2 Rejab 1433H. [MOD] -
TAIPING – Seorang pelajar sindrom down maut dipercayai digilis bas sekolah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dalam satu kejadian di Jalan Raja Muda, di sini, petang semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pelajar Sekolah Semangat Maju Taiping, Ooi Shee Kai, 21, dikatakan baru turun dari bas berkenaan dan mahu melintas jalan.
Bagaimanapun, kedudukannya yang berada di hadapan bas berkenaan tidak disedari pemandu kenderaan itu sebelum bertindak merempuhnya.
Shee Kai maut di tempat kejadian sementara pembantu bas yang secara kebetulan berada hampir dengan mangsa mengalami patah kaki kiri.
Ibu mangsa, Tan Ah Yew, 60, berkata, dia difahamkan ketika kejadian, anaknya mahu melintas jalan dan dibantu seorang pembantu bas.
Menurutnya, berkemungkinan pemandu bas berkenaan menyangka pembantunya sudah masuk ke dalam kenderaan dan mahu meneruskan perjalanan.
“Saya sangat sedih dengan kehilangannya kerana dia sangat rapat dan sentiasa menemani saya sejak suami meninggal,” katanya kepada Sinar Harian.
Ah Yew berkata, sebelum kejadian, Shee Kai tidak menunjukkan sebarang petanda bahawa dia akan meninggalkannya.
Katanya, dia mungkin mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri hidup tanpa anaknya yang kebiasaannya bising ketika di rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah ketika dihubungi memaklumkan akan menjalankan siasatan lanjut termasuk menahan pemandu bas berkenaan bagi diambil keterangan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan