2 Rejab 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU -Tindakan licik seorang wanita warga Thailand mengikat wang tunai berjumlah RM109,050 di seluruh badannya sebelum masuk ke negara ini tanpa isytihar akhirnya tumpas, apabila diberkas Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), pagi kelmarin.
Ketua Pengarah UPP Malaysia, Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, wanita berusia 40 tahun itu berjaya ditahan di Kompleks Imigresen Kastam Rantau Panjang hasil maklumat awam selain intipan yang dilakukan pihaknya sejak sebulan lalu.
Menurutnya, anggotanya menahan wanita berkenaan kira-kira jam 10 pagi ketika cuba memasuki negara ini dengan menunggang sebuah motosikal bernombor pendaftaran Thailand bersama wang keseluruhan berjumlah RM149,050.
”Semasa pemeriksaan awal, anggota kami menemui wang tunai berjumlah RM40,000 yang disimpan di dalam beg tangan diletakkan di dalam bakul motosikal berkenaan dan kemudian membawa wanita tersebut ke Kompleks UPP Rantau Panjang.
”Hasil pemeriksaan lanjut, anggota kami kemudian mendapati sejumlah RM109,050 yang diikat pada badan wanita tersebut menjadikan jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas sebanyak RM149,050,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Terdahulu beliau menghadiri majlis meraikan pegawai dan kakitangan yang bertukar di Ibu Pejabat UPP Kota Bharu, dihadiri Komander UPP Kelantan, Rosli Karim dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kepolisan dan Keselamatan Sempadan, Hanif Yusabra Yusof.
Abdul Rahim berkata, wanita berkenaan memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial dan siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengetahui sumber serta tujuan sebenar wang tersebut dibawa masuk ke Malaysia.
Katanya, pihaknya berjaya merampas 100 keping nota RM100, selain itu 2,781 keping lagi adalah nota RM50 yang kesemuanya merupakan wang tulen.
”Ini merupakan kes pertama UPP Kelantan melibatkan tangkapan membawa masuk wang tanpa ikrar yang melanggar peruntukan Seksyen 23 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001,” katanya.
Kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut termasuk di bawah Akta Kastam 1967 dan beliau meminta orang awam supaya segera menyalurkan maklumat berhubung kesalahan seperti itu kepada pihaknya.
Katanya, mereka yang membawa masuk atau keluar wang berjumlah melebihi USD$30,000 perlu mengisytiharkan wang tersebut dalam Borang Pengisytiharan Kastam No.22 sebelum tindakan lanjut dikenakan.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan