1986.

Bapa Anis, Mohd Azli Jufri yang juga bekas guru menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu, semalam dan selamat di kebumikan jam 9 pagi ini Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi.

Sementara itu Timbalan Pesruhjaya PAS Johor Mazlan Aliman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Anis Afida.

Mazlan cukup mengenali Allahyarham bapa Afida sejak 1986 ketika itu Cikgu Azli bergiat aktif dalam Dewan Pemuda PAS Johor bermula ahli biasa sehinggalah dilantik sebagai exco.

"Arwah adalah aktivis parti yg sangat gigih dan berani, meskipun seorang penjawat awam. Jawatan terakhir yg masih disandangnya ialah Setiausaha PAS Kawasan Pengerang. Bakat kepimpinan arwah dan isterinya Wan Rohani Wan Ahmad, diwarisi oleh Anis," kata Mazlan ketika menghubungi.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: