23 Mei 2012

Peminat fb Tok Guru Nik Aziz kini 664,000

2 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa terharu di atas sambutan menggalakkan terhadap laman sosialnya (Facebook - fb) yang kini mempunyai capaian lebih 664,000.

Menteri Besar berkata, laman sosial tersebut dijadikan sebagai bahan rujukan semua pihak kerana banyak maklumat terkini dimuatkan dalam fb.

“Saya amat gembira kerana melalui fb ini rakyat di seluruh negara mendapat maklumat tepat dan cepat, maklumlah kalau nak harapkan media lain tu agak sukarlah sikit,” katanya ketika merasmikan pelancaran Rangkaian TV Kelantan(RTV) di Dewan Teratai hari ini.

RTV dibangunkan Jabatan Teknologi Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan.

Beliau juga berkata, penyebaran bahan fitnah yang semakin berleluasa sekarang merupakan perbuatan kurang bermoral.

Malangnya kata beliau media tradisional pula menyiarkan berita mengenai fitnah di muka hadapan akhbar mereka bagi menarik perhatian lebih ramai pembaca.

Oleh itu beliau berharap pelancaran RTV yang dimiliki kerajaan negeri dapat mengelakkan sebarang penyebaran berita yang berunsur fitnah.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, RTV dilahirkan selepas usaha kerajaan negeri sejak 22 tahun lalu untuk memiliki siaran TV sendiri tidak diberi kelulusan kerajaan pusat.

“Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menggunakan perkembangan teknologi maklumat untuk menyediakan rangkaian TV sendiri.

“Perkembangan internet membolehkan kerajaan Kelantan mewujudkan satu kumpulan kerja untuk membangunkan penyiaran TV melalui internet yang dikenali sebagai RTV,” ujar beliau.

Turut hadir Speaker Dun Kelantan, Dato’ Nasuruddin Daud, wakil-wakil rakyat, ketua jajahan dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Muhammad Fadzli juga berkata kerajaan negeri turut menyediakan alat khas (recorder) di setiap kawasan Dun untuk menyalurkan maklumat semasa kepada rakyat.

“Melalui alat tersebut orang ramai boleh menonton RTV secara jelas dan boleh mendapat maklumat terkini lebih cepat,” ujarnya.

Harakah Daily

Suspek culik masih dikesan

2 Rejab 1433H. [MOD] -

PENAGA - Polis masih mencari maklumat untuk melengkapkan siasatan bagi menjejaki suspek yang cuba melarikan pelajar tahun satu dalam satu kejadian culik di Kampung Pulau Mertajam di sini, petang Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Mohd Shukri Awang berkata, ketika kejadian pada jam 5 petang itu, tiada saksi yang benar-benar melihat wajah suspek.

“Kita mengalami sedikit kesukaran kerana tiada seorang saksi, termasuk kakak dan bapa saudara mangsa yang melihat wajah suspek kerana dia memakai topi keledar bertutup penuh.

“Malah, kita mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu hingga menyukarkan kita mengesan pemilik sebenarnya motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengunjungi mangsa dan keluarganya di Kampung Pulau Mertajam di sini, petang semalam.

Turut sama dalam lawatan itu ialah anggota dari Unit Kebajikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU dan Pengerusinya, Sub Inspektor Ayub Abdullah.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan kisah seorang kakak berjaya menyelamatkan adiknya dari diculik dengan bertindak mengejar motosikal yang ditunggang lelaki terbabit sejauh 50 meter.

Tindakan berani Nur Hazwani Marzukhi, 15, sambil menjerit supaya adiknya, Nur Haifa, 7, yang dilarikan lelaki terbabit dipulangkan berjaya menarik perhatian penduduk kampung yang turut serta mengejar hingga menakutkan penculik itu.

Panik ditangkap, lelaki berkenaan bertindak mencampakkan Murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Pulau Mertajam yang diletakkannya dalam raga motosikal.

Nur Haifa, anak ketujuh pasangan Marzukhi Omar, 55, dan Rozita Md Suhud, 46, dilarikan selepas termakan pujukan lelaki berkenaan untuk membawanya membeli ais krim.

Ketika kejadian, mangsa sedang bermain bersama empat sepupu lelakinya berusia antara 3 dan 8 tahun di tepi rumah bapa saudaranya yang terletak bersebelahan rumah mereka di kampung berkenaan.

Mohd Shukri berkata, pihaknya membuka tiga kertas siasatan dalam kes itu mengikut Kanun Keseksaan iaitu di bawah Seksyen 363/511, cubaan menculik, 354/511 kerana mendatangkan kecederaan ketika cuba mencabul dan Seksyen 323 kerana mendatangkan cedera parah.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu menjejaki suspek.

Sinar Harian

Kepala warga emas parah dirempuh kereta

2 Rejab 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR – ‘Tolong, tolong pakcik!’ Hanya itu mampu dilaungkan seorang warga emas yang terjatuh apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Lencong Barat di sini, kelmarin.

Mangsa, Otman @ Ahamad Jusof, 70, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala mengerut dahi kesakitan sambil mengerang memohon dirinya dibantu.

Difahamkan, kejadian berlaku pada jam 2.05 petang ketika mangsa menunggang motosikalnya dari persimpangan pusat beli belah Alor Setar Mall untuk pulang ke rumahnya yang terletak di Kampung Tengah Mukim Kuala Kedah.

Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Viva yang datang dari arah Kuala Kedah membelok ke kanan tanpa berhenti.

Ia kemudian merempuh motosikal yang dipandu warga emas tersebut menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia mendengar dentuman kuat dari arah hadapannya sebelum ternampak sebuah kereta Perodua Viva melanggar motosikal yang ditunggangi warga emas itu menyebabkan mangsa terpelanting.

“Saya segera memberhentikan kenderaan dan berlari ke arah mangsa. Ketika itu saya melihat banyak darah mengalir menerusi luka di kepalanya. Saya tak berani untuk mengalih mangsa di tengah jalan bimbang mangsa mengalami kecederaan serius lain,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSB) dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kota Setar untuk mendapat rawatan.

Sinar Harian

Drogba tinggalkan Chelsea

2 Rejab 1433H. [MOD] -

Penyerang Chelsea, Didie Drogba akhirnya memutuskan untuk meninggalkan pasukan The Blues musim depan setelah lapan tahun bersama kelab itu.

Penyerang berusia 34 tahun itu, yang telah membantu pasukan Chelsea menjaringkan gol kemenangan ketika perlawanan Liga Juara-juara, Ahad lalu dikatakan telah bersedia untuk menjadi ejen bebas apabila kontraknya bersama kelab itu taman pada bulan depan.

"Memenangi Liga Juara-juara adalah matlamat utama yang telah dicapai.

"Setelah mencipta sejarah bersama-sama pemain lain, kini adalah masa terbaik untuk saya bergerak secara bebas," kata Drogba.

Drogba dipetik berkata, beliau mahu menghentikan semua spekulasi tentang masa depannya bersama kelab itu dan telah mengesahkan akan tetap meninggalkan pasukan The Blues.

"Ia satu keputusan yang sukar dalam hidup saya, namun saya harus melakukan perubahan dan ini satu cabaran baru untu saya tempuhi nanti.

"Apa-apa pun saya amat berbangga dengan pencapaian pasukan Chelsea setakat ini," tegas Drogba sambil menambah, "saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang di kelab ini terutamanya, Roman Abramovich dan rakan sepasukan," tambah Drogba.

Sementara itu, ketua Eksekutif Chelsea, Ron Gourlay yang akur dengan keputusan penyerang itu berkata, Drogba seorang lagenda dalam pasukan Chelsea, dan beliau tetap sebahagian daripada kelab ini meskipun telah meninggalkan mereka nanti.

"Drogba banyak berjasa kepada Chelsea sehingga kelab ini telah mencapai tahap terbaik pada masa kini. Beliau juga seorang pemain yang profesional dan saya berharap beliau akan menjadi inspirasi kepada pemain muda," kata Gourlay dipetik BBC hari ini.

Katanya lagi, Gourlay berharap keputusan yang dibuat oleh Drogba adalah satu langkah terbaik yang dilakukan olehnya dalam kancah bola sepak.

Sinar Harian

Dua ditahan curi aluminium

2 Rejab 1433H. [MOD] -

MUAR - Seorang remaja ditahan kerana dipercayai bersubahat dengan rakannya yang berumur 23 tahun, mencuri kepingan aluminium dari sebuah kedai di Jalan Salleh, di sini.

Remaja berusia 17 tahun dari Melaka itu sudah tidak bersekolah dan mengikut rakannya mencuri aluminium sejak hampir setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, kecurian kepingan aluminium itu disedari pemilik kedai berkenaan, 24 April lalu, apabila dia mengesan kekurangan jumlah stok simpanan.

Menurutnya, selepas mereka meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), barulah berjaya mengesan dalang di sebalik kejadian itu.

“Selepas membuat intipan hampir seminggu, polis berjaya menahan suspek yang berusia 17 tahun pada 8 Mei lalu, dan sehari kemudian, seorang lagi rakannya yang berusia 23 tahun dapat dicekup di dua rumah berasingan di Sabak Awor.

“Siasatan awal polis terhadap dua suspek itu membawa kepada penemuan tujuh guni kepingan aluminium seberat 100 kilogram (kg) dengan anggaran nilai melebihi RM350,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis metaphetamin.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 25 Mei ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, dua lelaki berusia 28 dan 35 tahun ditahan kerana memiliki dadah terlarang.

Mohamad Nasir berkata, perbuatan mereka terbongkar melalui operasi khas oleh sepasukan polis dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 17 Mei lalu.

“Mereka ditahan jam 3 petang di sebuah rumah di Jalan Parit Semerah, dekat sini dan polis merampas dadah jenis syabu seberat 1.3 gram (g) serta heroin, 16g.

“Kedua-dua suspek dipercayai tidak bekerja dan salah seorang daripada mereka berasal dari Kluang,” katanya.

Jelas beliau, polis percaya dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri dan sebahagiannya dijual secara kecil-kecilan.

“Dadah berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia dan kami masih menunggu laporan penuh.
“Dua lelaki berkenaan kini ditahan reman untuk bantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sinar Harian

Dua letupan kuat kedengaran sebelum rumah pusaka terbakar

2 Rejab 1433H. [MOD] -

MUAR - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Parit No 7, Jalan Parit Yusof Darat, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, semua penghuni tiada di rumah.

Mangsa, Ruzita Sa’er, 28, berkata, dia keluar rumah pada jam 10 pagi bersama anaknya, Mohd Hafiq, 4, dengan menaiki motosikal untuk menghantar bekalan minyak petrol ke tempat kerja suaminya, Mohd Hizarizam Masdar, 28, di Sungai Gresik, Sungai Balang.

Katanya, dia menerima berita itu kira-kira 30 minit selepas meninggalkan rumah, apabila seorang jiran menghubungi mengatakan rumahnya terbakar.

“Saya sangat terkejut kerana sebelum keluar rumah, semua suis dan peralatan elektrik telah diperiksa serta dalam keadaan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah, dia tergamam apabila melihat keseluruhan kediamannya sudah terbakar.

Ruzita berkata, menurut jiran berhampiran, mereka terdengar bunyi dua letupan kuat sebelum rumahnya terbakar, sebaik sahaja dia keluar rumah.

“Jiran berdekatan cuba memadamkan api yang menjulang di bahagian dapur tetapi tidak berjaya kerana ia marak terlalu cepat.

“Saya sedih kerana rumah pusaka arwah ibu mentua yang menjadi tempat berteduh kami tiga beranak sejak mendirikan rumah tangga, kira-kira lima tahun lalu, musnah terbakar,” katanya.

Menurutnya, empat motosikal milik suami, barang kemas dan wang tunai turut musnah dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 10.20 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan dua jentera bersama 12 anggota.

“Semasa tiba di tempat kejadian rumah papan itu sudah musnah terbakar dan mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiga dipenjara dua tahun kerana rasuah

2 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Tiga pegawai Kastam dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Seksyen, di sini, semalam, atas tuduhan memperoleh suapan daripada seorang peniaga kedai runcit di Masai, di sini, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Yusof Drus, 25, Abdul Karim Abd Majid, 58 dan Md Mokhtar Ismail, 56 , turut berdepan penjara selama lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Mereka dituduh memperoleh satu suapan bernilai RM500 sebagai dorongan supaya tidak melakukan suatu perbuatan dengan hal ehwal prinsipal mereka dengan tidak mengambil tindakan ke atas Chan Jenn Kong yang dikatakan memiliki dan menjual rokok seludup di Taman Ria, Masai, di sini, kira-kira jam 2.41 petang, 30 Oktober 2010, lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Sementara itu, Abd Karim turut dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan kedua iaitu meminta rasuah sebanyak RM1,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Jenn Kong atas kesalahan yang sama.

Pertuduhan bagi kes berkenaan didakwa dilakukan di tempat dan tarikh yang sama pada jam lebih kurang 2.20 petang di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta tersebut dengan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Hakim Madihah Harullah kemudiannya memutuskan hukuman berjalan serentak bermula semalam.

Sinar Harian

Lelaki maut dalam kereta

2 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH - Misteri kehadiran kereta Proton Wira tersadai berhampiran rumah pembakaran mayat di Bercham terjawab apabila pemandunya ditemui mati oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu, pagi semalam.

Hong Wai Yean, 39, beralamat di Taman Buana Perdana, Petaling Jaya, Selangor ditemui mati dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dengan enjin kereta masih hidup kira-kira jam 10 pagi semalam.

Difahamkan, mangsa ditemui lengkap berpakaian kemeja putih dan berseluar panjang hitam dipercayai pakaian seragam kerana tertera logo syarikat di bahagian kiri bajunya.

Turut dimaklumkan mangsa berkemungkinan seorang jurujual berdasarkan barangan yang ditemui dalam kereta mangsa.

Antara barangan berkenaan adalah komputer riba, telefon bimbit, dompet dan beberapa bekas kad nama dipercayai digunakan untuk tujuan kerja.

Selain itu, siasatan awal mendapati kereta tersebut bukan milik mangsa kerana ia didaftarkan di bawah syarikat mangsa bekerja.

Lebih pelik apabila sebuah bekas berisi arang yang dipercayai dibakar di dalam kereta turut ditemui disyaki salah satu punca sehingga menyebabkan dia meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai kes berkenaan.

Katanya, bagaimanapun siasatan awal mendapati, mangsa didapati mati mengejut memandangkan tiada unsur jenayah ditemui pada mayat mangsa.

“Polis masih meneruskan siasatan selain menunggu laporan bedah siasat daripada Jabatan Forensik HRPB untuk mengenal pasti punca kematian lelaki terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian

Polis Perak tumpas kegiatan curi kereta

2 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH - Kelicikan sekumpulan lapan lelaki dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan curi kereta di sekitar Lembah Klang akhirnya berjaya ditumpaskan apabila mereka ditahan ketika sedang beristirehat di sebuah hotel bajet di sini, hari ini.

Perkara itu disedari Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang sedang menjalankan tugas mendapati nombor pendaftaran kereta berbeza dengan nombor yang tertera pada cukai jalan.

Curiga dengan keadaan itu, penguatkuasa berkenaan memaklumkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini, sebentar tadi.

Sinar Harian

PAS demo depan pejabat NST Jumaat ini

2 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Selepas amaran demi amaran dan bantahan demi bantahan tidak dihirau, Pemuda PAS akan mengadakan demo di perkarangan pejabat akhbar NST Jumaat ini ekoran dakwaan 'Nik Aziz bapa kafir'. (Laporan NST yang mendakwa 'Nik Aziz bapa kafir')

Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam kenyataannya berkata, demo itu akan diadakan sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

"Solat Jumaat beramai-ramai di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar," dan selepas itu mereka akan berarak ke pejabat NST.

Menurut Khairul Faizi, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan isu “Nik Aziz is Father Of Kafir" yang dikeluarkan oleh akhbar Nes Straits Times sebagai satu penghinaan kepada PAS serta perjuangannya.

Sebelum ini, katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah mengambil satu tindak balas segera iaitu berjumpa dengan pihak New Straits Times bagi menyatakan bantahan serta meminta pihak mereka untuk menarik semula kenyataan tersebut.

Maklum balas yang diterima, pihak New Straits Times enggan menarik balik kenyataan tersebut bahkan tidak mahu memohon maaf di atas fitnah yang ditabur oleh pihak mereka ke atas Mursyidul Am PAS dan juga Menteri Besar Kelantan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga, katanya, telah mengarahkan untuk diadakan satu demonstrasi bantahan di peringkat negeri-negeri pada minggu lepas untuk membantah tindakan akhbar tersebut.

"Sehingga kini, Dewan Pemuda PAS Malaysia masih lagi tidak mendengar apa-apa kenyataan daripada pihak New Straits Times untuk memohon maaf atau menarik semula kenyataan tersebut," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan satu lagi demonstasi bantahan di peringkat Pusat yang akan diadakan pada hari Jumaat bertarikh 25 Mei 2012 selepas solat Jumaat bertempat di hadapan pejabat Balai Berita New Straits Times Press [M] Berhad, Bangsar.

Setiap ahli PAS, katanya, diminta untuk hadir bagi menyatakan bantahan terhadap kebiadapan kenyataan New Straits Times iaitu “Nik Aziz is Father of Kafir” dan juga kedegilan mereka untuk memohon maaf.

Harakah Daily

Kecam Fauzi masuk PAS 'pemikiran lapuk' Umno

2 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor menyelar sikap pihak tertentu yang memandang negatif penyertaan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari ke dalam parti PAS.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzuan berkata pandangan Persatuan Bekas Polis Malaysia, kononnya tindakan Fauzi menyertai PAS itu mengkhianati kerajaan adalah pemikiran ‘lapuk dan kuno’ yang diterapkan Umno BN.

"Apakah tiada lagi nilai kebebasan bagi bekas-bekas penjawat awam untuk memilih halatuju pegangan politik mereka sedangkan mereka sudah bersara daripada jawatan lama mereka?

"Sudahlah semasa memegang jawatan diperlaku seperti hamba abdi yang perlu sentiasa mematuhi arahan tuannya, adakah sesudah bersara pun dimestikan mengikut telunjuk bekas majikan lagi," soal Hasbullah.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri semalam yang menyifatkan langkah yang di ambil oleh Datuk Fauzi sebagai mengguris hati bekas-bekas polis dan dianggap pengkhianatan kepada kerajaan.

Mengulas lanjut Hasbullah berkata, sebagai orang yang pernah menjawat jawatan yang paling kanan di dalam PDRM, Fauzi sudah semesti maklum tentang sejarah perjuangan PAS sebelum membuat keputusan untuk menyertainya.

"Apakah negara Malaysia ini masih mengamalkan amalan ‘politik rimba’ ataupun sebahagian rakyat Malaysia masih lagi dijajah dengan pemikiran-pemikiran manusia zaman jahiliyyah," soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada pihak-pihak yang masih dijajah mindanya oleh Umno BN, melihat perkembangan semasa di mana semakin ramai bekas penjawat awam menyertai PAS dan Pakatan Rakyat.

"Kita harap Datuk Fauzi tidak perlu melayan dengungan ‘langau-langau’ Umno dan Barisan Nasional serta mendoakan semoga Datuk Fauzi akan terus istiqamah di dalam membantu PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan terhadap pemerintahan negara ini," katanya.

Harakah Daily

Tangguh kes Kong Choy untuk tutup kebodohan

2 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penangguhan perbicaraan kes tipu bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy berkaitan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dilihat semata-mata bertujuan menyembunyikan kebodohan kerajaan Umno sebelum pilihan raya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika perbicaraan tersebut diteruskan, ia akan mendedahkan lebih banyak lagi kebodohan kerajaan Umno Barisan Nasional sehingga boleh ditipu oleh Chan yang ketika itu adalah Menteri Pengangkutan.

Jika terlalu banyak kebodohan kerajaan terdedah sebelum pilihan raya, Umno bimbang perkara itu akan menjejaskan peluangnya, klata beliau.

"Apa yang lebih menarik, Umno tidak boleh menyalahkan (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi) semata-mata kerana kerajaan di bawah (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) juga ditipu apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang memperakui bahawa (bekas Menteri Pengangkutan yang juga bekas Presiden MCA, Tun Dr) Ling Liong Sik telah menipu kerajaan Malaysia membabitkan RM1.08 bilion dalam projek yang sama," katanya.

Menurut Mahfuz, memang menjadi trend Umno dan Dr Mahathir sendiri untuk menjadikan Abdullah sebagai kambing hitam apabila dibangkitkan apa jua kesalahan pentadbiran kerajaan Umno.

"Tetapi dalam hal PKFZ, Dr Mahathir dan Umno tidak boleh salahkan Abdullah sahaja kerana beliau pun kena tipu juga," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Perbicaraan kes tipu tersebut ditangguhkan ke 31 Oktober depan selepas pihak pendakwaan memohon penangguhan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memberitahu mahkamah bahawa pejabat Peguam Negara masih belum membuat keputusan mengenai representasi pihak pembelaan dan memerlukan masa yang lebih panjang untuk membuat keputusan muktamad berhubung permohonan berkenaan.

Mahfuz bagaimanapun menyifatkan usaha untuk menyembunyikan kebodohan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya adalah usaha yang sia-sia dan "seperti menutup bangkai gajah dengan daun sehelai".

"Rakyat sudah tahu kerajaan Umno BN begitu bodoh dan dengan mudah ditipu oleh menterinya sendiri dalam isu PKFZ itu," katanya.

Malah, katanya lagi, usaha terdesak itu tidak boleh menutup pelbagai kesalahan lain yang lebih besar yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN.

"Bukan isu PKFZ sahaja yang menyalakan api kemarahan rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang, isu (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) lari dari inkuiri mahkamah Perancis berhubung urusniaga kapal selam Scorpene, isu kekejaman polis dalam perhimpunan Bersih 3.0 lalu dan banyak lagi isu lain malah tidak habis-habis tindak tanduk Umno BN yang mencetukan kemarahan rakyat.

"Sebab itulah tindakan tidak tentu arah menangguhkan perbicaraan itu sehingga selepas pilihan raya tidak akan memberi apa-apa kesan," kata Mahfuz.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim, yang juga hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang ditugaskan mengendalikan perbicaraan kes itu memberikan reaksi yang negatif terhadap tindakan pihak pendakwaan memohon menangguhkan kes itu.

Zamani juga dengan sinis berkata beliau tidak mahu sesiapa mempunyai tanggapan bahawa beliau 'makan angin' setiap kali hadir di mahkamah Kuala Lumpur berikutan terpaksa menangguh perbicaraan berkenaan.

Harakah Daily

Fesyen: Harus atau sebaliknya dalam Islam?

2 Rejab 1433H. [MOD] -

Islam adalah agama yang syumul, mudah, aman dan sejahtera kepada penganutnya. Islam tidak pernah menegah umatnya melakukan sesuatu mengikut kehendak mereka selagi mana ia tidak bercanggah dengan ajaran dan faham yang di sampaikan.

Setiap umat Islam bebas melakukan apa yang disukai begitu juga dalam bab pemilihan pakaian dan berfesyen.

Islam tidak pernah melarang seseorang itu berfesyen mengikut trend terkini serta cita rasa masing-masing tetapi ia mestilah berperinsip dan mempunyai etika yang tersendiri.

Sabda Nabi: Sesiapa yang menyerupai satu puak, maka dia di kalangan mereka - riwayat Abu Daud.

Namun pada zaman kecanggihan teknologi ini masih ramai lagi yang tidak memahami serta tidak mengetahui cara berfesyen yang di galakkan dalam Islam.

Tahukah anda apakah yang di maksudkan dengan fesyen menurut perspektif Islam serta sejauh manakah berfesyen itu di benarkan dalam Islam?

Fesyen secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai gaya pakaian, kosmetik, tingkah laku dan lain-lain, terutama perkara yang baru yang menjadi kegemaran dan kegilaan ramai.

Berbeza pula dengan difinisi berfesyen iaitu menunjukkan atau mengikut sesuatu gaya dan trend terkini dalam cara berpakaian dan lain-lain.

Fesyen bukan hanya tertumpu kepada pakaian seperti baju atau tudung semata-mata, namun ia mempunyai skop yang amat luas seperti perhiasan, kosmetik.

Pada hakikatnya fesyen berkonsepkan Islam sebenarnya mengandugi cara, gaya, panduan dan adab yang tersendiri, tanpa kita sedari Islam telah menggariskan beberapa cara berpakaian atau berfesyen.

Ia begitu indah untuk diikuti dan diteladani oleh penganutnya. Antaranya ialah memakai pakaian yang menutup aurat bagi perempuan dan lelaki berdasarkan had yang ditentukan, sopan serta tidak mengundang fitnah kepada orang yang memakaianya.

Firman Allah dalam [Surah An-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Apa yang dapat di fahami dari dalil di atas ialah sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar.

Islam tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar ibadat.

Islam hanya menetapkan bahawa pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang sebagai seorang Muslim.

Jadi sebagai seorang yang beragama Islam seharusnya kita mematuhi cara yang ditetapkan.

Rasulullah S.A.W juga bersifat fleksibel dalam soal fesyen pakaian selagimana ia tidak melanggari batas syariah.

Baginda menggalakkan umat Islam supaya memakai pakaian bewarna putih, namun ada juga hadis-hadis lain menunjukkan baginda juga memakai pelbagai warna.

Baginda memakai berbagai-bagai pakaian dari berbagai-bagai negeri seperti Yemen, Najran, Mesir dan lain-lain.

Bahkan dalam hadis dari al-Mughirah bin Su’bah, beliau berkata: Sesungguhnya Nabi s.a.w. memakai jubah Rom yang sempit kedua tangan bajunya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tirmizi, al-Nasai dan lain-lain)

Baginda S.A.W di dalam hayatnya juga pernah memakai pakaian daripada jenis kapas, bulu dan selainnya.

Baginda pernah memakai jubah bulu ketika bermusafir serta memakai apa yang dibawa dari Yemen dan selainnya. Kebanyakannya dibuat daripada kapas.

Mereka pada zaman tersebut juga memakai buatan Qibti Mesir yang ditenun daripada kapas.

Maka, bererti sunah Rasulullah dalam hal ini adalah seseorang memakai pakaian dan memakan makanan yang mudah didapati dalam negerinya. Maka perkara berbagai-bagai berdasarkan kepelbagaian negeri.

Memakai apa yang paling bermanfaat (sesuai) untuk badan, paling ringan dan mudah dipakai dan ditangkalkan.” (Ibn Qaiyyim, Zad al-Ma‘ad, 4/237, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Tanpa disedari sebenarnya fesyen telah banyak mengubah manusia, apabila di perhatikan fesyen-fesyen masa kini terlalu berbeza dari asalnya.

Jika pada zaman dahulu pakaian seperti baju Melayu, baju kurung serta baju kebaya di agung-agungkan kerana ia melambangkan kesopanan, tradisi, adat serta budaya kepada pemakainya.

Akan tetapi setelah dunia melalui arus pemodenan dan berteknologi fesyen menjadi semakin tidak senonoh dan mengairahka serta provokatif.

Perkara sebegini adalah amat bertentangan dengan syariat serta sedikit sebanyak boleh menjejaskan akidah ummat islam.

Biar papa asal bergaya adalah pepatah yang sesuai digunakan kepada mereka yang terlalu obses kepada gaya fesyen terkini, mereka sanggup berhabis duit semata-mata untuk memuaskan hati dan kelihatan cantik di mata masyarakat.

Namun begitu ada juga yang sanggup mengikat perut dan berhutang sana-sini semata-mata untuk bergaya.

Oleh kerana sikap segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa mereka yang tidak berfesyen adalah kolot dan ketinggalan zaman menjadikan manusia lebih terdorong untuk berfesyen dan sanggup menjadi hamba kepada fesyen, sehinggakan mengundang kepada pembaziran harta dan wang ringgit.

Justeru itu, kita seharusnya bijak untuk berfesyen supaya ia tidak melanggari batas-batas yang dibenarkan.

Harakah Daily

Anak Presiden PAS patah jari bergelut dengan peragut

2 Rejab 1433H. [MOD] -

MARANG: Anak Presiden PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi patah jari selepas bergelut menangkap peragut yang cuba meragut beg tangan isterinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam kelmarin, Khalil bersama isteri Dr Farhana Hasbullah, 32, dan dua anaknya, Omar, 3, dan Ali, 9 sedang makan disebuah kedai di tepi jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan.

Menurut Khalil yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Marang, dia singgah di kedai itu selepas isterinya mengeluarkan sejumlah wang dari mesin auto teller (ATM), di sebuah stesen minyak berdekatan tempat kejadian.

Ketika sedang menikmati makan malam, beliau mendakwa melihat suspek yang membonceng sebuah motosikal masuk ke dalam kedai makan dan menuju ke arah tempat membasuh tangan sambil memesan lapan bungkus nasi.

“Secara tiba-tiba dia (suspek) menyambar beg tangan milik isteri di atas meja hingga menyebabkan isteri dan anak dalam ribaannya berusia 9 bulan jatuh dari kerusi selepas dia cuba menghalang suspek dari melarikan beg tangannya itu.

“Saya kemudian mengejar suspek dan berlaku sedikit pergelutan tetapi akhirnya berjaya menangkapnya. Pergelutan juga menyebabkan sebatang jari saya patah dan betis kanan tercedera,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Rusila, di sini, semalam.

Ekoran kejadian itu, beliau membuat satu laporan polis di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu.

Harakah Daily

Rafizi lawan KJ, Najib yang tertekan

2 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Walaupun debat berlangsung antara Mohd Rafizi Ramli dengan Khairy Jamaludin namun yang paling tertekan dengan debat malam tadi adalah Datuk Seri Najib Razak.

Ini ekoran, kesimpulan yang dibuat oleh moderator debat itu, Dr Maszlee Malik yang mendesak debat diadakan pula antara Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Maszlee membuat kesimpulan itu di akhir debat dengan mendesak agar debat itu pula diadakan selepas debat semalam berjalan dengan baik dan penuh kematangan.

Anwar sejak sekian lama mengajak Najib berdebat namun pelbagai alasan diberikan oleh pimpinan BN dan Najib sendiri.

Debat antara Khairy dengan Rafizi semalam merupakan kali kedua berlangsung antara mereka.

Yang pertama kali dibuat di London di depan pelajar dan rakyat Malaysia di sana.

Debat malam tadi pula dianjurkan oleh akhbar Sinar Harian dengan kerjasama Astro Awani yang membuat siaran langsung dalam medianya.

Bagi Dr Dzulkefly Ahmad, anggota Parlimen Kuala Selangor yang bersama-sama penonton untuk kedua-dua debat itu, Khairy lebih berjaya dalam pusingan pertama di London.

Namun malam tadi jelas Rafizi lebih berjaya dan mendapat sokongan umum ekoran pendekatan yang dibawanya.

"Saya berada di London ketika debat mereka. Saya mengaku ketika itu Khairy di depan. Tetapi malam tadi, hujjah Rafizi jauh lebih baik. Jadi 1-1 lah," kata Dr Dzul.

Ramai penonton debat malam tadi memberikan pujian kepada Rafizi kerana berjaya membawa hujjahnya dengan baik.

"Rafizi jauh lebih baik pada persepsi awam kerana Khairy terlalu defensif," kata salah seorang dari pengulas politik.

Bagi Astro Awani dalam berita mereka, debat semalam disifatkan pembukaan kepada sikap kematangan dalam politik negara.

Laporan sebegini memberikan tekanan yang lebih berat kepada Najib agar menerima cabaran berdebat dengan Anwar.

Tambahan lagi, kesimpulan yang dibuat oleh moderator malam tadi menyebabkan para penyokong Umno di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf benar-benar marah kepada kesimpulan Dr Maszlee itu.

Menurut penonton yang berada di dewan itu, sekumpulan penyokong Umno marah kepada pihak penganjur yang membenarkan Dr Maszlee menekan Najib sebegitu rupa.

Harakah Daily

Gagal bunuh diri di Niagara Falls

2 Rejab 1433H. [MOD] -

NIAGARA FALLS - Seorang lelaki cedera parah selepas bertindak nekad terjun di Niagara Falls, Ontario, Kanada dan menjadi individu ketiga yang hidup selepas jatuh tanpa sebarang alat keselamatan, kelmarin.

Menurut Ketua Platun Niagara Falls, Dan Orescanin, saksi ternampak lelaki itu memanjat susur tangga setinggi sembilan meter ditingkat Horseshoe, kira-kira jam 10 pagi dan kemudian melompat ke dalam sungai Niagara.

Dan berkata, lelaki itu ditemui dalam keadaan separuh sedar dan cedera di dada termasuk patah tulang rusuk hingga menyebabkan satu daripada paru-parunya gagal berfungsi.

Jurucakap Hospital Besar Hamilton berkata, lelaki lewat 30-an itu dalam keadaan kritikal tetapi mampu diselamatkan.

Pada tahun 2003 dan 2009, dua individu terjun dari tempat sama dan dilaporkan hidup tetapi ditemui dalam keadaan kritikal.

Sinar Harian

Perang di Afghanistan tamat menjelang 2014?

2 Rejab 1433H. [MOD] -

CHICAGO - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) semalam, menegaskan untuk menamatkan perang di Afghanistan sekali gus memanggil balik pasukan tentera antarabangsa menjelang akhir tahun 2014.

Setiausaha Agong Nato, Anders Fogh Rasmussen berkata, rancangan itu memerlukan penyerahan tanggungjawab keselamatan kepada pasukan Afghanistan pada tahun 2013, kemudian menarik balik kuasa-kuasa asing pada tahun berikutnya.

Menurutnya, misi Nato yang baru dan berbeza akan memberi nasihat, melatih selain membantu kira-kira 350,000 tentera Afghanistan secara berperingkat.

“Rancangan itu turut disokong oleh Presiden Afghanistan Hamid Karzai,” katanya pada akhir sidang kemuncak dua hari melibatkan para pemimpin perikatan.

Rasmussen berkata, rancangan itu telah dimuktamadkan dan tahun 2014 akan menjadi tahun di mana Amerika Syarikat (AS) tidak akan membelanjakan wang yang banyak di negara bergolak, Afghanistan seperti sekarang.

“Peralihan dan pengunduran tentera AS dan kuasa-kuasa Nato yang lain di Afghanistan pada akhir tahun 2014 bakal memberi impak kepada Afghanistan dan negara-negara bersekutu kami,” katanya.

Sinar Harian

Tebuk dinding kedai, barang kemas RM30,000 lesap

2 Rejab 1433H. [MOD] -

TUMPAT – Sebuah kedai emas di Wakaf Bharu, di sini, dipecah masuk oleh perompak serta melarikan barang kemas bernilai RM30,000 selepas dindingnya ditebuk, awal pagi kelmarin.

Kejadian itu disedari oleh pemiliknya, Che Zali Che Ahmad, 45, kira-kira jam 9.30 pagi ketika ingin membuka kedai tersebut.

“Ketika saya datang untuk membuka kedai emas tiada apa-apa yang mencurigakan. Namun selepas diberitahu pemilik kedai baiki motosikal di sebelah kedai saya bahawa kedai saya dipecah masuk, saya terus bergegas masuk ke dalam kedai untuk memeriksanya.

“Saya memang terkejut apabila mendapati ada kesan tebukan di dinding dan beberapa bentuk cincin lesap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi memberitahu, kejadian pecah masuk kedai emas itu dipercayai berlaku antara jam 3 hingga 4 pagi kelmarin.

“Perompak masuk melalui kedai baiki motosikal dengan memotong mangga kedai tersebut sebelum menebuk dinding untuk masuk ke kedai emas yang berada di lot tengah bersebelahan kedai motosikal tersebut,” katanya.

Katanya, kedai motosikal dan kedai emas mangsa berdekatan dengan Pasar Wakaf Bharu itu hanya dipisahkan oleh papan nipis dan perompak pecah masuk ke kedai emas itu selepas menebuk dinding nipis itu.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian RM30,000 apabila beberapa bentuk cincin perak dan emas dilarikan perompak.

“Barang emas di dalam peti besi tidak diusiknya kerana berkunci. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

4 kereta terpakai disyaki dibakar

2 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU- Empat kereta terpakai didapati terbakar disyaki angkara perbuatan khianat di Jalan Raja Perempuan Zainab II, Kubang Kerian, di sini, awal pagi Ahad lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.15 pagi di sebuah premis kereta terpakai di sini, menyebabkan kereta jenis Mercedes Benz E240, Myvi, Proton Waja dan Honda Jazz mengalami kerosakan teruk.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Deputi Superintendan Zaki Ibrahim berkata, pemiliknya membuat laporan polis pada jam 1.32 pagi.

“Pengadu mengesyaki bekas pemilik kereta Honda Jazz yang dijual dan dipamerkan di kedai keretanya itu, terlibat dalam kejadian terbabit kerana sebelum ini, dia pernah berselisih faham dengan pemiliknya mengenai pembayaran dan milikan kereta itu. Atas laporan terbabit, polis melakukan tinjauan ke tempat kejadian di samping mengambil keterangan dan turut melakukan pemeriksaan di kawasan itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zaki berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan, kereta Mercedes Benz hangus kesemuanya, Honda Jazz terbakar di bahagian depan manakala Waja dan Myvi terbakar bahagian tepi.

“Setakat ini kita masih menunggu laporan bomba dan akan membuka kes di atas kesalahan melakukan perbuatan khianat. Polis masih menyiasat punca dan kerugian akibat kejadian itu," katanya.

Sinar Harian

JKDM temui syabu RM1.28 juta dalam bingkai

2 Rejab 1433H. [MOD] -

NILAI – Bagi mengaburi mata penguat kuasa, sindiket dadah antarabangsa menggunakan helah baru dengan menyeludup dadah jenis syabu dalam bingkai gambar dengan kertas karbon bagi menge­lak dikesan mesin pengimbas.

Modus operandi itu terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang lelaki warganegara India yang tiba di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) kira-kira 1.20 pagi, kelmarin.

Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik, Liah Omar berkata, lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai dari Bangalore bersendirian dengan membawa sebuah bagasi mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan dan imbasan ke atas bagasi, suspek mendapati terdapat 10 bingkai gambar mencurigakan bersama pakaian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat bungkusan plastik mengandungi dadah jenis syabu di setiap bingkai gambar berjumlah 5.12 kilogram (kg) dengan anggaran nilai pasaran RM1.28 juta,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Narkotik Nilai, dekat sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang berniaga secara kecil-kecilan di negara asalnya itu dipercayai pernah datang ke negara ini sebelum ini berdasarkan dokumen perjalanannya.

“Sindiket amat licik yang mana menggunakan kertas karbon bagi mengelak dikesan daripada mesin pengimbas selain bingkai gambar yang tidak menunjukkan sebarang keraguan,” katanya.

Sinar Harian

Terlepas tali gantung

2 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang warga Thailand tersenyum lebar apabila terlepas hukuman mati selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas tuduhan memiliki bom rekaan sendiri dan peluru hidup untuk tujuan diperdagangkan, dua tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah membuat keputusan itu terhadap Mohamad Khairi Seman, 30, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan melampaui munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Mohamad Khairi diwakili peguam bela, Latifah Ariffin, sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Julia Ibrahim.

Pelajar sekolah pondok itu diputuskan tidak bersalah pada dua tuduhan bersama beberapa yang masih bebas, berdagang (menghasilkan untuk tujuan edaran) senjata api iaitu empat bom rekaan sendiri dan memiliki 258 peluru hidup di sebuah rumah Kampung Gebeng, Bakong, Pasir Mas pada jam 1.40 petang, 14 Disember 2009.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dijatuhi hukuman mati dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru.

Azman dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak perlu mempercayai cerita tertuduh sama ada benar atau tidak, tetapi cukup setakat cerita tersebut dapat menimbulkan keraguan yang munasabah.

“Dari pembelaan tertuduh, saya berpuas hati rumah itu didiami lebih tiga orang selain tertuduh dan dua lagi yang dibebaskan serta penghuni wanita. Terlalu ramai Deoxyribonucleic Acid (DNA) dari berus gigi dan tidak ada pula
DNA tertuduh pada berus gigi itu.

“Keterangan tertuduh yang datang ke rumah itu semata-mata untuk berubat disokong saksi, Dr Seri Buana Zainuddin yang menyatakan tertuduh datang dalam keadaan diusung dan dipapah kerana sakit.

“Pengakuan tertuduh bahawa dia lari dari jaminan selepas ditahan kerana disyaki penentang Kerajaan Thailand memberi gambaran tertuduh seorang yang bercakap benar walaupun pengakuan itu memberi kesan negatif kepadanya,” katanya.

Sejurus keputusan dibacakan, Mohamad Khairi kelihatan tersenyum lebar berbanding wajah suramnya sebelum keputusan itu diumumkan.

Terdahulu, dua lagi rakannya, Mat Yunai Che Dolah, 35, dan Mohd Sidek Ali, 40, terlebih dulu dilepas dan dibebaskan mahkamah sama, 17 Februari lalu.

Sinar Harian

Tragedi tanah runtuh: Arwah minta pasang mozek bilik air

2 Rejab 1433H. [MOD] -

Slim River - “Dia beria-ia sangat nak pasangkan mozek pada lantai bilik air yang licin kerana bimbang makcik jatuh walaupun ketika itu dia tidak bekerja.

“Tak sangka bila dia dapat kerja semalam dan keluar rumah awal pagi menjadi detik akhir makcik melihat wajahnya,” luah Zahara Yeop, 60, ibu kepada Mohd Noor Fitri Musa, 25, yang mati tertimbus tanah runtuh, semalam.

Zahara berkata, keinginan anak kelapannya itu amat menghairankan kerana Mohd Noor Fitri yang bekerja kontrak dengan sebuah syarikat telekomunikasi sudah tiga hari tidak bekerja, tambahan pula dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk memasang mozek tersebut.

Menurutnya, dia sangat sedih apabila mengenangkan hajat anaknya itu yang tidak kesampaian.

“Dia balik rumah kira-kira jam 4 pagi semalam dan makcik lihat dia masuk tutup tingkap, tutup pintu dan berulang-alik dari ruang tamu ke bilik, dalam hati makcik ni kata, kenapalah anak aku ni macam gelisah sangat.

“Kemudian, awal pagi lagi dia sudah keluar setelah dapat panggilan­ ada kerja di Felda Besout. Makcik pun tak sempat siapkan sarapan sebab kebiasaannya makcik jaga makan minum dia, tapi pagi tadi memang tak sempat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River.

Zaharah berkata, dia hilang selera makan ketika diajak suaminya, Musa Embok untuk makan tengah hari semalam.

Menurutnya, kebiasaannya dia makan bersama suami selepas selesai menghidangkan makanan, tetapi semalam segalanya berubah.

Katanya, selang beberapa minit, kira-kira jam 2 petang suaminya menerima panggilan daripada majikan anaknya memberitahu tragedi malang itu.

Mohd Noor Fitri ditemui mati tertimbus tanah runtuh setelah melakukan kerja pembaikan kabel telekomunikasi di Felda Besout 2 dekat sini semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat keadaan tanah yang telah digali tidak kukuh menyebabkannya runtuh dan menimbus mangsa bersama tiga lagi rakannya.

Bagaimanapun, rakan mangsa berjaya diselamatkan dan hanya mengalami cedera ringan.

Difahamkan, kawasan tersebut merupakan kawasan tanah runtuh dan kehadiran mangsa untuk membuat kerja membaik pulih dan penyelenggaraan di kawasan itu setelah menerima aduan kerosakan kabel yang berpunca daripada tanah runtuh.

Sinar Harian

Tragedi tanah runtuh: Arwah minta pasang mozek bilik air

2 Rejab 1433H. [MOD] -

Slim River - “Dia beria-ia sangat nak pasangkan mozek pada lantai bilik air yang licin kerana bimbang makcik jatuh walaupun ketika itu dia tidak bekerja.

“Tak sangka bila dia dapat kerja semalam dan keluar rumah awal pagi menjadi detik akhir makcik melihat wajahnya,” luah Zahara Yeop, 60, ibu kepada Mohd Noor Fitri Musa, 25, yang mati tertimbus tanah runtuh, semalam.

Zahara berkata, keinginan anak kelapannya itu amat menghairankan kerana Mohd Noor Fitri yang bekerja kontrak dengan sebuah syarikat telekomunikasi sudah tiga hari tidak bekerja, tambahan pula dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk memasang mozek tersebut.

Menurutnya, dia sangat sedih apabila mengenangkan hajat anaknya itu yang tidak kesampaian.

“Dia balik rumah kira-kira jam 4 pagi semalam dan makcik lihat dia masuk tutup tingkap, tutup pintu dan berulang-alik dari ruang tamu ke bilik, dalam hati makcik ni kata, kenapalah anak aku ni macam gelisah sangat.

“Kemudian, awal pagi lagi dia sudah keluar setelah dapat panggilan­ ada kerja di Felda Besout. Makcik pun tak sempat siapkan sarapan sebab kebiasaannya makcik jaga makan minum dia, tapi pagi tadi memang tak sempat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River.

Zaharah berkata, dia hilang selera makan ketika diajak suaminya, Musa Embok untuk makan tengah hari semalam.

Menurutnya, kebiasaannya dia makan bersama suami selepas selesai menghidangkan makanan, tetapi semalam segalanya berubah.

Katanya, selang beberapa minit, kira-kira jam 2 petang suaminya menerima panggilan daripada majikan anaknya memberitahu tragedi malang itu.

Mohd Noor Fitri ditemui mati tertimbus tanah runtuh setelah melakukan kerja pembaikan kabel telekomunikasi di Felda Besout 2 dekat sini semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat keadaan tanah yang telah digali tidak kukuh menyebabkannya runtuh dan menimbus mangsa bersama tiga lagi rakannya.

Bagaimanapun, rakan mangsa berjaya diselamatkan dan hanya mengalami cedera ringan.

Difahamkan, kawasan tersebut merupakan kawasan tanah runtuh dan kehadiran mangsa untuk membuat kerja membaik pulih dan penyelenggaraan di kawasan itu setelah menerima aduan kerosakan kabel yang berpunca daripada tanah runtuh.

sinar harian/-

Piala Thomas-Uber : Jadual perlawanan (suku akhir)

2 Rejab 1433H. [MOD] -

Berikut jadual perlawanan suku akhir yang akan berlangsung hari ini.

Suku akhir

Piala Thomas
Malaysia mln China
Jepun mln Indonesia
Rusia mln Denmark
Jerman mln Korea Selatan

Piala Uber,
China mln Jerman
Thailand mln Denmark
Taiwan mln Korea
Indonesia mln Jepun

Sinar Harian

Hilang dalam tempoh 24 jam

2 Rejab 1433H. [MOD] -

JERTIH - Dua kenderaan pacuan empat roda (4X4) dilaporkan hilang dalam tempoh 24 jam di sekitar Bandar Jertih, di sini, dipercayai dicuri dalam dua kejadian berasingan, malam semalam.

Kenderaan berkenaan adalah Mitsubishi Pajero milik Pejabat Daerah Besat (PDB) yang dilaporkan dicuri dibengkel di Cabang Tiga, Jertih manakala sebuah Suzuki Jimny, milik seorang ahli perniagaan yang diletakkan di depan di depan kedai di gudang lama Jertih turut dilarikan awal pagi semalam.

Pemilik bengkel di Simpang Tiga Jertih, Riduan Mokhtar, 47, berkata, kehilangan kenderaan jenis Pajero itu disedarinya ketika ingin membuka bengkelnya kira-kira jam 9 pagi semalam.

Menurutnya, kenderaan milik PDB itu telah siap dibaik pulih dan sepatutnya akan diambil oleh kakitangan terbabit semalam, tetapi malangnya telah dicuri lebih awal.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bengkel saya menunjukkan kenderaan tersebut dicuri sekitar jam 6.23 pagi. Seorang lelaki dilihat dengan mudah membuka pintu Pajero itu dan menghidupkan enjin sebelum melarikan ke arah Kampung Raja.

“Suspek mengambil masa kira-kira 30 saat sahaja untuk melarikan kereta itu, manakala pada masa sama terdapat sebuah kereta dipercayai dipandu oleh rakan suspek berada di luar bengkel,” katanya.

Riduan yang mengusahakan bengkel membaiki pulih kenderaan jabatan kerajaan, swasta dan persendirian kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Jertih.

Katanya, kejadian itu pertama kali berlaku kerana sebelum ini, hanya membabitkan kecurian besi dan alat ganti kenderaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kehilangan itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek dan kenderaan terbabit.

Beliau turut menasihatkan pemilik kenderaan memastikan kenderaan dipasang kunci tambahan bagi mengelak atau menyukarkan ia dicuri.

Sinar Harian

2 nyaris maut lori terbabas

2 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA KRAI - Pemandu dan kelindan sebuah lori nyaris maut apabila kenderaan mereka terbabas dari tebing curam lalu terjunam kira-kira 200 meter ke dalam semak tebal berhampiran Sekolah Menengah Teknik Kuala Krai, di sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 8 pagi di Jalan Kuala Krai-Gua Musang itu, pemandu lori dikenali sebagai Zawawi, 39, hanya cedera ringan di tangan manakala kelindan, Johairi Mat Jusoh, 30, tidak cedera.

Ketika kejadian, lori milik syarikat perkhidmatan logistik berpengkalan di Petaling Jaya, Selangor itu dikatakan dalam perjalanan menghantar barangan elektrik dan ubat-ubatan dari Glenmarie, Shah Alam ke Kota Bharu.

Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu lori terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dari tebing jalan pada kecuraman kira-kira lima meter ke dalam semak tebal di kawasan itu menyebabkan bahagian hadapan kenderaan berkenaan rosak teruk.

Kelindan tidur ketika nahas

Sementara itu, Johairi berkata, dia tidak tahu punca sebenar kemalangan itu kerana sejurus sebelum kejadian, dia baru lelapkan mata kerana keletihan selepas bertolak dari Shah Alam kira-kira jam 10 malam, kelmarin.

“Saya baru terlelap bila tiba-tiba terasa gegaran kuat dan terus tersedar. Waktu itu, saya tak dapat buat apa-apa, hanya mampu jerit ‘ALLAH’, ‘ALLAH’,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Johairi dari Ketereh, dekat Kota Bharu dan baru dua tahun bekerja dengan syarikat itu berkata, dia amat bersyukur kerana terselamat dan tidak cedera dalam kejadian berkenaan.

Katanya, dia dan Zawawi juga bernasib baik kerana lori terbabit tidak terlanggar pokok kelapa sawit di tebing jalan dan pokok besar dalam semak tebal itu ketika terbabas.

“Nasib baik ketika terbabas dengan laju menuruni tebing jalan, tidak ada pokok besar dalam laluan lori, kalau tidak, tak tahu apa akan jadi pada kami berdua,” katanya.

Zawawi bagaimana pun gagal ditemu bual kerana dikatakan berada di Hospital Kuala Krai bagi membuat pemeriksaan tangannya yang cedera dalam kejadian itu.

Satu jam keluarkan lori

Sebelum itu, usaha membawa keluar lori terbabit dari dalam semak tebal menggunakan jentolak berantai dengan bantuan tujuh pekerja mengambil masa kira-kira satu jam.

Jentolak terlebih dahulu membersihkan kawasan semak untuk dijadikan laluan keluar, sementara pekerja membuang dahan, ranting pokok dan semak samun pada lori.

Lori mula ditarik keluar pada jam 10.30 pagi dan terhenti seketika apabila badan kenderaan itu tersangkut pada sebatang pohon besar sebelum akhirnya berjaya dibawa keluar pada jam 10.40 pagi.

Dalam pada itu, sehingga jam 5 petang ini (semalam), polis masih belum menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Sinar Harian

Ong Kim Swee: Jangan sensasikan Nazmi

2 Rejab 1433H. [MOD] -

PENGENDALI skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee meminta media di negara ini tidak terlalu mensensasikan kejayaan Nazmi Faiz Mansor mengikat kontrak bersama SC Beira-Mar yang beraksi dalam saingan Liga Premeira, Portugal.

Katanya, ia bagi mengelakkan tumpuan pemain itu terjejas pada misi kelayakan Piala Asia B-22 yang akan bermula 23 Jun hingga 3 Julai nanti.

“Bukan bermaksud saya tidak mahu berkongsi kegembiraan tersebut, tetapi alangkah baik jika kegembi­raan itu dapat digandakan apabila kita berjaya melepasi pusingan kelayakan pada pertengahan bulan depan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di Slovakia, semalam.

Dalam pada itu, Kim Swee memaklumkan, ujian pemilihan membabitkan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dengan kelab Divisyen 3 Jepun, FC Ryukyu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Katanya, tempoh ini bukan masa yang sesuai untuk membicarakan soal kontrak mahupun perjanjian dengan kelab luar negara.

“Kami akan menyambung semula perbincangan selepas sesi kelayakan dan saya juga akan turut mengumumkan beberapa lagi nama pemain yang mungkin akan menjalani sesi ujian pemilihan bersama beberapa kelab di benua Eropah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Harimau Muda bakal memulakan siri perlawanan persahabatan menentang kelab Hungary, Ferencvaros hari ini.

Namun, Kim Swee memberitahu skuadnya terpaksa beraksi tanpa khidmat pertahanan, Mohd Amer Saidin yang tercedera ketika sesi latihan.

“Ketiadaanya tidak menjejaskan pasukan. Esok (hari ini) saya akan turunkan Shahrul Saad dan Mohd Syazwan Tajuddin yang jarang beraksi.

“Saya mahu beri mereka peluang menimba pengalaman serta merasai situasi beraksi menentang pasukan luar negara,” katanya.

Sinar Harian

Malaysia jumpa China suku akhir Piala Thomas

2 Rejab 1433H. [MOD] -

WUHAN 23 Mei - Perkara yang paling ditakuti Malaysia akhirnya menjadi kenyataan apabila kita diundi menentang pilihan pertama dan juara empat kali berturut-turut, China pada suku akhir Piala Thomas, hari ini.

Sudahlah beraksi tanpa jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa pulang awal akibat kecederaan, pertemuan dengan tuan rumah itu ibarat 'masuk mulut naga' dan hanya keajaiban mampu membawa kita mengatasi gergasi badminton dunia itu untuk melangkah ke separuh akhir.

Terpaksa menentang China di suku akhir juga bermakna, sasaran separuh akhir yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya tinggal 30 peratus untuk dipenuhi, namun ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her menegaskan, pasukan negara tidak akan menyerah kalah sebelum memasuki gelanggang.

"Kita adalah underdog dalam perlawanan ini. Memang kita sudah menjangkakan undian seperti ini akan diterima apabila kita gagal menjuarai Kumpulan C, apa boleh buat kita kena menerimanya dan tidak boleh mengelak lagi.

"Di atas kertas dan gelanggang, China amat kuat dalam semua bahagian. Kita tidak boleh berahsia lagi mengenai barisan perseorangan kerana tanpa Chong Wei, hanya ada Liew Daren, Muhammad Hafiz (Hashim) dan Chong Wei Feng.

"Untuk acara beregu, saya rasa pendekatan kali ini lebih straight foward. Tiada guna kita tukar kombinasi, mungkin kita akan turunkan saja yang terbaik, namun itu belum diputuskan dan saya masih perlu berbincang dengan barisan jurulatih lain," ujar Kim Her.

Kim Her juga menegaskan, biarpun China merupakan pilihan untuk memenangi pertemuan ini, tetapi beliau mahu pemain Malaysia memberikan persembahan terbaik dan jangan mengaku kalah awal.

Ditanya apakah keajaiban 2002 mampu diulangi, apabila Malaysia mengejutkan China 3-1 pada separuh akhir di Guangzhou, jurulatih itu cuma berkata: "Susah hendak mengulanginya, seperti yang saya kata, kami akan cuba yang terbaik."

Pasukan negara tidak memiliki rekod baik setiap kali bertemu China dalam saingan Piala Thomas, malah pertemuan terakhir di Kuala Lumpur, dua tahun lalu menyaksikan kita tewas 0-3 di separuh akhir, di mana Chong Wei kalah mudah kepada Lin Dan ketika itu.

Indonesia, yang dianggap antara sebagai pencabar utama China pada kejohanan kali ini juga gagal memberi tentangan kepada gergasi dunia itu apabila dibelasah 5-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, semalam. - UTUSAN

Penjaga zoo paling tua di Bulgaria

2 Rejab 1433H. [MOD] -

BEHCET bermain dengan seekor anak singa berusia lapan bulan di sebuah zoo di Razgard, Bulgaria pada 12 Mei lalu.

SOFIA - Seorang lelaki berusia 82 tahun, Behcet Ali merupakan penjaga zoo yang paling tua di Bulgaria.

Dia bertugas di sebuah zoo di bandar Razgard, kira-kira 350 kilometer ke timur laut bandar raya ini.

Behcet terkenal kerana dia membesarkan 15 ekor anak singa semasa bertugas selama 33 tahun di zoo tersebut.

Dia pernah bekerja di sebuah klinik haiwan sebelum bertugas menjadi penjaga zoo itu pada tahun 1979.

Behcet juga pernah dicakar singa dan beruang tetapi ia tidak menghalangnya daripada meneruskan tugas sebagai penjaga zoo. - AFP

[Video] Debat PTPTN - Kemantapan Hujjah Rafizi Berjaya Patahkan Dakwaan Khairy

2 Rejab 1433H. [MOD] -

Rafizi: Hutang PTPTN boleh dihapus jika kerajaan ada kemahuan

SHAH ALAM – Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menegaskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) boleh dihapuskan jika ada kemahuan di pihak kerajaan.

Sehubungan itu katanya, kos yang perlu ditanggung kerajaan untuk menghapuskan PTPTN hanya RM24 bilion berbanding perbelanjaan lain yang didakwa beliau bukan untuk saluran yang betul.

Menurutnya, jika kerajaan menghentikan ketirisan belanja yang dianggarkan bernilai RM28 bilion setiap tahun, maka ia boleh menanggung kos membayar hutang PTPTN penuntut di seluruh 21 universiti yang ada di negara ini.

Menjawap soalan pasangannya dalam Debat Sinar Harian malam ini, Khairy Jamaluddin mengenai komitmen kerajaan negeri terhadap konsep pendidikan percuma Rafizi berkata, Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu mesti berkongsi pendapatan negara secara adil.

Katanya, ini kerana kerajaan negeri tidak mendapat sepenuhnya pendapatan khususnya di Selangor dan Pulau Pinang dan itu pastinya tidak mencukupi untuk melaksanakan konsep pendidikan percuma.

“Seperti yang kita maklum, pendidikan tinggi ini dibiayai oleh kerajaan persekutuan, bukan kerajaan negeri.

“Berapa sen sangatlah kami (pembangkang) dapat daripada pendapatan Selangor dan Pulau Pinang sedangkan kita bermasalah kerana mewarisi kolej-kolej dan universiti daripada Barisan Nasional,” katanya.

Berhubung masalah kos penubuhan IPT, beliau membidas hujah Khairy dengan berkata, sebenarnya kos pembinaan sesebuah IPT tidaklah tinggi seperti yang didakwa oleh Ketua Pemuda Umno tersebut.

Katanya, sebaliknya kos yang berganda itu adalah perbelanjaan ‘atas angin’

selangorku/-

Penjara Syria bagai rumah sembelih

2 Rejab 1433H. [MOD] -

Penulis Palestin ditahan hampir 3 minggu dedah deraan dilakukan pasukan keselamatan

AMMAN: Seorang penulis Palestin yang dipenjarakan di Syria hampir tiga minggu menyifatkan penjara terbabit sebagai 'rumah sembelihan manusia' sambil mendedahkan ejen keselamatan memukul tahanan dengan belantan, menyumbat mereka secara beramai-ramai dalam bilik tahanan yang berbau dan mengikat mereka di katil ketika waktu malam.

Salameh Kaileh, 56, ditahan pada 24 April kerana disyaki mencetak risalah menggesa penyingkiran Presiden Syria, Bashar Assad yang berhadapan dengan kebangkitan menentang pemerintahannya selama 15 bulan. Cerita Kaileh memberikan sepintas lalu mengenai keadaan yang terpaksa dihadapi banduan yang ditahan perkhidmatan keselamatan negara terbabit.

Salameh Kaileh, 56, ditahan pada 24 April kerana disyaki mencetak risalah menggesa penyingkiran Presiden Syria, Bashar Assad yang berhadapan dengan kebangkitan menentang pemerintahannya selama 15 bulan.

Cerita Kaileh memberikan sepintas lalu mengenai keadaan yang terpaksa dihadapi banduan yang ditahan perkhidmatan keselamatan negara terbabit. “Ia seperti neraka dunia,” kata Kaileh kepada Associated Press pada Ahad, hampir seminggu selepas pihak berkuasa Syria membebaskan beliau dan menghantarnya ke Jordan.

Bercakap di kediaman rakannya di sebuah bandar di Amman, Kaileh turut memiliki kesan lebam pada kakinya akibat dipukul dengan belantan kayu yang dilekatkan dengan jarum dan paku.

“Saya rasakan saya akan mati di tangan penyiasat yang kejam, ganas dan berterusan memukul, yang turut mengikat saya dengan tali yang digantung pada siling,” kata Kaileh, berambut putih yang kelihatan tidak bermaya untuk berdiri.

Dilahirkan di Birzeit, Tebing Barat, Kaileh turut menderita di bawah rejim itu di Damsyik sebelum ini. Beliau dipenjarakan kerajaan Syria pada 1992 selama lapan tahun kerana didakwa mempunyai kaitan dengan komunis bawah tanah Syria dan kumpulan pembangkang sayap kiri.

Beliau yang dikenali sebagai berhaluan kiri menulis buku mengenai perkara membabitkan Marxism hingga ke nationalisme Arab.

Kali ini beliau ditahan di sekurang-kurangnya empat pusat tahanan selepas pasukan keselamatan menahannya di kediamannya di Damsyik, ibu negara Syria di mana beliau tinggal lebih 30 tahun.

Kaileh menafikan menulis risalah itu yang didakwa beliau menimbulkan kemarahan rejim kerana ia berbunyi: “Untuk pembebasan Palestin, rejim Syria perlu jatuh.”

Syria sering menganggap sokongan Kaileh kepada Palestin menyebabkan kebangkitan nasionalisme Arab.

Penahanan Kaileh menyebabkan kemarahan intelektual Arab, yang meminta supaya beliau dibebaskan dan membidas Assad yang menyifatkan tindakan keras beliau tidak terkecuali kepada intelektual dan artis lain.

Ali Ferzat, seorang kartunis politik yang melukis luahan kekecewaan rakyat Syria, dipukul oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika meninggalkan studio beliau di Damsyik Ogos lalu. Penyerang turut mematahkan tangan dan membiarkan beliau di tepi jalan di Damsyik.

Sekumpulan intelektual dan artis termasuk aktres Syria May Skaff, turtu ditahan dan dipenjarakan selama seminggu musim panas lalu selepas mengadakan satu bantahan di Damsyik.

Mengingati penahanannya, Kaileh berkata pasukan risikan Syria menyerbu kediamannya di Damsyik sebaik saja tengah malam.

“Mereka menggari dan menutup mata saya, mereka mengambil tiga komputer riba, telefon bimbit dan mengoyak kertas yang boleh dicapai tangan mereka,” katanya. – AP

Anwar dakwa Najib guna mahkamah untuk sekat kemaraannya

2 Rejab 1433H. [MOD] -

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan proses mahkamah untuk membendung kemaraan beliau ketika pilihan raya kini semakin hampir.

Beliau juga mendakwa, tuduhan ke atasnya hari ini berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 juga satu tindakan politik yang dirancang dan juga untuk mengelak isu pilihan raya yang dibawa dalam perhimpunan 28 April itu.

"Najib perlu menghadapi saya dalam pilihan raya dan dia mahu gunakan mahkamah untuk bantu dia. Saya hendak beritahu Najib, pilihan raya itu diputuskan rakyat," katanya.

Tambahnya, Najib juga tidak boleh menggunakan undang-undang Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan dengan bantahan keras pembangkang "untuk menakut-nakutkan dan menghalang seteru politik" sepertinya.

Anwar bagaimanapun yakin bahawa kes berkenaan tidak akan menjejaskan kempennya.

"Najib guna pendakwa iaitu Tan Sri Gani Patail untuk tujuan politik beliau – saya akan berusaha dengan rakan-rakan, teruskan jalan kegiatan politik walaupun hadir ke mahkamah.

“Pendakwaan mahu saya terikat dengan proses mahkamah dan mereka mahu meminta tarikh (perbicaraan) lebih awal. Bagaimanapun, pasukan pembelaan membantah," katanya.

Tarikh perbicaraan pada 2 Julai itu akan memberikan tempoh sebulan lagi kepadanya untuk berkempen secara aktif, kata Anwar.

"Yang dielak (Najib) adalah isu pokok iaitu isu pilihan raya. Ini tanda dendam kesumat beliau guna aparatus pemerintah untuk tekan kami," katanya kepada pemberita selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan tersebut.

Beliau serta dua lagi pemimpin PKR – timbalan presiden Azmin Ali dan bekas ahli majlis pimpinan pusat, Badrul Hisham Shaharin – didakwa mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam yang perhimpunan BERSIH 3.0.

Tuduhan itu juga atas dakwaan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April.

Mereka juga menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, iaitu bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

malaysiakini/-