12 Jun 2009

Tahniah kepada PJ Perak yang baru.

Teka-teki siapakah yang akan dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Perak yang baru telah terjawab apabila Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak , Ust. Abu Bakar Husein dilantik ke jawatan itu mengganti tempat yang dikosongkan oleh mantan Naib Presiden PAS sesi lalu, Ust. Ahmad Awang.

Pemilihan Ust. Bakar dianggap sebagai suatu penerusan kepada tradisi bagi negeri Perak yang membarisi dikalangan ulama sebagai Pesuruhjaya nya.

Sesampainya saya di Perak pada tahun 1991 saya masih ingat pada masa itu PJ nya ialah Ust. Azizan Desa, sesudah itu diganti oleh Ust. Kamarussin Awang Basir, Tuan Guru Hj. Sabran Asmawi dan sessi lalu Ust. Ahmad Awang.

Demikianlah silih berganti PJ PAS Perak dikalangan yang bergelar Ustaz dan sekali ini tekaan banyak pihak PJ akan dilantik dikalangan Ustaz terjawab sudah.

Berasal dari Kuala Kurau dalam Parlimen Parit Buntar, Ust Abu Bakar Husein adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai YDP PAS Kawasan gopeng untuk beberapa penggal yang lalu. Dalam Pilihanraya umum yang lepas, beliau bertanding di DUN Pengkalan Baru dan hanya kalah dengan majoriti yang begitu kecil iaitu 14 undi kepada calon BN. Beliau juga adalah pesara guru agama yang pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh.

Banyak yang mepertanyakan kepada saya mengenai kedudukan DS. Nizar setelah beliau tidak dipilih ke jawatan itu ?

Sebenarnya saya masih melihat banyak peranan yang masih berada di pundak DS. Nizar untuk meneruskan gelombang rakyat bagi mengembalikan kuasa di Perak dengan kerjasama tentunya dari PJ yang baru ini.

Saya yakin dengan kemampuan Ust. Bakar untuk menerajui PAS Perak, seperti yang di sebutkan oleh Ketua Penerangan PAS Perak, Ust. Misbah dalam blognya bahawa perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Perak disambut baik oleh kawasan-kawasan dan dewan-dewan. Dengan pengalaman sebagai pendidik agama, seluruh PAS Kawasan di Perak mengharapkan agar pengalaman mentarbiyyah di gunakan untuk mentarbiyyah ahli-ahli PAS. Beliau sememangnya sangat meminati bidang tarbiyyah haraki.

Menurutnya lagi Markaz Tarbiyyah Air Kuning sentiasa aktif dengan program-program Tarbiyyah yang dikendalikan oleh Lajnah yang dipengerusikan oleh beliau sebelum dari ini . Pengisian tarbiyyah begitu hidup sepanjang beliau menerajui lajnah tersebut. Pembentangan kertas-kertas tarbiyyah tidak hanya terikat dengan teks tertentu, malahan persoalan ekonomi, politik, ISA dan berbagai-bagai isu semasa di peringkat nasional dan antarabangsa turut diketengahkan. Pimpinan PAS silih berganti menyampaikan pengisian dengan tajuk-tajuk yang mencakupi semua aspek.

Seterusnya yang ditunggu oleh Ahli PAS di Perak ialah siapakah saf kepimpinan yang akan disenaraikan sebagai "tentera" yang akan bersama dengan "panglima" baru PAS Perak ini. Setahu saya Ust. Bakar masih di Mekah mengerjakan Umrah. Pastinya beliau akan menggunakan sepenuhnya masa untuk mendapatkan "ilham" sepanjang munajat beliau sebelum bali ke Perak.

Tahniah , Ust. Abu Bakar Husein.

Benarkah Sivakumar tidak ada kuasa gantung Zambry dan enam Exco Perak ?

Suatu perkara yang malang berlaku lagi di Negeri Perak apabila rakyat nya dan seluruh rakyat termasuk pengamal undang-undang "diperbodohkan" dengan pencabulan terhadap hak Speaker bagi sebuah kerajaan negeri khasnya di Perak.

Sebagai seorang ADUN Perak saya memahami dengan jelas kuasa Speaker yang terkandung dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan adalah sesuatu yang mutlak dan tidak boleh ditafsirkan oleh pihak lain melainkan Speaker. Namun zaman telah berubah bila UBN telah "merobek-robek" situasi berkenaan menjadi seperti sekarang demi kuasa yang telah hilang untuk dikembalikan.

Perintah Tetap 89 menjelaskan : "Keputusan Tuan Speaker berkenaan dengan sebarang tafsiran dalam mana-mana Perintah-perintah Tetap ini atau berkenaan dengan sebarang amalan tertakluk kepada usul yang dibawa dengan maksud itu, adalah muktamad, dan Tuan Speaker, dari semasa ke semasa, boleh mengeluarkan keputusan-keputusan berkenaan dengan perkara-perkara ini".

Bukankah perintah tetap ini memberi kuasa muktamad kepada Speaker untuk mentafsir kandungan keseluruhan Perintah-perintah Tetap. Hanya Speaker sahaja yang berhak mentafsir Perintah-perintah Tetap. Pihak lain tidak mempunyai kuasa langsung dalam memberi pentafsiran undang-undang Dewan Negeri.

Seperti kata Dr. Aziz Bari bahawa perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".

Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.

Namun kelmarin diedarkan keputusan hakin "coklat Hacks" yang saya sertakan dibawah untuk perhatian kepada pencinta keadilan:

Sivakumar tidak ada kuasa gantung Zambry dan enam Exco Perak

PUTRAJAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya tidak boleh digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri atas dakwaan menghina kerana kesalahan itu tidak diperuntukan di bawah perlembagaan negeri, demkian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini.

Hakim Datuk Seri S. Augustine Paul, dalam penghakiman bertulis, berkata Parkara 44 Perlembagaan Negeri Perak dibaca bersama Perintah Tetap Enakmen Dewan Undangan Negeri (Hak Istimewa) 1959 tidak memperuntukan kesalahan menghina dan hukuman penggantungan daripada menghadiri sidang DUN.

Oleh itu, perintah penggantungan selama 18 bulan bagi Zambry dan 12 bulan bagi ahli exco itu dibuat oleh Speaker V. Sivakumar adalah tidak sah dan batal kerana Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, katanya.

"Kuasa menangani isu menghina, yang tidak diperuntukan dalam Perintah Tetap DUN, bukan sesuatu yang Speaker boleh mengambil maklum kerana ia memerlukan satu undang-undang berkaitan dengan itu," kata Augustine dalam penghakiman 64 muka surat bertarikh 3 Jun dan diperoleh hari ini.

"Perlu ada pihak berkuasa undang-undang yang khusus untuk mengetahui dan memberi hukuman bagi kesalahan menghina. Ini khususnya ketara di mana dakwaan menghina dilakukan di luar persidangan DUN," katanya.

Pada 16 April lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perintah penggantungan terhadap Zambry dan enam anggota exco Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr Mah Hang Soon oleh Sivakumar adalah melampaui perlembagaan negeri dan oleh itu tidak sah dan batal.

Pada 2 Mac lepas, Zambry dan anggota exco berkenaan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membatalkan keputusan Speaker DUN menggantung dan melarang mereka menghadiri sidang Dewan kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang.

Mereka juga memohon satu pengisytiharan bahawa mereka berhak mengambil bahagian dalam sidang Dewan dan menjalankan fungsi serta kewajipan masing-masing.

Pada 18 Februari lepas, Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam exco berkenaan kerana didakwa melantik seorang ahli exco bertentangan dengan undang-undang dan tindakan menghina itu telah memalukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar Perak.

Mereka turut didakwa menghalang barisan exco Mohamad Nizar daripada menjalankan tugas di bawah Perlembagaan Negeri Perak.

Dalam penghakiman itu, Augustine berkata: "Penggantungan terhadap pemohon dilakukan berdasarkan Perintah Tetap 72 DUN. Tuduhan terhadap mereka menyatakan tindakan mereka itu diibaratkan sebagai menghina.

"Oleh kerana penghinaan tidak dinyatakan secara khusus, tindakan itu tidak boleh diletakkan di bawah bidang Perintah Tetap 72.

"Perintah Tetap 72 memberi kuasa kepada Jawatankuasa Hak Istimewa mengambil maklum sebarang perkara yang nampak menjejaskan kuasa dan hak istimewa dewan itu," kata Augustine.

Zambry dan enam anggota exco itu diwakili oleh peguam utama Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala Sulaiman Abdullah bertindak bagi Sivakumar. BERNAMA

Awas : 10 laluan maut dikenal pasti

Kementerian Kerja Raya telah mengenalpasti 10 laluan maut ekoran kekerapan berlakunya kemalangan sehingga mengorbankan nyawa berpunca daripada reka bentuk permukaan jalan yang berbahaya.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 57 pengguna maut dan cedera ketika melalui jalan-jalan tersebut.

Laluan tersebut ialah:

1. Kilometer 8, Seksyen 189, Jalan Muar-Melaka, Tanjung Gading, Johor.

2. Kilometer 16, Jalan Batu Pahat-Kluang, Johor.

3. Seksyen 35.2, Jalan Damar Laut, Pantai Remis, Perak.

4. Kilometer 35.2, Jalan Kangar-Mengkuang Layar, Perlis.

5. Seksyen 833.1, Jalan Butterworth- Alor Setar, Kedah.

6. Seksyen 399, Jalan Kuala Terengganu-Kemaman, Terengganu.

7. Seksyen 39, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang.

8. Seksyen 259.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Kelantan.

9. Kilometer 33.5, Seksyen 468, Jalan Klang-Teluk Intan, Selangor.

10. Seksyen 41.8, Jalan Serting-Tencah, Negeri Sembilan.

"Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk menaik taraf jalan-jalan tersebut supaya ia selamat digunakan.

"Kerja-kerja menaik taraf laluan tersebut dijangka selesai pada hujung tahun ini," katanya.

MURSYIDUL AM PUJI UCAPAN YB KHALID SAMAD

Oleh: WFAUZDIN NS

HARAKAH keluaran terbaru hari ini menyiarkan wawancara bersama Mursyidul Am Pas Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz yang telah menjawab berbagai persoalan kontroversi semasa Muktamar Pas baru-baru ini. Saya tertarik dengan pujian yang diberikan oleh Tuan Guru terhadap Ahli Parlimen Shah Alam YB Khalid Abdul Samad yang berucap selaku perwakilan dari Shah Alam pada muktamar tersebut. (ikuti sedutan ucapan di sini 1 dan 2)

Tuan Guru memuji beliau kerana meskipun beliau tidak mempamirkan sebarang bentuk pakaian seorang Ulamak seperti berserban dan berkopiah, namun ketajaman pemikirannya serta hujah-hujah beliau adalah hujah seorang Ulamak. Hujah yang dipenuhi dengan fakta, nasihat serta peringatan terhadap sejarah-sejarah Islam untuk dijadikan pedoman buat Pas, meskipun ucapan YB Khalid kelihatan penuh emosi dan bersemangat. Sememangnya emosi dan semangat beliau bertempat kerana terlalu sayangnya beliau kepada Pas walaupun beliau dilucutkan jawatannya di dalam kepimpinan Pas di Selangor. Teguran beliau terhadap kepimpinan Pemuda Pas juga bertepatan apabila kelihatan nada ucapan Pemuda seiring dan seirama dengan Pemuda Umno. Meskipun YB Khalid MP dari Selangor iaitu sebuah negeri yang kini boleh dikatakan selamat buat PR dan Pas, tetapi beliau terlalu mengambil berat dan prihatin terhadap kezaliman yang berlaku terhadap PR di Perak.

Baru-baru ini, rancangan Hujah terbitan TV9 yang menampilkan beliau bersama MB Pahang jelas menampakkan beliau mampu berhujah dengan baik dan tenang sekali. Pas amat beruntung mempunyai tokoh seperti ini walaupun bak kata Tuan Guru Nik Aziz susah untuk melihat YB Khalid memakai kopiah atau bersongkok. Penampilan beliau di Parlimen juga amat bermakna sekali dan beliaulah di antara yang berani dan lantang mencabar MP Bebas Pasir Mas, Ibrahim Ali tatkala Ibrahim Ali memperlekehkan Pas. Beliau tetap akan membela Pas walau di mana beliau berada, itulah kelebihan MP Shah Alam ini.

Mungkin nasib tidak menyebelahi beliau dan mungkin beliau juga tidak terlalu gila kepada jawatan, maka Pas masih belum bersedia untuk menerima YB Khalid berada di dalam jawatan penting di dalam Pas. Itu tidak mengapa, asalkan beliau berupaya membantu Pas dari luar agar sentiasa berada di landasan yang betul. Di sebalik ketegasan beliau, YB Khalid adalah seorang yang boleh menerima pandangan orang lain serta bersikap terbuka. Sikap yang suka berterus terang dan tidak `membaling batu sembunyikan tangan' menjadikan YB Khalid adalah salah seorang pemimpin muda di dalam Pas yang mempunyai harapan yang cerah untuk memimpin Pas di peringkat tertinggi nanti.

Harapan kita agar beliau terus istiqomah di dalam perjuangannya. Doa kita agar beliau tidak putus semangat untuk terus menegur kepimpinan yang ada ketikanya terlena dan terbabas dari perjuangan. Benarlah kata Mursyidul Am, Ulamak dan profesional saling berganding bahu untuk memperkasakan perjuangan, dan contoh serta bukti yang boleh kita lihat di dalam Pas sekarang adalah orang seperti YB Khalid ini. / wfauzdin.blogspot.com .

Tiadanya pemimpin yang boleh mewakili kaum Cina di dalam AJK Pas?

Oleh: WFAUZDIN NS

MERAGUKAN dan kurang bijak. Itulah yang boleh saya simpulkan dengan pemilihan AJK baru yang dilantik. Itulah yang berlaku di dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat yang baru diadakan semalam. Dalam situasi Pas terancam, bergelora serta menjadi sasaran kritikan, nampaknya parti ini tidak pernah belajar dari kesilapan mereka.

Berikut adalah senarai perlantikan yang baru dibuat di dalam mesyuarat tersebut, dan seperti biasa ahli-ahli Pas diajar untuk `wala', kepada senarai ini:

Ahli jawatankuasa baru yang dilantik:

Datuk Husam Musa, bekas naib presiden
Mohamad Sabu, bekas naib presiden
Mohd Anuar Tahir, bekas setiausaha agung PKR
Mohd Taufik Abdul Ghani, ADUN Paroi
Dr Mariah Mahamud, ahli parlimen Kota Raja
Wan Ubaidah Wan Omar, exco kerajaan Kelantan
Asmuni Awi, timbalan pesuruhajaya PAS Perak
Ahmad Dollah, timbalan pesuruhajaya PAS Sabah

Saya merasa agak pelik ke mana `hilang'nya Dato Anuar Tan seorang pemimpin yang boleh mewakili kaum Cina di dalam Pas? Beliau telah beberapa penggal berada di dalam saf kepimpinan Pas Pusat dan jasanya untuk menarik sokongan kaum Cina tidak boleh dipertikaikan. Bukankah Pas sekarang begitu hebat untuk mempromosikan parti kepada kaum yang selama ini begitu takut kepada Pas?

Dato Anuar Tan tidak mendapat cukup undi daripada perwakilan bagi membolehkannya berada dalam saf kepimpinan tetapi salahkah jika beliau dilantik di dalam AJK ini sebagai mewakili kaum Cina? Memang benar, perlantikan jawatan ini adalah budi bicara Presiden mahu pun ahli mesyuarat, tetapi tidak adakah seorang pun yang terfikir betapa perlunya seorang pemimpin berbangsa Cina berada di dalam Saf kepimpinan Pas? Saya berharap perkara ini tidak dipandang sepi oleh Pas, tetapi jika keputusan yang telah dibuat perlu ditaati, apa yang boleh dikatakan lagi.

TAHNIAH KEPADA MEREKA-MEREKA INI DAN PAS PERLU BANGKIT

Oleh: WFAUZDIN NS

PERLANTIKAN Datuk Mustafa Ali ke dalam jawatan yang lebih kanan dan penting di dalam Pas iaitu selaku Setiausaha Agung Pas memang telah dijangka dan diramalkan ramai pihak. Tahniah dan syabas buat beliau. Tahniah juga buat semua tokoh Pas yang terpilih menganggotai jawatan-jawatan penting di dalam Pas yang baru diumumkan tadi. Kesyukuran juga diucapkan kerana terpilihnya Husam Musa dan Mat Sabu serta Dr Mariah ke dalam AJK Pas Pusat.

Tanpa mahu mengulas panjang tentang perlantikan tersebut, saya cuma dapat menyandarkan harapan agar kesemua tokoh yang terpilih dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan efisyen. Menyelami hati dan perasaan ahli-ahli serta rakan-rakan di dalam PR amat penting bagi membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih adil dan bijaksana. Sikap mengutamakan parti dan jemaah di samping mengutamakan `rakan-rakan serumah' amat penting agar Pas terus berkembang serta dihormati dan disegani rakan dan lawan. Lupakan kisah pahit jika ada, lupakan niat serong jika masih berbuku dihati kerana kepimpinan Pas serta kepimpinan PR telah membuat keputusan muktamad baru-baru ini bahawa PR tetap diutamakan sepertimana kenyataan media oleh DS Anwar semalam.

Kepada YB Husam dan Mat Sabu yang telah dilantik menganggotai AJK Pas Pusat, diharapkan mereka menerimanya walaupun tidak meminta. Tenaga serta buah fikiran kedua-dua tokoh ini amat penting buat Pas dan PR meskipun amat digeruni oleh Umno. Tunaikan janji kelian iaitu untuk menentukan bahawa Pas tidak akan `terperangkap' dengan Umno lagi. Kami mahu agar suara-suara kelian lantang di dalam Pas semata-mata kami mahu Pas sentiasa dihormati dan tidak dicaci selama-lamanya.

Perlantikan Ketua Penerangan yang kini diterajui oleh Us Idris Ahmad memang dialu-alukan kerana beliau juga seorang berpendidikan dan berpengetahuan tinggi di dalam bidang agama. Beliau juga sentiasa aktif berceramah dan juga aktif di dalam kuliah-kuliah serta usrah. Manakala, kepada tokoh yang akan menerajui akhbar Harakah juga diharapkan berupaya mengekalkan tahap profesional media berkenaan. Perlu diingat, akhbar tersebut kepunyaan parti dan semua ahli parti perlu diberi kepuasan dan keadilan di dalam bahan beritanya. Sekiranya akhbar tersebut semakin merosot pengedarannya, maka sudah tentu ada yang tidak kena dengan cara atau pengisian beritanya.

Mudah-mudahan Pas bangkit selepas ini setelah melutut seketika. Masih banyak perkara yang perlu Pas lakukan selepas ini untuk memperbaiki beberapa `luka dan kecederaan' yang terhasil daripada muktamar yang lalu. Apa yang penting, semua pihak yang mengkritik atau menegur Pas beberapa minggu ini adalah untuk membuktikan bahawa sememangnya `Pas For All' dan kami amat menyayangi Pas. Memang tidak dapat dielakkan, kadangkala kritikan terhadap Pas disertakan dengan sentimen dan emosi yang kadangkala melampau batasan. Di dalam Pas juga begitu, kadangkala bila sesetengah pimpinan Pas mengkritik kerajaan Umno/Bn, mereka juga tidak dapat lari dari sentimen dan emosi apatah lagi melibatkan sesuatu isu yang terlalu mengganggu fikiran mereka. Cuma yang perlu dilihat, isi hati dan isi perut masing-masing samada ikhlas atau tidak meluahkan kritikan. /wfauzdin.blogspot.com.

Nik Aziz bidas golongan pertahan kerajaan perpaduan

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini membidas golongan dalam parti itu yang mempertahankan cadangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk satu kerajaan perpaduan dan menyifatkan mereka ini sebagai "boneka Umno".

Katanya beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, supaya semua pemimpin PAS dan pakatan pembangkang tidak lagi membuat kenyataan terbuka berhubung isu kerajaan campuran itu bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan ahli parti.

"Saya tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu... keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat. (Yang sokong) perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas.

"Suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno," katanya kepada pemberita selepas meraikan rombongan guru Kelas Fardu Ain dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIs) di kediaman rasminya di JKR 10 di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata jika ada pihak yang memperkatakan mengenai kerajaan perpaduan, ia sebenarnya adalah ilham Umno.

Kepada soalan bahawa isu perpaduan ini ditimbulkan oleh Hadi sendiri, Nik Aziz berkata kenyataan itu bukannya menggambarkan kehendak PAS.

"Presiden ini ketua bagi pertubuhan, dan pertubuhan tidak buat keputusan, itu kenyataan peribadi," katanya.

Mengenai saranan Mustafa supaya pemimpin Pas dan pakatan pembangkang berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu, Nik Aziz berkata tidak ada sebab ahli parti tidak boleh mempersoalkan isu itu.

"Soalnya tutup kerana apa? Percanggahan pendapat itu bukan datang dari PAS, tapi orang tertentu dalam PAS, dia sudah berasa bahaya bagi dia, maka dia minta tutup. Mana boleh tutup mulut manusia," katanya. Mstar.

Lagi p'raya kecil? ADUN DAP serah surat letak jawatan

Rakyat Malaysia yang tidak habis-habis berdepan dengan pilihanraya kecil, mungkin menyaksikan satu lagi - kali ini DUN Jawi di Pulau Pinang.

ADUN DAP, Tan Beng Huat telah menyerahkan surat perletakan jawatannya tanpa tarikh kepada pucuk pimpinan parti itu.

Dalam surat itu, beliau berkata akan mengosongkan kerusinya jika didapati bersalah dalam siasatan rasuah terhadapnya sekarang.

Surat Tan (Kiri sekali) itu telah mencetuskan khabar angin bahawa satu lagi pilihanraya kecil akan diadakan di Pulau Pinang, selepas pilihanraya kecil di Penanti pada 31 Mei lalu.

Manakala pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan Ogos lalu.

Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow mengesahkan telah menerima surat Tan pagi ini dan akan menyerahkannya kepada ketua menteri yang juga setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng.

tan beng huat resign as jawi state rep penang lim guan eng dap 110609 03Katanya, Tan menyerahkan surat peletakan jawatan itu secara sukarela "sebagai tanda bertanggungjawab" terhadap dakwaan rasuah yang dibuat oleh rakannya dalam parti itu dari Nibong Tebal.

Tan, 48, yang menyertai DAP lima tahun lalu, memberitahu sidang akhbar kemudiannya bahawa beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatan itu sebagai "jaminan" sekiranya dia didakwa atas tuduhan rasuah.

Beliau bagaimanapun, menafikan dakwaan rasuah itu.

Sebaliknya, beliau menubuhkan rakannya itu sengaja mereka cerita itu untuk memalukannya dan kerajaan Pakatan Rakyat. Malaysiakini.

Mustafa Ali setiausaha agung baru PAS

Datuk Mustafa Ali hari ini dilantik sebagai setiausaha agung baru PAS manakala Dr Hatta Ramli kekal memegang jawatan bendahari.

Manakala bekas dua naib presiden - Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu - yang tewas dalam pertandingan jawatan timbalan presiden - dilantik menganggotai jawatankuasa PAS pusat (lihat senarai pertama).

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Husam dan Mohamad dilantik sebagai AJK dengan tugas-tugas khas perancangan dan strategi parti.

Manakala bekas timbalan ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Idris Ahmad dilantik sebagai ketua penerangan.

Pelantikan mereka diputuskan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa pusat di ibu negara hari ini.

Mustafa menggantikan Datuk Kamaruddin Jaafar yang menang jawatan AJK dalam pemilihan di muktamar parti itu minggu lepas.

Pelantikan Mustafa, yang juga pesuruhjaya PAS Terengganu, sudah dijangka kerana beliau merupakan penyokong kuat idea-idea yang dibawa oleh Abdul Hadi, termasuk kerajaan perpaduan.

Beliau juga pengerusi akhbar rasmi PAS Harakah dan juga memegang jawatan pengarah pilihanraya PAS sebelum rombakan yang diumumkan hari ini.

Bagi jawatan pengarah pilihanraya dan pesuruhjaya Terengganu, kekosongan yang ditinggalkan Mustafa diganti masing-masing oleh Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Datuk Harun Taib (lihat senarai kedua).

Abdul Halim, bekas timbalan menteri besar Kelantan itu, kini ahli parlimen Pengkalan Chepa. Manakala Harun yang kini ketua Dewan Ulama diberikan memimpin Terengganu sekali lagi.

Tidak sentuh kerajaan perpaduan

Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat AJK itu, Abdul Hadi berkata mesyuarat tidak menyentuh langsung mengenai isu kerajaan perpaduan.

Ditanya mengenai perjumpaan sulit Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan beberapa pemimpin pemimpin yang menolak kerajaan perpaduan, Abdul Hadi berkata beliau "tidak tahu".

Beliau juga menyentuh tentang pertemuannya dengan menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew semalam.

Abdul Hadi berkata, pertemuan tersebut atas undangan Lee yang ingin tahu dasar luar PAS, termasuk terhadap republik itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu Malaysiakini sejurus selepas pengumuman Abdul Hadi itu bahawa beliau akan membuat keputusan dalam tempoh seminggu lagi.

"Beri saya tempoh berfikir. Saya perlu berbincang dengan kawan-kawan terlebih dahulu," katanya.


Ahli jawatankuasa baru yang dilantik:

Datuk Husam Musa, bekas naib presiden
Mohamad Sabu, bekas naib presiden
Mohd Anuar Tahir, bekas setiausaha agung PKR
Mohd Taufik Abdul Ghani, ADUN Paroi
Dr Mariah Mahamud, ahli parlimen Kota Raja
Wan Ubaidah Wan Omar, exco kerajaan Kelantan
Asmuni Awi, timbalan pesuruhajaya PAS Perak
Ahmad Dollah, timbalan pesuruhajaya PAS Sabah


Senarai pesuruhjaya PAS negeri:

Hashim Jasin (Perlis)
Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah)
Saleh Man (Pulau Pinang)
* Abu Bakar Husin (Perak) – dulu Ahmad Awang
Datuk Nik Aziz Nik Mat(Kelantan)
* Datuk Harun Taib (Terengganu) – dulu Datuk Mustafa Ali
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang)
Datuk Dr Hassan Ali (Selangor)
Mohd Noor Mohamad (Wilayah Persekutuan)
Zulkifli Mohd Omar (Negeri Sembilan)
Abdul Ghani Abdul Rahman (Melaka)
Datuk Mahfodz Mohamad (Johor)
Mohamad Abdullah (Sabah)
Osman Moras (Sarawak)

* mengalami perubahan, sementara yang lain kekal. Malaysiakini.

Manek Urai.




Nik Aziz ingin lihat Cina Muslim pimpin PAS

MENTAKAB, 11 Jun : - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ingin melihat suatu hari nanti PAS dipimpin oleh kaum Cina Muslim.

Berucap dalam majlis anjuran Badan Perhubungan PAS Pahang di Kerau, dekat sini beliau berkata, semasa melawat negara China beliau berkesempatan menziarahi makam sahabat nabi di negara berkenaan.

Ini, katanya menandakan Islam lebih dahulu bertapak di negara itu berbanding Malaysia iaitu pada zaman para sahabat lagi.

Tambahnya,di Tanah Melayu yang dibawa pedagang India ke Melaka hanya zaman pemerintahan Parameswara pada tahun 1414 terkemudian ratusan tahun berbanding dengan Islam di China yang dibawa para sahabat.

Katanya, di China juga terdapat ratusan masjid dan umat Islam boleh beribadah di dalamnya sama seperti di negara ini walaupun negara itu Komunis dan negara ini diperintah parti Nasionalis Umno-BN.

Nik Aziz juga menaruh harapan suatu hari nanti Cina Muslim turut memimpin dan menganggotai Dewan Ulama PAS yang kini dikuasai kaum Melayu Islam.

Turut berucap pada majlis berkenaan iaitu Pengerusi KaAdilan Pahang, Dato' Fauzi Abdul Rahman dan Teo Kok Siong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bahau, Negeri Sembilan.

Sementara itu pada majlis sama Nik Aziz turut diberi penghormatan menyampaikan sumbangan manfaat Takaful kepada lima waris peserta Dana Taqwa-iTQA, PAS Pahang yang meninggal dunia berjumlah lebih RM40,000, dua menerima RM19,000 manakala tiga lagi RM3,000. Harakahdaily.

Nik Aziz setuju jika terima Husam, Mohd Sabu

KOTA BHARU, 11 Jun : - Cadangan untuk menerima Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu dalam Dewan Harian PAS Pusat oleh Naib Presiden PAS baru, Dato' Mahfuz Omar dipersetujui oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Tuan Guru, beliau telah mengenali kedua-dua tokoh tersebut agak lama kerana mereka berdua merupakan bekas Naib Presiden PAS sebelum pemilihan baru-baru ini.

"Saya amat bersetuju sekiranya Dato' Husam diterima sebagai salah seorang dalam Dewan Harian PAS Pusat kerana saya tahu latar belakangnya,beliau merupakan seorang Exco negeri Kelantan yang berkaliber dan sudah tentu pengalaman luas dalam pentadbiran dan politiknya amat berharga,begitu juga dengan Mat Sabu,beliau merupakan tokoh pemidato terbaik bagi saya dan penuh dengan hujah yang bernas,"ujarnya ketika ditemui di majlis penutup Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Malaysia Zon Utara dan Timur Semenanjung kali ke-10 di Kampus Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

Nik Aziz juga berharap mereka ini diterima dalam Dewan Harian PAS Pusat kerana keduanya merupakan aset yang bernilai tinggi dalam perjuangan PAS dan amat mesra dengan kaum-kaum lain seperti India dan Cina.

"Kita kini dalam menuju ke arah Pilihan raya ke-13,amat wajarlah kedua-dua tokoh ini diterima dalam Dewan tersebut kerana mereka ini mempunyai idea dan pandangan yang luas dan amat rugi kalau tak ambil mereka ni,"katanya lagi.

Namun demikian ini adalah merupakan cadangan dan pandangan dari Naib Presiden PAS yang baru dan terserahlah kepada Presiden untuk mempertimbangkannya. Mesyuarat pertama dijangka diadakan pada hari ini.

Sebelum ini, Husam Musa dan Mohammad Sabu merupakan Naib Presiden PAS Pusat dan telah tewas dalam merebut jawatan Timbalan Presiden daripada Nasaruddin Mat Isa yang berjaya mempertahankan jawatan dengan undi sebanyak 480 undi. Harakahdaily.

Mesyuarat Dewan Harian PAS malam tadi tentukan halatuju PAS

Sidang pertama Dewan Harian PAS, badan pengurusan tertinggi parti Islam itu, malam tadi akan menentukan halatuju parti Islam itu.

Anggota Dewan Harian pertama ini adalah presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), timbalan (Nasharudin Mat Isa), naib-naib presiden (Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar).

Turut serta dalam mesyuarat ini adalah ketua-ketua dewan yang menang dalam muktamar baru-baru ini. Mereka adalah Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Nasruddin Hassan (pemuda) dan Nuridah Salleh (muslimat).

Ke lapan-lapan mereka akan bermesyuarat dan mencadangkan pejawat-pejawat penting untuk menguruskan parti Islam itu untuk dua tahun akan datang.

Mesyuarat ini akan membuat cadangan perlantikan Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Perlantikan ini akan menentukan halatuju PAS selepas ini. Para pemerhati sedang perhatikan apakah mereka yang kalah dalam muktamar baru-baru ini akan mendapat tempat atau tidak dalam saf utama kepimpinan PAS ini.

Datuk Mustafa Ali (Ketua Pengarah Pilihan Raya), Idris Ahmad (Setiausaha Majlis Syura) dan Takiyudin Hassan (Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan) disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan setiausaha agung.

Datuk Husam Musa disebut-sebut akan dilantik dalam saf kepimpinan PAS kali ini selepas kalah merebut jawatan timbalan presiden baru-baru ini. Jawatan yang sesuai kepada beliau dikatakan bendahari atau ketua pengarah pilihan raya menggantikan Mustafa.

Mohamad Sabu pula disebut sesuai dilantik sebagai ketua penerangan selepas mantannya, Mahfuz menang naib presiden.

Setiausaha Agung sekarang, Datuk Kamarudin Jaffar dikatakan akan dikekalkan sebagai Pengarah Urusan Harakah selepas dikatakan beliau tidak senang lagi untuk menjadi setiausaha agung kerana masalah pribadi dan kesibukannya.

Dr Hatta disebut bakal kekal sebagai bendahari di samping beberapa nama lain.

Semua cadangan perlantikan itu akan dikemukakan kepada mesyuarat pertama Jawatankuasa PAS Pusat sessi ini yang dijadualkan esok.

Mesyuarat itu boleh mengesahkan cadangan ini atau menolaknya kerana perlantikan itu perlu disahkan oleh mesyuarat JK PAS Pusat ini.

Turut akan disahkan dalam mesyuarat ini adalah perlantikan pesuruhjaya PAS bagi setiap negeri iaitu pemimpin utama PAS bagi setiap negeri.

Menjadi kuasa mesyuarat ini juga untuk melantik AJK tambahan untuk JK PAS Pusat ini serta pembentukan lajnah-lajnah (biro-biro) dalam PAS.

AJK PAS Pusat juga berhak melantik empat di kalangan mereka ke dalam Majlis Syura. Empat lagi anggota majlis itu akan dicalonkan oleh Dewan Ulama.

Kelapan-lapan mereka akan melantik seorang pengerusi atau Mursyidul Am yang kini adalah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di samping empat lagi anggotanya.

(Berita asal themalaysianinsider.com)