BEIJING: Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda barat daya China, di Sichuan dan Yunnan, Sabtu lalu, kini dilaporkan meningkat kepada 27 orang dengan lebih 180,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Media melaporkan gempa kuat itu juga menyebabkan lebih 800,000 penduduk terbabit. Gempa yang berlaku jam 4.30 petang waktu tempatan itu berpusat di 50 kilometer ke tenggara bandar raya Panzhihua di sudut barat daya Sichuan.
Pusat Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gempa itu berukuran 5.7 skala Richter tetapi agensi berita national China, Xinhua pula melaporkan gempa berkenaan berukuran 6.1 skala Richter. Bagaimanapun, 24 jam selepas itu, gempa susulan berkekuatan 5.6 skala Richter berlaku dan menurut USGS setakat hari semalam tiada lagi maklumat terbaru mengenai kerosakan yang berlaku.
Xinhua melaporkan gempa itu turut menyebabkan lebih 350 cedera dan tiga lagi masih hilang, selain 27 nyawa terkorban.
"Lebih 800,000 penduduk terbabit dalam bencana ini. Daripada jumlah itu, 40,000 orang sudah dibawa ke tempat selamat," katanya. Agensi berita itu berkata, ketika ini dianggarkan lebih 180,000 rumah rosak teruk.
Satu jambatan besar di Bandar Panzhihua, Sichuan, iaitu kawasan pusat gempa juga runtuh. Sementara itu, 656 sekolah rosak dan kini ditutup.
Ketika ini, pasukan penyelamat menghadapi halangan masuk ke kawasan gempa termasuk menyelamatkan mangsa berikutan hujan lebat dan cerun licin. Media tempatan juga menyiarkan gambar rumah yang ranap, selain jalan yang runtuh serta mangsa yang ditempatkan di kawasan perkhemahan yang selamat.