IPOH: Media Massa hendaklah bersikap lebih profesional dan memainkan peranan lebih berkesan dalam membantu meningkatkan kesedaran semangat cintakan tanah air, kata Dato Seri ir Haji Mohamad Nizar Jamaludin.
Menteri Besar berkata rakyat sudah bijak membuat pertimbangan yang lebih rasional dalam mengadili pelaporan bahan siaraya oleh media arus perdana, khususnya.
Dalam perutusan sempena hari kemerdekaan negara ke-51 peringkat negeri Perak di sini, Nizar berkata media perlu memerdekakan diri daripada kongkongan tertentu dengan mengubah pengisian ke arah siaraya yang lebih bermoral, bermakna, rasional dan berilmu.
“Hanya melalui langkah seumpama ini akan membantu pembentukan lanskap rakyat dan negara yang lebih makmur dan membangun, serta membina taraf hidup lebih tinggi dan mulia, selaras dengan usaha membentuk sebuah masyarakat madani yang nilai budaya yang lebih bermoral, bermaruah dan bertamadun mulia.”
Beliau berkata rakyat pula hendaklah berilmu dan berinisiatif tinggi untuk maju dan meningkatkan keupayaan serta kemahiran dalam era teknologi bermaklumat dan globalisasi ini, agar mempunyai competetive edge.
Sambil menyifatkan kecintaan terhadap pertiwi adalah obor penyemarak bagi setiap warganegara bagi meningkatkan tanggungjawab mengekalkan kemerdekaan dan memacukan negara ke arah lebih cemerlang, beliau berkata kemerdekaan adalah kurniaan Allah yang menyeru umat Islam berusaha membebaskan diri daripada dibelenggu kejahilan.
Nizar berkata Islam itu syumul yang meletakkan kesejahteran, keharmonian, kedamaian dan keamanan pada martabat tertinggi dan merdeka itu sendiri bermaksud berjihad membebaskan diri daripada terjerumus ke dalam keruntuhan akhlak dan tingkah laku yang boleh membangkitkan kemurkaan Allah.
Sempena sambutan kemerdekaan, Nizar menghadiri majlis detik 31 Ogos di Dataran DBI di sini malam ini bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Dr Abdul Rahman Hashim dan ahli-ahli dewan undangan negeri Perak.
Pada Ahad pula, beliau akan menghadiri perbarisan sempena Hari Kemerdekaan Negara, manakala petangnya akan berucap pada majlis Jamuan Teh sempenan Hari Kemerdekaan ke-51 yang akan dihadiri terutamanya Paduka Seri Sultan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
http://perakdaily.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan