2 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pencabulan hak asasi para peneroka berhubung paksaan dalam menandatangani borang pinjaman saham memerlukan perhatian dan tindakan serius Suhakam.
Ini kerana Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab ke atas hak asasi manusia.
Demikian ditegaskan Pengerusi Pertubuhan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman selepas menyerahkan memorandum kepada badan itu, di Menara TH Perdana, hari ini.
Mazlan, dalam aduannya di hadapan Pesuruhjaya Suhakam, Detta Samen, berkata hak untuk menandatangani borang perjanjian saham itu tertakluk atas diri peneroka itu sendiri.
"Mereka tidak boleh dipaksa jika enggan menandatanganinya. Itu hak mereka sebagai peneroka. Atas pencabulan ini kita harapkan Suhakam memberi perhatian serius terhadap perkara ini," kata beliau.
Dalam memorandum tersebut, Anak menyatakan kebanyakan peneroka Felda tidak mendapat gambaran jelas berhubung borang pinjaman saham tersebut sebelum diminta menurunkan tandatangan.
Suhakam, dalam responsnya berkata pihaknya akan meneliti dan menyiasat kandungan memorandum tersebut sebelum membuat sebarang pendirian.
Mazlan yang ditemui selepas penyerahan memorandum itu turut mencadangkan agar Suhakam mengadakan inkuiri awam berhubung isu Felda ini, selain meletakkan isu ini sebagai isu utama dalam agenda Suhakam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan menghantar memorandum ke Bank Negara, esok bagi mendesak penarikan semula borang perjanjian saham yang dikeluarkan tujuh buah bank sebelum ini.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan