2 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sivil Baharu (NCvC) Kuala Lumpur menetapkan pada 7 Jun depan bagi mendengar semula kes saman yang dikemukakan oleh Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub terhadap polis dan kerajaan Malaysia berhubung salah tangkap terhadap mereka pada perhimpunan Bersih 2.0, Julai tahun lalu.
Hakim, Dr. Prasad Sandosham Abraham menetapkan tarikh tersebut setelah mendengar keterangan dari kedua-dua Naib Presiden PAS itu.
Ketika menjawab pertanyaan pihak peguam bela mengenai tujuan mereka berdua hadir ke KL Sentral, Mahfuz dan juga Salahudin memberitahu kehadiran mereka adalah ingin mengikuti satu sidang media yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat di sebuah hotel berdekatan bukannya untuk mengikuti perhimpunan serta perarakan di ibu negara.
Mahfuz ketika ditanya siapakah pemimpin yang berada di hotel yang menjadi tempat sidang media tersebut, beliau menjelaskan bahawa dia tidak mengetahui siapa yang ada kerana tangkapan itu dilakukan sebelum beliau mengikuti sidang media tersebut.
Malah menurut mereka, tangkapan dilakukan sewaktu mereka berada di luar KL Sentral iaitu selepas menaiki tangga dari tingkat bawah sebelum di bawah ke Balai Polis Jinjang.
Pada 8 Ogos tahun lalu kedua-dua mereka memfailkan saman malu terhadap empat pihak iaitu Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara, Ketua Polis Daerah Brickfields dan seorang anggota polis Inspektor Mohd Zaid Madzizat.
Ianya ekoran dakwaan penangkapan salah terhadap mereka di KL Sentral pada 9 Julai lalu sempena himpunan Bersih 2.0 di ibu negara.
Saman tersebut difailkan menerusi syarikat guaman Tetuan Faiz Fadzil & Co bersama peguam Zulhazmi Sharif.
Kedua-dua Naib Presiden PAS itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan gantirugi teladan, kos serta lain-lain relif atau perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Selain itu, mereka juga menuntut faedah pada kadar 8 peratus setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh writ saman sehingga penyelesaian penuh.
Kedua-dua mereka sebelum ini mendakwa, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.
Mereka ditangkap kira-kira pukul 11.50 pagi sebelum ditahan hampir 10 jam di lokap polis di Balai Polis Jinjang.
Sepanjang dalam tahanan juga, pihak polis tidak mengambil apa-apa keterangan daripada mereka.
Mereka juga tidak diberitahu sebab-sebab penahanan mereka.
Mereka juga tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan