23 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
Islamofobia
MUNGKIN benar ada sekumpulan pelampau agama yang menjadi ancaman sebenar kepada keamanan dunia.
Tetapi adakah sekumpulan manusia ini, yang merentasi pelbagai agama,
boleh dijadikan alasan untuk dunia menyerang semua orang dalam agama
itu?
Di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, inilah yang berlaku terhadap orang
Islam. Hanya kerana propaganda AS yang tidak henti-henti bercakap
mengenai pengganas Al-Qaeda, yang jumlahnya mungkin tidak sampai 0.1
peratus pun daripada jumlah umat Islam, satu stereotaip dilemparkan
kepada orang Islam.
Sehingga Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI) membuat manual khas
untuk mengenal pasti personaliti seorang Muslim. Lebih panjang janggut
mereka, lebih ganas lah mereka.
Jadi apa yang menghairankan apabila November lalu, FBI mengeluarkan
statistik jenayah m kebencian terhadap orang Islam di AS sepanjang 2010
meningkat hampir 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Laporan itu menunjukkan jenayah yang dibuat berdasarkan rasa prejudis
terhadap orang Islam meningkat kepada 160 pada 2010 berbanding 107 pada
tahun sebelumnya.
Pertubuhan Human Rights First menyuarakan kebimbangan terhadap angka itu.
“Peningkatan ketara dapat dilihat mengenai keganasan anti-Muslim. Kami
telah lama menuntut jenayah anti-Muslim, dan juga jenayah terhadap agama
lain, dilihat sebagai pencabulan serius hak asasi manusia.
“Kerajaan AS perlu berbuat sesuatu untuk menandingi masalah ini,” kata wakil kumpulan itu, Paul Legendre.
Sentimen begitu kuat di AS terhadap orang Islam menjadikan agama itu
satu ba- hagian penting dalam perbincangan sebelum pilihan raya negara
itu, bulan depan.
Di seluruh negara, peningkatan Islamofobia menyebabkan orang Islam
sukar membina masjid dan mengamalkan ajaran Islam, iaitu hak mereka yang
tertakluk di dalam perlembagaan AS.
Dalam pertandingan calon presidenkali ini, ada calon meletakkan Islam
dalam konteks negatif dalam usaha mereka menaikkan populariti dalam
kalangan rakyat yang mereka anggap tidak mesra Islam.
Sebagai contoh, bekas calon presiden, Herman Cain sebelum ini pernah
berkata, jika dia dipilih sebagai Presiden AS, dia berjanji tidak akan
melantik orang Islam dalam Kabinet.
Walaupun ia kedengaran mengejutkan, tetapi apa yang dikatakan Cain
menjadi penanda keadaan Islam di AS. Pada 2010, calon Kongres Republikan
menggunakan isu cadangan pembinaan pusat komuniti Islam di New York
yang ingin dibina berhampiran tapak bangunan Pusat Dagangan Dunia dan
undang-undang Sharia untuk mendapatkan sokongan.
Bulan lalu, satu iklan berunsur anti- Islam, pro-Israel ditampal di 10 lokasi stesen keretapi bawah tanah di New York.
Ia menyebut: “Dalam mana-mana peperangan di antara lelaki bertamadun dan haiwan buas, sokonglah lelaki bertamadun.
Sokong Israel. Tewaskan Jihad”.
Pengurusan stesen kereta api itu cuba menghalang iklan itu daripada
ditampal, tetapi kumpulan yang membiayai iklan menghina Islam, terutama
orang Palestin itu, memenangi
arahan mahkamah supaya iklan itu terus ditayangkan.
Seorang aktivis berketurunan Mesir- Amerika ditahan polis dua hari
selepas iklan itu ditayangkan, kerana dia menconteng iklan biadap itu.
Sementara itu, sentimen Islamofobia yang kuat juga dilihat di Eropah,
terutama selepas peristiwa serangan 9/11, menunjukkan betapa AS berjaya
dalam perang psikologi menjenamakan orang Islam sebagai pengganas.
Satu tinjauan dilakukan oleh Yayasan Friedrich Ebert di Britain
baru-baru ini mendapati sebanyak 45 peratus rakyat negara itu percaya
terdapat terlalu ramai orang Islam di sana.
Racun Islamofobia ini juga telah menjangkiti politik Eropah.
Menurut tinjauan Pew Research Center, hampir 6 daripada 10 orang Eropah
percaya orang Islam adalah pelampau dan separuh daripada mereka percaya
orang Islam adalah ganas.
Di Belanda, sebuah parti politik anti- Islam diketuai Geert Wilders
adalah yang ketiga terbesar di Parlimen, menunjukkan parti itu mendapat
sokongan kuat rakyat Belanda.
Lihat pula di Switzerland, negara dikenali tenang dan indah. Rupanya
hatimereka tidaklah seindah muka bumi ciptaan ALLAH SWT kepada mereka.
Parti Rakyat Swiss, iaitu yang terbesar di negara itu, memenangi
pungutan suara mengharamkan pembinaan menara masjid yang digelar
setiausaha agung parti itu sebagai ‘simbol kuasa Islam’.
Ketika pungutan suara itu dijalankan, sebuah masjid di Geneva berulang kali dirosakkan pelampau.
Perancis adalah negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di Eropah.
Tetapi tindakan kerajaan yang berterusan menyasarkan orang Islam
menyebabkan tinjauan dilakukan akhbar utama, Le Monde menunjukkan 42
peratus rakyat negara itu percaya kehadiran orang Islam menjadi ancaman
kepada mereka.
Parti politik National Front yang membawa sentimen anti-Islam mendapat
undian paling tinggi dalam sejarahnya semasa pilihanraya umum Perancis,
April lalu. Di Denmark, parti politik ketiga terbesar negara itu iaitu
Parti Rakyat,berjuang menentang ‘pengIslaman’ dan menuntut migrasi semua
orang bukan Barat ditamatkan.
Parti anti-Islam Vlaams Belang pula semakin mendapat tempat di Belgium,
negara yang mempunyai perdana menteri homoseksual pertama.
Ini membuktikan Islamofobia telah menjadi penyakit di Eropah.
Adakah orang Barat akan menerima cadangan OIC supaya Islamofobia
dijadikan jenayah, sama sebagaimana negara lain menghalang ucapan
anti-Yahudi? Mungkin tidak.
sinar harian/-