23 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
TAMPIN – Memalukan. Itulah luahan orang awam berikutan lokasi riadah
pada waktu petang dicemari dengan segelintir pasangan muda memadu kasih
di situ.
Tindakan pasangan berkenaan bukan saja melangkaui batasan agama, malah
menunjukkan contoh kurang sopan kepada golongan kanak-kanak, lebih-lebih
lagi kawasan itu menjadi tumpuan keluarga.
Itulah situasi yang berlaku di Taman Rekreasi Tampin, di sini, seolah-olah tiada pemantauan pihak berkenaan.
Penduduk tempatan, Azahar Kasim, 40-an berkata, dia sering menghabiskan waktu petangnya di taman berkenaan untuk berjoging.
Azahar mengakui sering ternampak pasangan kekasih muda atau mungkin
masih di bangku sekolah berkelakuan tidak sopan di sebalik pokok besar
di taman berkenaan.
“Mula-mula memang saya terperanjat dan malu kerana budaya ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini.
“Namun, apabila ia semakin berleluasa, rasa malu saya bertukar menjadi
marah dan berharap agar pihak berkenaan segera buat pemantauan," katanya
kepada Sinar Harian.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, lokasi terbabit dicemari 'drama'
segelintir pasangan seawal 2 petang di lokasi terlindung daripada orang
ramai.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Rahmat, 50-an
berkata, dia kesal kerana taman rekreasi itu disalahgunakan golongan
muda.
“Jika pasangan terbabit beri alasan mahu berehat di sini, kelakuan
mereka tetap salah kerana duduk dengan pasangan bukan muhrim dalam
keadaan mencurigakan," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar
berkata, taman rekreasi itu adalah kemudahan yang terdapat berhampiran
pusat bandar bagi membolehkan masyarakat beriadah dalam usaha
membudayakan cara hidup sihat.
“Bagaimanapun, sekiranya perkara ini berlaku iaitu kelakuan tidak
senonoh pasangan di lokasi tersembunyi di taman ini, diharap pihak
berkenaan dapat memantau aktiviti tidak bermoral ini," katanya.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan