21 November 2009

Persepsi PAS kuda tunggangan selepas Umno gagal

KUALA LUMPUR, 19 Nov: Anggota Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin yakin, persepsi bahawa PAS ditunggangi DAP disebarkan oleh Umno adalah berdasarkan kegagalan para wakil rakyat mereka berdepan dengan dua pemimpin DAP Perak sebelum ini.

Menurut beliau, Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Koo Meng bukan calang-calang orang untuk dihadapi oleh para Adun Umno ketika kedua-duanya adalah Adun pembangkang dalam Dun Perak sebelum ini.

"Berdasarkan pengalaman Adun mereka menghadapi kedua-duanya, Umno beranggapan Adun PAS dalam kerajaan negeri Perak sebelum ini akan 'dijual' oleh kedua-duanya," kata Nizar.

Padahal, katanya, kerjasama yang dibentuk antara PAS, DAP dan PKR dalam kerajaan negeri Perak sebelum ini adalah atas dasar yang hak dan yang benar.

(Gambar: Nizar bersama kakitangan Harakah hari ini)

"Mereka ingat, apabila saya jadi MB, kedua-dua mereka (Ngeh dan Nga) tunggangi sayalah," kata Nizar kepada kakitangan Harakah dan Harakahdaily dalam satu majlis tazkirah dan makan tengahari tadi.

Menurutnya, Datuk Ngeh adalah pengerusi jawatankuasa disiplin Majlis Peguam manakala Nga Koo Meng pula adalah Ketua Pemuda DAP ketika itu.

"Mereka ini bukan calang-calang orang. Ketika mereka (Umno) ada 40 orang dalam Dun pun tak boleh lawan dua orang ini, jadi mereka ingat PAS dan Nizar ini menjadi alat dan kuda tungganngan DAPlah. Saya ni boneka merekalah. Ini persepsi yang mereka sebarkan yang tidak betul sebenarnya," kata Nizar.

Menurut Nizar, pendekatan yang beliau ambil ketika diamanahkan sebagai Menteri Besar Perak adalah bertindak berdasarkan kebenaran tanpa langsung ada agenda perkauman.

"Sekarang ini alhamdulillah, DAP sudah boleh menerima kita dengan baik. Sudah tertolak bahawa PAS ini ektremis dan sebagainya. Ini yang ditakuti Umno," kata beliau.

Baru-baru ini, Nizar secara rasmi telah dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat Perak.

Menurut Nizar, Datuk Ngeh Koo Ham sendiri mengaku, dia adalah orang yang paling tidak percaya kepada PAS sebelum ini.

Tetapi sekarang, dialah yang paling lantang mencadangkan agar PAS memimpin Pakatan di Perak.

"Di Perak sekarang, di peringkat negeri kami akan bermesyuarat dua kali sebulan. Semua majlis di Perak tidak ada lagi majlis PAS, DAP atau PKR...yang ada adalah majlis anjuran Pakatan Rakyat Perak," kata Nizar.

Sehubungan dengan itu, beliau yakin, persepsi PAS menjadi kuda tunggangan DAP akan selesai tidak lama lagi selepas penerangan dibuat kepada rakyat.

"Saya yakin, jika ada pilihan raya kecil, kita akan menang sekitar 35 kerusi untuk memerintah kembali Perak," kata beliau kepada wartawan selepas majlis itu.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum YB,

confirm PAS dan pakatan rakyat di Perak telah sebati bersatu....

harap wakil2 dari Pakatan Rakyat masih lagi dan tetap berpegang kepada prinsip dan dasar apa mereka dipilih...berparti itu memang politik..

tapi bila dah dipilih lakukanlah tanggungjawab dan berkhidmatlah pd rakyat tanpa mengira parti..

dari situ rakyat akan melihat perbezaan Pakatan Rakyat..

biar umno-bn nak kata apa pun.....mereka tidak boleh befikir lagi....asyik gunakan nama kuda...blogger yg kaki ampu umno-bn memang "desperate"....

kuda + desperate = desperado