30 Mei 2011

Pas bebas rasuah

27 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pemilihan Muktamar Pas ke-57 sehingga kini masih me-ngekalkan rekod bersih tanpa gejala rasuah berdasarkan tiada laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, rekod itu didorong sikap ahli parti yang mendukung dasar perjuangan berteraskan ajaran Islam.

Menurutnya, walaupun pertandingan dalam Muktamar kali ini sengit namun, ia mampu dilakukan dengan suasana kekeluargaan parti tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Sehingga kini, belum ada sebarang laporan rasuah terhadap pemilihan Muktamar, saya yakin ini berlaku kerana Pas mempunyai kelainan dalam aspek pemilihan parti berbanding parti lain.

“Ini kerana, Pas lebih mementingkan dasar parti berteraskan ajaran Islam, selain bertanding dalam suasana kekeluargaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada wujud amalan rasuah dalam Muktamar kali ini dan bagaimana Pas mengekalkan amalan pemilihan yang bersih.

Nasruddin menasihati perwakilan supaya melengkapkan diri dengan maklumat mencukupi berhubung calon bertanding sebelum hadir ke dewan pemilihan.

Pemilihan Pas Pusat tahun ini dijangka menyaksikan saingan sengit apabila semua jawatan tertinggi parti itu akan dipertandingkan pada Muktamar ke-57 yang akan berlangsung Jun ini.

Muktamar terbabit akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Jun ini di Markas Tarbiah Pas di Taman Melewar, Gombak, manakala pemilihan Dewan Pemuda Pas akan diadakan pada 1 dan 2 Jun 2011 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Sinar Harian/-

1 ulasan:

Pak Mat berkata...

Aku sangat setuju 110% Puak Pas tak makan rasuah kalau tidak dah lama masuk dalam. Jika Pas makan rasuah gerombolan amnoo tak akan lepaskan peluang keemasan ini.Rasulullah saw adalah uswatun hasanah para pendokong Pakatan Rakyat.