21 November 2009

36 Taktik Peperangan: Kasau dan Tiang Digantikan secara Sulit

"36 Taktik Peperangan" merupakan sebuah buku klasik yang mengangdungi 36 taktik peperangan yang bukan sahaja digunakan pada zaman purba malah hingga ke zaman ini di China. Kasau dan tiang merupakan bahagian yang paling penting dalam struktur rumah. Manusia dan kekuasaan yang memegang peranana yang penting disifatkan sebagai kasau dan tiang.

Selepas China disatukan pada abad ke-3 sebelum Masihi, Qinshihuang, maharaja pertama Dinasti Qin, amat yakin kepada kesihatannya dan bercita-cita akan memerintah negara bagi jangka masa yang panjang. Oleh itu, beliau tidak mengatur pewaris untuk meneruskan pemerintahannya. Namun, persaingan untuk merebut takhta maharaja di negaranya terjadi antara Fu Su dengan Hu Hai, dua orang anak lelaki baginda sehingga wujud dua golongan yang bertentangan di dalam istana.

Fu Su, anak sulung Qinshihuang merupakan orang yang jujur dan baik hati, justeru beliau mendapat dukungan dan sokongan daripada rakyat seluruh negara. Sebaliknya, Hu Hai, anak bongsu maharaja itu, sifatnya ganas suka berfoya-foya dan menghabiskan masa tanpa berbuat sesuatu yang berfaedah. Qinshihuang sayang kepada Fu Su dan bercadang akan mengisytiharkannya sebagai pewaris takhta kerajaannya. Oleh itu, Fu Su dihantar ke kawasan sempadan untuk belajar dan mendapatkan latihan daripada Meng Tian, seorang panglima tentera yang terkenal.

Tiada lama kemudian, ketikat dalam perjalanan untuk mengadakan tinjauan ke suatu tempat lain, Qinshihuang telah jatuh sakit. Beliau segera mengarahkan Li Si, perdana menteri yang ikut bersama dalam peninjauannya supaya pulang segera ke istana untuk membolehkan Fu Su, anak sulungnya itu mewarisi takhtanya. Namun, perintah itu telah disembunyikan oleh Zhao Gao, seorang pegawai kanan yang memegang cap mohor maharaja. Tidak lama kemudian, Qinshihuang mangkat. Pewaris takhta maharaja itu tidak diumumkan kerana Li Si takut berlaku rusuhan jikalau perintah maharaja itu diketahui umum. Perkara itu terus dirahsiakan.

Zhao Gao yang mempunyai cita-cita sendiri berbincang dengan Li Si. Menurut jangkaan beliau, sebaik sahaja Fu Su naik takhta, Meng Tian pasti akan menjawat jawatan yang tinggi. Selepas itu, katanya lagi, adakah kedudukan dan kuasa Li Si masih ketat? Li Si terpengaruh dan merasakan pendapat Zhao Gao betul dan mengambil keputusan untuk melanggar perintah Qinshihuang supaya membantu Fu su naik takhta kerajaan. Mereka telah membuat perintah palsu yang mengatakan bahawa Fu Su telah membunuh diri menurut perintah maharaja dan Meng Tian pula dibunuh dengan alasan yang lain. Selepas itu, Hu Hai telah menggantikan Fu Su dan naik takhta menurut arahan Zhao Gao dengan cara kasau dan tiang digantikan secara sulit. Dinasti Qin telah digulingkan hanya 3 tahun kemudian. CRI/-

36 Taktik Peperangan: Lemparkan Batu Bata untuk Mendapatkan Jed

Melemparkan Batu Bata untuk Mendapatkan Jed merupakan satu peribahasa yang sering digunakan oleh orang China. Peribahasa itu secara harfiah bermaksud, kita sendiri melemparkan seketul batu bata dan menyebabkan orang lain juga melemparkan seketul jed yang amat bernilai. Orang China menjunjung sifat sopan santun dan merendah diri. Dalam acara umum, orang China suka menggunakan peribahasa "Melemparkan Batu Bata untuk Mendapatkan Jed" untuk menyampaikan maksud iaitu membentangkan padangan atau karya yang kita anggap kurang matang sebagai permulaan kata untuk mencetuskan pemikiran para pendengar supaya mereka memberi pandangan atau karya yang lebih bijak dan matang.

Menurut catatan buku kuno China, peribahasa "Melemparkan Batu Bata untuk Mendapatkan Jed" berasal daripada satu cerita yang berlaku pada Dinasti Tang China pada abad ke-9 Masihi. Dinasti Tang ialah zaman keemasan bagi penciptaan puisi China. Pujangga pada masa itu suka memaparkan bakat mereka melalui penciptaan puisi. Chang Jian ialah seorang penyair pada Dinasti Tang. Dia diberitahu bahawa Zhao Gu, seorang penyair yang sangat terkenal pada zaman itu akan melawat ke Kuil Lingyin di Suzhou. Untuk menarik minat Zhao Gu untuk mencipta puisi, Chang Jian telah pergi ke Kuil Lingyin dahulu dan menulis puisi di dinding kuil itu. Puisi lama China biasa mengandungi empat baris, Chang Jian dengan sengaja hanya menulis dua baris di dingin itu. Tidak lama kemudian, Zhao Gu yang melawat ke kuil itu telah nampak dua baris puisi itu yang belum lengkap. Seperti yang disangka, ini telah membangkitkan minatnya untuk melengkapkan puisi tersebut di dinding itu. Dua baris kedua puisi jauh lebih baik daripada yang ditulis oleh Chang Jian itu. Perbuatan Chang Jian ini kemudian disebut sebagai "Melemparkan Batu Bata untuk Mendapatkan Jed".

Dalam buku 36 Taktik Peperangan dinyatakan bahawa jika taktik "Melemparkan Batu Bata untuk Mendapatkan Jed" digunakan dalam bidang ketenteraan, maksudnya adalah lain dengan maksud asalnya.

Kita seharusnya memperdayakan pihak musuh dengan menggunakan sesuatu yang serupa dengan apa yang kita hendaki. Dalam konteks ini, batu bata dijadikan umpan, jed pula ialah sasaran sebenarnya yang hendak diburu. Antara taktik-taktik ketenteraan kuno China, terdapat banyak muslihat yang boleh memperdayakan pihak musuh. Dalam kegunaan taktik "Melemparkan Batu Bata untuk Mendapatkan Jed", kita mesti mengetahui sepenuhnya keadaan pihak musuh. Dengan begitu, taktik tersebut baru dapat mencapai kesannya. Seterusnya, saya akan ceritakan satu contoh penggunaan taktik itu.

Pada tahun 700 sebelum Masihi, konflik antara pelbagai negeri di China sering berlaku. Semua negeri hendak meluaskan wilayah masing-masing. Negeri Chu telah mengerahkan tenteranya untuk menyerang kota Jiao. Walaupun kekuatan tentera negeri Chu lebih kuat daripada tentera yang mempertahankan kota Jiao, akan tetapi setelah kerap kali melancarkan serangan terhadap kota itu, tentera negeri Chu masih belum menawan kota itu. Ini kerana kota Jiao mempunyai kedudukan yang sangat strategik dari sudut geografinya. Justeru itu, seorang pegawai negeri Chu telah membuat penganalisisan terhadap keadaan dalam kota itu. Beliau berpendapat bahawa memandangkan kota itu telah dikepung lama, tentera dalam kota itu tentu kekurangan kayu api. Jadi, pegawai itu telah mencadangkan satu tipu muslihat kepada raja negeri Chu. Lalu, raja negeri Chu telah mengambil pakai cadangan pegawai itu.

Baginda telah mengarahkan sepasukan askarnya untuk berpura-pura sebagai penebang kayu dan pergi ke gunung setiap pagi untuk bekerja. Pada masa yang sama, tentera yang mempertahankan kota itu sedang risau kerana mereka sudah habis kayu api untuk memasak. Dengan memerhatikan pergerakan penebang-penebang kayu itu, mereka menganggap bahawa itulah peluang yang baik bagi mereka untuk merampas kayu api yang diperlukan. Lalu, tentera kota itu telah menghantar sepasukan askar keluar untuk merampaskan kayu api secara rahsia. Oleh sebab para penebang kayu tidak mempunyai senjata, pasukan itu telah mendapat kayu api dengan mudah.

Dengan begitu, pasukan tentera yang mempertahankan kota Jiao telah keluar untuk merampas kayu api pada beberapa hari berturut-turut kemudian.

Sementara itu, tentera negeri Chu berpura-pura seperti tidak sedar akan pergerakan pihak musuh mereka. Jadi, tentera yang mempertahankan kota Jiao beransur-ansur tidak lagi berwaspada terhadap serangan tentera negeri Chu tanpa sedar akan perangkap yang tersembunyi.

Satu hari, kota Jiao sekali lagi telah mengerahkan sekumpulan besar pasukannya keluar untuk merampas kayu api. Penebang-penebang kayu yang dilakon oleh tentera negeri Chu telah berlari dan menyebabkan tentera kota Jiao mengejar mereka ke tempat yang dibuat perangkap. Dengan melihat "para penebang" telah melepaskan kayu api, pasukan kota Jiao masing-masing telah mengutip kayu api. Pada ketika itulah, tentera negeri Chu telah melancarkan serangan dan mengepung pasukan kota Jiao. Akhirnya, tentera kota Jiao terpaksa menyerah kalah kepada tentera negeri Chu setelah mengalami kematian dan kecederaan yang serius disebabkan tidak bersiap sedia akan serangan itu.

Inilah satu contoh yang berjaya menggunakan taktik "Melemparkan Batu Bata untuk Mendapatkan Jed" pada zaman kuno China.

----Puspa.CRI/-

36 Taktik Peperangan: Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga

Taktik "Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga" berasal daripada satu pertempuran yang terkenal dalam sejarah China.

Pada abad ke-3 Sebelum Masihi, China berada dalam Tempoh Negeri-negeri Berperang. Tatkala itu, konflik antara pelbagai negeri berlaku dari semasa ke semasa. Demi kepentingan masing-masing, mereka kadangkala saling bersekutu, kadangkala saling bermusuh pula, dan ini menyebabkan situasi menjadi sangat rumit. Negeri Qin yang terletak di bahagian barat laut China merupakan antara negeri yang paling pesat berkembang pada masa itu.

Maka negeri itu mula merancang untuk merampas kuasa negeri-negeri yang lain dan bercita-cita untuk menyatukan China pada akhirnya. Pada ketika itu, Negeri Qi yang terletak di bahagian timur China juga merupakan sebuah kuasa besar. Raja Negeri Qin pada mulanya memang berhasrat menghapuskan Negeri Qi yang jauh di timur kerana bimbang akan kemungkinan berlakunya konflik dengan Negeri Qi untuk merebut kuasa pemerintahan seluruh China pada suatu hari nanti. Namun, penasihat raja Qin, Fan Sui membantah rancangan baginda itu. Fan Sui berpendapat bahawa perjalanan dari Negeri Qin ke Negeri Qi terlalu jauh dan akan melalui Negeri Han dan Negeri Wei. Tindakan untuk menyerang Negeri Qi memerlukan kerahan tenaga sebilangan besar tentera, baru mungkin tentera negeri itu dapat ditewaskan. Akan tetapi, jika mereka berbuat demikian, pertahanan di wilayah Negeri Qin akan menjadi lemah, dan ada risiko ibu kota mereka sendiri diserang oleh negeri yang lain dalam tempoh tersebut. Fan Sui mencadangkan bahawa serangan terhadap Negeri Han dan Negeri Wei yang berjiran dengan Negeri Qin patut dilaksanakan dahulu, dan ancaman Negeri Qi ditangani kemudian. Dalam pada itu, untuk mencegah ketiga-tiga negeri tersebut menjalinkan hubungan sekutu, Negeri Qin patut mengambil inisiatif untuk bersekutu dengan Negeri Qi dahulu.

Raja Negeri Qin berkenan menerima cadangan Fan Sui dan melaksanakan dasar berteman dengan negeri yang terletak jauh daripada wilayahnya iaitu Negeri Qi dan Negeri Chu. Sementara itu, tentera Negeri Qin telah menduduki beberapa buah negeri kecil yang berhampiran dan sekali gus menyatukan bahagian barat laut China. Seterusnya kerajaan Qin telah menghapuskan Negeri Chu di selatan dan Negeri Qi di timur dan akhirnya menyatukan China. Dengan itu, Maharaja Qin Shihuang telah menubuhkan rejim pemerintah pusat yang pertama dalam sejarah China.

Dalam buku "36 Taktik Peperangan", penjelasan mengenai taktik "Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga" berbunyi begini: ketika sesuatu sasaran ketenteraan susah hendak dicapai kerana dihalang oleh kedudukan geografinya, kita patut menyerang musuh yang berhampiran dahulu dan tidak menyerang sasaran yang terletak jauh daripada kita itu. Untuk mencegah musuh-musuh menjalinkan hubungan sekutu, kita mesti menggunakan apa jua cara untuk memecahkan mereka kepada puak-puak, supaya kita dapat menghapuskan mereka satu demi satu pada suatu hari nanti. Jika diteliti, berteman dengan negara jauh sebenarnya merupakan satu taktik melengahkan, agar ada masa dan tidak berperang dengan terlalu banyak musuh secara serentak. Setelah kita menghapuskan musuh di sekitar kita, teman yang jauh pula menjadi sasaran baru kita. Penjelasan tambahan terhadap taktik tersebut berbunyi, dalam situasi yang rumit, berteman dengan musuh di sekitar kita sangatlah bahaya kerana kita sentiasa terdedah kepada ancaman mereka dan mudah pula diserang oleh mereka. Maka, kita mesti menghapuskan ancaman yang tersembunyi di sekitar kita dahulu sebelum menyerang sasaran yang lebih jauh.

Taktik "Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga" boleh dikatakan bersifat tipu daya, dan tipu helah itu mudah diketahui atau disedari oleh manusia. Dalam keadaan yang rumit yang melibatkan pelbagai kuasa politik dan ketenteraan yang saling bersaing, pengguna taktik ini mencapai kejayaan kerana dia mengetahui bahawa kuasa-kuasa yang lain semuanya bimbang akan mengalami kerugian kerana terlibat dalam peperangan terlebih dahulu, dan ingin selamat untuk seketika. Bagi Negeri Qi yang kena tipu muslihat itu, mereka mungkin mengetahui cita-cita Negeri Qin di sebalik dasar berteman dengannya, tetapi mereka memilih untuk berteman juga dengan Negeri Qin kerana tidak mempunyai keyakinan untuk menewaskannya tatkala itu. Maka, Negeri Qi memilih untuk membuat perjanjian damai sementara daripada bermusuh dengan Negeri Qin.

----Puspa.CRI/-

PESURUHJAYA PAS PERAK, ZIARAH MANGSA BANJIR DI BAGAN SERAI

mohd hafez sabri

PAS Perak diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Perak Al Fadhil Ustaz Abu Bakar Hussain bersama Timbalannya Al Fadhil Ust. Mustapa Shaari, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Ustaz Misbahul Munir Masduki, Pengarah Jabatan Amal Perak, dan beberapa anggota Jabatan Amal yang lain telah melawat mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bagan Serai.

Rombongan PAS Perak disambut oleh YB Ramli Tusin, Adun Semanggol dan YB Husin Din, Adun Selingsing di Pusat Khidmat DUN.Kehadiran rombongan PAS Perak disambut gembira oleh Penghulu Bagan Serai, En. Nawawi bin Mohd Noor di Pusat Pemindahan Banjir SK. Bagan Serai. Mangsa-mangsa banjir kelihatan gembira melihat rombongan PAS Perak bersama ahli-ahli Yang Berhormat melawati mereka.

Di kesempatan itu, Pesuruhjaya PAS Perak, mengambil kesempatan memberi sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka, beliau juga menggesa agar penduduk yang menimpa musibah ini sentiasa bermohon kepada Allah SWT, agar dimudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian dari Allah SWT ini.

FA Perak diberi pilihan: mengiktiraf atau melepaskan atau mengemis

http://bumiperak.blogspot.com/

IPOH 19 Nov 2009 Pengurus Pasukan Bolasepak Perak, Ustaz Nor Azli Musa yang dihubungi melalui telefon semalam berkaitan kemelut yang melanda Pengurusan FA Perak kesal dengan kenyataan yang dihebohkan. Perkara ini menambahkan kekeruhan dan bukannya merungkai masalah kewangan Pengurusan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA). Persatuan ini yang dipimpin oleh Presiden Dato’ Seri Ir Nizar Jamaluddin mulai November 2008 dilihat menghadapi masalah dan sesuatu yang tak kena dari prestasi merosot Pasukan Perak di Liga Super Piala Malaysia 2009.

Sebenar Persatuan Bolasepak Negeri telahpun dihadapi hutang lapuk yang dihebuhkan itu semenjak zaman Dato’ Seri Tajol Rosli dan beban hutang ditanggung dikatakan mencecah jutaan ringgit. Ustaz Nor Azli, Pengurusan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menjelas pimpinan Nizar tidak membuat sebarang hutang baru atau bayaran tertangguh satu senpun. Berbanding dengan Pasukan Negeri-negeri lain hutang lapuk Pasukan Bolasepak Negeri ada yang mencecah jutaan ringgit malah lebih tinggi lagi.

Nampaknya fahamlah kita Nizar diberi pilihan iaitu memohon melutut mengiktiraf Kerajaan Zambry atau melepaskan pengurusan (PAFA) atau Nizar mengemis mencari dana persatuan. Begitulah yang dapat dilihat dengan pelancaran tabung RM1.00 untuk pasukan bolasepak Perak baru-baru ini.

Sementara itu, Dato Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Perak juga meminta Kerajaan Negeri Perak mengenepikan ideologi politik demi masa depan sukan bolasepak Perak. Ini dapat dilihat semasa Pakatan Rakyat memerintah telah membantu persatuan dengan lebih RM500,000 ringgit dibelanjakan. Tambahnya, sekurang-kurangnya bantulah sementara ia mampu untuk berdikari sendiri dan mencari penaja. -bp

Husam ; Berkerja terus menerus untuk pilihanraya

Oleh : khairul azman sakri

LENGGONG: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Paduka Husam Musa memberikan suntikan semangat kepada peserta-peserta Ketua 10 (K10) Jentera Pilihanraya Kawasan (JPK) PAS bagi lima kawasan Parlimen Zon Utara Perak supaya bekerja terus menerus untuk menghadapi pilihan raya.

Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, dalam ucapan motivasinya meminta semua petugas pilihan raya PAS menganggap pilihan raya akan berlaku bila-bila masa saja dari sekarang.

Katanya, kita sudah 12 kali kalah (walaupun menang di beberapa negeri termasuk Perak pada Pilihan Raya Umum lalu), kita akan meneruskan kerja kita bagi memastikan pilihan raya ke-13 nanti kita menang dan berjaya memerintah.

"Dalam keadaan sekarang ini, khususnya di Perak setelah Kerajaan Pakatan Rakyat dirampas, pilihan raya kemungkinan besarnya akan diadakan secara mengejut.

"Kemungkinan juga akan diadakan tidak secara mengejut, tetapi sama ada secara mengejut atau tidak, persiapan mesti dibuat sepanjang masa," katanya pada kursus di Dewan Milenium Lawin dekat sini baru-baru ini.'

Kursus mulai jam 9 pagi hingga 4 petang itu turut dihadiri Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Haji Razman Haji Zakaria, Ketua K10 Perak, Saudara Abdul Rahim Mohd Noordin, Setiausahanya, Saudara Zafrullah Mohamad dan dua pembentang kertas kerja dari Kelantan.

Lima JPK PAS terbabit ialah JPK Lenggong, JPK Gerik, JPK Kuala Kangsar, JPK Padang Rengas dan JPK Sungai Siput.

Husam berkata, persediaan untuk menghadapi pilihan raya mesti disiapkan sepanjang masa dari sekarang, nukan hanya setelah hendak diadakan pilihan raya baru hendak bersedia.

Katanya, sekiranya kita tidak berusaha, amat sukar hendak diberi kemenangan, tetapi walaupun setelah kita berusaha allah tidak juga beri kemenangan, kita kena terima hakikat bahawa belum masanya lagi untuk kita menang.

Beliau seterusnya menyingkap sejarah bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menawan Kota Konstantinople, di mana tokoh yang menepati Sabda Rasulullah SAW itu dididik sejak kecil untuk lahir sebagai seorang pemimpin yang menepati ciri-ciri sebagai seorang pemimpin Islam.

Katanya, ketika usaha untuk menawan kota berkenaan, Muhammad Al-Fateh bukan saja mempersiapkan diri dan tenteranya dengan kelengkapan fizikal, tetapi juga kelengkapan dari segi rohaninya.

"Oleh itu untuk menang tidak hanya setakat kekuatan fizikal, hubungan dengan Allah juga sangat penting," katanya.

Husam berkata, selain kita membuat persiapan secara optimum dari segi fizikal, bagi mendekatkan hubungan kita dengan Allah, sesekali perlu kita berhimpun mengadakan Qiamullail, memperkukuh Usrah dan sebagainya.

PI Bala - Dari Bangkok ke Kathmandu dan Delhi

Dalam bahagian keempat wawancara misteri dengan penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang disiarkan dalam Malaysia Today, dia menceritakan kesukaran yang dihadapinya apabila dipaksa tinggal di luar negara.

Balasubramaniam - individu kontroversi berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu - juga mendedahkan, dia pulang ke Malaysia beberapa kali tahun ini tanpa melalui pemeriksaan imigresen.

Di bawah adalah petikan wawancara tersebut:

Mengapa kamu tidak memberitahu mereka perkara sebenarnya mengenai cara akuan bersumpah kedua dibuat memandangkan anggota keluarga anda berada bersama anda dan mereka semuanya dalam keadaan selamat?

Saya masih lagi dalam keadaan keliru dan masih bimbangkan keselamatan keluarga saya. Saya dimaklumkan bahawa Deepak ada hubungan yang amat berpengaruh, terutama selepas pertemuan dengan seorang Datuk VIP Melayu di The Curve beberapa malam sebelumnya dan nasihatnya masih segar di kepala saya.

Saya juga hairan mengenai hubungan Deepak itu kerana dia nampaknya boleh menganjurkan sesuatu di negara-negara berlainan dan malah telah meminta seorang wanita Thai memohon visa India kami di Bangkok.

Pada masa itu, saya tidak tahu apa yang akan berlaku, jadi saya rasa perlu mendengar nasihat mereka sehingga saya dapat berfikir dengan lebih jelas kerana saya perlu mengambil kira keluarga kerana saya tidak mahu apa-apa berlaku kepada mereka.

Saya dan keluarga juga sedang berada di negara asing tanpa sumber kewangan.

Adakah kamu menghubungi sesiapa selepas itu?

A. Ya, ASP Suresh menghubungi saya dari KL dan menasihat saya supaya berpindah hotel agar pegawai polis dari KL tidak dapat mengesan saya lagi sekiranya mereka perlu mengambil kenyataan lanjut.

Dia juga memberitahu saya supaya menghubungi anak saudara saya di KL dan memintanya berhenti bercakap dengan media dan jangan mengadakan lagi protes nyalaan lilin kerana tindakan itu membuatkan Deepak berasa tidak senang. Saya kemudiannya menghubungi anak saudara saya itu dan memintanya berhenti menjalankan aktiviti-aktivi tersebut dan dia bersetuju (lihat video di sini:)

Adakah kamu berpindah hotel?

Ya, kami berpindah ke Hotel Beverly Hills. Semasa kami di hotel baru itulah saya menerima berita daripada Rajesh bahawa visa kami tidak sempat disiapkan kerana ia memerlukan tempoh sekurang-kurangnya lima hari bekerja untuk diproses.

Deepak kemudiannya meminta seorang pengurup wang, yang dikenalinya, membayar 100,000 Baht untuk perbelanjaan saya. Saya kemudiannya menunggu arahan selanjutnya di hotel tersebut.

Apa yang berlaku selepas itu?

Pada kira-kira jam 2.30 petang 11 Julai, Rajesh menghubungi saya dan meminta ke lapangan terbang untuk mengutip e-tiket yang telah ditempahnya untuk saya dan keluarga berlepas ke Kathmandu, jadi kami bersiap dan pergi ke lapangan terbang tersebut.

Bagaimanapun, bila kami sampai di lapangan terbang, Rajesh menghubungi saya dan memberitahu bahawa penerbangan hanya akan berlepas jam 10 pagi keesokannya. Kami kemudiannya menaiki teksi balik semula ke bandar dan menginap di hotel lain.

Keesokan paginya kami pergi semula ke lapangan terbang, mengutip tiket kami dan terbang dengan pesat Thai Airways ke Kathmandu.

Apa berlaku bila kamu mendarat di Kathmandu?

Kami disambut di lapangan terbang oleh seorang wakil dari Hotel Yak & Yeti yang membawa kami ke hotel tersebut.

Apa perlunya anda ke Kathmandu?

Sebelum kami boleh masuk ke India, kami perlu memohon visa yang kami gagal perolehi di Bangkok.

ASP Suresh memberitahu saya bahawa Deepak tidak mahu lagi kami berada di Bangkok kerana polis sudah tahu yang kami berada di sana dan itulah sebabnya dia mahu kamu berlepas ke Kathmandu supaya dapat memohon visa kami di sana.

Berapa lama kamu berada di Kathmandu?

Kami membuat permohonan visa kami di Kedutaan India di Kathmandu. Selepas kami memperolehi visa untuk tempoh sebulan berada di India, kami berlepas dari Kathmandu ke New Delhi. Tarikhnya 22 Julai. Kami tinggal kira-kira 10 hari di Kathmandu.

Berapa lama kamu berada di Delhi

Kami tinggal di sebuah hotel di Delhi selama dua malam sebelum terbang ke Madurai untuk ke Madras.

Bagaimana kamu dapat melanjutkan tempoh visa satu bulan itu?

Visa kami tamat pada 21 Ogos 2008. Orang Deepak telah berjanji untuk mendapat lanjutan tempoh selama setahun untuk kami tetapi tidak jadi apa-apa. Jadi saya terpaksa mendapatkan sendiri lanjutan sebulan untuk saya dan keluarga saya sehingga 20 September 2008.

Saya kemudiannya menghantar isteri dan anak-anak pulang ke KL untuk tinggal bersama ibu mertua saya di Segambut tanpa pengetahuan Deepak.

Saya terus tinggal di Madras dan mencuba untuk melanjutkan tempoh visa saya. Ejen Deepak yang dikenali sebagai Kumar cuba membantu saya tetapi selepas 5 bulan ia belum berhasil. Saya mengadu mengenainya kepada Deepak dan ASP Suresh ketika mereka datang melawat saya di Chennai. Deepak memanggil Kumar yang memulang pasport kepada saya bersama sijil sakit, dengan berkata saya tidak boleh keluar dari negara ini disebab satu penyakit yang saya hidapi. Ini terpaksa dilakukan kerana saya berada di India secara haram kerana tempoh visa saya sudah tamat.

Saya kemudiannya meminta bantuan bapa saudara isteri saya yang merupakan exco negeri bagi daerah Karaikal. Dia berjaya mendapatkan lanjutan tempoh bagi visa saya sehingga 5 September 2009.

Adakah kamu ada pulang ke Malaysia sepanjang tempoh tersebut.

Ya, saya pulang beberapa kali untuk menyelesaikan beberapa urusan peribadi saya. Setiap kali saya pulang, saya masuk melalui Thailand di sempadan Malaysia-Thai di Bukit Kayu Hitam dan keluar semula melalui cara yang sama. Saya tidak melalui pemeriksaan imigresen Malaysia.

Saya tidak menghubungi sesiapa setiap kali saya pulang kerana saya takut Deepak dapat tahu. Satu-satunya orang yang tahu saya pulang ke Malaysia ialah ASP Suresh tetapi dia tidak beritahu pada Deepak. Dia marah dengan saya kerana membiarkan isteri dan anak-anak saya pulang ke Malaysia, tetapi saya menjelaskan kepadanya bahawa anak-anak saya perlu bersekolah dan mereka tidak dapat masuk sekolah di Chennai.

Setiap kali saya pulang ke Malaysia, saya tinggal dengan isteri saya dan ibu mertua saya di Segambut.

Di mana isteri kamu tinggal selama dia berada di Malaysia?

Dia tinggal bersama ibu mertua saya di Segambut dan dapat menyekolahkan anak-anak saya di sebuah sekolah di Sentul. Dia (isterinya) pernah datang ke Chennai beberapa kali bersama anak-anak untuk menemui saya.

Di mana isteri dan anak-anak kamu sekarang?

Mereka kini berada di Chennai. Saya dapat memasukkan dua anak besar saya di sebuah sekolah di sana. Isteri saya mungkin akan pulang ke KL supaya anak lelaki bongsu saya dapat bersekolah di sana. Saya perlu tinggal bersama dua anak saya di Chennai.

Bolehkah kamu ingat tarikh-tarikh anda pulang ke Malaysia?

A. Ya, saya berada di KL dari 16.02.2009 hingga 05.03.2009. Sepanjang tempoh tersebut, saya menemui Deepak di pejabatnya di Sungai Besi. Dia sangat bimbang saya pulang ke Malaysia dan meminta saya balik semula ke Chennai dengan segera. Dia memberi amaran kepada saya bahawa nyawa saya dalam bahaya jika saya tinggal lebih lama.

Kali kedua saya pulang ke Malaysia ialah dari 11.04.2009 hingga 02.05.2009.

Kali ketiga saya pulang ke malaysia ialah pada akhir Julai 2009.

Apa yang kamu buat bila pulang pada akhir bulan Julai?

A. Saya mengambil keputusan untuk menghubungi peguam saya Americk Sidhu dan menjelaskan kepadanya apa yang sebenarnya berlaku kepada saya sepanjang tempoh satu tahun lalu kerana saya tidak gembira dengan keadaan yang sedang saya lalui kini.

Malaysiakini/-

Bom petrol 'amaran' pada peguam kes akuan Bala

Beberapa bom petrol dibaling ke rumah seorang peguam terkemuka, dipercayai ada kaitan dengan 'wawancara' dengan penyiasat persendirian P Balasubramaniam yang disiarkan dalam Youtube baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan semalam bekas presiden Majlis Peguam, Manjeet Singh Dhillon - yang kini berada di London bersama keluarganya - berkata rumahnya di Damansara itu dibaling bom petrol pada jam 7.20 malam tadi.

Kebakaran yang berlaku telah merosakkan dinding garaj rumahnya. Laporan polis dipercayai telah dibuat oleh rakan-rakannya berhubung kejadian tersebut.

Menurut Manjeet, insiden itu mungkin satu "amaran dan ancaman" terhadapnya dan keluarganya ekoran kehadirannya dalam satu rakaman wawancara dengan Balasubramaniam baru-baru ini.

Katanya, mereka yang membuat ancaman tersebut gagal menghargai peguam yang mempunyai peranan dalam melaksanakan tugas profesional mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, beliau hadir di wawancara tersebut sebagai peguam Americk Sidhu, yang mewakili Balasubramaniam dalam membuat akuan bersumpah pertamanya.

Katanya, kehadirannya dan peranannya dalam wawancara itu adalah untuk memastikan integriti dan wawancara itu dilakukan secara sukarela.

Manjeet menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kaitan atau hubungan dengan mana-mana puak atau parti politik.

MalaysiaKini/-

60 ahli MCA bantah pelan damai

Kira-kira 60 ahli MCA hari ini berkumpul di ibupejabat MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur kerana membantah kepimpinan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Mereka yang dipercayai ahli-ahli yang bersimpati dengan naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai, mendakwa pelan damai telah menjejaskan proses demokrasi dalam parti itu.

Kumpulan itu, yang sebahagian besarnya memakai baju berwarna hitam, memulakan bantahan pada jam 7.30 malam dengan berdoa untuk parti.

Mereka kemudiannya menyanyi lagu Negaraku, diikuti dengan bacaan ikrar parti untuk menyatakan taat setia mereka kepada parti.

Pada jam 8 malam, mereka mengadakan bantahan sambil duduk di pintu masuk bangunan MCA.

Wakil-wakil mereka kemudian menyampaikan ucapan yang menggesa supaya parti diselamatkan daripada pelan damai yang dicadangkan oleh Ong dan timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Kumpulan itu kemudian bersurai pada kira-kira jam 8.17 malam.

Kehadiran kumpulan itu dipantau oleh kira-kira 30 anggota polis, yang sebelum itu, meminta mereka supaya menyelesaikan perhimpunan tersebut pada jam 8.20 malam.

Polis turut merampas dua kain rentang yang cuba dinaikkan oleh kumpulan tersebut.

Kain rentang itu menunjukkan gambar Ong dan Chua, sambil mengkritik mereka kerana membuat keputusan sendiri mengenai urusan parti tanpa menghiraukan ahli parti.

MalaysiaKini/-

Saya bukan Islam, kata 'Siti Hasnah'

Seorang surirumah beranak dua mendakwa bahawa pihak agama negeri telah menukar agamanya kepada Islam sewaktu dia masih kanak-kanak ketika ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Kepala Batas.

S Banggarma, yang nama Islamnya Siti Hasnah Vangarama Abdullah berkata, dia menyedari mengenai perkara itu ketika hendak mendaftarkan perkahwinannya pada tahun 2000.

Menurut surirumah itu, agamanya ditukar kepada Islam pada tahun 1989, ketika dia baru berusia tujuh tahun.

Banggarama telah meminta bantuan timbalan ketua Angkatan Muda PKR Kedah yang juga seorang peguam, Gooi Hsiao Leung dan timbalan ketua biro hal ehwal kaum India PKR kedah, R Kumaraguru Naidu.

Sebelum berkahwin dengan suaminya seorang nelayan, S Sockalingam, surirumah yang berusia 27 tahun itu berkata dia sudahpun memperolehi MyKad dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Ipoh.

Perkahwinannya berlangsung di Tanjung Piandang, Perak.

Banggarma telah lari dari Rumah Kanak-kanak Taman Bakti ketika dia berusia 16 tahun, bersama dengan beberapa lagi penghuni di situ, tanpa membawa sama sebarang dokumen pengenalan dirinya.

"Saya terperanjat apabila pegawai JPN memberitahu yang saya seorang Islam bernama Siti Hasnah. MyKad

saya dikeluarkan atas nama tersebut," katanya dalam satu sidang akhbar di pejabat Gooi di George Town hari ini.

Ekoran nama Islam itu, katanya, dia tidak dapat mendaftar perkahwinannya dengan Sockalingam yang dijalankan mengikut upacara agama Hindu. Dia juga tidak dapat mendaftarkan nama suaminya sebagai bapa kepada anak-anaknya dalam sijil kelahiran mereka.

Sijil lahir catat 'Hindu'

Banggarma berkata selepas diberitahu mengenai pertukaran agamanya itu, dia pergi semula ke rumah kebajikan tersebut untuk mengambil dokumen pengenalan dirinya.

Seorang pegawai di rumah tersebut menyerahkan kepadanya sijil kelahiran yang mencatatkan dia dilahir beragama Hindu pada 13 Ogos 1982. Sijil tersebut mencatatkan dia dilahirkan di Keratong, Pahang. Bapanya seorang pekerja ladang, B Subramaniam dan ibunya bernama Latchumy Ramadu.

Pegawai kebajikan di rumah tersebut juga menyerahkan satu sijil yang menunjukkan pertukaran agamanya pada tahun 1989.

Pertukaran agamanya dikatakan dibuat di hadapan seorang pegawai agama yang mewakili jabatan dan majlis agama Islam negeri. Dokumen tersebut mempunyai tandatangannya 'Hasnah' pada sudut bawah sebelah kiri.

Bagaimanapun, Banggarma tidak dapat mengingati insiden itu dan mendakwa dia sentiasa bersembahyang dan menjalani kehidupan sebagai seorang penganut Hindu ketika tinggal di rumah kebajikan tersebut.

"Saya sentiasa mengamalkan agama Hindu," katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, dia mengakui pernah menghadiri sesi solat bersama penghuni yang lain.

"Saya hanya ikut mereka," katanya.

Ekoran pertukaran agama itu, Banggarma menghadapi kesulitan untuk mendaftarkan kelahiran dua anaknya - Kanagaraj (8 tahun), dan Hisyanthini (2 tahun) - tahun lalu.

"Saya akhirnya dapat juga sijil kelahiran anak-anak saya itu melalui bantuan guaman. Dua kali

saya cuba untuk menukar balik nama saya kepada nama asal Hindu saya dalam MyKad. Tetapi usaha saya itu tidak berjaya," katanya.

Pihak berkuasa agama siasat

Sementara itu, Gooi berkata beliau akan membawa isu kepada pihak berkuasa agama untuk mencari penyelesaian bagi mengakhiri masalah Banggarma itu.

"Kita akan membawa perkara itu ke mahkamah jika perlu berbuat demikian," katanya.

Gooi juga menyifatkan tindakan pegawai yang menukar agama Banggarma sebagai tidak "bertanggungjawab" serta membidas rumah kebajikan itu yang didakwanya telah mengabaikan tanggungjawabnya.

"Objektif utama sesebuah rumah kebajikan ialah untuk menjaga kanak-kanak. Hanya seseorang yang tidak bertanggungjawab sahaja yang akan menukar agama anak yang baru berusia tujuh tahun." katanya.

Ketika dihubungi, Presiden Majlis Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Shabudin Yahaya Said berkata satu siasatan akan dijalankan terhadap kes tersebut.

Katanya, memandangkan perkara itu sudah lama berlaku, maka pihaknya akan memeriksa terlebih dahulu rekod-rekod lama dan ia mungkin mengambil masa.

Manakala exco negeri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam, Abdul Malik Kassim pula enggan mengulas kes itu kerana menurutnya, ia adalah satu isu perundangan.

Dalam sidang akhbar tersebut, Banggarma memberitahu yang dia dimasukkan ke rumah kebajikan tersebut

bersama dua lagi abangnya dan seorang adik perempuannya.

Katanya, dia ditemui sedang tidur bersama abang dan adiknya itu di tepi jalan di Kepala Batas dan pegawai kebajikan telah menempatkan mereka di rumah kebajikan tersebut.

Bagaimanapun sebaik sahaja mereka dimasukkan di situ, dia dan abang serta adiknya dipisahkan dan sejak itu mereka tidak pernah berjumpa.

Banggarma berkata ibunya meninggal dunia ketika dia masih kecil manakala bapanya telah meninggalkan mereka tidak lama selepas itu.

Katanya, bapanya pernah sekali melawatnya di rumah kebajikan itu ketika dia berusia 13 tahun.

Dan yang ada padanya kini, kata Banggarma, hanya suami dan anak-anaknya.

MalaysiaKini/-

Pencapaian UPSR Meningkat, Kata Alimuddin

PUTRAJAYA, 19 Nov :- Pencapaian keseluruhan calon-calon yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun ini mengalami peningkatan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata pencapaian keseluruhan Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini telah meningkat sebanyak 1 peratus berbanding 2008.

"Pencapaian keseluruhan nilai GPN telah meningkat sebanyak 1 peratus tahun ini. Pencapaian Cemerlang (semua A) telah meningkat kepada 9.51 peratus tahun ini berbanding dengan 9.19 peratus pada tahun lepas dengan jumlah perbezaan sebanyak 0.32 peratus.

"Pencapaian Baik (minimum C) pula meningkat kepada 63.03 peratus berbanding dengan 62.56 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.47 peratus. Manakala pencapaian lemah (semua E) telah menurun kepada 0.64 peratus berbanding dengan 0.66 peratus pada tahun lepas dengan perbezaan 0.02 peratus," katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan UPSR 2009 di sini pada Khamis.

Beliau berkata pencapaian calon-calon luar bandar walaupun masih ketinggalan berbanding dengan pencapaian calon-calon bandar pada keseluruhannya juga semakin baik.

"Pada keseluruhannya, jurang perbezaan antara murid bandar dan luar bandar semakin dapat dirapatkan. Hal ini dapat dilihat daripada penguncupan beza antara bandar dan luar bandar bagi kesemua ukuran pencapaian calon pada tahun ini berbanding tahun lepas," katanya.

Perbezaan jumlah murid cemerlang luar bandar dan bandar pada tahun ini mengalami penguncupan sebanyak 3.64 peratus berbanding dengan 4.22 peratus pada tahun lepas.

Sementara perbezaan pencapaian baik di antara murid bandar dan luar bandar mengalami penguncupan sebanyak 5.55 peratus berbanding dengan 6.25 peratus pada tahun lepas.

Daripada segi mata pelajaran, Bahasa Tamil telah menunjukkan peningkatan gred A yang tinggi iaitu sebanyak 3.6 peratus dan juga Matematik yang meningkat sebanyak 4.2 peratus, katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 506, 620 calon menduduki UPSR manakala pada tahun lepas sebanyak 507, 320 calon.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Sulaiman Wak berkata seramai 2,725 daripada 24,826 calon UPSR bagi sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK) di Kuala Lumpur memperoleh 5A dan 7A.

"Walaupun peratusan kelulusan pada tahun 2009 telah menurun dari 66.94 peratus kepada 66.89 peratus tetapi peratus lulus semua A telah meningkat kepada 10.98 peratus berbanding tahun 2008 sebanyak 10.90 peratus," katanya kepada pemberita ketika mengumumkan keputusan UPSR bagi Kuala Lumpur.

Beliau berkata 94 calon SK Setiawangsa mendapat semua A dalam semua mata pelajaran yang diambil, SK Bukit Damansara (80) dan SK Taman Tun Dr Ismail Satu (76).

Di TERENGGANU, negeri itu mencatatkan rekod cemerlang sembilan tahun berturut-turut dalam peperiksaan UPSR apabila 3,664 daripada 23,944 calon yang mengambil ujian itu memperoleh semua A.

Pengarah Pelajaran Terengganu Ariffin Embong berkata kejayaan itu mencatat peningkatan 1 peratus berbanding tahun lepas yang mana menjadikan Terengganu mencatatkan pencapaian 15.3 peratus.

Pencapaian GPN juga meningkat kepada 2.22 peratus iaitu mengatasi pencapaian tahun lepas dan peringkat nasional (2.33 peratus), katanya pada sidang media di Pejabat Pelajaran Negeri.

Di KELANTAN, sebanyak 5,259 atau 14.31 peratus daripada 25,369 calon UPSR mendapat 5A dan 7A, iaitu peratus kecemerlangan tertinggi dalam tempoh enam tahun.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata pencapaian GPN tahun ini ialah 2.25 berbanding 2.32 tahun lepas, iaitu meningkat sebanyak 0.07 peratus dan mengatasi GPN kebangsaan.

"Tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan yang ketara sama ada peratus kelulusan dan kualiti gred pencapaian iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris di samping Bahasa Cina Kefahaman dan Bahasa Melayu Kefahaman menunjukkan peningkatan," katanya pada sidang media.

Di PERLIS pula, sebanyak 439 atau 9.53 peratus daripada 4,607 calon UPSR di negeri ini mencatat pencapaian cemerlang dengan memperolehi 5A dan 7A.

Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.79 peratus berbanding 8.74 peratus pada tahun lalu.

Menurutnya, lima daripada 73 buah sekolah di Perlis telah mencatat pencapaian peratus kecemerlangan lebih 20 peratus iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Seri Indera, Sekolah Kebangsaan (SK) Paya, SK Sena, SK Kayang dan SRK Putra.

Di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Sembilan akan menyiasat punca kemerosotan peratus pencapaian subjek Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kebangsaan di negeri itu.

"Kemerosotan hanya berlaku pada tahap 2.5 peratus (sekolah kebangsaan) dan 1.7 peratus (sekolah jenis kebangsaan) untuk bahasa Inggeris dan keadaan ini masih lagi terkawal," kata Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Jamali Salam pada sidang media.

Secara keseluruhan, katanya Negeri Sembilan masih mencatatkan keputusan cemerlang di mana seramai 2,343 calon mendapat keputusan penuh 5A atau 7A dan berada di kalangan negeri yang terbaik dalam pencapaian UPSR kali ini.

JOHOR mencatatkan keputusan UPSR yang lebih baik pada tahun ini apabila 6,283 atau 10.13 peratus daripada 62,401 calon yang menduduki peperiksaan itu mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Jabatan Pelajaran Johor Sufa'at Tumin yang mengumumkan keputusan peperiksaan itu berkata daripada jumlah itu, 4,246 (10.64 peratus) adalah calon Sekolah Kebangsaan; 1,881 (9.47 peratus) adalah calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina manakala 156 (6.97 peratus) adalah calon Sekolah Kebangsaan Tamil.

Ia menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian 9.64 peratus atau 5,987 calon pada 2008 dan 8.64 peratus atau 5,265 calon pada 2007, katanya

Di KEDAH, peratusan calon yang memperoleh gred A bagi semua mata pelajaran UPSR meningkat kepada 9.36 peratus (3,742 calon) berbanding 8.69 peratus (3,482 calon) pada tahun lepas.

Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abd Rahman berkata, bilangan calon yang berjaya menguasai tahap minimum bagi semua mata pelajaran juga meningkat berbanding tahun lepas.

"Jumlah calon yang lulus semua mata pelajaran meningkat sebanyak 1.53 peratus pada tahun ini, iaitu 25,344 calon (63.37 peratus) berbanding 24,775 calon (61.84 peratus) pada tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata Gred Purata Negeri (GPN) juga meningkat kepada 2.359 berbanding 2.417 pada tahun 2008.

Di PULAU PINANG, daripada 26,259 calon yang menduduki UPSR tahun ini, 17,638 calon mencatatkan keputusan lulus semua subjek.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Ibrahim Mohamad berkata jumlah calon yang lulus gred A bagi semua subjek ialah sebanyak 3,177 manakala dua sekolah yang berjaya mencatatkan lulus 100 peratus ialah Sekolah Model Khas Tok Jaya di Butterworth dan SJKC Kuang Yu di Kepala Batas.

Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang muncul sekolah terbaik di negeri ini dengan 70 pelajar mendapat 5A, katanya pada sidang media.

Di MELAKA, seramai 10,087 calon (66.41 peratus) daripada 15,187 calon yang menduduki UPSR tahun ini telah mencapai penguasaan minimum gred A, B dan C bagi semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Melaka, Isa Abu berkata daripada segi kecemerlangan seramai 1,411 calon (9.29 peratus) mendapat A bagi semua mata pelajaran (5A/7A).

"Mengenai tahap literasi murid di Melaka, saya ingin memaklumkan bahawa daripada 15,187 calon yang menduduki peperiksaan UPSR 2009, seramai 14,826 calon telah mencapai sekurang-kurangnya satu gred C iaitu telah mencapai tahap literasi," katanya.

Di SABAH, sebanyak 9ll calon merekodkan pencapaian cemerlang gred 5A bagi semua subjek yang mencatatkan penurunan berbanding 995 calon pada tahun lepas.

Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan negeri Sabah Md Nor Md Sharif berkata Sekolah St Francis Convent, Kota Kinabalu muncul sekolah terbaik dengan 41 calon mendapat 5A diikuti Sekolah Yuk Chin di Tawau dengan 29 calon.

"Antara sekolah-sekolah lain yang mempunyai rekod cemerlang adalah SK St. Agnes, Kota Kinabalu iaitu seramai 30 calon, SK. St Monica, Sandakan sebanyak 27 calon seterusnya SK St. Patrick, Tawau iaitu 26 calon," katanya.

-- BERNAMA

Siswa UM ditahan polis kes 'puaka'

kemaskini 6.40pm Seorang pelajar Universiti Malaya, yang dikehendaki polis sejak enam bulan lalu berhubung siasatan kes menconteng perkataan "bini puaka" di sebuah dewan, berjaya ditangkap hari ini.

Muhammad Saufi Jelani ditahan oleh lima anggota polis di bangunan peperiksaan universiti itu kira-kira jam 10.30 pagi, selepas menduduki kertas terakhir bagi pengajian semester ini.

Beliau, pelajar terakhir ditangkap daripada sekumpulan lima orang yang disiasat berhubung kes tersebut, kemudian dibawa ke balai polis Jalan Pantai Baru, kira-kira 200 meter di depan kampus tersebut.

Exco perhubungan luar Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Mohd Syafie Hashim memberitahu Malaysiakini di kampus tersebut, beliau cuba menelefon Muhammad Saufi untuk mengesahkan tangkapan tersebut tetapi seorang anggota polis memaklumkan bahawa pelajar Akademi Pengajian Islam (API) itu sedang disiasat.

Sementara itu exco penerbitan PMIUM Farid Jalpah ketika dihubungi petang ini berkata Muhammad Saufi dipindahkan ke balai polis Bukit Jalil dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields.

Farid tiba ke IPD bersama dua pemimpin Majlis Perwakilan Mahasiswa UM Mohd Hafiz Ilyas dan Mohd Aizat Mohd Salleh kira-kira 2.30 petang tetapi gagal menemui Muhammad Saufi selepas dipindahkan dari balai Jalan Pantai Baru.

Kakak dan abang ipar Muhammad Saufi, yang tidak dinamakan, turut berada di IPD dan memaklumkan bahawa suspek telah dibawa ke balai polis Bukit Jalil.

Difahamkan Muhammad Saufi dihantar balai polis tersebut kerana lokap di IPD tersebut sudah penuh.

Satu sumber polis memberitahu Malaysiakini, pelajar API itu akan bermalam di lokap sebelum dibawa ke depan majistret untuk tahanan reman esok.

Polis menjejaki suspek berhubung siasatan kes contengan perkataan-perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan kuliah utama API.

Selain kes menceroboh dewan tersebut awal pagi 24 Jun lepas, siasatan polis juga berhubung simbahan petrol di permaidani merah yang bakal dilalui isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk satu program di dewan tersebut.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum dewan tersebut digunakan oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk program derma kanak-kanak Palestin, jam 9 pagi Rabu itu.

Pada 30 Jun lalu, dua pelajar API dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli juga dihadapkan bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Mahkamah menetapkan 7 hingga 11 Disember depan untuk perbicaraan kes mereka berdua pelajar.

Pada 18 Julai lalu, presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin - pelajar tahun akhir API - ditahan sebelum polis memberkas Muhammad Aizat Roslan, pelajar jurusan syariah, di kafeteria API pada 12 Ogos.

Dipercayai tiga pelajar ini, termasuk Muhammad Saufi, akan dibicarakan bersama dua tertuduh awal, Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen.

MalaysiaKini/-

36 Taktik Peperangan: Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri

36 Taktik Peperangan merupakan sebuah buku yang di dalamnya terkandung 36 taktik peperangan yang digunakan pada zaman purba di China dan diwarisi sehingga hari ini. Taktik-taktik peperangan yang terkandung di dalam buku itu telah digunakan di China dalam jangka masa yang panjang dan telah menjadi inti pati kebudayaan tradisi China. Pada masa ini, "36 Taktik Peperangan" telah disesuaikan untuk strategi dalam pelbagai bidang, antaranya termasuklah politik, diplomasi, ilmu pengurusan, perdagangan dan lain-lain.

Dalam "36 Taktik Peperangan" tidak banyak bahagian yang menjelaskan tentang teori peperangan, sebaliknya lebih tertumpu kepada penggunaan praktikal strategi peperangan.

"36 Taktik Peperangan" merupakan rumusan buah fikiran ahli ketenteraan yang terunggul pada zaman purba China. Setiap taktik mempunyai tujuan yang jelas dan bersifat praktikal. Kebanyakan taktik tersebut lebih mementingkan perubahan yang tidak dijangka ketika bertempur dengan musuh. 36 Taktik Peperangan diketahui oleh umum melalui pelbagai cara. Ada taktik yang diberi nama dengan judul opera, peribahasa atau peristiwa yang pernah berlaku dalam sejarah China. Dengan demikian, orang ramai lebih mudah untuk memahami teori dan ilmu ketenteraan yang terkandung di dalam buku itu.

"Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri" ialah satu pepatah lama yang telah dipakai sejak turun-temurun. Daripada judul taktik tersebut sudah dapat kita menangkap maksud yang hendak disampaikan, iaitu menarik pencuri masuk ke lingkungan yang dapat kita kawal, kemudian menutup pintu untuk menangkapnya. Penggunaan taktik itu terbukti berkesan dalam peperangan zaman purba China.

Dalam bidang ketenteraan, taktik "Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri" sama maksudnya dengan taktik "Mengepung dan Memusnahhabiskan" yang sering digunakan dalam peperangan.

Dalam buku "36 Taktik Peperangan", penjelasan mengenai taktik tersebut berbunyi, tujuan "tutup pintu" adalah untuk mencegah musuh daripada melepaskan diri, kerana jika dibiarkan musuh melepaskan diri, ini akan menanam bibit konflik baru. Tetapi, jika musuh berjaya melarikan diri, kita harus berhati-hati jika mengejar mereka supaya tidak terperangkap dalam tipu muslihat mereka. Seterusnya, satu pertempuran yang berlaku pada zaman purba China supaya saudara lebih memahami maksud taktik "Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri".

Pada tahun 880 Masihi, pasukan pemberontak petani yang diketuai oleh Huang Chao telah menawan Chang'an, ibu kota kerajaan Dinasti Tang. Tetapi, raja Dinasti Tang sempat melarikan diri sebelum pasukan pemberontak memasuki kota itu. Baginda telah mengarahkan pasukan tentera kerajaan di tempat yang lain supaya berkumpul di luar kota itu untuk merebut kembali kota Chang'an. Setelah kedua-dua pihak berkonfrontasi selama setahun, pasukan tentera kerajaan telah pulih semangat dan bersiap sedia untuk bertempur dengan pasukan pemberontak di dalam kota itu.

Memandangkan jumlah tentera kerajaan amat besar dan kota Chang'an tidak tahan lagi kerana terlalu lama dikepung, Huang Chao telah memutuskan untuk mengundurkan pasukannya daripada kota Chang'an setelah menilai situasi keseluruhan.

Sebelum tentera kerajaan melancarkan serangan terhadap kota Chang'an, mereka sama sekali tidak tahu pasukan pemberontak sudah berundur daripada kota itu. Di luar dugaan mereka, serbuan mereka tidak menghadapi sebarang tangkisan. Kemenangan yang terlalu mudah didapat itu telah membuatkan para anggota tentera kerajaan sungguh gembira sehingga tidak lagi berwaspada terhadap gerakan pasukan pemberontak yang sudah lari.

Sementara itu, Huang Chao telah menghantar orang untuk mendapatkan maklumat risikan dalam kota Chang'an. Ketika diberikan taklimat mengenai keadaan dalam kota itu, Huang Chao berkata, "musuh sudah masuk perangkap". Pada tengah malam hari itu, pasukan pemberontak yang diketuai oleh Huang Chao telah berkejar kembali ke kota Chang'an dan melancarkan serbuan secara mendadak terhadap kota itu. Boleh dibayangkan, bagaimana tentera kerajaan yang sama sekali tidak menyangka serangan itu akan berlaku, telah mengalami kematian dan kecederaan yang serius. Dengan menggunakan taktik "Tutup Pintu untuk Menangkap Pencuri", pasukan pemberontak telah berjaya menewaskan tentera kerajaan yang mempertahankan kota Chang'an dan sekali lagi menduduki kota itu.

Menghayati cerita tersebut, apa yang boleh kita pelajari ialah, jika kita memiliki kesempatan untuk menangkap seluruh musuh, maka lakukanlah bersungguh-sungguh sehingga pertempuran segera berakhir. Jika musuh berjaya melepaskan diri, keadaan akan menjadi lebih rumit. Ketika melakukan pengejaran, kita mesti berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam tipu muslihat mereka. Jadi, yang paling penting ialah kita hendaklah mengambil kesempatan ketika boleh memusnahhabiskan musuh dan jangan memberi peluang kepada mereka untuk melepaskan diri.

CRI/-

36 Taktik Peperangan: Lepaskan Kulit Serangga

Maksud asal "Lepaskan Kulit Serangga" ialah, setelah serangga bersalin kulit, jasad serangga itu telah keluar daripada kulitnya, hanya tinggal kulit yang sudah kering masih bergantung di tempat asal. Jika kita tidak membuat pemerhatian yang teliti, pasti kita anggap serangga itu masih berada di situ.

Dalam buku 36 Taktik Peperangan, penjelasan tentang taktik "Lepaskan Kulit Serangga" adalah seperti yang berikut: ketika anda dalam keadaan terdesak, dan anda hanya memiliki kesempatan untuk melarikan diri dan harus membentuk pasukan, buatlah sebuah ilusi. Sementara perhatian musuh tertumpu atas muslihat yang anda lakukan, pindahkan pasukan anda secara rahasia supaya terselamat daripada keadaan yang bahaya. Taktik ini sering digunakan dalam keadaan kita lebih lemah berbanding dengan pihak musuh.

Pada abad ke-3 Masihi, China berada dalam keadaan berpecah dan diduduki oleh kerajaan tiga negeri iaitu Negeri Wei, Negeri Shu dan Negeri Wu. Raja ketiga-tiga negeri itu semua bercita-cita untuk merebut kuasa bagi menyatukan wilayah China. Mereka masing-masing telah berusaha untuk mendapatkan cendekiawan yang pandai dan bijaksana bagi membantu menewaskan pihak musuh. Maka, pertempuran antara ketiga-tiga negeri itu berlaku dari semasa ke semasa.

Antara para cendekiawan di ketiga-tiga negeri itu, Perdana Menteri Negeri Shu, Zhuge Liang adalah yang paling pandai cerdik dan mempunyai kewibawaan yang tinggi kerana berjaya memimpin tentera negeri Shu dalam peperangan sekian lama. Dengan mengetahui kepandaiannya, ketua tentera dua negeri yang lain pun gentar akan kehebatan Zhuge Liang. Oleh sebab itu, mereka sentiasa berhati-hati ketika berhadapan dengan tentera yang diketuai oleh Zhuge Liang.

Suatu masa dulu, Zhuge Liang pernah mengetuai sejumlah besar tentera Negeri Shu bertolak dari kawasan selatan untuk menyerang negeri Wei di utara China. Sementara itu, raja negeri Wei juga telah mengerahkan tentera elitnya untuk menangkis serangan tentera negeri Shu. Dalam tempoh konfrontasi tentera kedua-dua negeri itu, Zhuge Liang telah jatuh sakit dan keadaan kesihatan beliau menjadi semakin hari semakin teruk. Zhuge Liang tahu bahawa beliau ialah satu-satunya orang yang mampu memimpin tentera negeri Shu dan menjadikan para askar bersemangat. Jika beliau meninggal dunia, tentera negeri Shu pasti akan gagal dalam pertempuran itu dan pengunduran merupakan satu-satunya pilihan yang bijak. Yang menjadi masalah, jika tentera negeri Shu melakukan pengunduran secara tiba-tiba, tentera negeri Wei pasti akan mengejar mereka untuk menghapuskan kekuatan tentera negeri Shu secara habis-habisan dan tentera negeri Shu akan mengalami kematian dan kecederaan yang serius. Selepas mempertimbangkan keadaan itu, Zhuge Liang secara rahsia telah mengajar cara pengunduran tentera kepada hulubalang, Jiang Wei.

Tidak lama kemudian, Zhuge Liang telah meninggal dunia ketika tentera kedua-dua negeri itu masih berada dalam keadaan berkonfrontasi. Hulubalang Jiang Wei telah menghalang mengeluarkan khabar tentang pemergian ketuanya sepertimana yang diajar oleh Zhuge Liang. Beliau telah mengarahkan tukang dalam tenteranya membikin satu patung kayu Zhuge Liang macam duduk di dalam sebuah kenderaan. Dengan begitu, Jiang Wei telah mengetuai tentera negeri Shu membawa mayat Zhuge Liang memulakan pengunduran.

Sepertimana yang disangka oleh Zhuge Liang, panglima tentera negeri Wei telah mengerahkan pasukannya untuk mengejar tentera Shu. Jiang Wei pula telah menghantar sejumlah besar tenteranya berpura-pura sudah siap sedia melancarkan serangan terhadap pasukan negeri Wei. Setelah menjalankan pemerhatian dari tempat jauh, panglima tentera negeri Wei mendapati bahawa tentera negeri Shu kelihatan berdisiplin dan penuh bersemangat dengan pimpinan Zhuge Liang yang duduk di dalam kenderaannya. Dengan mengetahui kehebatan Zhuge Liang, panglima tentera negeri Wei menyangsikan bahawa ini mungkin satu lagi muslihat yang dilakukan oleh Zhuge Liang. Jadi, dia telah mengarahkan tenteranya berundur supaya mengelakkan daripada terkena tipu muslihat itu.

Dengan kesempatan itu, hulubalang Jiang Wei segera memindahkan kekuatan utama tenteranya ke tempat yang selamat. Ketika panglima tentera negeri Wei menerima khabar kematian Zhuge Liang adalah sudah terlambat untuk mengejar kekuatan utama pihak musuh.

Perdana Menteri negeri Shu, Zhuge Liang telah berjaya menggunakan taktik "Lepaskan Kulit Serangga" bagi melindungi tenteranya daripada risiko dihapuskan dengan menggunakan muslihat untuk melarikan diri secara rahsia.

CRI/-

Cerita tentang "Taktik Bandar Kosong"

Menurut ceritanya, pada abad ketiga Masihi, negeri Wei, negeri Shu dan negeri Wu merupakan tiga kekuatan yang terbesar di China. Kerajaan tiga negeri tersebut saling bersaing untuk mengalahkan antara satu sama lain. Zhuge Liang merupakan penasihat tentera negeri Shu. Dia amat pandai memimpin gerakan tentera ketika berperang.

Pada suatu ketika, negeri Wei mendapat berita bahawa kekuatan tentera negeri Shu yang ditempatkan di kawasan strategiknya di Bandar Barat amat sedikit. Jumlahnya tidak sampai 10 ribu orang. Maka, Jeneral negeri Wei, iaitu Sima Yi pun mengetuai tenteranya yang berjumlah lebih seratus ribu orang, untuk menyerang bandar tersebut. Semua orang di negeri Shu menjadi sangat bimbang, kerana pada anggapan mereka, kekuatan tentera mereka yang tidak sampai 10 ribu orang itu, mustahil dapat mempertahankan serangan tentera musuh yang jumlahnya begitu besar itu. Mereka juga tidak sempat mengerahkan tentera dari bandar-bandar yang lain untuk datang. Situasi ketika itu memang agak cemas sehingga memeningkan kepala Zhuge Liang.

Setelah berfikir dengan bersungguh-sungguh, Zhuge Liang pun mengarahkan supaya semua penduduk dan askar berundur ke tempat yang selamat, dengan membiarkan pintu gerbang bandar terbuka, untuk menunggu kedatangan musuh. Tidak lama kemudian, tentera Sima Yi pun berjaya mengepung seluruh bandar itu. Bagaimanapun, mereka sangat hairan ketika melihat pintu gerbang itu terbuka, dan tidak ada seorang askar pengawal pun di atas tembok bandar. Tatkala itu, tiba-tiba muncul seorang lelaki di atas tembok bandar itu. Dialah Zhuge Liang, pesaing yang hebat kepada Sima Yi sejak sekian lama. Zhuge Liang mengemaskan bajunya dulu, lalu duduk sambil memainkan Guqin, iaitu sejenis alat muzik petikan tradisional. Muzik yang dikeluarkan agak lembut, dan sangat merdu didengar. Keadaan tersebut membuatkan tentera Wei tercengang-cengang. Mereka tidak mengerti niat sebanar Zhuge Liang berbuat demikian.

Tindakan Zhuge Liang itu juga di luar sangkaan Sima Yi. Pada anggapannya, pasti terdapat ramai tentera yang bersembunyi di dalam bandar itu untuk menyerang hendap mereka. Tatkala itu, irama muzik yang dimainkan oleh Zhuge Liang itu tidak lembut lagi. Ia semakin padat dan bertenaga, kedengaran seolah-olah ribut taufan akan melanda. Sima Yi menganggap irama itu sebagai isyarat yang diberikan oleh Zhuge untuk mengerahkan tenteranya melancarkan serangan balas terhadap mereka. Oleh itu, dia segera mengarahkan tenteranya supaya berundur dari kawasan tersebut. Dengan yang demikian, kawasan strategik negeri Shu itu berjaya dipertahankan tanpa mengorbankan satu nyawa pun.
CRI/-

Heshi Serahkan Batu Jed

Menurut ceritanya, Bian He, dari negeri Chu, telah mendapat sebiji batu jed yang tidak dicanai, dari Gunung Chu. Dia terus menyerahkan jed itu kepada Raja Negeri Chu, iaitu Raja Liwang. Raja Liwang segera memanggil seorang tukang jed yang amat mahi, dan memintanya membuat penilaian terhadap mutu jed itu. Setelah meneliti batu jed itu beberapa lama, si tukang itu berkata kepada Raja Liwang, "Hamba pasti ia hanya batu biasa sahaja" Sebaik sahaja mendengar perkataannya itu, Raja Liwang menjadi berang. Baginda menganggap Bian He telah menipunya. Maka, baginda telah menjatuhkan hukuman potong kaki kiri ke atasnya.

Setelah Raja Liwang mangkat, takhta baginda telah diwarisi oleh Raja Wuwang. Bian He membawa lagi batu jed itu ke istana untuk menyerahkannya kepada Raja Wuwang. Raja Wuwang juga menyuruh seorang tukang jed membuat penilaian terhadap mutu jed itu. Si tukang jed itu tetap menganggap jed itu hanya batu biasa sahaja. Oleh itu, Bian He sekali lagi dianggap sebagai penipu. Kali ini, dia telah dijatuhi hukuman potong kaki kanan.

Setelah Raja Wuwang mangkat, takhta baginda telah diwarisi oleh Raja Wenwang. Bian He yang memegang batu jed itu, menangis di kaki Gunung Chu selama 3 hari 3 malam. Setelah mengetahui hal itu, Raja Wenwang menghantar seorang askar untuk bertanya kepada Bian He mengapa dia menangis dengan begitu sedih. Bian He menjawab, "Hamba begitu sedih bukan kerana kaki hamba dipotong. Batu jed yang bernilai tinggi itu dianggap sebagai batu biasa sahaja, dan orang yang taat setia dianggap sebagai penipu. Itulah sebabnya hamba begitu kecewa."

Setelah mendengar jawapan Ban He itu, Raja Wenwang segera memerintahkan beberapa orang tukang jed meneliti batu jed itu dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, mereka mendapati bahawa batu jed itu benar-benar sebuah harta karun yang jarang didapati. Maka, Raja Wenwang menamakan jed itu "Jed Heshi".

Dalam cerita ini, pengarangnya, iaitu Han Fei, telah menggunakan pengalaman Bian He itu untuk meluahkan rasa kecewanya ekoran gagasan politiknya ditolak oleh raja. Cerita ini juga dihasilkan untuk menasihati golongan pemerintah supaya mempunyai visi untuk membezakan siapa yang benar-benar setia kepada negara dengan siapa yang membelot.

CRI/-

Cerita tentang Mozi dan Yunti

Mozi hidup pada abad ke-5 sebelum Masihi. Pada zaman itu, China terdiri daripada beberapa buah negeri. Antaranya, negeri Chu ialah negeri yang besar, manakala, negeri Song pula ialah negeri yang agak kecil.

Pada ketika itu, seorang tukang kayu terkenal yang bernama Gongshu Ban telah mencipta sejenis senjata baru yang disebut "Yunti", atau "tangga perang" dalam bahasa Melayu. Senjata yang besar dan panjang itu terutamanya digunakan untuk memudahkan askar memanjat tembok pelindung negeri musuh. Selesai sahaja ia dicipta, negeri Chu pun bersiap sedia untuk menyerang negeri Song, untuk menguji keberkesanan senjata itu.

Apabila mendengar berita tersebut, Mozi, dari negeri Song, segera berangkat ke negeri Chu untuk meminta Gongshu Ban supaya memujuk raja membatalkan rancangan itu. Mozi berkata kepada Gongshu Ban, "Di sebelah utara sana, ada seseorang yang selalu mengganggu saya. Bolehkah awak membantu saya membunuh orang itu?" Gongshu Ban tidak berapa gembira mendengar permintaan Mozi itu. Namun, dia tidak berkata apa-apa. Maka, Mozi terus berkata, "Saya akan memberikan ganjaran yang besar kepada awak". Gongshu Ban menjawab, "Saya mempunyai harga diri. Saya tidak akan melakukan sebarang kejahatan walaupun ganjaran yang ditawarkan besar." Mozi terus berkata, "Negeri Chu, sebagai sebuah negeri yang besar, ingin menyerang negeri Song yang lemah dan kecil. Pada anggapan awak, adakah ini perang yang adil? Jika perang itu berlangsung, ramai orang yang tidak berdosa akan terbunuh akibat senjata yang awak cipta. Adakah perkara ini berbeza dengan pembunuhan yang dilakukan dengan tangan awak sendiri?"

Soalan tersebut menjadikan Gongshu Ban terdiam. Sebenarnya, raja negeri Chu itulah yang memutuskan untuk menyerang negeri Song. Jadi, kedua-dua mereka segera pergi mengadap raja tersebut. Mozi tidak menyebut tentang perang itu terlebih dahulu. Sebaliknya, dia berkata kepada raja negeri Chu, "Hamba ada satu perkara yang ingin hamba tanyakan kepada tuanku. Ada seseorang yang memiliki kereta dan pakaian yang mewah di sana. Namun, dia tetap ingin mencuri kereta dan pakaian yang usang daripada tetangganya. Pada pandangan tuanku, bagaimanakah sifat orang itu?" Raja negeri Chu menjawab, "Orang itu mempunyai tabiat mencuri yang buruk." Mozi terus berkata, "Negeri Chu besar dan kaya, manakala, negeri Song kecil dan miskin. Kedua-dua negeri ini seolah-olah perbandingan antara pakaian yang mewah dengan yang usang itu. Jadi, pada anggapan hamba, Negeri Chu ini sama sifatnya dengan pencuri tersebut jika ia menyerang negeri Song."

Ketika mendengar kenyataan tersebut, Raja negeri Chu menjadi berang. Baginda bertitah, "Yang kamu katakan tadi memang agak masuk akal. Bagaimanapun, "Yunti" sudah siap dicipta. Maka, beta pasti akan menyerang negeri Song". Mozi berkata dengan tenang, "Sebenarnya, senjata itu tidak begitu hebat seperti sangkaan tuanku. Perkara ini dapat kita buktikan melalui perang lakonan antara hamba dengan Gongshu Ban". Jadi, raja negeri Chu pun membuat arahan supaya segera diadakan "perang" itu. Namun, walau dengan cara apa pun jua, Gongshu Ban tidak dapat mengalahkan Mozi.

Gongshu Ban tidak rela mengaku kalah. Dia berkata kepada Mozi, "Saya tahu bagaimana caranya untuk melawan tuan. Namun, saya tidak akan menceritakannya kepada tuan". Mozi pula berkata, "Begitu juga dengan saya". Raja negeri Chu bertanya kepada Mozi sebabnya mereka berkata demikian. Maka, Mozi menjawab, "Niat Gongshu Ban itu semata-mata untuk membunuh hamba sahaja. Pada anggapannya, jika hamba terbunuh, di negeri Song, tidak ada lagi orang yang mampu mempertahankan negerinya. Bagaimanapun, hamba sudah mengajarkan cara ini kepada pengikut hamba. Maka, meskipun hamba terbunuh, dia tetap tidak dapat mengalahkan negeri hamba".

Mendengar kenyataan Mozi itu, mahu tak mahu, raja negeri Chu terpaksa membatalkan rancangannya untuk menyerang negeri Song itu. Dengan yang demikian, Mozi berjaya mempertahankan negerinya daripada diserang musuh dengan kebijaksanaan dan keberaniannya yang luar biasa.
CRI/-

36 Taktik Peperangan: Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga

36 Taktik Peperangan merupakan sebuah buku yang di dalamnya terkandung 36 taktik peperangan yang digunakan pada zaman purba di China dan diwarisi sehingga hari ini. Taktik-taktik peperangan yang terkandung di dalam buku itu telah digunakan di China dalam jangka masa yang panjang dan telah menjadi inti pati kebudayaan tradisi China. Pada masa ini, "36 Taktik Peperangan" telah disesuaikan untuk strategi dalam pelbagai bidang, antaranya termasuklah politik, diplomasi, ilmu pengurusan, perdagangan dan lain-lain.

Dalam "36 Taktik Peperangan" tidak banyak bahagian yang menjelaskan tentang teori peperangan, sebaliknya kandungannya lebih tertumpu kepada amalan praktikal strategi peperangan.

"36 Taktik Peperangan" merupakan rumusan buah fikiran ahli ketenteraan yang terunggul pada zaman purba China. Setiap taktik mempunyai tujuan yang jelas dan bersifat praktikal. Kebanyakan taktik tersebut lebih mementingkan perubahan tindakan yang tidak dijangka ketika bertempur dengan musuh. 36 Taktik Peperangan diketahui oleh umum melalui pelbagai cara. Ada taktik yang dikenali dengan nama judul opera, peribahasa atau peristiwa yang pernah berlaku dalam sejarah China. Dengan demikian, orang ramai lebih mudah untuk memahami teori dan ilmu ketenteraan yang terkandung di dalam buku itu.

Taktik "Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga" berasal daripada satu pertempuran yang terkenal dalam sejarah China.

Pada abad ke-3 Sebelum Masihi, China berada dalam Tempoh Negeri-negeri Berperang. Tatkala itu, konflik antara pelbagai negeri berlaku dari semasa ke semasa. Demi kepentingan masing-masing, mereka kadangkala saling bersekutu, kadangkala saling bermusuh pula, dan ini menyebabkan situasi menjadi sangat rumit. Negeri Qin yang terletak di bahagian barat laut China merupakan antara negeri yang paling pesat berkembang pada masa itu. Maka negeri itu mula merancang untuk merampas kuasa negeri-negeri yang lain dan bercita-cita untuk menyatukan China pada akhirnya. Pada ketika itu, Negeri Qi yang terletak di bahagian timur China juga merupakan sebuah kuasa besar. Raja Negeri Qin pada mulanya memang berhasrat menghapuskan Negeri Qi yang jauh di timur kerana bimbang akan kemungkinan berlakunya konflik dengan Negeri Qi untuk merebut kuasa pemerintahan seluruh China pada suatu hari nanti. Namun, penasihat raja Qin, Fan Sui membantah rancangan baginda itu. Fan Sui berpendapat bahawa perjalanan dari Negeri Qin ke Negeri Qi terlalu jauh dan akan melalui Negeri Han dan Negeri Wei. Tindakan untuk menyerang Negeri Qi memerlukan kerahan tenaga sebilangan besar tentera, baru mungkin tentera negeri itu dapat ditewaskan. Akan tetapi, jika mereka berbuat demikian, pertahanan di wilayah Negeri Qin akan menjadi lemah, dan ada risiko ibu kota mereka sendiri diserang oleh negeri yang lain dalam tempoh tersebut. Fan Sui mencadangkan bahawa serangan terhadap Negeri Han dan Negeri Wei yang berjiran dengan Negeri Qin patut dilaksanakan dahulu, dan ancaman Negeri Qi ditangani kemudian. Dalam pada itu, untuk mencegah ketiga-tiga negeri tersebut menjalinkan hubungan sekutu, Negeri Qin patut mengambil inisiatif untuk bersekutu dengan Negeri Qi dahulu.


Raja Negeri Qin berkenan menerima cadangan Fan Sui dan melaksanakan dasar berteman dengan negeri yang terletak jauh daripada wilayahnya iaitu Negeri Qi dan Negeri Chu. Sementara itu, tentera Negeri Qin telah menduduki beberapa buah negeri kecil yang berhampiran dan sekali gus menyatukan bahagian barat laut China. Seterusnya kerajaan Qin telah menghapuskan Negeri Chu di selatan dan Negeri Qi di timur dan akhirnya menyatukan China. Dengan itu, Maharaja Qin Shihuang telah menubuhkan rejim pemerintah pusat yang pertama dalam sejarah China.

Dalam buku "36 Taktik Peperangan", penjelasan mengenai taktik "Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga" berbunyi begini: ketika sesuatu sasaran ketenteraan susah hendak dicapai kerana dihalang oleh kedudukan geografinya, kita patut menyerang musuh yang berhampiran dahulu dan tidak menyerang sasaran yang terletak jauh daripada kita itu. Untuk mencegah musuh-musuh menjalinkan hubungan sekutu, kita mesti menggunakan apa jua cara untuk memecahkan mereka kepada puak-puak, supaya kita dapat menghapuskan mereka satu demi satu pada suatu hari nanti. Jika diteliti, berteman dengan negara jauh sebenarnya merupakan satu taktik melengahkan, agar ada masa dan tidak berperang dengan terlalu banyak musuh secara serentak. Setelah kita menghapuskan musuh di sekitar kita, teman yang jauh pula menjadi sasaran baru kita. Penjelasan tambahan terhadap taktik tersebut berbunyi, dalam situasi yang rumit, berteman dengan musuh di sekitar kita sangatlah bahaya kerana kita sentiasa terdedah kepada ancaman mereka dan mudah pula diserang oleh mereka. Maka, kita mesti menghapuskan ancaman yang tersembunyi di sekitar kita dahulu sebelum menyerang sasaran yang lebih jauh.


Taktik "Berteman dengan Negara Jauh dan Menyerang Negara Tetangga" boleh dikatakan bersifat tipu daya, dan tipu helah itu mudah diketahui atau disedari oleh manusia. Dalam keadaan yang rumit yang melibatkan pelbagai kuasa politik dan ketenteraan yang saling bersaing, pengguna taktik ini mencapai kejayaan kerana dia mengetahui bahawa kuasa-kuasa yang lain semuanya bimbang akan mengalami kerugian kerana terlibat dalam peperangan terlebih dahulu, dan ingin selamat untuk seketika. Bagi Negeri Qi yang kena tipu muslihat itu, mereka mungkin mengetahui cita-cita Negeri Qin di sebalik dasar berteman dengannya, tetapi mereka memilih untuk berteman juga dengan Negeri Qin kerana tidak mempunyai keyakinan untuk menewaskannya tatkala itu. Maka, Negeri Qi memilih untuk membuat perjanjian damai sementara daripada bermusuh dengan Negeri Qin.

CRI/-

Kelantan harap Ku Li setuju ketuai Kaukus Khas Parlimen

KOTA BHARU, 19 Nov: Kerajaan Kelantan mengharapkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk mengetuai Kaukus Khas Parlimen berkaitan royalti petroleum kerana beliau dapat membuktikan pentafsiran yang tepat berhubung perkara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan Datuk Husam Musa ketika ditemui di pejabatnya hari ini berkata, sewajarnya bukan sahaja Tengku Razaliegh, malah ahli Parlimen lain juga wajar bersama menyokong tuntutan kerajaan Kelantan ini.

“Saya amat berharap selain Tengku Razaliegh dapat menerima tanggungjawab sebagai ketua Kaukus ini, ahli Parlimen lain tanpa mengira dari kerajaan maupun Pakatan Rakyat agar dapat melibatkan diri sama demi mendapat pentafsiran yang jelas berkaitan dengan hal tuntutan royalti ini.

Penglibatan semua pihak dengan mengenepikan politik kepartian dalam hal ini katanya sangat penting dan perlu merasai bahawa ianya tanggungjawab pemimpin kepada rakyat negeri masing- masing.

"Kerana jika satu hari nanti Sabah maupun Sarawak bertukar kerajaan, adakah mereka akan menukar royalti sekarang ini kepada wang ehsan," katanya lagi.

Sekiranya ini berlaku, seluruh rakyat di negeri Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang menjadi pengeluar minyak di negara ini katanya akan menjadi mangsa dan Kaukus ini pula tepat pada masanya.

Husam juga berkata Tengku Razaleigh adalah orang yang mempunyai autoriti untuk bercakap hal tuntutan royalti kerana beliau terlibat secara langsung semasa mengetuai Petronas dulu.

Menyentuh cadangan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’Nik Abdul Aziz Nik Mat agar dikaji semula perjanjian dengan petronas tersebut, Husam berkata Tuan Guru berkehendakan agar keadilan sejagat diamalkan oleh kerajaan pusat.

Ianya termasuk memberi pentafsiran jelas berhubung undang-undang perjanjian.

“Kalau kita lihat dari segi hasil negeri seperti balak mahupun emas, kita yang bagi royalti kepada persekutuan, bagaimanapun hal minyak kita pula yang dapat sedikit daripada pusat, sedangkan minyak tersebut adalah anugerah Allah kepada sesebuah negeri itu, ” kata beliau lagi.

Semalam Tengku Razaliegh telah ditemui oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan dicadangkan mengetuai Kaukus Khas Parlimen berhubung isu royalti petroleum.

Beliau bagaimanapun meminta tempoh masa untuk meneliti cadangan tersebut sebelum tampil dengan keputusan.

HarakahDaily.Net/-

Pemuda PAS Kelantan sedia anjur debat Salahudin dan Nazri

KOTA BHARU, 19 Ogos: Dewan pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) bersedia menjadi penganjur majlis debat mengenai pembayaran royalti minyak kepada negeri Kelantan sekaligus memuji sikap berani Datuk Seri Nazri Aziz yang sanggup untuk menyertainya.

Naib Ketua DPPNK Hisham Fauzi dalam kenyataan medianya berkata sikap Nazri itu sewajarnya menjadi contoh kepada ahli Umno khususnya Pergerakan Pemuda Umno Kelantan.

“DPPNK akan menganjurkan satu Debat Terbuka Isu Royalti Minyak antara Dato’ Seri Nazri Aziz dengan YB Salahuddin Ayub dalam tempoh sebulan ini,” katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Tanah Merah.

Menurutnya, debat terbuka itu dicadang diadakan di Auditorium Pusat Dagangan Kelantan (Auditorium Kelantan Trade Centre), Kota Bharu.

“Surat jemputan kepada kedua-dua pihak akan dihantar dalam masa terdekat.

“Amatlah diharapkan agar kedua-dua pihak dapat mengotakan janji kesediaan mereka untuk berdebat sebagaimana yang diucapkan di Parlimen semalam dan seterusnya menjelaskan kepada rakyat Kelantan siapakah yang benar,” katanya sambil meluahkan kekesalan DPPNK di atas penafian yang berterusan oleh Kerajaan Pusat terhadap hak rakyat dan Kerajaan Kelantan terhadap pembayaran royalti minyak tersebut.

“Walau pun jelas tidak ada keperluan bahawa minyak itu dicarigali dalam tiga batu nautika dari pantai Kelantan untuk menjadikan Kelantan layak terhadap royalti di dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri Kelantan dan Petronas atau di dalam Akta Pembangunan Petroleum.

“Kerajaan Pusat terus cuba menafikan dan mengabaikan fakta sebenarnya. Sikap penafian dan pengabaian ini jelas ditunjukkan semasa sidang Parlimen semalam oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang secara berterusan menegaskan bahawa negeri Kelantan tidak berhak terhadap bayaran royalti dan hanya berhak terhadap wang ihsan saja.

“Datuk Nazri menyatakan kesediaan beliau untuk berdebat dengan YB Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) yang telah bertegas dengan Datuk Seri Nazri mengatakan Kelantan berhak terhadap bayaran tunai royalti minyak, sebagaimana termaktub dalam perjanjian dan akta berkaitan,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Perlindungan Pengguna Kelantan bersetuju dengan tindakan Kerajaan Negeri menuntut bayaran royalti minyak daripada Kerajaan Pusat sejak 2004.

Pengerusinya, Haji Ahmad Othman berkata tindakan yang dilakukan Kerajaan Negeri itu betul demi pembangunan dan kepentingan rakyat negeri ini.

“Tuntutan itu mesti dilakukan oleh kerana kita berhak. Kita mesti tuntut, bahkan Kerajaan Pusat sepatutnya tidak membiarkan perkara itu berlaku sejak 2004 lagi,” katanya ketika dihubungi media di sini baru-baru ini.

Mengenai peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dibelanjakan kepada Kelantan yang menjadi hujah pemimpin Umno-BN untuk tidak membayar royalty tersebut, beliau berkata peruntukan yang dibelanjakan dalam RMK9 semata-mata kerana Kelantan termasuk dalam negeri di Malaysia yang berhak mendapat peruntukan itu.

“Tetapi yang kita tuntut ini hak Kerajaan Negeri, bahkan hujah yang dibuat Pengerusi BN Kelantan yang baru itu tidak berapa cerdek.

“Kita minta sama seperti yang diperolehi Terengganu, bahkan Kerajaan Pusat tidak menyekat permohonan negeri itu, bahkan minyak itu berada di laut kita, kita berkehendakkan royaltinya demi kepentingan rakyat negeri ini.

“Dan minyak itu sendiri tidak terdapat pada negeri yang rakyatnya bukan Islam,” katanya.

Sementara itu mantan Ahli Parlimen Bachok Wan Nik Wan Yusof berkata dalam konteks memajukan sumber petroleium (gas) di dasar laut atau bumi, hak ekselusif itu menjadi tanggungjawab Petronas yang mencari gali minyak dan membuat penyelidikan di mana-mana negeri berdasarkan Akta Petroleium yang diluluskan Parlimen.

“Atas sifat budi bicara dan juga komitmen Kerajaan Pusat yang meraih untung melalui Petronas ini, sepatutnya di mana ada telaga minyak atau pun gas itu, negeri yang memilik telaga tersebut seharusnya diberi ganjaran,” katanya yang juga Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan kepda media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, proses itu berlaku melalui satu perjanjian di antara Petronas dengan negeri-negeri yang mana adanya telaga tersebut.

“Petronas sepatutnya mengadakan perjanjian dengan bidang kuasa yang diberikan oleh Kerajaan Pusat.

“Jadi Kelantan ini tidak termasuk negeri yang mendapat kemudahan hasil dan royalty itu kerana Petronas tidak pun membuat rundingan bagi mengadakan perjanjian dengan Kelantan.

“Kenapa berlaku begitu, sedangkan Sarawak, Sabah dan Terengganu tidak berlaku sedemikian.

“Dalam kes Kelantan ini, persoalan yang berbangkit ialah kerana telaga minyak itu berada dalam ‘kawasan bertindih’ di atas tiga kepentingan negara – Malaysia-Thailand Joint Development Area (JDA),” katanya.

Malaysia-Thailand Joint Development Area merupakan salah satu kawasan yang sangat aktif dalam carigali dan pengeluaran gas asli, terletak di bahagian bawah teluk Thailand (Siam).

Dan diuruskan secara bersama oleh Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA) dengan setiap negara menguasai 50 peratus dari sumber hydrocarbon yang ditemui di kawasan JDA itu.

Sumber gas asli di kawasan tersebut dianggarkan 9.5 trillion cubit feet.

“JDA menangani pembangunan bersama tiga negara – Thailand, Malaysia dan Kemboja.

“Jadi persoalannya di sini, apabila ada hak JDA – hak penerokaan bersama di kawasan bertindih itu, maka pada bahagian bertindih itu ialah pantai yang menjadi milik Kelantan.

“Oleh itu atas sifat perkiraan negeri yang memiliki bumi bertindih itu, keadilan seharusnya dipertimbangkan.

“Petronas sepatutnya ada persetujuan melalui satu perjanjian untuk memberi bayaran royalty walau pun dikatakan bertindih, oleh kerana yang bertindih itu ialah bumi, dan bumi itu bukannya bumi hak ekselusif antarabangsa tetapi hak ekslusif sebahagian daripada Malaysia, Thailand an Kemboja.

“Jadi hak Malaysia itu sepatutnya diberi kepada Kelantan dan itu adalah nilai keadilan yang sepatut diambilkira,” katanya sambil membidas Menteri Kerajaan Pusat atau pun Perdana Menteri yang sepatutnya tidak bercakap dengan bahasa yang bercanggah dengan prinsip “1 Malaysia”.

Beliau berkata, di mana-mana bumi pun, hakikatnya Malaysia hak belaka tetapi Malaysia itu sendiri terbentuk hasil daripada sokongan padu negeri-negeri yang dinaunginya.

“Dan Kelantan sendiri adalah penyumbang hasil Malaysia, contoh minyak itu sendiri.

“Oleh itu dari jumlah RM25 bilion perolehan hasil minyak itu sepatutnya ada sebahagian dari keuntungan diagihkan kepada negeri ini yang menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat menerusi Petronas, dan ketika itu barulah wujud nilai keadilan yang bersifat terbuka itu,” katanya.

Mengulas isu itu dalam aspek agama, beliau berkata apabila hendak mengharmonikan konsep “1 Malaysia” ke atas komitmen beragama, sepatutnya perkiraan itu berlaku secara anak beranak di mana Kerajaan Pusat adalah bapa dan Kerajaan Negeri adalah anak.

“Jadi perkiraan bapa hendak mengambil harta dalam lengkongan sempadan yang dimiliki oleh anak, sepatutnya penyelesaian, persetujuan, imbal dan imboh balik itu terjadi, namun demikian terjadi, dan ini amat mendukacitakan.

“Paling harmoni lagi, kalau negeri-negeri lain yang ada sumber gas ini boleh dibuat perjanjian atas alasan tidak bertindih, hak mutlak negeri berkenaan dan hak mutlak negara berkenaan, apakah di kawasan bertindih ini menafikan terus hak membuat perjanjian dengan Petronas yang bertanggungjawab ke atas negeri yang memiliki tanah yang bertindih itu.

“Jadi persoalan dari sudut undang-undang itu perlu diperjelaskan, janganlah (pihak bertanggungjawab itu) hendak menafikan dengan semborono begitu saja,” katanya.

Mengulas penegasan Pengerusi Umno-BN Kelantan yang menyatakan Kerajaan Pusat tidak akan membayar royalty yang dibangkit oleh Kerajaan Negeri itu kerana telah Kerajaan Pusat telah membiayai Kelantan seperti yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia seperti dibelanjakan RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), Wan Nik berkata adakah negeri-negeri lain tidak mendapat kemudahan di bawah peruntukan RMK9 atas alasan negeri itu tidak memiliki sumber petroleum (gas).

“Bagaimana pula negeri lain seperti Kedah, Perak, Perlis atau negeri yang didominasi Umno-BN termasuk Pahang yang tidak ada pun sumber minyak tetapi peruntukan di bawah RMK9 berjumlah berbilion telah diberi, itu satu persoalan.

“Adakah hasil daripada negeri Kelantan ini dibawa terus kepada Kerajaan Pusat itu semata-mata daripada hasil minyak tersebut, jawapannya tidak. Ini kerana rakyat Kelantan juga membayar cukai seperti negeri lain juga.

“Oleh itu sangat tidak adil dakwaaan bahawa peruntukan yang telah diberi di bawah Rancangan Malaysia itu dianggap telah memadai.

“Bahkan itu suatu suatu jawapan yang cuba membodohkan rakyat Kelantan dengan isu sebenar yang berbangkit,” tegasnya.

Beliau berkata pihak Kerajaan Negeri, menerusi peruntukan undang-undang yang ada hendaklah melihat melihat ruang supaya Kerajaan Negeri boleh mendesak Petronas mengadakan perjanjian dengan penerokaan di kawasan JDA itu bagi mendapat hak royalti.

“Tindakan itu penting supaya Petronas mengadakan perjanjian, penerokaan di kawasan JDA kerana JDA itu tidak dinafikan bahawa bertindih itu adalah di dalam kawasan negeri Kelantan, bukan di kawasan “free zon”, bukan di kawasan bebas, di kawasan negeri kita, Kelantan.


“Sangat perlu kepada perjanjian dengan Petronas. Kerajaan Negeri perlu mencari pendekatan termsuk pendekatan undang-undang dengan Petronas untuk mendesak supaya diadakan satu perjanjian penerokaan di kawasan JDA yang membabitkan bumi yang berada di hadapan pantai Kelantan,” katanya.


Dalam konteks royalti minyak itu, beliau menyifatkan tindakan pihak berkenaan sebagai tidak amanah dan tidak berasaskan nilai tawadhuk seorang pemimpin negara yang mendakwa rakyat didahulukan.

Selain dari itu, beliau mengulas keyakinan Mursyidul Am PAS Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendesak pimpinan Umno supaya mengadakan mujadalah (debat).

“Tok Guru mempunyai satu hujah yang kukuh bahawa dasar Umno yang sebenar itu adalah nasionalisme dan tidak pun mengambil kira dasar Islam. Tok Guru amat ayakin.

“Namun oleh kerana ada orang tua Umno dua orang (Mahathir-Pak Lah) sudah pun memikirkan bahawa Umno sebenar-benarnya tidak berasaskan kepada dasar Islam.

“Oleh itu jika diteruskan juga debat, akan mendedahkan pekung Umno sendiri yang menggunakan Islam sebagai kaedah untuk mencapai kuasa, bukannya meletakkan Islam sebagai dasar untuk diperjuangkan bagi meletakkan Islam sebagai kedudukan yang berkuasa.

“Jadi persimpangan itulah yang menyebabkan Umno sendiri tidak boleh untuk mengikut apa kehendak atau cabaran Tuk Guru itu,” katanya.

Sementara Bendahari Dewan Pemuda PAS Negeri Wan Azimin Wan Adnan ketika dihubungi media berkata royalti minyak itu adalah hak rakyat Kelantan yang seharusnya semua pihak terutamanya Barisan Nasional patut memperjuangkan hak rakyat selaras dengan slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” itu.

“Itulah sepatutnya diperjuangkan terutamanya Kerajaan BN adalah dalam tempoh Kerajaan Najib yang baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, maka inilah gagasan yang sepatutnya ditonjolkan olehnya. Dibuktikan supaya rakyat Kelantan tidak lagi dipinggirkan oleh BN,” katanya.

Beliau berkata, perkara asas yang patut dilihat ialah perbezaan di antara Pantai Barat dan Pantai Timur.

“Pantai Timur seharusnya dilihat sebagai satu tempat pembangunan yang baru maka tidak dapat tidak industri petroleium seharusnya didaratkan di kawasan Pantai Timur. Selain di Kerteh, maka tapak baru kita ialah dibangunkan di Kelantan.

“Ini amat wajar kerana Kerajaan Negeri ini sudah pun menyediakan tapak pendaratan petroleium (gas) di Pantai Senok lama sebelum ini.

“Seharusnya inilah perkara asas, kalau sekiranya (Kerajaan Pusat yang diterajui BN) ingin membantu rakyat, maka kawasan pertumbuhan industri baru Pantai Senok ini perlu dibangunkan.

“Kita tidak perlu banyak berpolitik dalam hal-hal sedemikian, tertapi seharusnya ia dilihat sebagai satu keadaan di mana “rakyat didahulukan” dan ianya perlu dibuktikan dengan aspek praktikal.

“Sekiranya tidak ditunaikan bererti Kerajaan Pusat berhutang dengan rakyat Kelantan. Royalti itu hak rakyat Kelantan dan tidak perlu bercakap tentang tidak patut dibayar dan sebagainya oleh kerana itu satu eskapisme semata-mata.

“Jika tidak maka slogan “Satu Malaysia” adalah retorik semata-mata, yang tidak berpijak kepada reality.


"Jika pembayaran royalti dan tunggakannya tidak ditunaikan, rakyat Kelantan menganggap mereka yang menerajui Kerajaan diterajui Umno-BN yang ada hari ini menjuarai aspek kezaliman dan rasuah.

“Title Umno-BN tidak akan bersih pada pandangan rakyat terutama oleh rakyat negeri ini umumnya, bahkan dengan itu Umno-BN mudah ditolak rakyat.


“Saya yakin rakyat akan memberi satu keputusan bahawa mereka menghantar satu referendum yang kedua selepas daripada keputusan Pilihan Raya, bahkan mereka menolak kepimpinan yang tidak meletakkan rakyat sebagai keutamaan,” katanya yang juga Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri.

Kartonis terkenal Haji Rosidi Ismail (Pak Rossem) ketika dihubungi media baru-baru ini berkata, perjanjian di antara Petronas dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri di Malaysia, berdasarkan perjanjian bahawa jika sekiranya didapati ada minyak di negeri itu sama ada Perlis, Kedah, Sabah atau Sarawak, sekiranya terdapat minyak di negeri itu, mereka mesti menyerahkan pengurusannya kepada Petronas dan Petronas akan memberi lima peratus kepada negeri berkenaan.

“Justeru Kelantan berhak untuk mendapatkan lima peratus itu kerana kewujudan minyak itu dalam perairan Kelantan.

“Kini di perairan Kelantan itu sudah ada minyak, sudah ada saluran minyak dan paip minyak, namun kebanyakan orang tidak tahu tentang pelantar minyak, dan perkara itu didiamkan saja oleh pihak.

“Jadi sebenarnya Kerajaan Pusat sudah melakukan satu tindakan yang membelakangi janji-janji tersebut khususnya perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Petronas itu dalam perkara pembahagian peratus itu,” katanya yang juga Penolong Pengarah Penerbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Beliau turut mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Husam Musa ketika berceramah di Manek Urai baru-baru ini bahawa apa yang pihak Kerajaan Negeri memperjuangkan kini insya Allah akan berhasil.

"Ini kerana Kerajaan Pusat tidak ada alasan lagi untuk menidakkan apa yang kita mahu.

“Jadi insya Allah apa yang kita mintak berhubung dengan royalti dan bayaran terkebelakang itu, insya Allah akan berjaya kerana perkara ini perkara jelas dan berasas.

"Kerajaan Pusat berhutang dengan rakyat Kelantan dalam kes ini, maka hutang itu wajib dibayar dan pemimpin itu akan dituntut, kalau tidak di dunia maka di akhirat.

“Pemimpin Kerajaan Pusat itu bertanggungjawab khususnya pemimpin utamanya,” katanya.

HarakahDaily.Net/-