2 Rejab 1433H. [MOD] -
SEORANG penduduk memerhatikan ribut debu di sebatang jalan raya di Baghdad semalam.
BAGHDAD: Ribut debu melanda Baghdad semalam dan melitupi kawasan lapangan terbang di sini semalam, kata seorang pegawai Iraqi Airways, sehari sebelum rundingan utama antara kuasa dunia dan Iran berhubung program kontroversi republik Islam itu.
“Tiada pesawat berlepas atau mendarat kerana cuaca buruk,” kata pegawai yang enggan dikenali kepada AFP.
Pegawai berkata penutupan bermula kira-kira jam 8 pagi (0500 GMT) dan menambah bahawa empat pesawat berlepas ditangguhkan setakat ini.
Tidak jelas bila lapangan terbang itu akan dibuka semula, atau kehadiran rundingan nuklear akan terjejas akibat penutupan itu. Ketua perunding Iran, Saeed Jalili tiba di sini kelmarin.
Rundingan itu, dijangka hari ini, diadakan antara Iran dan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat termasuk Jerman.
Pusingan pertama rundingan diadakan pertengahan April lalu di Istanbul.
Iran berkata program nuklearnya, yang dilanjutkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah untuk tujuan keamanan, menjana elektrik dan menyediakan isotop perubatan, namun kebanyakan dalam masyarakat antarabangsa mengesyaki program itu adalah sebagai pelindung kepada penjanaan senjata nuklear secara rahsia.
Rundingan di sini adalah contoh terbaru di mana Iraq menganjurkan pelbagai acara untuk menunjukkan dirinya kepada dunia sebagai negara yang stabil dan tidak lagi dilingkari keganasan. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan