23 Mei 2012

Anwar dakwa Najib guna mahkamah untuk sekat kemaraannya

2 Rejab 1433H. [MOD] -

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakan proses mahkamah untuk membendung kemaraan beliau ketika pilihan raya kini semakin hampir.

Beliau juga mendakwa, tuduhan ke atasnya hari ini berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 juga satu tindakan politik yang dirancang dan juga untuk mengelak isu pilihan raya yang dibawa dalam perhimpunan 28 April itu.

"Najib perlu menghadapi saya dalam pilihan raya dan dia mahu gunakan mahkamah untuk bantu dia. Saya hendak beritahu Najib, pilihan raya itu diputuskan rakyat," katanya.

Tambahnya, Najib juga tidak boleh menggunakan undang-undang Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan dengan bantahan keras pembangkang "untuk menakut-nakutkan dan menghalang seteru politik" sepertinya.

Anwar bagaimanapun yakin bahawa kes berkenaan tidak akan menjejaskan kempennya.

"Najib guna pendakwa iaitu Tan Sri Gani Patail untuk tujuan politik beliau – saya akan berusaha dengan rakan-rakan, teruskan jalan kegiatan politik walaupun hadir ke mahkamah.

“Pendakwaan mahu saya terikat dengan proses mahkamah dan mereka mahu meminta tarikh (perbicaraan) lebih awal. Bagaimanapun, pasukan pembelaan membantah," katanya.

Tarikh perbicaraan pada 2 Julai itu akan memberikan tempoh sebulan lagi kepadanya untuk berkempen secara aktif, kata Anwar.

"Yang dielak (Najib) adalah isu pokok iaitu isu pilihan raya. Ini tanda dendam kesumat beliau guna aparatus pemerintah untuk tekan kami," katanya kepada pemberita selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan tersebut.

Beliau serta dua lagi pemimpin PKR – timbalan presiden Azmin Ali dan bekas ahli majlis pimpinan pusat, Badrul Hisham Shaharin – didakwa mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam yang perhimpunan BERSIH 3.0.

Tuduhan itu juga atas dakwaan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April.

Mereka juga menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, iaitu bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: