14 Januari 2010

Taat setia kepada Pemangku Raja - Nik Aziz

27 Muharram 1431
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 13 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru seluruh rakyat termasuk pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat negeri ini menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra demi untuk kesejahteraan, keamanan dan kebajikan semua pihak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin Pemangku Raja telah bertindak dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan iaitu menjalankan segala kuasa dan tanggungjawab Sultan Kelantan mengikut perlembagaan.

Tegasnya lagi, selaras dengan tataurus dan pentadbiran kerajaan negeri yang dijalankan berlandaskan undang-undang, terutamanya Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, maka kerajaan negeri sentiasa mematuhi serta menjalankan segala perkara yang dititah termasuk segala arahan baginda selaras dengan peruntukan Perkara 4 Fasal 1 Perlembagaan.

“Antara lain perlembagaan menyebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, maknanya Sultan bagi negeri dan termasuk Waris Gantinya dan, jika kebetulan dengan maknanya termasuk Al-Marhum Raja-Raja yang memerintah yang dahulu daripadanya dan jika ada Pangkuan Raja, termasuk Pemangku Raja atau jika ada Majlis Pangkuan Raja, termasuk majlis itu,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri adalah sebuah kerajaan yang sah dan dipilih oleh rakyat mengikut saluran undang-undang, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan mengikut Perkara 10 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, dengan jelas memperuntukkan undang-undang berkenaan.

“Kuasa memerintah hendaklah diserah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia tetapi tanggungan-tanggungannya bolehlah di bawah undang-undang, dikurniakan kepada mana-mana orang atau mana-mana kuasa,” jelasnya.

Beliau mewakili kerajaan negeri turut menyeru rakyat seluruhnya berdoa kepada Allah semoga Sultan Kelantan bertambah sihat dari kegeringan dan menyertai solat sunat hajat yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

Katanya, majlis bermula dengan solat Maghrib akan dihadiri Pemangku Raja.

“Solat sunat hajat ini diadakan bertujuan untuk memohon pada Allah semoga Kelantan yang sentiasa aman bertambah makmur tanpa sebarang kacau-bilau,” ujarnya.Harakahdaily/-

Jawatan: Nik Aziz serah kepada Nik Abduh

27 Muharram 1431H
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 13 Jan: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyerahkan kepada anaknya, Nik Mohamad Abduh, untuk mengekalkan jawatan dalam agensi kerajaan atau sebaliknya, memandangkan beliau sudah aqil baligh.

Menurutnya, keputusan itu tidak perlu dibincangkan dengannya memandangkan Nik Abduh sudah dewasa.

Katanya, lagipun anaknya itu sebenarnya meminati perniagaan, jadi tindakan itu (melepaskan jawatan) begitu wajar memandangkan minatnya dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung Nik Abduh yang akan meletakkan dua jawatan yang dilantik melalui lantikan politik termasuk sebagai Pengerusi Binaraya Sdn Bhd yang dijangka tampat kontraknya tahun hadapan.

Katanya lagi, beliau tidak berhasrat untuk menghalang tindakan anaknya itu memandangkan setiap manusia mempunyai minat yang berbeza.

“Anak saya ni macam-macam ada (pegang jawatan), pegawai kerajaan ada, guru, ada yang minat berniaga, macam saya ni minat bercucuk tanam,” ujarnya.

Isnin lepas, walaupun masih dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Nik Abduh tidak hadir untuk majlis angkat sumpah dan menerima jawatan.

Harakahdaily.Net/-

Wang Ehsan diguna untuk kempen Umno Juara Rakyat

27 Muharram 1431H
http://idrisahmad.wordpress.com

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu Royalti Minyak untuk negeri berkenaan.

Kenyataan Mustapa bahawa tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984 tidak berasaskan kenyataan merupakan satu penafian yang nyata untuk kali kedua.

Sebelum ini beliau juga menafikan hak Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan Kawasan bertindih atau di kenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia – Thailand.

Penafian beliau ini tidak selari dengan fakta Jabatan Perangkaan Negara yang melaporkan pada 2004 bahawa Kelantan bersama negeri Terengganu dan Sabah telah mengeluarkan minyak bernilai lebih dari RM 46 Billion (Nilai Kiraan Kasar) iatu 76 peratus dari nilai keseluruhan minyak dalam negara.

Fakta itu jelas menyatakan bahawa minyak dari Kelantan telah diambil oleh Petronas, tetapi kenapa masih dinafikan oleh Mustapa.

Pemberian wang ehsan, membuktikan bahawa kerajaan BN dan Umno di Kelantan berdendam dengan rakyat dan Sultan kerana sudah 20 tahun menolak BN.

Ketika PAS Menang di Terengganu pada tahun 1999, serta merta Kerajaan BN menarik balik wang royalti dan mengantikannya dengan wang ehsan sebagai satu hukuman kepada rakyat Terengganu yang memilih PAS.

Baru-baru ini selepas BN berjaya menguasai Terengganu untuk penggal kedua, BN mulai cuba merubah taraf perjanjian itu kepada wang royalti semula.

Paling tidak disukai rakyat, wang ehsan yang selama ini diberikan telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan, bukan kepada Kerajaan Negeri.

Hal sama akan berlaku di Kelantan jika wang ehsan diberikan. Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan yang merupakan ‘Kerajaan Hantu BN’ di Kelantan akan bermaharajalela mengunakannya untuk meraih sokongan rakyat sebagai persiapan pilihanraya akan datang.

Kenyataan Mustapa bahawa Kerajaan BN menawarkan wang ehsan hanya kerana ingin menolong rakyat Kelantan yang tidak layak menerima royalti lantaran tiada minyak dikeluarkan merupakan satu pembohongan yang besar.

Jika benar BN ingin tolong rakyat kenapa dinegeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang jelas tiada minyak tidak diberikan wang ehsan?

Kenyataan Mustapa yang mengakui bahawa wang ehsan itu akan dipergunakan sepenuhnya untuk kempen ‘Umno Juara Rakyat’ menjelaskan lagi bahawa inilah agenda sebenar mereka hingga sanggup mensabotaj Kerajaan PAS yang dipilih rakyat Kelantan.

PAS mendesak supaya rakyat Kelantan terus menolak Umno, dan bangkit untuk menuntut hak mereka dalam bentuk royalti, bukannya wang ehsan.

Mustapa dan Umno merupakan pengkhianat rakyat bukan juara rakyat! kembalikan hak rakyat!

Harakadaily.net/-

HIKMAT KERANA BERBAKTI KEPADA IBUBAPA

27 Muharram 1431H
Email : Sal Am

وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ
تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيماً
• Firman Allah Subhanallah Ta'la dalam Surah Al-Isra' ayat 23 bermaksud : Dan tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanye berumur lanjut dalam pemeliharaan mu,maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada kedua-dua nya perkataan 'ah; dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka dengan perkataan yang mulia....

Selain seorang nabi, Sulaiman a.s. juga seorang raja terkenal. Atas izin Allah ia berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin ifrit-Nya. Dia dikenal sebagai manusia boleh berdialog dengan segala binatang. Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu.
Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. Di sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan, "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya dia begitu melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.
"Sipakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan.
"Aku adalah manusia", jawab pemuda itu perlahan.
"Bagaimana engkau boleh memperolehi karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Kemudian pemuda itu menceritakan riwayatnya sampai kemudian memperolehi karomah dari Allah boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan menggendongnya ke mana jua dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya. Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan supaya anaknya diberi rezeki dan perasaan puas hati. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.
"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di tepi pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah kubah diperbuat daripada permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya." Tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan di antara bumi dan langit itu menjadi kagum terhadap pemuda itu.
"Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut.
"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah."
"Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?"
"Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah, dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

"Bagaimana engkau mengetahui perbedaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman a.s yang merasa semakin hairan.
"Bila telah terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Bila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam." Tuturnya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali, dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

DISEDIAKAN OLEH:
USTAZ IBRAHIM BIN ZAKARIA 019-2627636
PENGETUA
MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN DAR AL-ABRAR
E mail:Ibrahim_mtd07@yahoo.com
Sebarang sumbangan Zakat/derma bolehlah dimasukan ke
AKAUN BANK MUAMALAT 08030002138714 @ CIMB BANK 08150000173109


(INGATAN) Potong bajet 2010, sekolah di Malaysia gawat

27 Muharram 1431H
Email : Rozmal bin Malakan

Dibawah ini tiga artikel dari Utusan, Berita dan Sinar Harian yang menggambarkan suasana dasar pelajaran negara yang makin gawat.

Artikel 1 – Keluhan ibu bapa akibat bajet Kementerian Pelajaran yang dipotong tahun 2010 mengganggu banyak perjalanan sekolah. (Semalam sebuah sekolah elit di Seremban diarahkan hanya boleh buka kipas di bilik darjah selepas jam 9 pagi).

Artikel 2 – Siswazah lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris sukar mendapat pekerjaan sebagai guru. (Perkara ini boleh diatasi sekiranya lebih banyak sekolah dibina dan sekolah yang sedang dibina siap mengikut jadual)

Artikel 3 – Pelajar sekolah yang yang tinggal di asrama perlu balik rumah setiap minggu untuk mengelakkan bayaran tambahan.

Apakan daya, isu lain lebih menjadi tajuk utama akhbar-akhbar di Malaysia.

Lagi satu sikap kita. Tak apa , anak orang yang susah , bukan anak kita.

************ *********
Artikel 1
Bantuan sekolah dipotong?
Utusan Malaysia 11 Jan 2010

DI waktu perhimpunan sekolah di hari yang pertama, saya amat terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Guru Besar sekolah anak saya, iaitu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah membuat sedikit pemotongan terhadap peruntukan tahunan ke sekolah-sekolah berbanding dengan bantuan yang diberikan pada tahun lepas.

Dalam pengumuman itu juga, pihak sekolah telah memaklumkan bahawa, beberapa aktiviti-aktiviti sampingan terpaksa dibatalkan atau dikurangkan demi menampung sejumlah kecil peruntukan yang diterima oleh pihak sekolah.

Tuisyen-tuisyen tambahan terpaksa dikurangkan atau dibatalkan kerana elaun khas guru untuk mengadakan tuisyen tambahan juga telah ditarik balik. Ini akan membuatkan ibu bapa terpaksa mendapatkan pembelajaran tambahan melalui pihak swasta.

Oleh itu, bagi ibu bapa yang berkemampuan ia tidak menjadi masalah, bagaimana pula dengan ibu bapa yang pendapatannya hanya cukup untuk makan dan keperluan harian sahaja? Maka, tidak dapatlah pelajar-pelajar yang ibu bapanya kurang kemampuan mendapatkan ilmu tambahan.

Sudahlah baru-baru ini kerajaan telah membuat pengumuman mengenai kenaikan harga gula, sekarang pula telah mengurangkan bantuan tahunan ke seluruh sekolah-sekolah. Oleh kerana kurangnya bantuan tersebut, pihak sekolah juga telah memaklumkan mengenai kenaikan yuran PIBG yang perlu dibayar oleh para ibu bapa.

Bagaimana pula dengan murid-murid di sekolah-sekolah yang berada di perkampungan dan juga di luar bandar yang rata-rata dari ibu bapa mereka berada miskin dan kurang berkemampuan, adakah sekolah ini juga senasib dengan sekolah di bandar-bandar yang telah dipotong bantuan tahunan? Bagaimana dengan sekolah tersebut ingin mengadakan persekolahan tambahan atau tuisyen-tuisyen tambahan, dengan mempunyai kekurangan dana?

Saya yakin, kutipan PIBG dari pihak ibu bapa pelajar di luar-luar bandar amat sedikit dan tidak mencukupi untuk membantu sekolah.

Ramai juga ibu yang merungut terhadap kenaikan yuran PIBG seperti yang diumumkan oleh Guru Besar tadi. Rata-ratanya mula menyalahkan pihak kerajaan kerana tidak prihatin dan tidak bertanggungjawab terhadap keperluan dan kehendak persekolahan. Ramai yang mula menuding jari kepada kelemahan pihak kerajaan dalam menguruskan kewangan sehingga terpaksa memotong bantuan persekolahan. Apakah, kerajaan telah kekurangan duit atau mahu menumpukan projek-projek yang besar?

Sepatutnya kerajaan harus menolak atau membatalkan untuk memberikan subsidi kepada gula tetapi berikan subsidi itu kepada seluruh pelajar-pelajar sekolah baik sekolah rendah mahupun menengah. Wujudkan persekolahan percuma dengan seluruh bantuan diberikan kepada pelajar-pelajar sekolah. Saya yakin, jumlah yang diperlukan tidak sampai pun jumlah yang sama kerajaan berikan untuk subsidi gula. Bukannya gula itu mendatangkan kebaikan, malah lebih banyak keburukan dan lebih bahayanya gula berbanding dengan kepentingan pelajaran. Tapi kenapa kerajaan lebih pentingkan gula dari pelajaran?

Saya amat yakin, hampir seluruh rakyat Malaysia akan setuju dengan pandangan saya untuk menghentikan subsidi gula jika subsidi tersebut dapat dialihkan kepada subsidi pelajaran atau pembelajaran percuma.

http://www.utusan. com.my/utusan/ info.asp? y=2010&dt= 0111&pub= Utusan_Malaysia& sec=Forum& pg=fo_01. htm


************ *******
Artikel 2
Graduan pendidikan UPSI kecewa kementerian utamakan guru sandaran, DPLI
Berita Harian 12 Jan 2010

SEBAGAI graduan pendidikan saya ingin berkongsi isu penempatan guru dan lambakan graduan pendidikan yang sering digembar-gemburkan.

Melihat realiti di sekolah, jumlah Guru Sandaran Siswazah Tidak Terlatih (GSTT) terlalu ramai. Ketika saya menjalani praktikum di Kuala Lumpur, ada sekolah mempunyai lebih 15 GSTT.

Mereka ialah graduan yang tiada iktisas dalam bidang pendidikan iaitu tiada kemahiran dan kaedah pengajaran (pedagogi) khusus.

Mengapa mereka diberi tempat sedangkan graduan yang ada iktisas khas dalam bidang perguruan masih menunggu penempatan. Apa yang musykil, GSTT hanya diberi kontrak setahun, namun baru-baru ini (Januari 2010) ia diteruskan sehingga Disember.

Unjuran pengambilan graduan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) terlalu ramai. Saya ialah graduan sulung subjek Pendidikan Moral dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program Pendidikan Moral di UPSI mempunyai lebih 600 mahasiswa (tahun pertama sehingga keempat).

Tahun depan hampir 100 mahasiswa tamat pengajian. Persoalannya, pada pengambilan Julai lalu, 500 graduan DPLI program Pendidikan Moral diambil Kementerian Pelajaran.

Ia mewujudkan saingan bagi junior saya, sedangkan jumlah penempatan diunjurkan sedikit. Kementerian memaklumkan hanya subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris diberi keutamaan. Justeru, pengambilan DPLI harus diunjur pada kadar munasabah.

Bukan takutkan persaingan, namun jika kita memiliki graduan khusus yang memiliki pedagogi empat tahun dalam jurusan pendidikan, mengapa 500 DPLI diberi keutamaan.

Semua DPLI adalah tajaan biasiswa kementerian, sudah tentu penempatan mereka diutamakan. Inilah persaingan sengit menjadi ‘laba’ kepada jumlah ‘lambakan’.

Daripada dua isu yang saya berikan, kementerian harus mengkaji kaedah terbaik mengenai unjuran dan penempatan. Saya menyokongnya namun agak meragukan apabila jawapan menteri hanya: “semua graduan harus bersaing untuk dapat tempat dalam bidang perguruan.”

Ini bermakna graduan institusi pengajian tinggi yang memiliki ijazah khusus dalam jurusan pendidikan harus bersaing dengan anak susuan yang terlalu ramai seperti DPLI dan GSTT yang diberi keutamaan.

Bukan niat mengagungkan graduan pendidikan atau menidakkan potensi DPLI atau GSTT, namun saya terpanggil untuk meluahkan rasa tidak puasa hati graduan pendidikan yang memiliki ilmu pedagogi selama empat tahun.

Sudahlah gigih belajar, kini terpaksa pula bersaing dengan mereka yang hanya memiliki iktisas kurang setahun (DPLI) atau guru kontrak di sekolah (GSTT). Timbang taranya mudah, kurangkan DPLI dan GSTT bagi memberi laluan kepada graduan pendidikan.

HAIRUL FAIEZI
LOKMAN,
Graduan Pendidikan Moral, UPSI 2005-2009.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Surat/20100112011353/Article/index_html

************ ********* ********
Artikel 3
Runding elak keliru yuran makanan
Sinar Harian 12 Jan 2010

PERTANG - Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak ke asrama harian, sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah teknik dan vokasional, sekolah sukan, dan sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negara mempamerkan reaksi berbeza berhubung bayaran yuran makan asrama.

Penjaga yang ditemui, Roslilawati Baharom, 36, dari Taman Desaru, Seremban berkata, dia kurang faham mengenai isu tersebut dan memohon pihak sekolah dapat berunding dengan ibu bapa secepat mungkin bagi memastikan masalah itu tidak semakin teruk.

Menurutnya, bayaran yang dikenakan agak tinggi berbanding sebelumnya tetapi ia tidak menjejaskan pembelajaran anaknya kerana perkara yang paling penting ialah anak-anaknya berpeluang mendisiplinkan diri ketika melalui kehidupan di asrama.

“Bagaimanapun, saya berharap supaya masalah peningkatan bayaran makan asrama ini akan menjadi pemangkin kepada anak-anak untuk belajar lebih rajin kerana bukan mudah ibu bapa dapat mengumpul duit memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna,” katanya.

Dia berkata demikian ke:tika ditemui pada Majlis Penutup Minggu Silaturahim Asrama 2010 di Dewan Seri Purnama Sekolah Kebangsaan Petaseh (Berasrama).

Kamariah Jaffar, 40, dari Taman Sikamat Utama, Seremban, pula berkata, jika dilihat secara positif, bayaran yuran makan asrama yang dikenakan relevan kerana jika dihitung bayaran anak-anak yang tinggal di luar asrama lebih besar berbanding RM3 sehari yang dikenakan.

"Paling penting sejauh mana anak-anak mampu berdikari dalam menguruskan kehidupannya sendiri di asrama bersama-sama rakan lain untuk membentuk sahsiah diri unggul sebagai pelapis modal insan kepimpinan negara," katanya.

Sementara itu, wakil Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu, Anuar Esa berkata, beliau berharap ibu bapa atau penjaga dapat berunding segera dengan pihak sekolah berkaitan isu bayaran yuran makan asrama anak-anak dan tidak perlu membuat aduan di Pejabat Pelajaran Daerah kerana isu itu sudah diumumkan terlebih dahulu.

Beliau yakin ibu bapa boleh bertanggungjawab untuk menjemput anak masing-masing setiap minggu dan sekiranya mereka berkeinginan menempatkan anak-anak di sekolah asrama melebihi hari yang ditetapkan, bayaran bakal dikenakan kerana pihak sekolah tidak dapat menampung bayaran tersebut.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6350417.asp

APA PERLUNYA ISA?

27 Muharram 1431H
OLEH: JJ (http://www.joharapat.blogspot.com)


Terdapat gesaan daripada banyak pihak yang meminta Menteri Dalam Negeri mengenakan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang terlibat serangan terhadap gereja, Soalhya kenapa perlu ISA terhadap mereka yang terlibat dalam kes serangan dan membakar gereja?,

Apakah perlu ISA digunakan bagi membenteras anasir jahat ini? Adakah kita tidak percayakan pihak polis untuk membuat siasatan rapi dan membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Paling penting ialah siasatan rapi dari pihak polis bagi mencari bukti kukuh untuk mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Kerajaan perlu menyiasat serangan ke atas gereja bagi membolehkan pihak terbabit diidakwa di mahkamah, bukannya menahan mereka di bawah ISA.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sekiranya kerajaan berkeras juga untuk mengenakan ISA ke atas pihak yang terlibat dengan serangan ke atas gereja, ianya memperlihatkkan kegagakan proses siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa terutama dalam mengemukakan bukti.

"Kerajaan tidak boleh mengambil jalan mudah dan rakyat tidak harus diugut dengan ISA sedangkan penyiasatan boleh dillakukan, pendakwaan dan pihak yang tertuduh ada saluran membela diri," katanya saperti dilaporkan sebuah akhbar tempat 12 Januari lalu..

Rakyat mahu mereka yang melakukan jenayah itu di bawa ke mahkamah dan dalam masa yang sama mereka yang dituduh diberikan peluang membela diri. Dalam Islam pun jika berlaku kesalahan, mereka yang dituduh di mahkamah diberikan peluang membela diri.

Rakyat berharap kerajaan 1 Malaysia juga akan memberikan peluang membela diri kepada pihak yang tertuduh untuk membela diri, bukannya menahan mereka tanpa diadili dan dibicarakan. Kerajaan perlu rasional dalam menghadapi kes ini.

Dalam soal ini, apakah ISA boleh menyelesaikan masalah yang ada kini, iaitu serangan terhadap gereja. Adakah ini kaidah terbaik yang diambil oleh kerajaan? Bagi Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh, menegaskan ISA tidak akan membantu menyelesaikan masalah.

"Jika niat menggunakan ISA , sebenarnya kerajaan mengulangi kesilapan dengan menzalimi hak asasi manusia yang ditahan tanpa perbicaraan," katanya.

Kerajaan sewajarnya tidak terpengaruh dengan desakan pelbagai pihak untuk menggunakan ISA bagi menyelesaikan masalah ini. Biarkan pihak polis membuat siasatan. Jika benar mereka yang terlibat melakukan kesalahan, bawa ke mahkamah untuk diadili.

KIta pun bimbang bila ada sahaja kejadian yang tidak disenangi, Menteri Dalam Negeri cepat cepat melatah untuk menggunakan ISA. Sikit sikit ISA, sikit sikit ISA. Kita pun naik bimbang, Ada orang nantinya fobia dengan ISA. Rakyat pun boleh jadi fobia dengan ISA. Kita berharap senjata ISA ini tidak digunakan sewenang wenangnya.

Fikit fikirkanlah adakah ISA jalan penyelesaian terhadap kes ini? . Atau kita ada pilihan lain untuk menghentikan perbuatan pihak yang tidak bertamadun di negara ini.

PESURHJAYA PAS PERAK MELAWAT MANGSA KEBAKARAN DI SUNGAI SIPUT

27 Muharram 1431H
Email : mohd hafez sabri

SUNGAI SIPUT, 12 Januari, Pesuruhjaya PAS Perak ditemani Ustaz Zulkifli Yang Diperua bersama rombongan jawatankuasa PAS kawasan Sungai Siput telah turun menziarahi mangsa kebakaran bangunan rumah kedai dua tingkat yang terletak di Pekan Batu Satu Sungai Siput.

Menurut sumber, punca kebakaran adalah disebabkan litar pintas yang telah menyebabkan lima buah bangunan rumah kedai mengalami kebakaran teruk. Mangsa kebakaran terdiri dari empat keluarga Cina dan satu keluarga India.

Kehadiran beliau disambut baik oleh penduduk tempatan disitu. Pesuruhjaya PAS Perak itu juga telah menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mangsa kebakaran bagi meringankan beban mereka.

Memetik ucapan beliau " PAS sentiasa prihatin dan mengambil berat berkenaan isu kebajikan rakyat, apatah lagi rakyat kini melihat PAS bukan sahaja sebagai parti politik akan tetapi PAS juga dilihat sebagai paarti yang menggerakkan kebajikan rakyat".

Di kesempatan itu juga, beliau juga turut memberi kata-kata semangat kepada keluarga mangsa kebakaran, supaya banyak bersabar dan tabah dalam menghadapi segala ujian, beliau juga menyeru agar semua ahli PAS tidak kira diperingkat mana sekalipun, supaya sentiasa prihati terhadap isu kebajikan rakyat.

















Adun BN perlu jelaskan tajaan tunai haji

27 Muharram 1431H
Rizal Tahir

KOTA BHARU, 12 Jan: Kebiasaan orang kampung terpaksa menyimpan bertahun-tahun untuk mengumpul wang sebanyak RM16,000 di Tabung Haji bagi membolehkan mengerjakan ibadat haji.

Lebih mengharukan lagi apabila ada bakal haji yang sudah mencukupi jumlah tersebut masih tidak dapat menunaikan fardu haji kerana nama tidak disenaraikan.

Itulah kebiasaan yang kita dengar susah payah orang kampung untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Namun lain pula bagi pemimpin Umno apabila dapat menunaikan haji dengan mudah tanpa perlu menunggu menggenapkan simpanan RM16,000.

Tahun lepas difahamkan Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Mat dikatakan mendapat keistimewaan tersebut yang dibiayai Tabung Haji.

“Saya minta penjelasan Datuk Alwi, saya difahamkan beliau ke Makkah sekali dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan 20 orang VVIP yang mana tambang pun disediakan Tabung Haji,” dakwa Adun Salor, Datuk Husam Musa.

Beliau meminta Alwi yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan menjelaskan berhubung tajaannya ke Makkah sebelum gemar mencari kesalahan orang lain.

Semalam sebuah akhbar tempatan melaporkan Adun Kok Lanas mendakwa mempunyai bukti resit pembelian kek seberat 10 kilogram setiap enam biji kek bernilai RM516 yang diberikan kepada enam pihak termasuk Menteri Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir Ariffahmi Abdul Rahman.

Dalam kenyataan tersebut Alwi meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, tidak wajar Alwi membangkitkan isu kek kerana ia dianggap menjadi kelaziman dalam dunia korporat.

“Sekiranya Alwi menyibuk diri ingin menjelaskan isu kek PMBK, pemergiannya ke Makkah dengan tajaan Tabung Haji juga perlu diberi penjelaskan kerana orang ramai hendak tahu.

“Kenapa Tabung Haji taja beliau, adakah ia dibolehkan,” ujarnya.

Harakahdaily.net/-

Lawat gereja kerana simpati – Nik Aziz

27 Muharram 1431H
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 12 Jan: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan kesediaan melawat beberapa gereja di Kuala Lumpur baru-baru ini kerana simpati penganiayaan yang dilakukan.

Beliau berkata, kunjungan ke gereja yang terbakar kerana dikhianati sama seperti menziarahi orang yang sakit.

“Islam mengajar umatnya bersimpati terhadap orang teraniaya seperti kejadian membakar gereja di beberapa tempat di Lembah Klang baru-baru ini.

“Perbuatan itu sememangnya tidak boleh diterima oleh Islam kerana menggunakan kaedah kekerasan,” katanya ketika ditemui pemberita sekembali dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, hari ini.

Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan melawat tiga gereja di Kuala Lumpur termasuk Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dan Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing bagi melihat dari dekat kesan kerosakan akibat dikhianat pihak tidak bertanggungjawab.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempersoalkan tindakan pihak terbabit sehingga merosakkan rumah ibadat orang bukan Islam.

“Saya pergi kerana rasa simpati terhadap mereka yang teraniaya,” ujarnya.

Beliau juga berkata, lawatannya ke gereja hanya boleh dijadikan isu kepada mereka yang berfikiran sempit.

“Sebelum ini pun saya pernah melawat kuil Hindu dan Buddha di Tumpat beberapa kali. Sami-sami Buddha juga datang ke pejabat saya,” ujarnya.

Beliau juga berkata, lawatan tersebut secara tidak langsung dapat menterjemahkan keindahan Islam kepada golongan bukan muslim.

Harakahdaily.net/-

Perbicaraan mahasiswa kes 'bini puaka' ditangguhkan Jun depan

27 Muharram 1431H
Dzulfikar Mashhor

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan berhubung kes menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" oleh tiga pelajar Universiti Malaya kepada 14 hingga 18 Jun hadapan.

Penangguhan itu dibuat hakim Rozana Ali Yusoff dalam kamar siang tadi.

Menurut wakil Majlis Perwakilan Mahasiswa UniversitI Malaya (MPMUM), Mohd Aizat Salleh yang turut serta dalam perbincangan dalam kamar tersebut, Hakim membuat keputusam menangguhkan kes itu kerana ketidakhadiran pegawai menyiasat Inspektor Mohd Najib Mohd Esam.

"Tuan Hakim terus beri amaran, sekiranya pendakwaraya gagal melengkapkan bukti-bukti yang diminta pada perbicaraan Jun ini, Mahkamah akan gugurkan kes tersebut," jelas Aizat.

Ketiga-tiga tertuduh, Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan dan Muhammad Saufi Jelani dituduh berhubung kes menconteng "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" yang ditujukan kepada isteri perdana menteri Rosmah Mansor.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 pagi 24 Jun tahun lalu lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Manakala bagi Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh empat orang peguam yang diketuai oleh Mohamad Arfizi Mohd Ramli, manakala timbalan pendakwa rayanya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.

Perbicaraan hari ini juga turut menggabungkan pertuduhan ketiga-tiga mereka dengan dua lagi rakan mereka, Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen yang dituduh lebih awal.

Harakahdaily.net/-

MOHD NAZREE YUNUS: Bertanggungjawab dalam jaga intergriti agama

27 Muharram 1431H
Mohd Nazree Yunus

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menyeru agar semua pihak pelbagai agama termasuk pimpinan parti-parti politik tidak mempolitikkan isu agama termasuk isu penggunaan kalimah Allah.

Agama tidak boleh dipolitikkan secara khianat namun kita harus menggunakan pendekatan dan nilai keilmuan yang wujud dalam agama untuk menangani masalah yang berlaku melibatkan pertikaian penggunaan kalimah Allah oleh sebuah majalah terbitan pihak Kristian. Dengan kaedah ini maka imej dan integriti agama dan pengamal agama dapat dikekalkan.

Gerak bimbang jika isu ini dipolitikkan untuk tujuan sempit sesetengah pihak termasuk menyalahgunakan penggunaan kalimah Allah maka integriti agama bagi agama-agama yang terlibat dalam pertikaian ini akan terjejas.

Gerak menggesa agar seluruh rakyat yang menganuti agama Islam dan Kristian bertenang dan tidak menimbulkan ketegangan agar isu penggunaan kalimah Allah ini tidak menjejaskan integriti agama masing-masing.

Mana-mana pihak yang sengaja mempolitikkan isu ini secara khianat sama ada oleh pengamal agama mahupun ahli politik adalah secara tidak langsung menjerumuskan diri mereka untuk meletakkan nilai integriti agama mereka pada tahap yang rendah. Ini tidak dibolehkan oleh mana-mana agama sekalipun.

Bagi kumpulan yang ingin mempertahankan tindakan mereka pula perlu untuk merujuk kepada fakta-fakta atau dalil-dalil yang terdapat di dalam ajaran agama masing-masing untuk meletakkan kembali isu ini pada tahap yang sebenar.

Tindakkan untuk cuba memanipulasikan dalil-dalil agama bagi tujuan jahat tertentu juga adalah tidak dibenarkan dan ini sememangnya jelas terkandung dalam ajaran Islam. Dalam aspek yang lain, tindakan mempertahankan agama tanpa hujah yang berkesan juga akan menimbulkan kekeliruan terhadap kelompok masyarakat yang lain.

Gerak ingin menegaskan agar semua pihak bersedia untuk bertoleransi secara bertanggungjawab agar isu penggunaan kalimah Allah ini mampu diselesaikan secepat mungkin bagi memelihara nilai integriti dan kesucian agama.

Toleransi ini wajar dikembalikan kepada nilai keilmuan yang wujud dan juga dinisbahkan kepada kondisi suasana dakwah di Malaysia.

--------------------------------
Penulis adalah Pengerusi Gerak Malaysia

Harakahdaily.net/-