23 Mei 2012

Lelaki maut dalam kereta

2 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH - Misteri kehadiran kereta Proton Wira tersadai berhampiran rumah pembakaran mayat di Bercham terjawab apabila pemandunya ditemui mati oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu, pagi semalam.

Hong Wai Yean, 39, beralamat di Taman Buana Perdana, Petaling Jaya, Selangor ditemui mati dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu dengan enjin kereta masih hidup kira-kira jam 10 pagi semalam.

Difahamkan, mangsa ditemui lengkap berpakaian kemeja putih dan berseluar panjang hitam dipercayai pakaian seragam kerana tertera logo syarikat di bahagian kiri bajunya.

Turut dimaklumkan mangsa berkemungkinan seorang jurujual berdasarkan barangan yang ditemui dalam kereta mangsa.

Antara barangan berkenaan adalah komputer riba, telefon bimbit, dompet dan beberapa bekas kad nama dipercayai digunakan untuk tujuan kerja.

Selain itu, siasatan awal mendapati kereta tersebut bukan milik mangsa kerana ia didaftarkan di bawah syarikat mangsa bekerja.

Lebih pelik apabila sebuah bekas berisi arang yang dipercayai dibakar di dalam kereta turut ditemui disyaki salah satu punca sehingga menyebabkan dia meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai kes berkenaan.

Katanya, bagaimanapun siasatan awal mendapati, mangsa didapati mati mengejut memandangkan tiada unsur jenayah ditemui pada mayat mangsa.

“Polis masih meneruskan siasatan selain menunggu laporan bedah siasat daripada Jabatan Forensik HRPB untuk mengenal pasti punca kematian lelaki terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: