21 November 2009

Heshi Serahkan Batu Jed

Menurut ceritanya, Bian He, dari negeri Chu, telah mendapat sebiji batu jed yang tidak dicanai, dari Gunung Chu. Dia terus menyerahkan jed itu kepada Raja Negeri Chu, iaitu Raja Liwang. Raja Liwang segera memanggil seorang tukang jed yang amat mahi, dan memintanya membuat penilaian terhadap mutu jed itu. Setelah meneliti batu jed itu beberapa lama, si tukang itu berkata kepada Raja Liwang, "Hamba pasti ia hanya batu biasa sahaja" Sebaik sahaja mendengar perkataannya itu, Raja Liwang menjadi berang. Baginda menganggap Bian He telah menipunya. Maka, baginda telah menjatuhkan hukuman potong kaki kiri ke atasnya.

Setelah Raja Liwang mangkat, takhta baginda telah diwarisi oleh Raja Wuwang. Bian He membawa lagi batu jed itu ke istana untuk menyerahkannya kepada Raja Wuwang. Raja Wuwang juga menyuruh seorang tukang jed membuat penilaian terhadap mutu jed itu. Si tukang jed itu tetap menganggap jed itu hanya batu biasa sahaja. Oleh itu, Bian He sekali lagi dianggap sebagai penipu. Kali ini, dia telah dijatuhi hukuman potong kaki kanan.

Setelah Raja Wuwang mangkat, takhta baginda telah diwarisi oleh Raja Wenwang. Bian He yang memegang batu jed itu, menangis di kaki Gunung Chu selama 3 hari 3 malam. Setelah mengetahui hal itu, Raja Wenwang menghantar seorang askar untuk bertanya kepada Bian He mengapa dia menangis dengan begitu sedih. Bian He menjawab, "Hamba begitu sedih bukan kerana kaki hamba dipotong. Batu jed yang bernilai tinggi itu dianggap sebagai batu biasa sahaja, dan orang yang taat setia dianggap sebagai penipu. Itulah sebabnya hamba begitu kecewa."

Setelah mendengar jawapan Ban He itu, Raja Wenwang segera memerintahkan beberapa orang tukang jed meneliti batu jed itu dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, mereka mendapati bahawa batu jed itu benar-benar sebuah harta karun yang jarang didapati. Maka, Raja Wenwang menamakan jed itu "Jed Heshi".

Dalam cerita ini, pengarangnya, iaitu Han Fei, telah menggunakan pengalaman Bian He itu untuk meluahkan rasa kecewanya ekoran gagasan politiknya ditolak oleh raja. Cerita ini juga dihasilkan untuk menasihati golongan pemerintah supaya mempunyai visi untuk membezakan siapa yang benar-benar setia kepada negara dengan siapa yang membelot.

CRI/-

Tiada ulasan: