23 Mei 2012

Pekerja kontrak maut tertimbus

2 Rejab 1433H. [MOD] -

SUNGKAI - Seorang pekerja kontrak Telekom Malaysia Bhd maut manakala dua rakannya mengalami cedera ringan apabila tertimbus dalam timbunan tanah ketika melakukan kerja baik pulih di Felda Besout 2, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Superintendan Osman Nayan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari dan mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd Nor Fitri Musa, 25.

Menurutnya, mangsa bersama dua lagi rakannya, Nuzul Mohamad Shaari, 25, dan Mohd Shahril Zaidi Mohd Ismail, 24, sedang melakukan kerja mengorek lubang untuk menanam kabel di kawasan berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa berasal dari Kampung Mak Teh, Tapah Road.

Osman berkata, Mohd Nor Fitri meninggal dunia di Klinik Kesihatan Felda Besout akibat cedera parah di bahagian kepala, manakala dua lagi rakannya yang cedera turut dirawat di klinik sama.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa tertimbus apabila tanah di bahagian tepi tebing lubang yang dikorek runtuh.

Menurutnya, dua pekerja Telekom Malaysia Bhd yang berada di tempat kejadian bagi memantau pekerja terbabit yang melakukan kerja mengorek lubang untuk syarikat berkenaan cuba membantu mangsa, tetapi gagal sebelum menghubungi polis.

“Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan menggunakan jentera pengorek dan kesemua mangsa dihantar ke klinik berhampiran­ untuk rawatan.

“Mayat Mohd Nor Fitri kemudiannya dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat dan pihak kami mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut,” katanya.


Penduduk dengar bunyi kuat

Sementara itu, salah seorang penduduk yang ditemui Sinar Harian, Kamali Mohammad, 60, berkata, dia mendengar bunyi yang kuat di tempat kejadian sebelum ke tempat berkenaan dan melihat dua lelaki ditimbus tanah.

Katanya, dua lelaki berkenaan tertimbus paras dada dan mereka tidak boleh keluar dari lubang sedalam kira-kira empat meter.

“Mereka memberitahu seorang lagi kawan tertimbus dan meminta kami untuk mengeluarkan mangsa daripada tempat kejadian.

“Penduduk bersama-sama membantu mengorek tanah untuk mengeluarkan mereka berdua dan mangsa yang tertimbus sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian,” katanya.


Aliran air bawah tanah jadi punca

kejadian malang itu dikatakan berpunca daripada punca aliran air bawah tanah yang turut menyebabkan jalan itu rebak beberapa kali sebelum ini.

Menurutnya, walaupun sebelum ini mendapat peruntukan membaik pulih jalan itu yang bernilai RM20,000, namun mendapan yang agak teruk telah berlaku sekali lagi.

“Saya difahamkan mangsa bersama rakan sedang membetulkan kabel bawah tanah sebelum ditimbus tanah yang dikorek mereka,” katanya.

Agency

Tiada ulasan: