21 November 2009

Siswa UM ditahan polis kes 'puaka'

kemaskini 6.40pm Seorang pelajar Universiti Malaya, yang dikehendaki polis sejak enam bulan lalu berhubung siasatan kes menconteng perkataan "bini puaka" di sebuah dewan, berjaya ditangkap hari ini.

Muhammad Saufi Jelani ditahan oleh lima anggota polis di bangunan peperiksaan universiti itu kira-kira jam 10.30 pagi, selepas menduduki kertas terakhir bagi pengajian semester ini.

Beliau, pelajar terakhir ditangkap daripada sekumpulan lima orang yang disiasat berhubung kes tersebut, kemudian dibawa ke balai polis Jalan Pantai Baru, kira-kira 200 meter di depan kampus tersebut.

Exco perhubungan luar Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Mohd Syafie Hashim memberitahu Malaysiakini di kampus tersebut, beliau cuba menelefon Muhammad Saufi untuk mengesahkan tangkapan tersebut tetapi seorang anggota polis memaklumkan bahawa pelajar Akademi Pengajian Islam (API) itu sedang disiasat.

Sementara itu exco penerbitan PMIUM Farid Jalpah ketika dihubungi petang ini berkata Muhammad Saufi dipindahkan ke balai polis Bukit Jalil dari ibu pejabat polis daerah (IPD) Brickfields.

Farid tiba ke IPD bersama dua pemimpin Majlis Perwakilan Mahasiswa UM Mohd Hafiz Ilyas dan Mohd Aizat Mohd Salleh kira-kira 2.30 petang tetapi gagal menemui Muhammad Saufi selepas dipindahkan dari balai Jalan Pantai Baru.

Kakak dan abang ipar Muhammad Saufi, yang tidak dinamakan, turut berada di IPD dan memaklumkan bahawa suspek telah dibawa ke balai polis Bukit Jalil.

Difahamkan Muhammad Saufi dihantar balai polis tersebut kerana lokap di IPD tersebut sudah penuh.

Satu sumber polis memberitahu Malaysiakini, pelajar API itu akan bermalam di lokap sebelum dibawa ke depan majistret untuk tahanan reman esok.

Polis menjejaki suspek berhubung siasatan kes contengan perkataan-perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan kuliah utama API.

Selain kes menceroboh dewan tersebut awal pagi 24 Jun lepas, siasatan polis juga berhubung simbahan petrol di permaidani merah yang bakal dilalui isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk satu program di dewan tersebut.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum dewan tersebut digunakan oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk program derma kanak-kanak Palestin, jam 9 pagi Rabu itu.

Pada 30 Jun lalu, dua pelajar API dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli juga dihadapkan bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.

Mahkamah menetapkan 7 hingga 11 Disember depan untuk perbicaraan kes mereka berdua pelajar.

Pada 18 Julai lalu, presiden PMIUM Shazni Munir Mohd Ithnin - pelajar tahun akhir API - ditahan sebelum polis memberkas Muhammad Aizat Roslan, pelajar jurusan syariah, di kafeteria API pada 12 Ogos.

Dipercayai tiga pelajar ini, termasuk Muhammad Saufi, akan dibicarakan bersama dua tertuduh awal, Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen.

MalaysiaKini/-

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dalam Malaysiakini tajuk asal ialah kes "bini puaka"...pas tu dah tukar jadi kes "puaka"...bini dah kena buang..puaka dah guna "tangan ghaib" buang bini..

hemmm alah...

Tanpa Nama berkata...

Sesungguhnya kebenaran akan terserlah jua akhirnya, tunggulah tika dan saatnya

david ahmad muniandy berkata...

ini adalah termasuk salah satu "36 taktik peperangan: Orang bijak dan orang cerdik membeli orang pandai"

orang yang buat repot polis seolah-olah nak dapat ganjaran sebenarnya satu sen pun tak dapat hanya dapat buat kerja kosong sahaja, sebab orang bijak seperti Muhammad Saufi Jelani adalah orang yang paling berani, keberanian dia tulis bini puaka di dinding dan orang pandai nampak buat repot polis menunjukkan dia pandai tetapi nama tiada dalam akhbar dan orang cerdik dapat ganjaran RM7 juta dari kerabat raja arab saudi sudah membuat kerja amal menderma separuh dari RM7 juta kepada amal jariahnya, jadi orang pandai satu ganjaran pun tak dapat, dapat dekat orang cerdik sebanyak RM7 juta, betapa malunya.

Dalam taktik ini orang bijak seperti Muhammad Saufi Jelani adalah heronya memperkenakan orang pandai, dalam bab ini tiada kena mengena dengan isteri pm itu. Kalau
ibubapa Muhammad Saufi Jelani rakyat yang sederhana yang tidak terkenal orang ramai seperti vvip melantik seorang peguam buat satu perjumpaan terhadap isteri pm dan ketua polis malaysia buat permohonan rayuan mohon maaf secara terbuka untuk kebebasan mungkin peluangnya ada, dia hanya rakyat biasa sahaja mah bukan pun orang politik atau orang kaya tak perlu malulah mohon maaf secara terbuka.

jadi rakyat malaysia menilailah sendiri sebab Muhammad Saufi Jelani
adalah pelajarnya masih belajar demi masa hadapan dia.

Tanpa Nama berkata...

Memang PUAKA pun