26 Julai 2009

Ibrahim mahu cetus huru-hara pertahan ISA?

KUALA LUMPUR, 25 Julai : - Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, dilihat mengugut akan menimbulkan huru-hara jika Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak membatalkan cadangan berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos ini.

Sebuah akhbar harian melaporkan beliau berkata, jika GMI tidak menarik balik hasrat mereka, Perkasa akan turut serta berarak bersama NGO lain mempertahankan ISA walaupun boleh menimbulkan huru-hara.

Ketika Malaysiakini meminta beliau menjelaskan kenyataan itu, Ibrahim mengulangi ugutannya apabila berkata: ""Bila Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) � dua kumpulan yang berbeza pendirian mengenai ISA � mengadakan perarakan pada masa dan hari yang sama, mungkin akan berlaku huru-hara".

Beliau juga berkata, jika GMI meneruskan himpunan ke Istana Negara, Perkasa akan turut serta bagi menyatakan sokongan terhadap akta itu.

"Perkasa akan turut serta kalau ia (demonstrasi anti-ISA) tidak dibatalkan atau pihak polis mesti ambil tindakan tegas (kepada mereka)," katanya.

Ribuan penyokong pembangkang dan aktivis 83 NGO bersama GMI akan bergerak mulai 2 petang dari tiga lokasi � kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara � dengan berpakaian hitam dan merah.

Malaysiakini juga melaporkan, penyokong ISA bersama Pewaris bersama lebih 10 NGO Melayu merancang perhimpunan bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" di tiga lokasi di tengah Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka pada 1 tengah hari.

Mulai 11 pagi, mereka yang berpakaian putih dijadual berhimpun di Pasar Seni, Masjid Negara dan Padang Merbok, sebelah Bank Negara, sebelum menurunkan tandatangan di atas kain rentang gergasi sepanjang 200 kaki di dataran tersebut dan kemudian berarak ke Istana Negara.

Dalam perkembangan terkini, Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya akan mengerahkan 1,000 petugas Unit Amal PAS untuk mengawal keselamatan dan peserta himpunan anti-ISA itu bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Harakahdaily/-

Bekas naib presiden MIC serta PKR

Bekas naib presiden MIC, SS Subramaniam hari ini menyertai PKR dan merupakan pemimpin MIC paling kanan yang melompat menyertai pembangkang.

Di satu majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya hari ini, Subramaniam, 65, (duduk dua dari kanan), turut mengumumkan 12cawangan MIC di Petaling Jaya akan dibubarkan dan ahli-ahlinya akan menyertai PKR secara beramai-ramai. Demikian se3perti di lapor oleh Malaysiakini.

Beliau mendakwa pembubaran cawangan-cawangan tersebut membabitkan kira-kira 2,500 ahli MIC yang melompat menyertai PKR.

"Saya telah menyokong dasar PKR dan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak sekian lama, tetapi baru sekarang saya berani mengatakan bahawa saya menyertai parti tersebut," katanya disambut sorakan gemuruh 350 hadirin.

Subramaniam telah menjadi naib presiden MIC selama 20 tahun dan juga menjadi naib pengerusi MIC Selangor selama tiga dekad.

Inkues kematian Teoh, Rabu ini

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata inkues untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock akan diadakan mulai 29 Julai hingga 12 Ogos depan.

Beliau memberitahu pemberita bahawa siasatan polis terhadap kematian Teoh akan disiapkan tidak lama lagi bagi membolehkan inkues tersebut diadakan.

Khalid juga dilaporkan sebelum ini sebagai berkata siasatan polis akan disiapkan sebelum inkues tersebut bermula.

Teoh - setiausaha politik exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah yang juga ADUN Seri Kembangan - ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam Khamis lalu.

Dia dipercayai jatuh dari tingkat 14 - tempat terletaknya pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh, 30, sedang disiasat - sebagai saksi - berhubung dakwaan salahguna peruntukan DUN di Selangor.

MalaysiaKini/-

H1N1: Politeknik Sultan Mizan Dungun ditutup

KUALA TERENGGANU: Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun ditutup selama lapan hari berkuatkuasa hari ini berikutan empat pelajarnya disyaki menghidap selesema babi atau Influenza A (H1N1).

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajarnya Khairul Azhar Mohamed berkata penutupan kampus tersebut berikutan kebimbangan penularan wabak tersebut di kalangan pelajarnya.

Beliau berkata empat pelajar berkenaan, yang merupakan pelajar semester pertama dan mula mendaftar di kampus berkenaan pada 6 Julai lepas, kini dikuarantin di asrama kampus tersebut.

"Selepas mendapat nasihat daripada Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, kita mengambil tindakan menutup kampus ini sertamerta sehingga 1 Ogos depan.

"Sehubungan itu, pihak Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin telah mengarahkan semua pelajar, pengajar dan kakitangan supaya tidak berada di kawasan kampus untuk tempoh tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berharap dalam tempoh penutupan kampus itu, kerjasama daripada pelajar, kakitangan dan tenaga pengajar diperlukan untuk mematuhi peraturanperaturan bagi mengawal penularan wabak itu.

Khairul Azhar berkata pendaftaran pelajar lepasan industri yang sepatutnya pada Isnin ini (27 Julai) ditangguhkan sehingga 2 Ogos manakala pelajar lama akan mendaftar pada 3 Ogos depan.

Dua hari lepas, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun ditutup selama 10 hari bagi mengawal penularan virus berkenaan di kalangan para pelajarnya. BERNAMA

mStarOnline/-

Pemuda Pakatan desak suruhanjaya diraja diberi kuasa penuh

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) - Pemuda Pakatan Rakyat petang tadi elah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menggesa kerajaan memberikan kuasa penuh kepada Suruhanjaya Diraja menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock.

Memorandum yang diserahkan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan @ Tantawi, itu menyatakan pemuda mahu suruhanjaya yang kini hanya dikhaskan untuk melihat prosedur soal siasat SPRM dan pelanggaran hak asasi diberi kuasa yang luas meliputi punca dan siapa yang bertanggungjawab atas kematian Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor minggu itu.

Memorandum itu diserah Nasrudin kepada Pesuruhjaya Suhakam, Dato' N Siva Subramaniam.Turut hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mat Akin; Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabhki Yusof; Setiausaha Pemuda, Kamaruzzaman Mohamad dan beberapa aktivis Pemuda Pakatan Rakyat.

Menurut Ustaz Nasrudin, skop Suruhanjaya Siasatan Diraja yang terbatas bagi menyiasat dan menilai kaedah yang diguna pakai SPRM semasa soal siasat yang dijalankan dan menentukan sama ada berlakunya pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disoal siasat sahaja.

"Oleh itu, Pemuda Pakatan menegaskan keputusan kerajaan mengehadkan peranan Suruhanjaya Diraja menunjukkan kerajaan tidak telus dalam menyelesaikan misteri kematian Teoh,"katanya.

"Suruhanjaya itu perlu mempunyai peranan yang lebih besar dan tidak dihadkan dengan hanya tugas-tugas tertentu sahaja," katanya.

Sementara itu, Shamsul pula mendesak campur tangan serius dari Suhakam agar mengeluarkan gesaan kepada kerajaan menghormati pandangan rakyat terutama keluarga mangsa.

Ujar beliau lagi, Pemuda Pakatan ragu dengan inkues yang disebutkan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyiasat kematian Teoh, sedangkan inkues biasanya hanya dikendalikan oleh seorang majistret yang 'junior' bertaraf pegawai kerajaan sahaja. Ini hanya akan menjadikan siasatan keatas kes ini tidak kemana, ditambah lagi dengan rekod inkues sebelum ini seperti dalam kes Francis Udayyapan, yang mati di dalam lokapyang akhirnya tiada keputusan,katanya. Selain itu ujar beliau, inkues ini hanya akan dibuat dengan hasillaporan siasatan polis sahaja, walhal rakyat semua tahu akan kredibiliti siasatan polis yang boleh dipertikai hari ini. Sementara itu Sivasubramaniam yang bercakap bagi pihak Suhakam menyatakan pihaknya akan mempertimbangkan pandangan yang dilontar pihak Pakatan Rakyat. Beliau memandang serius kes ini sebagai satu pelanggaran hak asasi dengan merujuk kepada kenyataan SPRM sendiri yang mana mengakui Teoh disoalsiasat bermula jam 7 petang hingga 3.00 pagi. Ia katanya satu pelanggaran hak asasi kerana yang disoalsiasat hanyalah saksi, dan masa siasatan itu bercanggah dengan hak asasi mangsa. Selain itu Sivaturut menyelar keenganan media arus perdana membuat laporan mengenai kenyataan-kenyataan Suhakam berhubung kes Teoh baru-baru ini. Sementara itu, sehari sebelum memorandum dihantar kira-kira 3,000 orang, sebahagian besarnya berpakaian hitam, membanjiri Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) sebagai tanda sokongan padu kepada Teoh, yang ditemui mati di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam 16 Julai lalu. Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, adalah antara yang menyertai perhimpunan selama tiga jam itu. Hadirin berdiri memberi penghormatan kepada Tunang Teoh, Soh Sher Wei yang sedang mengandung anak mereka, ketika dia masuk ke dewan. Mereka turun memegang poster Teoh manakala kain rentang turut dipasang, antaranya berbunyi "Rakyat berhak mengetahui kebenaran!!! Pembunuh mesti dihukum". Teoh, Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, 16 Julai lalu. Sebelum ditemui mati, Teoh telah disoal siasat oleh SPRM kira-kira selama 10 jam sebagai saksi berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk Dun di Selangor.

HarakahDaily.Net/-

Kes lilin: PAS Selangor minta jangan kelirukan masyarakat

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - PAS Selangor menggesa mana-mana pihak agar tidak cuba mengelirukan masyarakat berhubung isu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin menyalakan lilin sebaliknya terus berusaha meningkatkan martabat keadilan dan ketelusan di negara ini yang semakin tercemar selepas insiden kematian Teoh Beng Hock.

Setiasusaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menegaskan bahawa acara menyalakan lilin bukanlah termasuk di dalam ibadat mahupun pemujaan agama, sebaliknya merupakan adat kaum Cina serta penzahiran simbolik bantahan terhadap SPRM.

Jelas Khairuddin, PAS Selangor memahami bahawa tindakan Mohammad Nizar adalah sebagai menyatakan simpati dan protes terhadap kematian msiteri Beng Hock semasa berada dalam tahanan SPRM.

Beliau menegaskan PAS Selangor menghormati dan meraikan budaya bangsa lain termasuk menyalakan lilin sebagai tanda bantahan.

Sebelum ini, isu Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyalakan lilin menimbulkan reaksi pelbagai pihak apabila Menteri Besar Perak, Dato' Zambry Abdul Kader meminta ulama PAS mengeluarkan fatwa tentang tindakan Nizar itu.

HarakahDaily.Net

Aku mencintaimu, Ya Rasulullah ....

Ummu Waheedah


Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera kepada semua….moga kita semua sentiasa dalam redaNya..

Apa khabar semua? Apa khabar iman kita? Meningkat atau menurun? Sama-samalah kita berusaha untuk selalu meningkatkannya.

Alhamdulillah, baru-baru ini penulis berkesempatan melawat Rumah Wilayah Kuala Lumpur di Hayyu Sabie’, Cairo, Egypt….di sana berlangsung SEDEKAD 09( kalau tak silap, sambutan ulang tahun 10 tahun rumah KL..wallahu a’lam)…di sana ada bazar, pameran dan pelbagai lagi aktiviti menarik yang disediakan untuk semua.

Untuk makluman semua, pada cuti musim panas ini(Julai-September ), kebiasaanya rumah-rumah negeri di Mesir akan membuat rumah terbuka untuk dilawati oleh segenap pelajar Malaysia di Perlembangan Nil ini…

Jadi pada program SEDEKAD itu, ada disediakan pameran Sirah Nabawiyah yang dinamakan Haneenul Habib yang bertemakan ”On The Pace of Prophet” dan penulis pun singgah la ke situ..

Selepas habis round di pameran tersebut, inilah yang berjaya penulis kutipkan untuk berkongsi di dalam wordpress ini….

Bismillahirrahmanir rahim…
Jawablah dengan seikhlasnya dari hati…

1. Rasulullah sentiasa menyebarkan salam dan bermurah dengan senyuman. Anda?
2. Rasulullah beristighfar 70X sehari. Pernahkah anda walau hanya 30X?
3. Rasulullah berpuasa Isnin dan Khamis. Anda pula?
4. “Salahkah aku menjadi hambaNya yang bersyukur? Rasulullah mendirikan qiamullail sehingga bengkak kaki. Anda bagaimana?
5. Adakah Rasulullah idola terbaik anda? Mengapa?
6. Pernahkah anda menitiskan air mata ketika membaca sirah Baginda?
7. Baginda rindu untuk berjumpa dengan ikhwannya(yakni kita) sebelum wafat. Adakah anda pula rindu untuk bertemu dengan Baginda?
8. Adakah anda telah melakukan sesuatu untuk Rasulullah? Jika ya, sebutkan.
9. Adakah anda merasakan sudah betul-betul cukup mencintai Baginda SAW?
10. Seandainya berpeluang berjumpa Baginda, apa yang anda lakukan?


Macam mana, boleh jawab? Bagi diri penulis, masih banyak lagi yang perlu diri ini perbaiki dalam mencintai Rasulullah…

Masih banyak lagi sirah Nabi yang penulis terlupa…
Masih banyak lagi hadis yang belum diri ini hafal dan amalkan…
Masih banyak lagi sunnah Rasulullah yang sering penulis tinggalkan…
Allah..lemahnya diri ini..Maafkan aku, Ya Rasulullah…

Antara sabda Nabi s.a.w:-
“Wahai umatku, temu janji kita bukanlah di dunia ini…temujanji kita adalah di kolamku nanti di syurga..”
Ya Allah, kalau beginilah rasa sakitnya mati, maka kau timpakanlah rasa kesakitan mati seluruh ummatku kepada diriku ini…(Doa Nabi ketika Izrail menarik roh Baginda SAW dari jasadnya namun tidak diperkenankan oleh ALLAH )
Marilah bersama kita cuba sedaya upaya untuk mengamalkan 7 Sunnah ini,

1. Tahajjud, kerana kemulian seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
2. Membaca Al-Quran sebelum terbit matahari.
3. Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh.
4. Jaga solat dhuha, keran kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
5. Jaga sedekah setiap hari.
6. Jaga wudhu’ terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu.
7. Amalkan istighfar setiap saat.

Akhir kata, moga kita lebih berusaha dalam mencintai Rasulullah S.A.W.

Ya Allah, tumbuhkanlah rasa cinta kami kepada Rasulullah dan berikanlah kekuatan kepada kami untuk mengamalkan segala sunnahnya dan menyampaikan risalah ini kepada orang lain…Ameen Ya Rab !