09 Oktober 2012

Kemudahan tidak sempurna

23 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

kemudahan asas tidak sempurna
Mohd Nazri (tiga, kanan) ketika menemui peniaga di deretan gerai di hadapan Fresco melihat baldi penyimpanan air peniaga ketika lawatan dibuat.
 
REMBAU -  Maklumat yang diterima Biro Perhubungan dan Pengaduan Awam Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri mengenai kira-kira 12 gerai perniagaan di hadapan sebuah pasar raya di Chembong, dekat sini tidak dilengkapi kemudahan air paip, plak tiga pin dan sistem saliran ternyata berasas apabila senario berkenaan adalah rutin harian yang terpaksa dihadapi peniaga di sini untuk mencari rezeki.

Ketua AMK negeri, Mohd Nazri Mohd Yunus berkata, aduan berkenaan merupakan salah satu daripada 35 aduan yang diterima pihaknya sejak penubuhan biro berkenaan yang bertujuan memberi ruang dan peluang masyarakat setempat mengetengahkan pelbagai masalah lebih-lebih lagi masalah yang sudah dibiarkan tanpa tindakan penyelesaian dalam tempoh masa lama.

Menurutnya, bagi aduan mengenai kemudahan air, sejak beberapa tahun lalu golongan peniaga terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk mengangkut air dari paip yang terletak berhampiran pasar raya berkenaan hampir setiap hari bagi memenuhi keperluan mereka membasuh tangan dan peralatan yang digunakan pelanggan.

“Senario seumpama ini seharusnya tidak berlaku sama sekali kerana kebajikan peniaga di sini yang rata-ratanya golongan Bumiputera perlu diambil perhatian serius oleh pelbagai pihak memandangkan mereka bergantung sepenuhnya untuk menambah sumber pendapatan melalui aktiviti perniagaan makanan dan minuman.

“Malah, wujud permintaan daripada pelanggan untuk makan di hadapan kios ini yang pada mulanya hanyalah kios untuk jualan sahaja dan peniaga pula harus mengikut rentak pelanggan kerana ia bersangkutan dengan penambahan pendapatan mereka lebih-lebih lagi sewa bulanan gerai berkenaan adalah sebanyak RM200 sebulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi gerai berkenaan,.

Turut hadir, Exco AMK Malaysia yang juga Pengarah Biro Perhubungan dan Pengaduan Awam AMK Negeri, Ramlan Roes.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, dia berharap masalah berkenaan akan mendapat perhatian daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan kemudahan bekalan air dan juga sistem saliran di gerai ini amat diperlukan oleh golongan peniaga Bumiputera di sini lebih-lebih lagi lokasi berkenaan semakin mendapat perhatian daripada masyarakat setempat.

Menurutnya, sememangnya pihak pemilik gerai sudah pun melengkapi gerai berkenaan dengan kemudahan lampu seawal jam 6 petang, namun ia masih lagi tidak memenuhi keperluan peniaga untuk memiliki plak sendiri sekiranya ingin memasang kipas untuk keselesaan masing-masing semasa menjalankan aktiviti perniagaan.

sinar/-

Tiada ulasan: