30 Mei 2011

Kawal pembaziran, rasuah sebelum minta rakyat tanggung beban- Saifuddin

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kerajaan terlebih dahulu perlu membanteras amalan pembaziran, ketirisan dan rasuah keterlaluan sebelum meminta rakyat menanggung beban subsidi.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan Umno-Barisan Nasional juga perlu bersedia mengkaji semula subsidi dan pampasan besar diperuntukkan kepada syarikat kroni seperti Tenaga Pengeluar Bebas (IPP) dan konsesi lebuh raya, sebelum memindahkan beban itu kepada rakyat.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bahawa rakyat perlu bersedia menanggung sebahagian kos subsidi yang kini ditampung kerajaan.

“Sebelum Muhyiddin meminta rakyat menanggung semua kos subsidi, kita minta dua perkara daripada kerajaan BN. Pertama kawal semua pembaziran, ketirisan dan kawal amalan rasuah yang begitu berleluasa.

“Kedua, kaji balik subsidi yang tinggi diberikan kepada sektor pengeluaran tenaga seperti Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) kerana kerajaan memberikan subsidi yang begitu tinggi dan membebankan rakyat,” kata Saifuddin.

“Sebelum meminta rakyat memikul beban yang ditanggung kerajaan, dia sendiri perlu meminta perdana Menteri, Najib dan jemaah menteri supaya tidak boros dan melakukan pembaziran,” ujarnya kepada keadilandaily.com..

Saifuddin dalam pada itu turut menangkis kenyataan Muhyiddin, bahawa pengekalan harga bahan api seperti petrol RON95, gas asli cecair (LPG) dan diesel menunjukkan kerajaan prihatin dengan masalah rakyat.

“Mengekalkan harga dari kenaikan sebelum ini, bukan bermakna kerajaan tidak akan menaikkan harga bahan api. Kita pasti kerajaan akan menaikkan harga selepas mereka menang pilihan raya.

“Jadi rakyat Malaysia jangan tertipu dengan tindakan kerajaan mengekalkan harga bahan api pada masa ini kerana mereka pasti akan menaikkannya selepas pilihan raya,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Kerajaan pimpinan Umno-BN sebelum ini dilihat begitu boros dengan melakukan pembaziran wang rakyat, antaranya pembinaan Menara Warisan 100 tingkat yang menelan belanja RM5 bilion.

Ketika rakyat dihimpit dengan peningkatan kos, kerajaan pimpinan Najib juga tidak segan silu membelanjakan sebanyak RM6 bilion untuk membeli enam kapal peronda pesisir pantai.

Malah, kerajaan juga mampu meluluskan kontrak sebanyak RM77 juta kepada syarikat pro Israel, Apco bagi tujuan perunding perkhidmatan komunikasi.

Senarai pembaziran Umno-BN terlalu panjang untuk disenarai, termasuk pembaziran yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak yang membelanjakan sebanyak RM8.7 juta untuk mengadakan lawatan ke luar negara, sepanjang menjadi perdana menteri.

Malah, Najib juga gagal mengawal tabiat isterinya Datin Seri Rosmah Mansur yang gemar berbelanja besar seperti menghabiskan RM4.5 juta hanya untuk mengadakan sidang wanita pertama di Kuala Lumpur tahun lalu.

Rosmah turut membelanjakan lebih RM100,000 semalam hanya untuk menginap di hotel Atlantis di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu ketika mengadakan lawatan ke negara berkenaan.

Saifuddin : PAS Cukup Kuat, Anwar Bukan Faktor

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 30 MEI: Reputasi dan kredibiliti pimpinan yang menjadi tunjang dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merupakan antara parti terawal di Malaysia, tidak mudah dipengaruhi atau diganggu gugat oleh elemen luar, menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Ini kerana, ketokohan dan disiplin yang diterapkan dalam jiwa setiap ahli parti itu menjadikannya sebagai sebuah entiti yang matang dan tidak gentar dilanda badai.

Meskipun bergabung di bawah satu nama yang menyatukan parti tersebut bersama PKR dan DAP di bawah satu wadah perjuangan yang sama, namun menurut Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang, masing-masing menghormati sejarah perjuangan setiap parti terutama PAS, yang jauh lebih berpengalaman.

Kenyataan Saifuddin itu sekaligus menyangkal dakwaan bahawa PKR dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sebagai faktor wujudnya pembahagian puak dalam PAS seperti yang dibangkitkan pihak pro Umno-Barisan Nasional mutakhir ini.

"Suatu parti (PAS) yang matang tidak boleh dipengaruhi mana-mana elemen yang dikaitkan dengan elemen luar apatah lagi dengan pengaruh Anwar Ibrahim.

"Tidak pernah menjadi amalan Anwar atau parti Keadilan sendiri untuk campur tangan dalam urusan rumah tangga parti lain," kata Saifuddin ketika dihubungi Tv Selangor.

Menjelang Muktamar PAS ke-57 hujung minggu ini, media pro Umno-BN dilihat sering kali menuding jari ke arah Anwar dan PKR sebagai faktor wujudnya puak 'erdogan' dalam parti yang ditubuhkan sejak 31 Mei 1955 itu.

Malah ada pihak yang turut berani mempersoalkan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Ketua Pembangkang dari tuduhan liwat kedua dan rakaman video seks selain menyifatkan beliau meletakkan PAS dalam bahaya.

PAS sebelum ini menolak tanggapan kononnya wujud dua kumpulan dalam barisan kepimpinan parti Islam itu yakni persaingan antara pihak pro Anwar dengan golongan ulama yang dilihat ‘berpengaruh’.

Malah PAS menegaskan yang wujud hanyalah kelainan pendekatan yang digunakan untuk mendapatkan sokongan ahli dan rakyat dalam parti itu.

Saifuddin kemudiannya menegaskan bahawa asas penubuhan yang didokong setiap parti komponen dalam Pakatan Rakyat juga berbeza, sekaligus tidak mengganggu atau mempengaruhi perkembangan setiap parti.

Jelasnya lagi, fokus utama Pakatan Rakyat adalah untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang semakin tidak relevan kepada masyarakat majmuk negara ini termasuk menjaga kepentingan bersama.

"Asas kerjasama dalam Pakatan Rakyat ialah Barisan Nasional adalah musuh utama. Jadi kita tidak bercakap asas parti. Mustahil parti PAS, DAP dan Keadilan boleh disatukan dengan polisi yang sama.

"Tetapi atas nama Pakatan Rakyat kita ada satu persamaan iaitu musuh kita yang satu (BN) dan kita memperjuangkan prinsip keadilan sejagat. Jadi siapa pun kepimpinan yang dipilih oleh PAS, saya yakin kerjasama dalam Pakatan Rakyat akan hanya diperkuatkan dan tidak akan terjejas sama sekali," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, calon Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kecaman media terutama akhbar Utusan Malaysia mengenai ulasan Nik Aziz terhadap pemfitnah Anwar perlu diabaikan.

Ini kerana menurut beliau laporan yang disiarkan hanya bertujuan untuk memburukkan imej penasihat parti itu.

"Tidak perlu komen sebab (laporan) seperti tidak siuman. Tak perlu ulas," katanya.

Tv Selangor/-

Najib tidak faham fungsi Putrajaya- AMK

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memahami fungsi Putrajaya apabila mengeksploitasi Himpunan Sejuta Belia di Pusat Pentadbiran kerajaan itu baru-baru ini.

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon berkata, program itu bukan sahaja membazirkan dana awam, malah telah dijadikan sebagai platform untuk memenuhi agenda politik Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kuasa.

Najib, katanya telah menjadikan himpunan tersebut sebagai alat menyerang Pakatan Rakyat, selepas membuat kenyataan bahawa BN akan mempertahankan Putrajaya walau apapun terjadi semasa mesyuarat Umno tahun lalu.

“Keadaan ini telah menunjukkan PM tidak memahami fungsi Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Di bawah konteks sebuah negara yang demokrasi, Putrajaya adalah dimiliki rakyat Malaysia dan ia merupakan kawasan pentadbiran kerajaan yang dipilih oleh rakyat semasa Pilihanraya.

“Putrajaya bukan dimiliki mutlak oleh mana-mana parti politik,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, kebanyakan anak muda yang hadir pada program itu juga tidak mengetahui ia merupakan satu ‘rapat umum BN’.

Disebabkan itu katanya, terdapat di kalangan pemimpin anak muda NGO yang menegaskan tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik selepas mengambil bahagian dalam program tersebuT.

“Sebagai seorang Perdana Menteri, Najib Razak seharusnya menjadi satu teladan yang baik kepada anak muda dan bukan semata-matanya melaungkan bahawa hendak mempertahankan Putrajaya bersama-sama dengan pemuda-pemudi,” katanya.

Tarif Elektrik Dimumkan Petang Ini

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan tarif elektrik baru pada pukul 4 petang Isnin di sini.

Kemeterian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam satu kenyataan memberitahu bahawa menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop akan mengadakan sidang akhbar bersama.

Serangan udara NATO korban 52 orang awam

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

LELAKI Afghan melihat mayat dua kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan udara NATO di Helmand, kelmarin. - Foto AFP
Tentera salah sangka rakyat, polis Afghanistan militan

KANDAHAR: Tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membunuh 52 orang kebanyakannya orang awam dalam serangan udara terhadap pemberontak sejak beberapa minggu lalu.

Di wilayah selatan Helmand, pihak berkuasa berkata sekurang-kurang 14 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan udara kelmarin.
Tentera Laut Amerika di daerah Nawzad di Helmand melancarkan serangan udara itu selepas pangkalan mereka diserang, kata kerajaan wilayah itu dalam satu kenyataan.

“Ketika serangan udara itu, dua rumah orang awam disasarkan dan menyebabkan 14 orang awam terbunuh dan enam lagi cedera,” katanya.

Kenyataan itu berkata mangsa yang terbunuh termasuk lima kanak-kanak perempuan, tujuh kanak-kanak lelaki dan dua wanita.

“ISAF menyedari ada laporan menyatakan orang awam terbunuh dalam serangan udara kami,” kata jurucakap Pasukan Pembantu Keselamatan Antarabangsa (ISAF) NATO, Mejar Tim James.

“Komando Daerah Barat Daya dihantar memantau bersama kawasan yang didakwa dan mereka akan mengeluarkan kenyataan hasil pemantauan kepada media,” katanya. Seorang warga emas tempatan di daerah Nawzad, Aslam memberitahu beliau kehilangan 12 saudara mara sementara 10 lagi termasuk kanak-kanak cedera dalam serangan udara itu.

Beliau berkata sesetengah bedilan dibuat dari helikopter ISAF yang terbang ke kawasan itu, dan menambah helikopter itu kembali semula selepas 10 hingga 20 minit dengan melepaskan roket membedil penduduk yang tidak bersalah.
Menurutnya lima kanak-kanak, lima lelaki dan dua wanita terbunuh dalam serangan berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, gabenor Nuristan semalam memberitahu AFP 18 orang awam dan 20 polis terbunuh dalam serangan udara diketuai Amerika menentang pemberontak di kawasan wilayah bergolak timur laut.

Nuristan menjadi medan pertempuran hebat minggu lalu di antara Taliban dan pasukan keselamatan Afghanistan. Orang awam dan polis menjadi sasaran Rabu lalu selepas mereka disangkakan militan, kata Jamaluddin Badr said.

“Polis terbunuh berikutan serangan itu,” kata Badr yang menambah serangan udara di kawasan bergolak Do Ab disasarkan di lokasi pegawai itu.

“Penduduk awam terbunuh kerana Taliban lari menuju rumah orang awam dan kemudian orang awam disalah anggap sebagai Taliban dan diserang,” kata gabenor.
James berkata semua dakwaan itu turut disiasat.

“ISAF menghantar pasukan penyiasat untuk menyiasat dakwaan mengenai orang awam dan kecederaan polis di Nuristan,” katanya.

“Laporan awal kami tidak mengemukakan sebarang kecederaan atau kematian orang awam akibat serangan udara itu,” katanya.

Kematian orang awam dalam perang diketuai Amerika Syarikat menentang al Qaeda menerusi rangkaian Taliban membangkitkan isu sensitif dan satu daripada sebab utama yang melebarkan jurang Presiden Hamid Karzai dan sekutu Amerika.

Sabtu, Karzai mengarahkan Menteri Pertahanan Abdul Rahim Wardak untuk mengambil alih kawalan serangan malam daripada pasukan NATO.

Pentadbiran Karzai berkata kebanyakan kematian orang awam berlaku ketika operasi dan serbuan malam terhadap kediaman orang awam turut melemahkan hubungan rakyat terhadap pentadbirannya yang kian lemah. – AFP

Presiden PAS ziarah mangsa tanah runtuh

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



AMPANG, 30 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melawat mangsa tanah runtuh yang membabitkan rumah anak-anak yatim  Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, di Hospital Ampang Sabtu lepas.

Beliau yang datang dari Pejabat Agung PAS tiba pada jam 3.30 petang di lobi utama hospital disambut oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Dr. Che Rosli dan para pemimpin PAS Ampang serta kakitangan hospital.

Bercakap di sidang media di lobi hospital dengan diiringi Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, Ustaz Abdul Hadi Awang melahirkan rasa simpati terhadap mangsa kejadian yang kelihatan penat dan tidak bermaya ketika dirawat di hospital Ampang.

"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih atas usaha yang dilakukan oleh pihak hospital dan juga semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa-mangsa tanah runtuh ini.

"Saya mendoakan kesejahteraan mereka dan berharap mereka tenang dan bersabar dalam menempuhi dugaan ini yang tentunya mempunyai hikmah di sebaliknya," jelas beliau lagi.

Bertanyakan mengenai kejadian tanah runtuh yang meragut 16 nyawa pada 21 Mei baru-baru ini, beliau menjelaskan tentang ciri-ciri keselamatan yang perlu dititik beratkan oleh pihak berwajib supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi kelak.

Abdul Hadi juga kelihatan bermesra dengan mangsa-mangsa tanah runtuh yang ditempatkan di wad pesakit di tingkat lima hospital.

Beliau juga turut melawat beberapa mangsa yang berada di Unit Rawatan Rapi di tingkat tiga hospital.

Beliau yang mendapat iringan daripada Dr. Che Rosli dan kakitangan hospital turut memberi sedikit sumbangan kepada mangsa-mangsa kejadian.

Salah seorang mangsa kejadian Mohd Syafiq Ibrahim 22, melahirkan kesyukuran terhadap keperihatinan Abdul Hadi yang sedikit sebanyak mengurangkan penderitaan yang dialaminya.

Beliau yang cedera di leher akibat terkena hentakan kuat dalam kejadian itu turut berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh Abdul Hadi.   

Malahan, Ibu kepada Mat Irwan Zakaria yang masih lagi sedih melihat keadaan anaknya yang lemah dan tidak berdaya masih mampu memberi senyuman ketika ditanya Abdul Hadi mengenai keadaan anaknya.

Puan Zarina, ibu kepada Zuhairi turut menghargai sumbangan yang diberikan oleh Abdul hadi dan berharap berkat doa beliau dan dengan izin Allah kesihatan anaknya akan bertambah pulih.

Zuhairi yang kaki kirinya terpaksa dipotong bagaimana pun masih lagi dalam keadaan trauma dengan kejadian tersebut.

Ucapan Dasar presiden fokus manifesto PRU 13

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 30 Mei: Ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menumpukan kepada manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Ustaz Hadi juga akan menjelaskan kaedah menawarkan 'negara berkebajikan'iaitu manifesto yang dibawa parti itu pada PRU lalu.

Ianya juga termasuk tawaran terbaru Pakatan Rakyat iaitu tawaran 100 hari yang terkandung dalam Buku Jingga.

"Tentunya, ada beberapa agenda yang perlu dilaksanakan dalam mencapai maksud tersebut (negara berkebajikan), agenda untuk membetulkan pemikiran rakyat, membetulkan salah urus tadbir negara dan agenda untuk melaksanakan perubahan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau lagi, ucapan dasar Presiden juga akan menyentuh mengenai pemerkasaan gerak kerja pilihan raya di setiap peringkat bagi menghadapi pilihan raya.

Ia juga berbentuk seruan kepada seluruh ahli agar mempersiapkan mental dan fizikal ke arah PRU ke-13 yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

"PAS  juga menggunakan ruang ini untuk memperkasakan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Seluruh jentera termasuk lajnah-lajnah dan dewan-dewan perlu digerakkan ke arah itu dan segala yang disampaikan menjurus ke arah konteks pilihan raya umum ke 13," katanya.

Ustaz Hadi akan menyampaikan ucapan dasar ini selepas majlis perasmian muktamar PAS Pusat pada 3 Jun di Dewan Utama Kolej Universiti Islam Zulkifli Ahmad (KUIZM), Taman Melewar untuk dibahaskan perwakilan dewan-dewan dan setiap negeri.

Muktamar penuh akan berlangsung 2 hingga 5 Jun sementara muktamar Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat akan berlangsung pada 2 Jun.

'5 kali cuba pujuk Nik Aziz, tawar 3 menteri'

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



Usaha memujuk PAS bekerjasama dengan Umno dilihat berterusan apabila Datuk Nik Aziz Nik Mat mendakwa beliau didatangi wakil Umno sebanyak lima kali untuk tujuan itu dalam masa terdekat.

Menurut ahli parlimen Pasir Puteh Muhammad Husain, Nik Aziz mendedahkan perkara itu ketika bertemu dengan anak-anak Kelantan di Lembah Klang di Dengkil petang semalam.

"Ya, betul, beliau sebut (ada) lima kali pertemuan. Ia berlaku dalam masa terdekat, (ia) mengenai isu kerjasama PAS dengan Umno," katanya yang hadir dalam majlis di dewan orang ramai di situ.

Menteri besar Kelantan itu bagaimanapun didakwa tidak memperincikan individu itu sebaliknya hanya menyebutnya sebagai "berpangkat datuk" dan "pesara kerajaan".

Muhammad juga berkata, Nik Aziz ada memberitahu, PAS ditawarkan tiga jawatan menteri sekiranya membentuk kerajaan perpaduan dengan parti Islam itu.

Bagaimanapun menurut Muhammad, Nik Aziz menolak mentah-mentah pujukan itu kerana PAS sudah membuat perjanjian dengan DAP dan PKR.

Muhamad juga menjelaskan, mursyidul am PAS itu memberitahu, usaha itu berlaku sejak April lalu apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kembali menjaja isu kerjasama kedua-dua parti Melayu itu.

Difahamkan, majlis itu dihadiri kira-kira 500 orang. Turut serta Setiausa Agung PKR Saifuddin Nasution dan dua anggota parlimen, termasuk Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh), Abdullah Sani (Kuala Langat).

Sementara itu, beberapa pihak yang hadir dalam majlis minum petang itu mengesahkan ucapan Nik Aziz itu dan ada daripada mereka yang difahamkan terkejut dengan pendedahan itu.

Pas bebas rasuah

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pemilihan Muktamar Pas ke-57 sehingga kini masih me-ngekalkan rekod bersih tanpa gejala rasuah berdasarkan tiada laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, rekod itu didorong sikap ahli parti yang mendukung dasar perjuangan berteraskan ajaran Islam.

Menurutnya, walaupun pertandingan dalam Muktamar kali ini sengit namun, ia mampu dilakukan dengan suasana kekeluargaan parti tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Sehingga kini, belum ada sebarang laporan rasuah terhadap pemilihan Muktamar, saya yakin ini berlaku kerana Pas mempunyai kelainan dalam aspek pemilihan parti berbanding parti lain.

“Ini kerana, Pas lebih mementingkan dasar parti berteraskan ajaran Islam, selain bertanding dalam suasana kekeluargaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada wujud amalan rasuah dalam Muktamar kali ini dan bagaimana Pas mengekalkan amalan pemilihan yang bersih.

Nasruddin menasihati perwakilan supaya melengkapkan diri dengan maklumat mencukupi berhubung calon bertanding sebelum hadir ke dewan pemilihan.

Pemilihan Pas Pusat tahun ini dijangka menyaksikan saingan sengit apabila semua jawatan tertinggi parti itu akan dipertandingkan pada Muktamar ke-57 yang akan berlangsung Jun ini.

Muktamar terbabit akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Jun ini di Markas Tarbiah Pas di Taman Melewar, Gombak, manakala pemilihan Dewan Pemuda Pas akan diadakan pada 1 dan 2 Jun 2011 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Sinar Harian/-

Umno Sabah bergolak?

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KENINGAU, 30 Mei: Umno Sabah didakwa sedang mengalami pergolakan dalaman yang serius berikutan pengguguran Azman Ruslan sebagai ketua pemuda Umno negeri ditentang ahli mereka sendiri.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Sabah, Hisammuddin Sulaiman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan krisis itu sudah sampai ke kemuncak dan tidak mampu lagi dikawal pengerusinya Datuk Sri Panglima Musa Aman.

Selain Musa, Adun Liawan Sairin Karno yang didakwa antara adun yang berpengaruh di Keningau juga gagal memberi penjelasan berhubung pemecatan Azman yang juga ketua pemuda Umno Keningau.

Difahamkan, mereka mahu 'lepas tangan' dan meletakkan beban kepada Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin.

"Kenapa Musa Aman, Ketua Menteri Sabah dan Sairin Karno yang juga wakil rakyat Liawan membisu seribu bahasa apabila Khairy (Jamaludin) memecat Azman," soal Hishammuddin.

Azman digugurkan serta-merta dari jawatannya berkuat kuasa 29 April lalu kerana didakwa 'tidak sebulu' dengan kepempinan Umno negeri.

Biarpun pemilihan Umno ditangguhkan buat tahun ini, namun pemecatan itu jelas memberi petanda Umno Sabah sedang bergolak.

Sehubungan itu, Hishammuddim mahu rakyat negeri itu menilai sendiri sikap Umno yang hanya sibuk dengan permasalahan dalam mereka sehingga mengabaikan permasalahan rakyat.

Harakahdaily/-

Muktamar PAS bakal lonjak semangat jihad

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



PARIT BUNTAR, 30 Mei: Muktamar Tahunan PAS ke-57 yang berlangsung pada 2 hingga 5 Jun ini akan melonjakkan semangat jihad semua petugas parti untuk melakukan sesuatu yang terbaik bagi memenangkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Justeru, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) ingin menarik perhatian mengenai beberapa persiapan yang sebaiknya dilakukan oleh perwakilan PAS seluruh negara sebelum mereka melangkah ke muktamar PAS tahun ini sebagai perwakilan bagi memenuhi amanah yang ditetapkan oleh kawasan masing-masing.

“Mungkin saya tidak selayaknya untuk memberi pandangan seperti di bawah namun paling kurang ianya memberi ingatan kepada diri saya sendiri,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Beliau mengira semua perwakilan sewajarnya memastikan membawa setiap seorang atau sekurang-kurangnnya bagi setiap kawasan senaskah buku Perlembagaan PAS.

Ini, katanya penting sebagai rujukan semasa timbul kekeliruan sepanjang pengendalian sidang terutamanya sesuatu yang berkaitan dan peraturan yang sedia ada.

Menurutnya, membawa naskah perlembagaan parti setiap kali muktamar adalah sesutu yang sangat penting terutamanya semasa ada usul berkaitan dengan pindaan perlembagaan.

Perwakilan juga, katanya hendaklah membudayakan untuk mencatat perkara penting berupa usul, cadangan, amanat pimpinan dan sebagainya sepanjang tempoh muktamar berlangsung seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Kerana itu, katanya bahan catatan secukupnya hendaklah dibekalkan oleh panitia atau di bawa sendiri oleh setiap perwakilan.

“Khusus bagi perwakilan yang mengidap penyakit yang memerlukan rawatan pemakanan ubat secara rutin maka saya ingatkan supaya perwakilan yang terlibat untuk membawa bekalan ubatan secukupnya,” ujarnya.

Ini, ujarnya adalah untuk mengelak gangguan kesihatan dan menjejaskan prestasi kehadiran selama sidang.

Beliau yang juga Adun Titi Serong menambah, bagi yang ditugaskan sebagai pembahas bagi setiap negeri, dicadangkan adalah sebaiknya disediakan teks perbahasan supaya perbahasan pada muktamar lebih berkualiti dan menepati masa yang telah ditetapkan.

Tambahnya, perlulah diingatkan bahawa perbahasan tersebut menjadi perhatian dan dinilai oleh banyak pihak termasuk kawan dan lawan dan sekaligus meletakkan PAS sebagai parti yang lebih disegani dan dihormati dipersada politik tanah air.

“Semoga penginapan yang sepatutnya telah ditempah sekitar Taman Melewar dan Kuala Lumpur bagi memastikan kesihatan dan stamina perwakilan juga menjadi keutamaan.

“Akhirnya saya mengharap semua perwakilan dan pemerhati diberikan keselamatan oleh Allah SWT sepanjang perjalanan pergi dan balik dari muktamar,” katanya.

AMK Jamin Bersih 2.0 Capai Sasaran

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA 30 MEI : Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan bersama-sama 100,000 rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan fahaman pada 9 Julai ini dalam perhimpunan Bersih 2.0 sebagai menyatakan sokongan kepada objektif perhimpunan itu.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin yakin, perhimpunan itu nanti bakal mengumpulkan ratusan ribu rakyat Malaysia yang mendokong sepenuhnya demokrasi tulen supaya pilihan raya di negara ini dijalankan dengan bersih, adil dan telus.

“Angkatan Muda Keadilan telah bermesyuarat dan membincangkan tentang mobilisasi jentera AMK di seluruh negara untuk bersama-sama dengan perhimpunan Bersih 2.0 ini yang dijangka diadakan pada 9 Julai dan kita menjangkakan bahawa sasaran 100,000 rakyat, yang mana kita nyatakan daripada awal akan berjaya kita capai,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di sini, malam tadi.

Tambahnya, AMK tidak memerlukan sebarang pengumuman seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Najib Razak pada Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya yang gagal mencapai sasaran.

Difahamkan himpunan itu hanya berjaya mengumpulkan 8,000 belia iaitu kurang 10 peratus daripada yang disasarkan.

Walau bagaimanapun menurut Shamsul, Bersih 2.0 yang mempunyai objektif jelas pastinya akan mendapat sambutan rakyat pelbagai kaum dan usaha untuk mengumpulkan rakyat akan diperhebatkan.

Perhimpunan ini jelasnya amat penting kepada rakyat untuk menyampaikan mesej jelas kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) betapa sesebuah pilihan raya itu perlu diadakan dengan telus.

“Kali ini kita nak pastikan yang betul-betul hadir itu adalah rakyat daripada pelbagai agama, kelompok dan fahaman berkumpul dan jumlahnya mencecah 100,000 dan itu peranan yang cukup besar yang akan dimainkan oleh AMK dan sebenarnya dalam tujuan itu kita telah pun mengatur sesi jelajah seluruh negara.

“Kita ingin menyatakan dengan tegas bahawa sudah sampai masanya SPR harus memahami bahawa mereka tidak boleh selama-lamanya diperalatkan oleh jentera di bawah kepimpinan Umno dan juga Barisan Nasional,” katanya.

Tv Selangor/-

Undian segera tajuk PRU Julai

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Mulai semalam, undian sedang dilakukan terhadap tajuk muka depan Harakah wajarkah perkataan "PRU JULAI" digunakan sebagai tajuk berita utama.

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam dua hari ini, hari ini dan esok.

Manakala pada hari Rabu nanti, kita akan mengundi tajuk lain pula.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Sementara itu undian semakin meningkat, 616 undian diperolehi bagi"MYKAD SEGERA ANCAM NEGARA" berbanding dengan seramai 530 undian telah diperolehi terhadap tajuk edisi sebelum ini, wajarkah perkataan "BN TIRU BUKU JINGGA" digunakan sebagai tajuk berita utama.

Sehingga kini, undian terhadap “PUTAR BELIT NAJIB” adalah yang tertinggi dengan 1,090 undian.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php

Keputusan undian bersetuju "MYKAD SEGERA ANCAM NEGARA" adalah pada tahap 97.4 % atau 600 undian berbanding dengan 7 undian sahaja atau 1.14 % sahaja yang tidak bersetuju dengan tajuk tersebut.

Terdapat 9 undian atau 1.46 % pula yang memilih tidak pasti dengan tajuk tersebut sesuai digunakan sebagai tajuk utama.

Harakahdaily/-

Pemilihan PAS paling bersih, harmoni

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Pemilihan pucuk kepimpinan PAS kali ini menggambarkan kestabilan parti, ketelusan pimpinan, ketokohan yang ada dalam parti dan sekaligus kredibiliti calon-calon yang bertanding.

Ketua Lajnah Penerbitan Dan Penyelidikan Dewan Ulama PAS Terengganu, Nik Nasri Nik Malek berkata, ini kerana pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam Muktamar Tahunan kali ini dibuat dalam keadaan negara menunggu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Katanya, parti-parti lain menangguhkan pemilihan masing-masing atas alasan mahu menumpukan kepada pilihan raya.

Tambahnya, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan kesediaan PAS meneruskan pemilihan.

“Kesediaan ini menunjukkan pemilihan pucuk pimpinan peringkat pusat ini tidak akan mengganggu gerak kerja ke arah PRU 13 nanti,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, akhbar dan tv terutama yang menjadi tali hidung kepada Umno BN barang kali menunggu dan mencari isu-isu yang dirasakan boleh menggugat kestabilan parti dan kredibiliti calon-calon timbalan, naib presiden dan lain-lain.

“Alhamdulillah, tarbiyah PAS kepada pendokong jemaah dalam tempoh yang panjang dan berterusan menjadikan pemilihan PAS berjalan lancar dan cukup harmoni,” ujarnya.

Mungkin, katanya ada cakap-cakap tentang kecenderungan seorang kepada seseorang calon.

Namun, ujarnya ia adalah perkara biasa dalam sesebuah jemaah dan parti tetapi kecenderungan itu tidaklah sampai menjatuhkan yang lain dengan tidak beradab.

Tambahnya, ia boleh berlaku dalam parti sekular tetapi jika berlaku dalam parti Islam, maka ia amat asing.

“Alhamdulillah sekali lagi. Tiada calon terlibat dengan rasuah, skandal seks, menipu dan lain-lain perkara yang merobek kredibiliti,” tegasnya.

Ini, katanya tidak sebagaimana dalam pemilihan Umno terutamanya politik wang, calon dipalit dengan skandal seks, latar belakang peminum arak dan perasuah menjadi barah yang parah.

Tambahnya, ada akhbar yang cuba melihat pemilihan perwakilan PAS akan berdasarkan kredibiliti atau populariti tetapi ia adalah persepsi akhbar itu.

Tegasnya, pendukung PAS sudah diajar sebelum ini dan sekali lagi kepimpinan terus mengingatkan tentang tanggungjawab pemilihan di mana kesemua calon ada kredibiliti dan mereka juga popular.

Namun, katanya popular dalam PAS diajar oleh tarbiahnya bukan kerana mahukan populariti, tetapi kerana mereka terkehadapan dalam kerja-kerja al-amr bilmakruf wannahy anil-munkar, sama ada dalam konteks politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain, kerana itu mereka dicalonkan.

Beliau berkata, cuma fitrah manusia, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan di mana kelebihan dalam satu aspek dan kekurangan dalam aspek lain tetapi kelemahan itu tidaklah menghilangkan kredibiliti dan kelebihan yang ada secara total.

Dengan kata lain, ujarnya perwakilan akan memilih yang terbaik dari kalangan yang terbaik.

“Rakyat, terutama masyarakat Melayu perlu sedar bahawa pemilihan dalam pucuk pimpinan PAS sekarang dalam muktamar yang akan berlangsung ini yang tenang, harmoni, telus, penuh semangat ukhuwwah, menyedari jawatan bukan kemuliaan tapi pertanggungjawaban inilah yang boleh menjadi petunjuk bahawa PAS mampu memimpin dengan ertikata sebenar, bukan sahaja orang Melayu, bahkan rakyat dan sebagai pemimpin negara bagi menggantikan Umno BN yang sudah lama korup itu,” ujarnya.

Harakahdaily/-

YB Daud patut jaga hal ehwal Islam bukan nak pantau gerakan Islam saja

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Merujuk kepada kenyataan YB Daud dalam Borneo Post pada Mei 28, 2011
berkenaan dengan pemantauan ustaz dari semananjung dalam mengajar
agama di negeri Sarawak.

PAS Sarawak amat kesal dengan kenyataan YB Daud mengatakan yang
ustaz-ustaz yang datang dari semenanjung mengajar secara extrimis dan
menghasut rakyat agar menentang kerajaan.

Sepatutnya YB Daud lebih memberi tumpuan kepada kebajikan umat Islam serta memberi lebih peluang untuk umat Islam Sarawak belajar agama dengan membuka lebih
banyak lagi madrasah atau sekolah-sekolah agama.

Beliau sepatutnya bekerjasama dengan ustaz dan guru agama bagaimana cara yang terbaik
untuk mengajar dan mengembang ajaran Islam di Sarawak. Isu-isu
kekurangan guru agama serta pembinaan masjid yang terbelangkai seperti
masjid di Senadin patut diberi keutamaan.

Tahukah YB Daud ustaz-ustaz dari semananjung dengan rela hati dan
sanggup berpisah dengan keluarga serta meninggalkan kampung halaman
mereka semata-mata untuk mengajar agama kepada penduduk Islam di
Sarawak. Berapa ramaikah ustaz atau guru agama tempatan yang boleh
menampung kekurangan guru agama di Sarawak?

Bolehkah YB Daud menyediakan dan bersedia untuk menampung kekurangan
guru-guru agama di Sarawak di kalangan penduduk tempatan sendiri?
Janganlah disebabkan takut pada bayang-bayang sampai menuduh ustaz
dari semenanjung mengajar orang Sarawak jadi extrimis dan menentang
kerajaan.

Kita juga hairan dengan kebanyakan sikap pemimpin BN Sarawak yang
tidak dapat menerima teguran atau pandangan orang lain. Mereka lebih
suka rakyat Sarawak berfikiran seperti di zaman penjajah dulu dimana
rakyat jangan sesekali menegur kerajaan kerana sesiapa yang berani
menegur kerajaan dianggap sebagai penentang kerajaan.

Cubalah buka minda sedikit wahai pemimpin BN Sarawak jangan disebabkan
kepentingan politik sempit sanggup membiarkan rakyat Sarawak tinggal
jauh kebelakang. Bukan saja dari segi pembangunan bahkan juga dari
segi pemikiran.

Sarawak kaya dengan hasil bumi tetapi masih ramai lagi
rakyat Sarawak hidup dalam kemiskinan. Jangan bersikap seperti “katak
dibawah tempurung” mengganggap semua orang selain BN tidak pandai
memerintah dan membangun negara ini.

PAS bersedia berjumpa dengan YB Daud dan Majlis Islam Sarawak
berkenaan dengan perkara yang melibatkan Islam demi penyatuan umat
Islam.

Utamakan kepentingan rakyat dari kepentingan peribadi dan politik semata-mata

Jofri Jaraiee
Timbalan Pesuruhanjaya PAS Sarawak

PAS Miri Bersedia Kerjasama Dengan Semua Pihak Tanpa Mengira Fahaman Politik

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

PAS Miri Bersedia Kerjasama Dengan Semua Pihak Tanpa Mengira Fahaman Politik

Merujuk kepada kenyataan Datuk Bandar Miri (MBM), Lawrence Lai Yew Son
dalam Isu tandas dan menjemput PAS bekerjasama dalam akhbar Utusan
Borneo pada 28 Mei 2011, PAS sangat menghargainya hasrat tersebut.

PAS Miri bersedia untuk bekerjasama dengan semua agensi atau
badan-badan kerajaan yang ingin melaksanakan projek kerajaan termasuk
tandas awam di pusat Komersil Saberkas Miri.

Sekiranya MBM ikhlas untuk bekerjasama dengan PAS sila aturkan perjumpaan dengan pimpinan
PAS dan juga Pakatan Rakyat untuk tindakan selanjutnya.

Apa yang penting kita mahu tender yang telus dan terbuka untuk orang ramai
supaya mereka dapat tahu kos sebenarnya projek tersebut. Persoalannya
sekarang mengapa kos tandas tersebut agar tinggi dan kita cuma mahu
tahu anggaran sebenar projek tersebut kerana ianya melibatkan wang
rakyat (pembayar cukai).

Semoga dengan kerjasama ini nanti akan menjadi Miri sebuah bandaraya
yang lebih indah dan bebas dari unsur-unsur dan gejala negatif.

PAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada MBM kerana memberi
kepercayaan kepada PAS untuk bekerjasama demi kebajikan untuk semua
tanpa mengira kaum,agama dan fahaman politik.

Insya-Allah kita berharap kerjasama ini akan mendatangkan lebih
kebaikan untuk penduduk Miri khasnya. Konsep PAS adil untuk semua.

Jofri Jaraiee
YDP PAS Miri merangkap Timbalan Pesuruhanjaya PAS Sarawak

Najib silap baca golongan muda, kata Anwar

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Tindakan Datuk Seri Najib Razak menghimpunan belia-belia di Putrajaya dan merayu undi mereka memperlihatkan rasa gusar perdana menteri terhadap kebangkitan golongan itu yang kini menuntut perubahan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib semalam mendakwa sejuta belia yang hadir di Putrajaya untuk sambutan Hari Belia Negara selama tiga hari, kononnya untuk “mempertahankan” pusat pentadbiran negara dari diambil alih oleh Pakatan Rakyat.

TV Selangor memetik Anwar berkata, hakikatnya ialah persatuan-persatuan belia itu dibaPapar semuawa untuk mengisi pelbagai program riadah yang dianjurkan bersama oleh agensi-agensi persekutuan dan badan-badan koperat sempena Hari Belia Negara.

“Dia kata di Mesir satu juta orang muda tuntut perubahan. Jadi di sini dia minta orang muda sokong Barisan Nasional.

“Orang muda ini dikaitkan dengan idealisme, cita-cita murni. Orang muda ini benci dengan kemungkaran, benci dengan rasuah, benci dengan kezaliman.

“Najib silap. (Sebenarnya belia) yang minta perubahan tumbangkan kerajaan yang ada. Jadi saya nak sambut dengan katakan sudah sampai ketikanya anak muda Felda, anak muda Malaysia bangkit tuntut perubahan,” kata Anwar kepada ribuan peneroka Felda dan penduduk kampung di Kerdau, Pahang malam semalam untuk mendengar ceramahnya.
Kaya-raya

Anwar malam tadi juga mengupas ucapan Najib pada majlis sambutan Hari Belia itu yang dialas dengan gesaan supaya belia menyokong Umno-BN sebagai syarat menikmati kemakmuran.

Kenyataan sedemikian, kata Anwar hanya menunjukkan rasa terdesak Perdana Menteri.

Menurut Anwar beliau tidak menuduh Umno sebagai parti yang tidak pernah membuat apa-apa.

Namun yang dipersoalkan adalah kemungkaran dan kezaliman yang menyebabkan rakyat menderita manakala pemimpin hidup dalam keadaan kaya-raya.

"Saya tidak samakan Umno dengan Firaun, Firaun pun buat bangunan dan jalan, negara komunis, Zimbabwe, mahupun Bangladesh pun buat pembangunan, soalnya kita ini mahu nilai apa kekurangan besar yang membolehkan sebuah perubahan kuasa itu perlu," katanya.

Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat supaya merenung hala tuju negara di bawah pemerintahan Umno-BN dan tidak termakan dengan dakyah dan gula-gula politik yang disebarkan parti itu.

"Saya tidak pertikai hak sesiapa untuk sokong parti mana-mana, tetapi kita sanggupkah pertahankan kezaliman, bolehkah kita diam tentang rasuah, mampukah kita biarkan fitnah, lucah termasuk qazaf dan semulanya berlaku?” tanya Anwar.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Sabu, Ketua Serikandi Siti Aishah Shaik Ismail dan Presiden ANAK, Mazlan.

Malaysiakini/-

'Polis bodo' punca naik mahkamah

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja butik berdepan hukuman denda sehingga RM100 selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam gara-gara mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis.

Nur Syafa Watiha Wahab, 19, dari Kampung Telaga Batin, Seberang Takir mengaku melakukan kesalahan itu selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret, Rusilah Nik.

NUR SYAFA WATIHA didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis.

Mengikut kertas pertuduhan, Nur Shafa Watiha didakwa mengeluarkan perkataan 'polis bodo' (bodoh) kepada seorang anggota polis di depan Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini pada pukul 1 petang pada 28 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia yang berasal dari Kampung Telaga Batin boleh dihukum di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh didenda tidak melebihi RM100.

Rusilah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Jun depan sebagai tarikh sebutan fakta dan keputusan kes.

Anak gajah jatuh parit gemparkan penduduk

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


JELI - Pekerja ladang Felcra Tumbi Rapat dekat Kampung Reka di sini digemparkan dengan suara seekor anak gajah jantan yang terjatuh ke dalam sebuah parit kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Mereka pada mulanya menyangka anak gajah itu dikejar oleh harimau menyebabkan ada yang bertempiaran lari meninggalkan kawasan ladang berkenaan.

PENDUDUK kampung bersama anak gajah yang terjatuh dalam parit di Ladang Felcra Tumbi Rapat Reka, Jeli 

Seorang pekerja ladang itu, Che Mohamed Mazlan Che Wook, 24, berkata, dia sedang menyembur racun rumpai di bawah kaki bukit berhampiran apabila dikejutkan dengan kelibat beberapa rakannya yang lari bertempiaran.

Jelasnya, salah seorang daripada mereka memaklumkan terdengar suara gajah yang dikejar harimau.

"Pada mulanya saya berasa takut untuk melihat apa yang berlaku tetapi bersama seorang rakan, kami memberanikan diri menaiki bukit berkenaan.

Eropah cemas sayuran tercemar

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


PRAGUE, Republik Czech — Sejumlah sayuran dari Sepanyol yang disyaki dicemari bakteria yang boleh membawa maut ditarik balik penjualannya di Austria dan Republik Czech bagi mengelak wabak penyakit, lapor pihak berkuasa semalam.

Jangkitan bakteria yang dikenal pasti sebagai E. coli itu telah membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang manakala ratusan yang lain di seluruh Eropah mengalami keracunan.

SEBIJI timun yang ditanam di sebuah rumah hijau di Algarrobo Sepanyol

Pihak berkuasa Czech menyatakan, sebanyak 120 timun organik Sepanyol yang disyaki dicemari bakteria itu ditarik semula penjualannya dari pasar raya dan kedai runcit.

Pegawai kesihatan di Austria pula memberitahu, hanya sebilangan jumlah timun yang ditarik balik.

Agensi Kesihatan dan Keselamatan Makanan Austria menjelaskan, pihaknya telah mengeluarkan amaran bahawa pencemaran bakteria itu turut merebak pada tanaman tomato dan terung.

Agensi tersebut mendakwa sejumlah sayuran itu mungkin telah dijual dan meminta orang ramai yang membelinya supaya segera membuang sayuran tersebut.

Di Denmark, seramai lapan orang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan bakteria E. coli.

Timun yang dicemari bakteria itu turut dilaporkan turut dieksport ke Hungary dan Luxembourg untuk dijual.

Dua rumah hijau di Sepanyol didapati menjadi sumber bakteria tersebut merebak.

Negara lain seperti United Kingdom dan Belanda juga dipercayai dijangkiti bakteria tersebut.

Orang ramai yang baru pulang mengunjungi Jerman pula diminta untuk berjumpa dengan doktor jika mereka mengalami cirit birit berdarah. 

Agensi

Perahu layar mudik tanpa nakhoda

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


LONG ISLAND - Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) masih menyiasat kematian misteri seorang pelaut, Frank Closter selepas perahu layarnya mudik tanpa lelaki itu di dermaga Riverhead di sini negeri Connecticut, lapor sebuah akhbar semalam.

Mayat Closter yang berusia 64 tahun ditemui di perairan 24 kilometer dari tempat dia memulakan pelayaran dekat sini dengan menaiki perahu layarnya yang diberi nama Jagular.

PERAHU LAYAR Jagular yang ditemui mudik di dermaga Riverhead, Amerika Syarikat tanpa nakhodanya.

Closter dipercayai terjatuh ke laut, namun misteri Jagular yang berukuran 10.4 meter (m) panjang itu belayar sendiri dan mudik di dermaga itu terus mencetuskan tanda tanya.

Seorang pegawai penyiasat mengatakan bahawa pihaknya menemui cermin mata kepunyaan Closter, dompet dan carta perjala- nan perahu layar itu.

Jurucakap pengawal keselamatan pantai, John Olsen memberitahu kepada akhbar New York Post, tiada sebarang kerosakan dilihat pada Jagular.

"Perahu layar ini belayar tanpa dipandu oleh sesiapa. Kebarangkalian ia mudik sendiri adalah satu dalam sejuta. Kejadian ini sangat pelik," jelas Olsen.

Isteri Closter, Barbara pula memberitahu pegawai penyiasat berkenaan bahawa suaminya mula belayar dari jeti di Haddam dekat sini pada Khamis lalu dan merancang untuk untuk ke Clinton di negeri New Jersey.

Closter dipercayai terjatuh dari perahu layar tersebut semasa melakukan pelayaran.

Pihak koroner Connecticut masih menyiasat punca sebenar kematian Closter, namun mereka tidak mengesyaki ia perbuatan khianat. 

Agensi

Budak 10 tahun tangkap buaya

Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


ROCKLEDGE - Seorang budak lelaki berusia 10 tahun terkejut melihat seekor buaya jenis alligator sepanjang lebih 1 meter menyambar jorannya ketika dia memancing di sebuah terusan di sini, negeri Florida, Amerika Syarikat.

Jauh sekali melarikan diri, budak lelaki berkenaan, Michael Dasher sebaliknya bergelut dengan buaya tersebut selepas ia naik ke darat.

SEEKOR alligator yang ditangkap oleh budak lelaki berusia 10 tahun, Michael Dasher.

Dengan bantuan dua rakannya, Dasher mengikat mulut reptilia tersebut sebelum menyeret haiwan itu ke rumahnya yang terletak berdekatan kerana tidak mahu dituduh hanya mereka-reka cerita.

Dia hanya mengalami beberapa kesan calar dan luka kecil pada badannya dalam pergelutan tersebut.

"Cucu saya tidak takut pada apa-apa pun," kata datuknya yang berusia 57 tahun, Benji Cox.

Reptilia itu kemudian dibebaskan pihak berkuasa hidupan liar kerana ia tergolong dalam spesies yang dilindungi di AS dengan mereka yang menangkapnya berdepan denda AS$500 (RM1,512) dan hukuman penjara hingga 60 hari. 

Agensi

Karavan terkecil boleh ditunda skuter

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


KARAVAN terkecil di dunia yang boleh ditunda dengan menggunakan skuter.

LONDON - Sebuah karavan sepanjang 2 meter yang dipercayai terkecil di dunia boleh ditarik dengan menggunakan skuter, lapor sebuah akhbar semalam.

Namun, karavan yang dinamakan QTvan dan berharga £5,500 (RM24,965) itu lengkap dengan sebuah katil, kabinet minuman dan sebuah televisyen skrin rata.

Ia yang direka oleh seorang pereka, Yannick Read, sesuai untuk aktiviti perkelahan jarak dekat untuk pengguna motosikal. 

Agensi