18 April 2009

Kes MB Perak vs Sivakumar undang bahaya

KUALA LUMPUR, 17 April : - Keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan penggantungan terhadap Menteri Besar Barisan Nasional Perak, Dato' Zambry Abd Kadir dan enam ahli exconya daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak didakwa memberi implikasi 'bahaya' selepas ini.

Demikian kata peguam muda, Abdullah Abdul Karim kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas isu tersebut.

Bagi Abdullah, ia memberi implikasi kepada persoalan 'separation of power' (pengasingan kuasa) iaitu kuasa Speaker itu sendiri sudah boleh dibawa ke mnahkamah untuk dicabar.

Kes ini katanya menjadi 'precedent' (kes duluan) dan tidak mustahil akan berulang selepas ini.

"Nampaknya dewan itu sendiri kini tidak bebas, dan kuasa speaker boleh dicabar.Ia akan menyebabkan tidak ada lagi keistimewaan kepada Speaker.Ini akan mengundang bahaya," katanya.

Teori pengasingan kuasa yang biasa diamalkan di negara Komanwel hari ini sudah tidak dipakai lagi dengan keputusan ini, katanya.

Maknanya selepas ini di Dewan Rakyat sekalipun,sebarang tindakan yang dibujat Speaker Dewan akan terdedah untuk dibawa ke mahkamah,katanya.

Sebelum ini, Zambry dan enam exconya itu, sebelum ini memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Speaker DUN Perak, V Sivakumar yang menggantung mereka selepas BN menubuhkan kerajaan negeri di Perak Februari lalu tanpa pembubaran Dun.

Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak

Mohamed Hanipa Maidin

Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?

Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.

Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.

Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.

Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:

Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.

Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.

lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah

Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.

Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.

Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.

Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:

1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.

3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.

4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.

5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.

6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.

7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.

8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.

Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.

Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.

Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.

Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.

Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.

Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.

Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.

Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.

Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat.- Harakahdaily.

Penanti : Kenapa SPR lambat buat keputusan ?

Pengerusi SPR, Abdul Aziz Yusof mengatakan pihaknya sudah dimaklumkan oleh Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang petang ini bahawa surat makluman tentang kekosongan sudah pun diterima daripada Speaker DUN Pulau Pinang.

Namun kenyataan SPR yang memaklumkan hanya pada Rabu depan akan bermesyuarat dan pada Jumaat akan memaklumkan kepada umum, amat mengejutkan dan merupakan sesuatu yang luarbiasa.

Saya melihat semacam sesuatu yang tidak kena kepada SPR. Mungkin SPR sudah naik tocang bila Mahkamah memutuskan bagi kes di Perak bahawa SPR lah yang berhak menentukan kekosongan DUN, oleh itu boleh dilambat-lambatkan .

Nampaknya amalan sebelum ini untuk mempercepatkan penghantaran makluman dari Speaker DUN kepengetahun SPR mula diperlambatkan. Dal kes Penanti pada hari isnin minggu depan baru akan sampai ke pengetahuan SPR Putrajaya.

Selain itu saya kira wajar kalau sudah menerima makluman dari Speaker DUN ada beberapa hari sengang untuk bermesyuarat. Hari Rabu untuk menentukan kekosongan Penanti sudah boleh diterima.

Tetapi yang tidak boleh diterima kenapakah sampai perlu menunggu dua hari dan pada hari Jumaat baru diumumkan keputusan mesyuarat. Amalan biasa sesudah mesyuarat keputusan akan diumumkan.

Bila diajukan persoalan tersebut Pengerusi SPR memberitahu bahawa SPR memerlukan masa untuk membincangkan banyak perkara mengenainya. Satu jawapan yang menimbul banyak tandatanya.

Apakah rasa jemu yang dirasakan oleh Najib kepada PRK juga berjangkit kepada SPR. Kegagalan SPR yang menjadi pengadil yang berat sebelah hanya mampu memenangkan satu dari 5 kerusi yang dipertandingkan.

Berita yang ingin kita dengar ialah SPR memaklumkan tidak akan ada PRK di Penanti dengan alasan tidak berapa lama lagi PM Najib akan mengumumkan Pilihanraya Umum ke 13.

Kerusi Penanti: SPR bertemu Rabu

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Rabu depan untuk menentukan sama ada perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun SPR hanya akan mengumumkan keputusannya dua hari kemudian.

Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof, pihak sudah dimaklumkan oleh Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang petang ini bahawa surat makluman tentang kekosongan sudah pun diterima daripada Speaker.

"Isnin ini, Pengarah Pilihan Raya Negeri akan membawa surat kepada kami dan kami akan bermesyuarat Rabu depan dan pada Jumaat kami akan memaklumkan kepada umum," kata beliau ketika dihubungi.

Lazimnya SPR akan mengumumkan hasil mesyuarat pada hari yang sama tetapi kali ini mengambil masa dua hari.

Mengenai tempoh dua hari yang diambil untuk pengumuman, beliau memberitahu, SPR memerlukan masa untuk membincangkan banyak perkara mengenainya.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang, Mohd. Faiz Syazwan Zainal Abidin ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima notis makluman kekosongan pukul 10.43 pagi tadi.

"Saya sudah menerima surat daripada Speaker pagi tadi dan ia akan dipanjangkan kepada Ibu Pejabat," katanya.

Ketika ditanya mengenai surat itu, beliau mengesahkan ia ditandatangani oleh Mohammad Fairus Khairuddin.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenainya.

Fairus yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang semalam mengumumkan yang beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti.

Ia berkuat kuasa semalam juga.

ADUN Parti Keadilan Rakyat (PKR)itu, dalam kenyataan empat perenggan yang dihantar melalui emel kepada Bernama berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pasca siswazah dan sekaligus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

Fairus, 32, telah meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Pengerusi Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Negeri berkuat kuasa 8 April lalu.

Kata beliau, tindakannya itu dibuat setelah mengambil kira landasan perjuangan dan kepentingan rakyat yang beliau wakili serta demi memelihara kepentingan PKR. Mstar.

Najib mula bosan dengan pilihanraya kecil ?

"Terlalu banyak masa, tenaga, wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang tidak perlu sebenarnya," katanya dalam satu sidang media di Klang, hari ini. Kenyataan ini menyusul dalam keadaan lima PRK sebelum ini satu sahaja yang memihak kepada BN.

Adakah Najib sudah bosan dan sudah rasa cukup dipermalukan bila ada PRK ? Malah dia menyifatkan peletakan jawatan ADUN Penanti, Mohammad Fairus sebagai satu mainan politik untuk tujuan-tujuan tertentu.

Apakah maksud sebenar Najib dengan kenyataan diatas adalah kurang jelas. Namun yang jelas kedudukan sekarang keputusan PRK sebelum ini ialah 4 - 1. Jelas BN ditolak oleh rakyat. Kalau tidak mahu PRK saya cadangkan bubar semua Parlimen dan DUN kita bertempur dalam Pilihanraya Umum ke 13 secepat mungkin.

Speaker sah terima surat peletakan jawatan Fairus

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Abdul Halim Hussin mengesahkan telah menerima salinan asal surat peletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mohammad Fairus sebagai ADUN Penanti, semalam.

Abdul Halim bagaimanapun masih enggan mendedahkan daripada siapa surat tersebut diterima.

"Apa yang penting, kita menerima surat tersebut.

"Awalnya kita menerima salinan faks dan kemudian salinan asal mengenai peletakan jawatan Fairus," katanya sebagaimana yang disiarkan dalam Mstar sebentar tadi .

Beliau juga turut enggan mendedahkan masa sebenar salinan surat asal tersebut diterima.

Abdul Halim berkata, beliau akan mengadakan sidang media di pejabatnya lewat petang ini berhubung perkara itu.

Ditanya bila beliau akan menghubungi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan kekosongan kerusi DUN tersebut, Abdul Halim berkata, beliau akan berbuat demikian secepat mungkin.

Sah Sidang DUN 7 Mei : Saya risaukan keselamatan Speaker DUN Perak.

Setelah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memeranjatkan kelmarin yang mengatakan bahawa tindakan Speaker adalah terbatal tidak sah kerana Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk mengantung Zambry selama 18 bulan manakala enam exconya digantung selama setahun.

Dari keputusan itu Zambry dan enam exco terbabit boleh menghadiri sidang DUN yang akan datang. Namun begitu perlu diingatkan tidak mustahil akan adanya keputusan-keputusan baru yang boleh menghalang Speaker bertindak kepada ahli-ahli Dewan yang difikir melanggar peraturan Dewan.

Sebenarnya saya sangat merasa bimbang dengan keselamatan Speaker sejak awal krisis berlaku. Apabila saya membuat satu laporan Polis di Ipoh pada bulan Februari lalu, saya mengatakan dalam laporan saya bahawa saya bimbang dengan keselamatan Speaker kerana pernah berlaku di Kelantan satu masa dulu Speaker telah diculik.

Kemuncak kebimbangannya setelah saya menerima panggilan talifon dari pejabat Setiausaha Dewan Perak pagi ini yang memaklumkan untuk menghantar surat panggilan sidang Dun pada 7 Mei nanti. Sudah sahlah sidang akan berlaku juga.

Tetapi yang paling ajaibnya ialah Speaker DUN dari Pakatan Rakyat, V. Sivakumar masih berada ditempatnya serta segala keistemewaan yang cuba dipertikaikan oleh mahkamah. Tetapi kita mesi ingat bahawa yang boleh dipertikai termasuk di mahkamah kelmarin mungkin 2 dari sepuluh kuasa beliau.

Jadi Speaker masih ada 8 lagi kuasa mutlak yang tidak boleh diganggu gugat.Kerana itu saya merasakan kalau sebelum ini Speker telah diawasi 100 pratus.Sesudah berita sahnya akan berlaku sidang DUN 7 Mei nanti, semestinya Speaker mesti diawasi 1000 pratus.

Gelagat Syaitan di Majlis Kenduri

Menurut apa yg diceritakan oleh Tok Dahaman, suatu hari katanya, dia bersama isterinya berjalan hendak kenduri kahwin dihujung kampung.....

Malangnya, ketika itu hujan turun dengan lebatnya. maka terpaksalah mereka menunggu hujan berhenti. Apabila hujan reda, ketika itu jam menunjukkan pukul 1.00 tghhari. tiba di suatu simpang jalan, mereka terdengar suara tangisan kanak-kanak.

Setelah dilihat sekeliling, didapati 3 orang kanak-kanak tanpa pakaian menangis di tepi sebatang pokok besar yang telah tumbang. Kata Tok Dahaman, dia sungguh hairan, siapa pula yg meninggalkan anak dalam keadaan begitu?

Tetapi, dia mula syak bahawa budak-budak tiu bukanlah manusia biasa kerana didapatinya mereka berkepala botak, berperut buncit, mata besar dan telinganya pula capang dan tajam. Sementara jari-jari tangannya amat panjang begitu juga jari kaki. Walaubagaimanapun, Tok Dahaman bertanya juga apa sebab mereka menangis di tepi jalan.

Menurut salah satu drpd budak2 itu, rumah mereka telah runtuh disebabkan oleh hujan yg amat lebat sebentar tadi.

Tok Dahaman bertanya dimana rumah...? Mereka pun menunjukkan kepada pokok besar yang tumbang itu. Sudah sah lah yg budak-budak itu adalah anak jin atau syaitan, jelas Tok Dahaman.

Menurut Tok Dahaman, anak-anak syaitan itu telah meminta dia untuk memberitahu kepada ibu bapa mereka yang berada di rumah kenduri tentang perihal rumah mereka yg telah runtuh itu. Akan tetapi, Tok Dahaman menjelaskan kepada budak-budak itu bahawa dia tidak mungkin dapat mencari ibu bapa mereka kerana syaitan tidak dapat dilihat oleh manusia dengan pandangan mata kasar.

Lantas, anak syaitan itu memberi sedikit minyak untuk disapu di kening. Menurut anak syaitan itu lagi, minyak itu membolehkan pandangan terhadap benda-benda hijab dibuka. Ayah syaitan tersebut dapat dikenalpasti kerana dia menggantung tengkorak kecil di leher manakala ibu mereka memakai tulang ayam bersilang di rambutnya.

Anak syaitan tersebut berpesan meminta ibu bapa mereka pulang dengan segera kerana rumah mereka runtuh dan mereka di dalam kesejukan.

Cerita Tok Dahaman lagi, ketika sampai di rumah kenduri, dia dan isterinya pun memakai minyak tersebut. Tok Dahaman kemudian menyuruh isterinya mencari
syaitan betina di atas rumah sedang dia sendiri mencari syaitan jantan di tempat org lelaki.

Sebaik sahaja minyak tersebut di sapu di kening, mereka lihat begitu banyak syaitan bercampur gaul dgn org ramai.

Ada sebahagiannya sibuk ditempat memasak, mengganggu di kawah gulai dgn memasukkan berbagai jenis najis ke dalam segala masakan (kerana org yg memasak tidak membaca Bismillah...), syaitan-syaitan tersebut ada yg meludah, membuang air kecil dan besar ke dalam piring dan mangkuk...Ada juga yg muntah ke dalam makanan,ada yang bergayut di bahu, duduk di kepala dan riba manusia.

Tok Dahaman dan isterinya yang memandang suasana itu menjadi tidak tergamak untuk makan org ramai pada hari itu menjadi hairan melihat kelakuan Tok Dahaman pada hari itu.

Menurut Tok Dahaman dia amat sukar untuk berjalan kerana terpaksa mengelak daripada berlanggar dengan syaitan kerana syaitan lebih sibuk mengalahkan manusia di rumah kenduri.

Setelah sibuk mencari, akhirnya jumpa lah dia dgn bapa syaitan tersebut.

Ketika itu, syaitan tersebut sedang makan dgn gelojohnya. Tok Dahaman pun bertempik kepada syaitan tersebut serta memberitahu kepada syaitan tersebut bahawa rumahnya telah runtuh. Syaitan tersebut sangat terperanjat dan bertanya bagaimana Tok Dahaman boleh melihat syaitan.

Apabila mendengar penjelasan Tok Dahaman, syaitan tersebut pun berlari pulang sambil memijak kepala orang ramai. Bagi pihak perempuan pula, keadaan lebih kecoh. Menurut isteri Tok Dahaman, ramai sungguh syaitan betina yang sama-sama makan kenduri dengan org perempuan bahkan di bahagian perempuan keadaan lebih teruk lagi kerana syaitan betina ada yg membawa anak mereka.

Kerenah anak-anak syaitan ini memang tidak dapat dikawal oleh ibu bapa mereka. mereka melompat dari satu talam ke satu talam sambil mencapai makanan dari pinggan atau tangan orang. Ada yg membuang air kecil sambil bergayut di jendela rumah

Akhirnya ibu syaitan tersebut ditemui oleh isteri Tok Dahaman di bilik pengantin sedang bersolek bersama-sama pengantin perempuan Isteri Tok Dahaman mengenalinya berdasarkan tulang ayam yang bersilang dirambut yang kotor dan berbau busuk itu. Rupa syaitan betina tersebut sgt menggerunkan.

Keadaan mejadi kecoh kerana orang ramai melihat isteri Tok Dahaman bercakap dengan cermin tempat bersolek.

Untuk sehari itu, letihlah mulut mereka menjelaskan kepada orang ramai tentang sebab keanehan sikap mereka pada hari itu, terpulanglah orang mahu percaya atau tidak. Begitulah hal nya, keadaan syaitan yang sungguh menjijikkan jika kita tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan.

Sebelum makan, sebut lah nama Allah...atau sekurang-kurangnya bacalah BISMILLAH.....

DIPETIK DRP MAJALAH IKTIBAR, EDISI PENGENALAN, CETAKAN PERTAMA 1999.

Wallahualam MORAL OF THE STORY; APABILA KITA MELAKUKAN SESUATU MULAKAN
DENGAN UCAPAN BISMILLAH...
semoga hari ini lebih baik dari semalam..

...Zamri Kecik's.