16 April 2010

ZAID IBRAHIM KAYA TAPI TIDAK BERBOHONG

1 Jamadil Awal 1431H
Oleh: WFAUZDIN NS

MEMANG benar calon PR Dato' Zaid kehidupannya tentu lebih selesa sedikit daripada Adun PAS Manek Urai yang dahulunya seorang penjaja atau pemborong ikan. Lumrah manusia, ada yang kaya dan ada yang miskin tetapi kekayaan Dato' Zaid seperti yang mereka perkatakan tidak sampai sehingga tersenarai 10 terkaya di Malaysia. Siapa jutawan Melayu yang tersenarai di dalam 10 terkaya itu? Jika hendak tahu tanyalah Najib kerana saudara sedarah sedagingnya ada di senaraikan.

Masalah apanya jika si kaya atau si miskin menjadi calon untuk memperjuangkan rakyat? Apa yang penting mereka tidak menambahkan kekayaannya atau memakan hasil dari sumber yang haram, mencekik darah rakyat atau mementingkan diri sendiri. Saya memuji sikap berani Dato' Zaid yang mencabar Muhyiddin dan juga seluruh menteri kabinet Bn untuk menyenaraikan kekayaan atau harta masing-masing untuk menentukan siapa sebenarnya yang kaya melalui jalan haram. Sebelum ini Muhyiddin memberi alasan bodoh dengan menyatakan pemilihan Dato' Zaid adalah kerana kekayaannya bukan disebabkan ketokohannya.

Kita juga mempertikaikan mengapa sanggup dan tergamaknya Muhyiddin `menipu' rakyat di Hulu Selangor? Beberapa hari sebelum ini Muhyiddin telah menyatakan bahawa calon dari Bn yang pastinya anak tempatan. Tiba-tiba petang tadi beliau mengumumkan P. Kamalanathan sebagai calon Bn. Awal mula pertama mula Muhyiddin telah berbohong. Baca di sini.

Apakah rakyat di Hulu Selangor masih percaya kepada semua janji Muhyiddin beberapa hari kebelakangan dan yang akan datang ini? Jika Muhyiddin menganggap Dato' Zaid seorang yang kaya, ini bererti Muhyiddin seorang `miskin'. Mana lebih mulia, orang kaya yang jujur dan tidak berbohong daripada si miskin yang suka berbohong? SEndiri jawablah. / wfauzdin.blogspot.com

Di mana Palanivel?

30 Rabiulakhir 1431H.


Kegagalan Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel untuk hadir di majlis pengumuman calon BN P Kamalanathan mencetuskan persoalan sama ada beliau kecewa kerana tidak terpilih mewakili BN.

Ketika Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kamalanathan sebagai calon BN Hulu Selangor, tidak kelihatan langsung kelibat Palanivel yang sebelum ini disebut-sebut akan dipilih.

Seorang lagi pemimpin MIC yang turut dispekulasikan V Mugilan bagaimanapun hadir dan bersalaman dengan Kamalanathan.

Ditanya berhubung perkara itu, Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN mengakui bahawa Palanivel mungkin “sedikit kecewa”

“Mungkin beliau ada tugas lain atau sedikit kecewa. Kalau kita sendiri pun, mungkin ada perasaan sebegitu,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan pilihan BN di hadapan kira-kira 1,000 penyokong di Bukit Beruntung.

Muhyiddin juga berkata, beliau mahu Palanivel terus membantu bagi memastikan kemenangan BN di kawasan parlimen tersebut. Malaysiakini/-

Kamalanathan calon BN di Hulu Selangor.

P. Kamalanathan disahkan sebagai calon BN di Hulu Selangor seperti yang diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Muhyiddin Yassin sebentar tadi di Bukit Sentosa di sini.

MIC pilih Kamalanathan untuk tanding di Hulu Selangor

30 Rabiulakhir 1431H.

MIC dilaporkan sudah bersetuju untuk memilih Ketua Penerangan parti, P Kamalanathan (gambar) sebagai calon Barisan Nasional (BN) bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Kamalanathan dikatakan dipersetujui diketengahkan selepas beberapa nama dipertimbangkan pada mesyuarat tertinggi MIC yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri S Samy Vellu, malam tadi.

Walau bagaimanapun kita masih menunggu berta rasmi dari Hulu Selangor dimana Timbalan Pengerusi BN, Muhyiddin Yassin akan mengumumkan dan mengesahkan siapakah calon yang akan mewakili BN.

Adun Bakar Arang umum keluar PKR

30 Rabiulakhir 1431H.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang, Tan Wei Shu (gambar) meninggalkan PKR hari ini.

Beliau sebelum ini merupakan exco kerajaan Kedah sebelum digugurkan dalam rombakan exco pada 10 Mac lalu.

Tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang.

Pada sidang medianya di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang ini, Wei Shu mendakwa tindakannya itu kerana dipermain-mainkan oleh pemimpin partinya.

"Cakap besar saya tak pandai, cakap bohong saya tak pandai, cakap mengampu saya tak pandai, cakap manis janji saya tak pandai, tapi yang saya pandai, boleh buat atau tak boleh buat dan mahu buat atau tak mahu buat...itu saja saya tahu.

"Saya cuma tahu bercakap benar, tak seperti orang lain bermuka dua dan lidah bercabang," katanya yang membacakan kenyataannya.

Wei Shu juga berkata dia akan menjadi Adun bebas dan berjanji akan terus berkhidmat seperti biasa dan berusaha memenuhi kehendak rakyat.

Pada akhir kenytaannya, Wei Shu berkata pengundurannya itu tidak ada kena mengena dengan perlucutan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri Kedah.

Malaysiakini/-

APABILA UMNO TERTEKAN, PEMIMPIN PUN CAKAP MERAPU

30 Rabiulakhir 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

SEPERTI jangkaan banyak pihak, Dato' Zaid Ibrahim telah dipilih untuk mewakili PR di dalam PRK Hulu Selangor nanti. Bukan mudah pimpinan untuk membuat keputusan ini kerana di dalam PKR khususnya terlalu ramai pemimpin yang berterampilan dan teruji semangat mereka. Sebagai contoh, Us Dr Badrul Amin yang mendapat banyak sokongan daripada blog-blog pro PR adalah seorang yang komited terhadap perjuangan dan beliau merupakan seorang Pendakwah terkenal juga seorang reformis.

Ketua AMK Pusat, Sdr Shamsul Iskandar usah diceritakan lagi kehebatannya kerana kelantangan beliau sering membuat pemimpin muda di dalam Umno resah gelisah. Dan, banyak lagi pemimpin yang mempunyai kebolehan untuk menandingi mana-mana calon dari Bn yang akan diumumkan petang nanti.

Saya terbaca ulasan Noh Omar, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor di dalam sebuah akhbar di sini. Beliau cuba mengulas tentang pemilihan Dato' Zaid sebagai calon dari PR. Kelihatannya Noh Omar ketinggalan bas dan beliau mungkin merasa masih berada di era 70-80an lagi. Beliau mempertikaikan Dato' Zaid sebagai bukan anak tempatan meskipun hakikatnya lebih kurang 30 tahun Zaid tinggal di Selangor. Benar, Dato' Zahid anak Kelantan tetapi apa masalahnya jika beliau sanggup berjuang di Selangor asalkan rakyat Selangor sudi menerimanya? Di dalam PR,terdapat ramai Wakil-Wakil Rakyat mereka yang mewakili kawasan yang bukan tempat kelahirannya tetapi terbukti mampu mengubah nasib rakyat yang diwakilinya. Di dalam Umno/Bn, jika ramai Wakil Rakyat mereka adalah anak jati sekali pun, banyak di kalangan mereka `makan darah daging orang sekampung'nya sendiri. Jadi, mana lebih baik?

Heboh diperkatakan V. Mugilan dari MIC akan dicalonkan oleh Bn untuk bertanding di Hulu Selangor. Di dalam sidang akhbar siang tadi, hampir separuh cawangan MIC di Hulu Selangor menolak keras pencalonan V.Mugilan. Bahkan, mereka turut mengugut akan menutup bilik operasi MIC jika Bn tetap memilih V.Mugilan sebagai calon. Di dalam sidang akhbar itu juga, dikatakan bahawa V. Mugilan juga bukan anak tempatan. Jadi, atas dasar apa jika Bn masih ingin memilih beliau? MIC Selangor mahukan Palanivel, Umno Hulu Selangor mahukan tokoh lain dan mereka menyebut nama V. Mugilan. Jadi, suara siapa yang akan didengar oleh Najib dan Muhyiddin? Suara Umno atau suara MIC?

Berbalik kepada Dato' Zaid, kenyataan paling melucukan dan nampak tidak cerdik datangnya dari Muhyiddin selaku TPM. Munasabahkah Muhyiddin menyebut bahawa pemilihan Dato' Zaid adalah kerana Dato' Zaid kaya dan banyak duit, bukan kerana ketokohan dan kepimpinannya. Beliau menyebut bahawa maklumat itu beliau tahu dari media dan akhbar dan mungkin juga suara dari warung-warung kopi. Inikah standard seorang TPM yang mendapat maklumat semurah itu? Adakah ini bermakna beberapa tahun dahulu ketika Dato' Zaid bersama Umno, beliau dipilih menjadi Wakil Rakyat seterusnya menjadi seorang Menteri adalah kerana Dato' Zaid itu kaya? Amat malang sekali negara kita mempunyai seorang TPM yang level otaknya sedemikian. Dahulu, ketika PRK di Manek Urai PAS meletakkan calonnya dari seorang penjaja atau pemborong ikan, calon PAS tersebut diperlekehkan. Kini, PKR mencalonkan Dato' Zaid, Muhyiddin tiada hujah lagi dan membuat alasan bodoh sedemikian.

Hakikatnya Bn terutamanya Umno mulai merasa panas dan tertekan untuk memilih calon mereka. Sudah menjadi kebiasaan di dalam Bn untuk berebut-rebut jawatan. Rakyat kini melihat sandiwara Bn lebih-lebih lagi Umno yang tidak lagi menghormati pemimpin dari parti komponen mereka sendiri. Umno tetap dengan ego mereka untuk membuli parti-parti yang mereka mereka anggap lemah. Petang nanti kita akan menyaksikan kehebatan Umno untuk menentukan wakil dari parti MIC ini. Untuk pemimpin MIC, terima sahajalah kerana kamu sanggup bersekongkol dengan Umno./wfauzdin.blogspot.com