21 November 2009

Kelantan harap Ku Li setuju ketuai Kaukus Khas Parlimen

KOTA BHARU, 19 Nov: Kerajaan Kelantan mengharapkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk mengetuai Kaukus Khas Parlimen berkaitan royalti petroleum kerana beliau dapat membuktikan pentafsiran yang tepat berhubung perkara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan Datuk Husam Musa ketika ditemui di pejabatnya hari ini berkata, sewajarnya bukan sahaja Tengku Razaliegh, malah ahli Parlimen lain juga wajar bersama menyokong tuntutan kerajaan Kelantan ini.

“Saya amat berharap selain Tengku Razaliegh dapat menerima tanggungjawab sebagai ketua Kaukus ini, ahli Parlimen lain tanpa mengira dari kerajaan maupun Pakatan Rakyat agar dapat melibatkan diri sama demi mendapat pentafsiran yang jelas berkaitan dengan hal tuntutan royalti ini.

Penglibatan semua pihak dengan mengenepikan politik kepartian dalam hal ini katanya sangat penting dan perlu merasai bahawa ianya tanggungjawab pemimpin kepada rakyat negeri masing- masing.

"Kerana jika satu hari nanti Sabah maupun Sarawak bertukar kerajaan, adakah mereka akan menukar royalti sekarang ini kepada wang ehsan," katanya lagi.

Sekiranya ini berlaku, seluruh rakyat di negeri Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak yang menjadi pengeluar minyak di negara ini katanya akan menjadi mangsa dan Kaukus ini pula tepat pada masanya.

Husam juga berkata Tengku Razaleigh adalah orang yang mempunyai autoriti untuk bercakap hal tuntutan royalti kerana beliau terlibat secara langsung semasa mengetuai Petronas dulu.

Menyentuh cadangan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’Nik Abdul Aziz Nik Mat agar dikaji semula perjanjian dengan petronas tersebut, Husam berkata Tuan Guru berkehendakan agar keadilan sejagat diamalkan oleh kerajaan pusat.

Ianya termasuk memberi pentafsiran jelas berhubung undang-undang perjanjian.

“Kalau kita lihat dari segi hasil negeri seperti balak mahupun emas, kita yang bagi royalti kepada persekutuan, bagaimanapun hal minyak kita pula yang dapat sedikit daripada pusat, sedangkan minyak tersebut adalah anugerah Allah kepada sesebuah negeri itu, ” kata beliau lagi.

Semalam Tengku Razaliegh telah ditemui oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan dicadangkan mengetuai Kaukus Khas Parlimen berhubung isu royalti petroleum.

Beliau bagaimanapun meminta tempoh masa untuk meneliti cadangan tersebut sebelum tampil dengan keputusan.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: